Dalam artikel sebelum ini, saya ada sebut pasal 18,000 tengkorak yang disimpan dalam muzium di Paris.

Kali ini, saya nak tuan-tuan kenal salah seorang “pemilik” tengkorak tersebut.

Nama beliau Sheikh Bouzian.

Beliau bukan calang-calang orangnya tau. Beliau seorang Ulama. Seorang Hafiz Al-Quran. Seorang pemimpin sufi yang sangat dihormati di oasis Zaatcha, Algeria.

Tahun 1849.

Masa tu, tentera Perancis datang menceroboh kampung Zaatcha. Mereka nak rampas tanah, mereka nak cukai tinggi, mereka nak jajah jiwa raga orang Islam di situ.

Sheikh Bouzian tak boleh duduk diam dan tengok penjajah buat macam tu kat tanah airnya.

Walaupun beliau orang agama yang biasa pegang tasbih, kali ini beliau pegang senapang.

Beliau kumpulkan anak murid, orang kampung, petani kurma. Beliau seru jihad untuk pertahankan tanah air.

“Kita hidup mulia atau mati syahid!” laung beliau.

Perancis ingat senang nak makan kampung kecil ni. Tapi rupanya mereka silap.

Selama 4 bulan, tentera Perancis yang lengkap dengan meriam moden tak mampu langsung menembusi pertahanan Zaatcha!

Sheikh Bouzian dan pengikutnya lawan bermati-matian. Mereka bertahan di celah-celah pokok kurma. Wanita dan kanak-kanak pun tolong bancuh ubat bedil.

Perancis jadi makin gila dan malu besar. Kuasa besar dunia kalah dengan orang kampung?

Akhirnya, Perancis hantar bala tentera tambahan. Ribuan askar mengepung Zaatcha. Mereka bom kampung tu sampai jadi padang jarak padang tekukur.

Pada 26 November 1849, pertahanan Zaatcha akhirnya runtuh.

Sheikh Bouzian ditangkap.

Tetapi Perancis tak puas hati dengan hanya setakat tangkap. Hati mereka penuh dendam.

Mereka heret Sheikh Bouzian ke tengah tanah lapang.

Di sebelah beliau, turut diheret adalah anak lelaki kesayangannya, Al-Hassan, yang baru berusia 15 tahun. Dan sahabat baiknya, Si Musa.

Bayangkan perasaan seorang ayah apabila melihat anak remaja dia yang belum cukup umur pun nak dibunuh sama?

Tanpa bicara, tanpa belas kasihan… askar Perancis memancung kepala mereka bertiga di situ juga.

Darah ulama dan darah anak kecil tumpah membasahi bumi Algeria.

Tuan-tuan ingat cerita habis kat situ? Tidak.

Kekejaman sebenar baru bermula.

Komander Perancis, Kolonel Emile Herbillon, arahkan supaya kepala Sheikh Bouzian, anaknya, dan Si Musa DIPACAK PADA TIANG pintu gerbang.

Tujuannya? Nak takutkan orang kampung. “Tengok ni! Siapa lawan Perancis, inilah nasib dia!”

Selepas puas dijemur dan dimalukan, kepala-kepala ini tidak dikebumikan.

Seorang doktor tentera Perancis ambil kepala-kepala ini. Dia “proses”. Dia awet. Jahat, sungguh jahat, kan?

Kemudian, kepala Sheikh Bouzian dibungkus dan dihantar ke Paris.

Kenapa?

Untuk dijadikan bahan kajian “Saintifik”.

Saintis rasis di Paris masa tu nak kaji kononnya “tengkorak orang Islam ni ada bentuk jenayah” (phrenology).

Teori bodoh yang dah lama ditolak sains moden.

Sesampainya di Paris, kepala Sheikh Bouzian disimpan di Musée de l’Homme (Muzium Manusia).

Beliau bukan lagi dilayan sebagai manusia. Beliau dilayan sebagai “Spesimen”.

Diberi nombor siri. Disimpan dalam kotak kadbod, di dalam almari besi yang gelap dan sejuk.

Bertahun berganti abad.

Dunia berubah. Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua. Algeria merdeka tahun 1962.

Tetapi kepala Sheikh Bouzian masih di situ.

Terkurung. Sepi. Jauh dari tanah air, jauh dari jasadnya.

Hanya pada tahun 2020, selepas 170 Tahun, barulah Perancis setuju untuk pulangkan.

Itupun selepas tekanan diplomatik yang kuat dari kerajaan Algeria.

Pada Julai 2020, sebuah pesawat tentera Algeria mendarat di Algiers.

Bila keranda yang membawa tengkorak Sheikh Bouzian dan 23 pejuang lain dikeluarkan… satu negara menangis.

Presiden Algeria cium keranda tu. Askar tabik hormat. Jet pejuang buat lintas hormat di udara.

Rakyat berbaris di tepi jalan sambil laungkan takbir dan selawat.

“Selamat pulang, wahai ayah kami. Selamat pulang, wira kami.”

Hari ini, Sheikh Bouzian akhirnya bersemadi dengan aman di Tanah Perkuburan El Alia, diapit oleh wira-wira negara yang lain.

Tuan-tuan, kisah ini mengajar kita dua perkara.

Pertama, betapa hinanya mentaliti penjajah.

Bagi mereka, kita ni tak lebih daripada “objek”. Hidup dijajah, mati pun kepala nak dibuat mainan.

Dan hari ini, cucu cicit mereka yang sama lah yang nak ajar kita pasal hak asasi? Simpanlah syarahan tu.

Kedua, betapa mahalnya harga sebuah perjuangan.

Sheikh Bouzian ajar kita, jasad mungkin boleh dipancung, kepala mungkin boleh diculik ke benua lain…

Tapi roh perjuangan, maruah dan nama yang harum… takkan boleh dipadam walau 170 tahun berlalu.

Hari ini nama Sheikh Bouzian disebut dengan penuh kemuliaan di bibir jutaan umat.

Manakala nama Kolonel Perancis yang memancung beliau? Hanyut ditelan sejarah atau diingat sebagai penjenayah perang yang kejam.

Benarlah janji Allah. Orang yang mati syahid itu tidak mati, mereka hidup di sisi Tuhan mereka dengan penuh rezeki.

Al-Fatihah untuk Sheikh Bouzian, anaknya Al-Hassan dan semua syuhada yang mempertahankan agama dan tanah air.

Maha Suci Allah yang memelihara kemuliaan hamba-Nya walau jasad mereka diperlakukan dengan kejam oleh musuh.

Kepulangan Sheikh Bouzian selepas hampir dua abad adalah bukti bahawa kebatilan itu sifatnya sementara, manakala kebenaran itu pasti akan tertegak jua akhirnya.

Moga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para nabi dan solihin.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.