Fergus Suter merupakan nama yang tidak asing lagi dalam sejarah bola sepak Inggeris apabila beliau merupakan tokoh yang disegani pada pertengahan abad ke-19 di England. Barangsiapa menonton siri Netflix, The English Game baru-baru ini pasti kenal tokoh ini yang menjadi waktu utama dalam siri tersebut dengan pelakon yang bernama Kevin Guthrie, anak jati dari Glasgow, Scotland.
Berbalik kepada sejarah, Individu ini melibatkan diri dalam bola sepak dengan membuka mata para pemain bola sepak amatur di England ke arah kerjaya bola sepak sepenuh masa pada 1870-80an. Permulaan Fergus dalam bola sepak moden ini lebih moleklah kita mulakan dengan biodata peribadi beliau.
BIODATA
Fergus “Fergie” Suter merupakan tukang batu. Dilahirkan di sebuah pekan kecil berhampiran Glasgow pada 21 November 1857, beliau anak lelaki ketiga kepada David Suter, seorang tukang batu. Fergus mengikut jejak langkah ayahnya dengan bekerja sebagai tukang batu.
Kemudian, beliau terpaksa melupakan pekerjaan warisan keluarganya selepas bank tempatan muflis. Fergus mempunyai seorang abang yang bernama Edward merupakan penjaga gol untuk Partick Thistle FC. Karier sebagai pemain bola sepak beliau bermula dengan sebuah pasukan amatur Partick pada tahun 1876 (tidak sama dengan Partick Thistle FC). Kemudian, beliau berpindah ke Darwen pada tahun 1878 dan kekal di sana selama dua tahun sebelum mengakhiri kariernya di Blackburn Rovers pada tahun 1889.
Fergus merupakan pemain untuk posisi FB (Fullback) pada tahun 1882 kemudian menjadi pemain pertahanan tengah ketika perlawanan akhir Piala FA tahun 1884. Beliau pernah menjadi penjaga gol untuk pasukan Blackburn Rovers pada tahun 1888 menentang pasukan West Bromwich Albion dalam perlawanan liga ketika bermulanya The Football League.
SITUASI BOLA SEPAK AMATUR DI ENGLAND
Kebanyakan pemain bola sepak waktu tersebut adalah para pekerja kilang seperti kilang kapas, pembuatan batu dan industry pengetinan (waktu tersebut merupakan Era Revolusi Industri). Kelab-kelab bola sepak di utara England yang bernaung di Lancashire FA (macam Negeri Sembilan FA: bawahnya ada kelab seperti KSR Sains FC, Betaria FC dan lain-lain) merupakan pasukan para pekerja bawahan.
Sebaliknya berlaku di Kawasan selatan England apabila pasukan amatur pula kebanyakannya merupakan pasukan alumni sekolah/kolej yang majoritinya adalah golongan bangsawan yang kaya-raya, berbangsa dan beradat (gentlemen) seperti Old Etonians, Old Carthusians dan Royal Engineers FC.
Para pemain dalam kelab kelas pekerja ini bukanlah hidup senang pada zaman tersebut. Mereka perlu bekerja enam hari seminggu dengan 12 jam sehari; dari pukul 7 pagi sehingga 7 malam. Mereka kekurangan masa untuk beriadah atau berlatih bermain bola sepak akibat kesempitan hidup mereka.
Berbeza pula dengan situasi pasukan bangsawan yang merupakan dominan dan berpengaruh dalam persatuan bola sepak (FA) seperti Francis Marindin merupakan presiden FA pada tahun 1874 dan merupakan pemain pasukan Royal Engineers yang memenangi Piala FA 1875. Malah, pasukan bangsawan juga terdiri daripada golongan kaya-raya yang mempunyai kareer dalam perbankan dan perniagaan komersil. Mereka juga yang mempunyai masa lapang untuk berlatih bermain bola sepak.
Sukan bola sepak ini hanyalah untuk aktiviti riadah dan sukaria pada waktu tersebut. Golongan kelas pekerja pula tidak sabar menunggu hari perlawanan untuk menonton atau mendengar khabar berita mengenai pasukan bola sepak mereka.
