Kalau kau nak senaraikan gimik paling kontroversi, berani, paling sensitif dan hampir “makan diri” dalam sejarah WWE, satu nama yang mustahil kau boleh elak ialah Muhammad Hassan. Watak yang hidup tak sampai setahun, tapi kesannya masih bergema sampai hari ini.
Dan yang buat cerita ini lagi ironik, Muhammad Hassan bukan Arab, bukan Muslim, bukan dari Timur Tengah.
Dia budak Itali.
Nama sebenar dia Marc Julian Copani, lahir di Syracuse, New York, 100% Sicilian. Orang Itali-Amerika. Tapi pada tahun 2004, dalam Amerika yang masih trauma dengan 9/11, WWE ambil seorang budak Itali dan jadikan dia simbol kemarahan dunia Arab. Dan mereka lepaskan simbol itu di televisyen nasional Amerika.
Untuk faham kenapa WWE boleh buat keputusan sebegitu gila, kita kena faham zaman dia. Amerika awal 2000-an hidup dalam paranoia. 9/11 masih segar. Perang Iraq bermula 2003. Media penuh naratif “terror”, “axis of evil”, “ancaman Timur Tengah”. Orang Arab dan Muslim di Amerika bukan je dipandang serong, mereka disyaki.
Diperiksa di lapangan terbang. Dilayan sebagai potensi ancaman walaupun tak buat apa-apa.
WWE pula sejak dulu memang pandai tunggang emosi. Mereka percaya kalau sesuatu buat orang marah, orang akan tengok. Dan bila orang tengok, duit masuk.
Di situlah Vince McMahon nampak peluang.
Marc Copani masa tu berada di Ohio Valley Wrestling, liga pembangunan WWE. Nama ring dia Mark Magnus. Dia bawak watak heel yang angkuh dan cakap besar. Dia tahu macam mana nak buat crowd rasa tak selesa.
Jim Cornette dan Arn Anderson datang jumpa dia dengan satu tugasan, WWE nak dia jadi Arab-American. Tak ada skrip penuh. Tak ada pelan jangka panjang yang jelas. Yang mereka tahu cuma nak watak ni mesti panas, mesti buat Amerika melenting.
Hujung 2004, Muhammad Hassan debut di RAW. Dan menariknya, dalam promo debut dia, dia kata dia lahir dan membesar di Amerika. Dia cintakan negara itu. Tapi sejak 9/11, dia dilayan sebagai suspek hanya kerana rupa dan nama. Dia marah bukan kerana Amerika, tapi kerana hipokrasi Amerika.
Dan di situlah kejeniusan gimik ni. Hassan bercakap benda yang betul. Tapi WWE letakkan dia dalam posisi yang buat crowd rasa tercabar. Bila crowd rasa tercabar, mereka boo. Bila mereka boo, WWE boleh kata “Nampak? Dia jahat.”
Padahal dia cuma paksa orang tengok cermin.
Dari situ, push dia jadi sesuatu yang luar biasa. Dalam WWE, push tak pernah menipu. Dan Muhammad Hassan dapat push yang biasanya hanya diberi kepada bakal juara dunia.
Debut besar dia bukan lawan orang biasa. Dia terus berdepan Mick Foley. Kalau kau boleh berdiri dalam ring dengan Foley, itu tanda WWE percaya kau boleh bawa cerita besar.
Lepas Foley, Hassan berdepan Shawn Michaels. Lepas tu Hulk Hogan. Lepas tu Stone Cold Steve Austin. Dan akhirnya, The Undertaker.
Tak ada wrestler baru yang “sekadar kontroversi” akan disentuh oleh nama-nama ni kalau WWE tak nampak duit dan kuasa dalam watak tu.
WrestleMania 21 jadi bukti paling jelas. Pentas terbesar gusti dunia di Los Angeles. Muhammad Hassan yang baru beberapa bulan di TV diletakkan dalam segmen dengan Hulk Hogan. Hogan sebagai simbol All-American Hero. Hassan sebagai simbol musuh Amerika. Itulah visual propaganda WWE yang sengaja dibina.
Royal Rumble 2005 pula jadi satu lagi momen besar. Hassan masuk ring dan semua orang tak kira babyface dan heel terus berpakat buang dia. Booker T, Chris Benoit, Chris Jericho, Eddie Guerrero, Edge, Shelton Benjamin, Rey Mysterio semua hentam dia serentak. Dalam bahasa gusti, itu mesej yang watak ni tak ada kawan. Satu locker room benci dia.
