Kalau kita hilang kunci kereta atau dompet, itu perkara biasa. Manusia memang sifatnya pelupa.
Tapi kalau sebuah syarikat penerbangan boleh “terhilang” sebiji pesawat Boeing gergasi selama 13 tahun, itu bukan lagi penyakit lupa. Itu tahap “buta birokrasi” yang tiada ubat.
Inilah kisah absurd tapi benar yang baru sahaja didedahkan berlaku kepada gergasi penerbangan, Air India.
Pada November 2025, satu penemuan mengejutkan telah berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhas Chandra Bose, Kolkata.
Pihak pengurusan lapangan terbang yang sedang sibuk membersihkan kawasan semak samun untuk projek hangar baharu, tiba-tiba “terlanggar” satu objek besi gergasi yang berhabuk, usang dan diselaputi tanaman liar.
Rupa-rupanya, di sebalik semak itu tersergam sebuah pesawat Boeing 737-200 dengan nombor pendaftaran VT-EHH.
Ia bukan bangkai kapal asing tetapi milik Air India sendiri yang telah tersadai di situ sejak tahun 2012.
Apa yang membuatkan cerita ini tidak masuk akal adalah reaksi pihak pengurusan Air India.
Sepanjang 13 tahun pesawat itu “bertapa” di situ, tiada seorang pun akauntan, jurutera atau pengurus di ibu pejabat yang sedar akan ketiadaannya.
Tiada rekod penyelenggaraan, tiada rekod insurans, malah tiada siapa yang bertanya: “Eh, mana pergi satu lagi kapal terbang kita?”
Pesawat itu seolah-olah ghaib dari sistem perakaunan syarikat walaupun secara fizikalnya ia wujud depan mata ribuan pekerja lapangan terbang setiap hari.
Apabila pihak lapangan terbang menuntut bayaran parkir tertunggak, Air India pada mulanya bermati-matian menafikan itu pesawat mereka.
Mereka yakin berpandukan rekod dalam komputer yang kosong. Bagi mereka, VT-EHH tidak wujud.
Namun, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.
Selepas disemak, CEO Air India, Campbell Wilson akhirnya terpaksa mengakui kesilapan memalukan itu dalam satu memo dalaman yang bocor:
“Pelupusan pesawat lama itu biasa. Tapi kes ini luar biasa sebab kami tak tahu pun kami miliki pesawat ini!”
Rupa-rupanya, pesawat malang ini “tercicir” daripada senarai inventori aset semasa proses pengambilalihan syarikat oleh Tata Group beberapa tahun lalu.
Untuk menambah rasa tragis, VT-EHH ini bukanlah pesawat picisan.
Ia adalah “kuda tua” yang banyak berjasa. Mula berkhidmat sejak tahun 1982 untuk Indian Airlines, ia pernah membawa jutaan penumpang merentas benua.
Malah, di penghujung usianya, ia berkhidmat sebagai pesawat kargo untuk India Post, membawa surat dan bungkusan harapan rakyat India ke seluruh negara.
Namun pada tahun 2012, selepas enjinnya dimatikan buat kali terakhir, ia ditarik ke satu sudut terpencil dan terus dilupakan begitu sahaja oleh pengurusan lama yang kucar-kacir.
Daripada sebuah mesin yang membelah awan biru, ia berakhir menjadi sarang tikus dan semak samun.
Akibat kecuaian birokrasi ini, Air India kini terpaksa membayar denda parkir mencecah Rs 1 Crore (sekitar RM530,000) semata-mata untuk menebus kembali pesawat “hantu” tersebut daripada pihak lapangan terbang.
Harga yang cukup mahal untuk sebuah fail yang tercicir.
Akhirnya, pada 14 November 2025, episod duka pesawat hantu ini tamat.
Ia tidak akan terbang lagi. Sayapnya telah dipotong, badannya telah dileraikan dan ia diangkut menggunakan treler gergasi merentas jalan raya menuju ke Bengaluru.
Di sana, ia akan mendapat nafas baharu, bukan sebagai pesawat penumpang, tetapi sebagai alat latihan untuk pelajar kejuruteraan penerbangan. Sekurang-kurangnya, jasadnya masih berbakti kepada ilmu.
Kisah VT-EHH ini adalah tamparan hebat untuk dunia korporat.
Ia mengajar kita bahawa apabila sistem pengurusan aset dibuat secara “cincai”, benda sebesar kapal terbang pun boleh “ghaib” di depan mata.
Jika harta fizikal sebegitu besar boleh dilupakan selama 13 tahun, bayangkan berapa banyak lagi ketirisan wang rakyat yang mungkin “hilang” tanpa disedari selama ini?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