Kiranya seperti berlakunya sebuah pesta apabila sebuah pasukan pekerja dapat menewaskan pasukan gergasi (giantkiller) pada waktu tersebut. Pasukan bangsawan pula menjadikan bola sepak ini sebuah platform untuk bersosial dan meluaskan pengaruh dalam dunia politik seperti mengubah peraturan bola sepak dan menjadikan bola sepak sebagai medan meraih kejuaraan dan simbol kemegahan.
KEPUTUSAN KE ENGLAND
Kemasukan James Love, bekas rakan sepasukan Fergus di Partick ke pasukan Darwen pada tahun 1877 telah memberi inspirasi Fergus untuk menawarkan diri ke dalam pasukan yang berpusat di Lancashire itu. Bermula dengan menulis surat kepada Tom Hindle (pemain-setiausaha pasukan Darwen), akhrinya diterima ke Darwen (Dewhurst, 2012).
Fergus melakukan debut pertamanya untuk Darwen pada 30 November 1878 di Accrington pada waktu itu penyokong bersorak nama Fergus dan kagum dengan gaya permainan yang ditunjukkan beliau. Seminggu kemudian, Fergus and James bermain dalam untuk Darwen dalam saingan Piala FA 1878 menentang Eagley.
Keputusan pergi ke tanah England ternyata berbaloi dengan Darwen menjadi pasukan pekerja pertama yang layak ke suku akhir dalam kejohanan Piala FA 1879. Mereka akan bertemu gergasi dari selatan yakni, pasukan Old Etonians di Kennington Oval, London.
Darwen berjaya mengikat pasukan bangsawan yakni Old Etonians dengan keputusan 5-5 selepas ketinggalan 5-1 pada babak pertama. Perlawanan ulangan diadakan, namun pihak Old Etonians tidak mahu melangsungkan perlawanan ulangan di Darwen kerana keegoan mereka sebagai orang kaya. Akhirnya pihak Darwen terpaksa ke Kennington Oval buat kali kedua untuk meneruskan perlawanan ulangan dan berakhir dengan keputusan seri 2-2. Selepas itu, barulah Darwen tewas 6-2 di tempat yang sama pada perlawanan ulangan ketiga.
Kejayaan pasukan kelas pekerja menarik perhatian seluruh England kerana berjaya menjadi antara lapan buah pasukan cemerlang di England yang waktu itu didominasi pasukan bangsawan.
Pada musim seterunsya, Fergus bersama-sama abangnya meraikan kejayaan menjulang trofi kejuaraan Piala Lancashire. James juga turut serta dalam kejayaan tersebut.
BERPINDAH KE PASUKAN MUSUH SETEMPAT
Selepas dua tahun bersama Darwen, Fergus mengambil keputusan untuk berpindah ke pasukan musuh setempat Darwen, Blackburn Rovers. Ramai pekerja di Darwen berang dengan keputusan Fergus kerana beliau merupakan ikon bagi Darwen pada waktu itu. Akibat keputusan itulah, bermulanya perseteruan musuh setempat di Lancashire.
Motivasi Fergus untuk ke pasukan Blackburn Rovers waktu itu adalah disebabkan wang dan pihak Blackburn Rovers sendiri membayar pampasan kepada Darwen sebanyak £100. Fergus menyesuaikan diri dengan pasukan barunya untuk kejohanan Piala FA musim 1881/82 dan tewas di tangan Old Etonians dalam perlawanan akhir dengan keputusan 1-0. Kejayaan Old Etonians pada musim tersebut merupakan kejayaan terakhir untuk sebuah pasukan bangsawan dari Selatan yang memenangi Piala FA.
Fergus akhirnya berjaya merangkul Piala FA untuk tiga musim berturut-turut bermula dari tahun 1884 sehingga 1886 apabila Blackburn Rovers menewaskan Queen’s Park (1884 dan 1885) dan West Bromwich Albion (1886).
GAJI FERGUS SUTER
Memandangkan Suter sudah tidak mempunyai pekerjaan di England, bagaimanakah beliau membuat duit sebagai pemain bola sepak? Beliau sudah tidak melakukan kerja bertukang batu seperti di Scotland.