Dan kemudian datang episod paling simbolik dalam karier dia, Intercontinental Championship.
Muhammad Hassan pernah menang Intercontinental Championship. Dia pin Shelton Benjamin. Referee kira tiga. Title berpindah tangan. Hassan jadi juara.
Beberapa saat kemudian, keputusan dibatalkan. Refereee baru sedar Shelton pegang tali. Title dirampas balik.
Secara teknikal, Hassan menang. Secara rekod, nama dia dipadam. Dalam storyline, dia sekali lagi “discrew by the system”. Dalam realiti, itu refleksi nasib sebenar dia dalam WWE.
Dan sekarang kita masuk bahagian paling besar, paling menyakitkan dan paling jarang orang tahu.
Pelan asal WWE ialah untuk membawa Muhammad Hassan lebih jauh daripada sekadar IC title. Hassan dirancang untuk menewaskan The Undertaker dengan bantuan. Itu sendiri satu kepercayaan yang hampir mustahil diberi kepada wrestler baru.
Lepas itu, dia akan mara ke World Heavyweight Championship. Dan klimaks dia? Washington DC. Capital of the United States.
Batista, hero Amerika akan mempertahankan kejuaraan dunia di ibu negara. Lawan dia? Muhammad Hassan.
Arab-American yang dibenci, menewaskan simbol kekuatan Amerika di pusat kuasa Amerika.
Itulah kenyataan politik dalam bentuk hiburan. Dan WWE sanggup pergi sejauh itu.
Sebab itu bila orang kata “Muhammad Hassan terlalu kontroversi”, soalan sebenar yang sepatutnya ialah kalau terlalu kontroversi, kenapa WWE bawa dia sejauh ini?
Jawapan WWE suka kontroversi, selagi kontroversi itu menguntungkan. Masalahnya, mereka tak jangka realiti dunia akan masuk campur sekuat itu.
Julai 2005, segmen SmackDown melibatkan Hassan dan Undertaker dengan visual lelaki bertopeng menyerang disiarkan pada hari yang sama dengan tragedi pengeboman London. Walaupun segmen itu dirakam lebih awal, timing dia sempurna dalam erti kata paling buruk.
Media mengamuk. Rangkaian TV panik. Sponsor risau. Dan dalam industri hiburan besar, bila krisis datang, watak paling senang dikorbankan ialah watak paling kontroversi.
Akhirnya, dalam satu perlawanan dengan Undertaker di The Great American Bash, Hassan “ditamatkan” dengan Last Ride jatuh dari pentas, satu simbol bahawa watak itu telah dibunuh secara rasmi.
Muhammad Hassan dipadam. Bukan ditamatkan dengan kemas. Bukan diberi penutup terhormat. Tapi dipadam.
Ironinya, Marc Copani tak pernah gagal dalam ring. Dia tak botch. Dia tak gagal tarik crowd. Dia tak gagal jual cerita. Dia tumbang kerana orang di atas gagal kawal cerita yang mereka cipta sendiri.
Hari ini, Muhammad Hassan kekal sebagai “what if” terbesar dalam sejarah WWE. Bukan sebab dia tak sempat jadi legenda, tapi sebab dia terlalu hampir dan WWE sendiri tak sanggup tanggung akibat kejayaannya.
Dan mungkin itulah ironi paling besar dalam cerita ini.
Watak yang dicipta untuk menunjukkan ketidakadilan sistem, akhirnya dimusnahkan oleh sistem yang sama.
Lepas dilepaskan dari WWE, Marc Copani buat sesuatu yang jarang berlaku dalam dunia gusti. Dia pergi jadi cikgu.
Dia kembali ke universiti, jadi guru sejarah, kemudian pentadbir sekolah dan akhirnya memegang jawatan pengurusan dalam sistem pendidikan di New York. Dari watak paling dibenci di TV nasional, dia jadi orang yang bertanggungjawab jaga kebajikan pelajar.
Hari ini, WWE takkan berani ulang benda yang sama. Bukan sebab mereka lebih baik, tapi sebab dunia dah berubah dan kamera ada di mana-mana.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




