Dua syarikat gergasi vaksin dunia mengumumkan mengadakan kerjasama untuk membangunkan vaksin Covid-19. Dua syarikat itu ialah GlaxoSmithKline (GSK) dan Sanofi dan mereka merasakan dengan kemampuan kedua-dua syarikat, mereka boleh membawa vaksin untuk dinilai dalam ujian manusia dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Gabungan kerjasama dua syarikat ini dianggap signifikan kerana jika berjaya, mereka boleh menghasilkan ratusan juta vaksin yang diperlukan dunia bagi menamatkan ancaman pandemik Covid-19. Menurut CEO GSK, Emma Walmsley menyifatkan kolaborasi dua syarikat ini boleh mempercepatkan usaha global membangunkan vaksin Covid-19.
Sanofi yang berpangkalan di Perancis mengumumkan menyertai perlumbaan membuat vaksin Covid-19 pada Februari lepas dan mendapat sokongan perkhidmatan kesihatan Amerika Syarikat. Manakala GSK pula menawarkan akses teknologi kepada pasukan-pasukan kecil pembangun vaksin seperti satu pasukan dari Universiti Queensland, Australia.
Vaksin yang dihasilkan dua syarikat itu berdasarkan teknologi berasaskan DNA yang digunakan Sanofi untuk menghasilkan vaksin flu. Apabila koronavirus menyerang badan, sel-sel imun bertindak balas dengan menghasilkan antibodi. Antibodi-antibodi ini akan mengikat diri mereka pada struktur khas penceroboh asing badan yang dipanggil antigen.
Dalam kes Covid-19, antigen virus itu ialah protein bak duri pada bahagian luar virus. Sanofi sudah mensintesis satu bahagian DNA yang telah dikodkan dengan turutan genetik protein berduri. Bila DNA ini dimasukkan pada bakteria yang tidak merbahaya dalam makmal, ia akan menghasilkan sedikit salinan antigen tetapi bukan koronavirus yang aktif.
Dari situ, ia diharap dapat mencetuskan tindak balas antibodi tanpa perlu mencetuskan penyakit. GSK pula menyumbang satu bahan penambah dikenali sebagai adjuvan yang boleh dicampur dengan vaksin bagi mencetuskan tindak balas sistem imun yang lebih kuat.
Pengenalan bahan ini boleh mengurangkan dos diperlukan setiap orang dengan faktor satu kepada empat, sekaligus mempercepatkan lagi penghasilan vaksin. GSK dan Sanofi berhasrat memulakan pelan ujian klinikal fasa pertama pada separuh kedua tahun ini. Sekiranya berjalan lancar, vaksin akan diperkenalkan pada separuh kedua tahun hadapan.
RUJUKAN:
Devlin, Hannah. (2020). GSK and Sanofi join forces to work on coronavirus vaccine. The Guardian. https://www.theguardian.com/science/2020/apr/14/gsk-and-sanofi-join-forces-to-work-on-coronavirus-vaccine




No comments yet