Menurut laporan akhbar Lancashire Daily Post bertarikh 13 Disember 1902, Suter yang mengaku beliau bersama James tidak melakukan sebarang pekerjaan dan menerima upah sebanyak £10 untuk setiap tiga minggu. Pada zaman tersebut, pekerja kilang mendapat upah sebanyak £2 sahaja untuk seminggu. Jadi upah yang diterima Fergus dan James adalah lebih tinggi daripada seorang pekerja kilang kapas.
Walaupun mereka menerima upah yang lumayan pada waktu tersebut, mereka perlu merahsiakan perkara tersebut untuk mengelakkan dihidu oleh pihak FA yang akan mengambil tindakan keras terhadap kelab yang memberi upah kepada pemain bola sepak amatur. Kejadian ini pernah berlaku apabila Preston North End ditendang keluar daripada saingan Piala FA 1884 apabila pasukan lawannya, Upton Park mengadu bahawa Preston North End menggunakan khidmat pemain bola sepak professional.
Kemudian, kelab-kelab yang mengupah pemain bola sepak seperti Sunderland, Aston Villa dan Preston North End mengambil keputusan untuk keluar daripada FA dengan membentuk sebuah persatuan bola sepak baru, iaitu Persatuan Bola Sepak British. Pihak FA mengambil jalan selamat dengan membenarkan pemberian gaji dan upah kepada pemain bola sepak.
KONKLUSI
Kedatangan Fergus Suter memberi sinar baharu dalam industri bola sepak England secara amnya. Penerimaan upah kerana bermain bola sepak semata-mata merupakan sebuah pekerjaan baharu untuk masyarakat Eropah ketika itu.
Rata-rata para pekerja kilang mula berusaha menjadi pemain bola sepak secara profesional. Keupayaan kelab Darwen dan Blackburn Rovers dengan membayar gaji kepada pemain bola sepak sememangnya sebuah pelaburan yang berisiko tinggi kerana kebarangkalian memenangi sebarang kejuaraan bola sepak sangat tipis dengan adanya pasukan bangsawan yang menguasai segala-gala berkenaan dengan bola sepak.
Permulaan ke arah professionalism dalam bola sepak pada abad ke-19 dan 20 lama kelamaan menjadi pembunuh kepada pasukan amatur. Ramai bakat pemain telah dicungkil dan dibeli oleh pasukan lawan demi memantapkan skuad mereka dengan menjulang kejuaraan liga dan Piala FA. Sehingga hari ini, bola sepak moden telah menjadi sebuah perniagaan yang menguntungkan dan mencecah harga ratusan billion ringgit.
Marilah menonton siri Netflix: The English Game untuk menyaksikan gambaran bola sepak pada penghujung kurun ke-19 dengan dominasi golongan bangsawan dalam permainan yang ulung serta keupayaan pasukan kelas pekerja mengubah sejarah bola sepak moden. (Nota kaki: cerita tersebut diinspirasikan kisah benar dan ada perkara-perkara yang telah diubah demi memenuhi citarasa peminat)
RUJUKAN
- Who Is Kevin Guthrie? ‘The English Game’s Fergus Suter Is A ‘Fantastic Beasts’ Alum https://www.bustle.com/p/who-is-kevin-guthrie-the-english-games-fergus-suter-is-a-fantastic-beasts-alum-22651331
- History of Football – The Global Growt. http://static.fifa.com/about-fifa/who-we-are/the-game/global-growth.html
- The English Game: The true story of Fergus Suter, the first professional footballer. https://www.mirror.co.uk/tv/tv-news/english-game-true-story-fergus-21705149
- Is Netflix’s ‘The English Game’ A True Story? An Investigation. https://www.esquire.com/uk/culture/tv/a31927887/english-game-true-story-netflix/
- Remembering Fergus Suter, the first footballer to get paid to play. https://www.footballparadise.com/remembering-fergus-suter-the-first-footballer-to-get-paid-to-play/
- Preston North End: 1862-1945. https://spartacus-educational.com/Fpreston.htm
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih