Ahad, 13 Jun 2021, satu letupan besar berlaku di sebuah pasar di bandar Shiyan, wilayah Hubei, yang telah membunuh 26 orang dan mencederakan lebih 100 orang.
Letupan itu berlaku sejurus selepas 6 pagi, ketika beberapa penduduk pergi ke restoran di pasar untuk sarapan pagi, serta membeli keperluan yang lain. Menurut beberapa saksi, letupan itu besar, dan serpihan yang terhasil mungkin menyebabkan lebih banyak kecederaan kepada penduduk sekitar.
Impaknya, letupan itu telah merosakkan lebih 33 buah bangunan kediaman dan komersial berhampiran, termasuk pasar itu sendiri.
Jadi, apa penyebab sebenar kepada kejadian yang berlaku di kawasan orang awam ini?
Siasatan serta-merta dijalankan terhadap kejadian itu, yang mendedahkan bahawa kawasan pasar itu mempunyai bangunan rumah kedai berusia lebih dua dekad, dengan pelbagai kedai dalam bangunannya. Manakala di seberang bangunan itu pula, ada 46 buah gerai lain yang didirikan.
Siasatan menunjukkan bahawa paip gas asli telah berkarat dan pecah teruk, sekali gus menyebabkan kemalangan itu. Gas asli yang bocor menjadi cepat tertumpu di ruang terkurung di tengah-tengah kedai sebelum ia meletup.
Kemalangan itu turut mendedahkan masalah lain termasuklah bahaya tersembunyi yang disebabkan oleh pembinaan haram, pemeriksaan harta yang tertangguh, pengurusan harta yang tidak cekap dan protokol tindak balas kecemasan yang tidak betul.
Siasatan ini telah diumumkan oleh pasukan pemeriksa wilayah di bawah bimbingan kumpulan kerja yang dihantar oleh pihak berkuasa pusat. Daripada hasil siasatan ini, lapan orang suspek termasuklah pengurus syarikat gas yang bertanggungjawab ke atas saluran paip gas asli telah ditahan pada bulan itu juga atas tragedi yang meragut 26 nyawa dan mencederakan 138 orang.
Paling utama, bukan hanya pengeluar paip gas itu sahaja yang ditahan, malah seramai 34 pegawai kerajaan yang bertanggungjawab atas kemalangan itu telah dilucutkan jawatan mereka dan dihukum oleh pihak kerajaan atas kelalaian dalam melaksanakan tugas mereka.
Pejabat maklumat bandar Shiyan juga melaporkan bahawa ketua Parti dan timbalan ketua Parti daerah Zhangwan iaitu tempat letupan gas berlaku – kedua-duanya dilucutkan jawatan. Ketua biro pengurusan bandar bandar itu juga dipecat. Pegawai lain dari jabatan gas dan perumahan turut dipecat dan dikecam oleh masyarakat.




No comments yet