Sedang masak rendang ke tu? Jika di Malaysia kita ada rendang, nasi impit dan kuah kacang, ini pula kisah hidangan ikonik untuk hari raya Timur Tengah nun di bumi Mesir.
Salah satu hidangan popular Mesir ketika sambutan raya, terutamanya Aidiladha ialah Fattah, atau disebut juga sebagai fatteh atau fatta. Fattah adalah hidangan perayaan yang diperbuat daripada daging kambing, nasi, roti, dan sos tomato.
Ia juga menjadi salah satu hidangan tradisional yang dimakan pada banyak majlis perayaan. Ia terdiri daripada campuran beras, ketulan daging kambing atau daging lembu, eish baladi (roti Mesir) yang dipotong-potong dan dibakar terlebih dahulu di dalam ketuhar, dan semuanya ditutup dengan sos berasaskan tomato atau cuka.
Dalam budaya Timur Tengah, fattah mempunyai sejarah yang panjan. Terdapat beberapa variasi hidangan ini yang boleh dibuat dengan atau tanpa sos tomato, dengan tambahan daging biri-biri, atau berlapis dengan sedikit terung sumbat. Walau bagaimanapun, bahan asas untuk fattah ialah roti rata yang telah direndam dalam sup atau yogurt.
Fattah dikatakan berasal daripada hidangan Firaun yang dikenali sebagai fotat, yang diterjemahkan sebagai “serbuk” atau “potongan kecil” dalam bahasa Arab. Masakan ini setanding dengan tharid, yang dibuat dengan roti nipis yang dibakar dengan sup, daging, dan sayur-sayuran.
Fattah ini sentiasa menjadi simbolik hidangan untuk dikongsi bersama. Semasa era Khalifah Fatimiyah di Mesir, kenduri-kenduri umum telah ditawarkan oleh raja-raja sebagai penghormatan kepada Hari Raya Aidilfitri. Dan ketika inilah, hidangan fattah ini menjadi hidangan utama.
Bagi masyarakat Mesir, ia juga adalah hidangan jamuan kenduri. Ia dibuat untuk acara istimewa seperti sambutan kehamilan pertama wanita atau Iftar semasa Ramadan. Ia disediakan dengan roti Baladi yang rangup, nasi, dan sos yang terdiri daripada sos tomato bawang putih.
Hidangan ini sebenarnya mempunyai banyak versi yang pelbagai, dengan nama yang agak berbeza. Sebagai contoh, Levantine “Fetté,” yang dimakan untuk sarapan pagi dan makan malam di rantau Levant, sentiasa bermula dengan roti, yang kemudiannya disiram dengan yogurt yang ditapis, kacang kuda rebus dan minyak zaitun yang kemudiannya dilenyek dan digabungkan.
Mungkin, jika anda inginkan kelainan untuk hari raya, boleh cuba hidangan ini pula!




No comments yet