Tuan-puan bayangkan situasi ini.
Tuan-puan baru saja cipta satu ubat ajaib.
Ubat ini boleh selamatkan jutaan nyawa. Satu dunia tengah cari ubat ini.
Kalau Tuan-puan letak harga mahal pun, orang sanggup jual rumah dan tanah semata-mata nak beli.
Yela, kesihatan lagi penting dari wang ringgit, kan?
Pakar ekonomi menganggarkan, kalau Tuan-puan patenkan ubat itu, Tuan-puan boleh raih keuntungan bersih mencecah USD 7 Bilion.
Ya, 7 Bilion Dolar. Kalau tukar kepada duit kita, Tuan-puan mungkin lebih kaya daripada ramai taikun moden hari ini.
Apa Tuan-puan akan buat?
Adakah Tuan-puan akan ambil duit itu? Atau Tuan-puan akan bagi formula ubat itu secara percuma?
Inilah dilema yang dihadapi oleh seorang saintis bernama Jonas Salk.
Pada tahun 1950-an, dunia sedang dilanda satu wabak yang sangat menakutkan.
Namanya Polio.
Ia bukan demam biasa. Ia menyerang saraf tunjang.
Paling sedih, mangsanya adalah budak-budak kecil.
Tuan-puan bayangkan ketakutan ibu-bapa zaman itu.
Pagi anak main bola, petang anak demam, esok pagi kaki anak dah lumpuh tak boleh gerak.
Hospital penuh dengan mesin "Iron Lung" (Paru-paru Besi). Tengok kat gambar tu.
Budak-budak yang lumpuh sistem pernafasan terpaksa hidup dalam tabung besi gergasi ini hanya untuk bernafas.
Mereka terbaring kaku, cuma kepala saja di luar, memandang cermin di atas untuk melihat dunia.
Suasana masa tu sangatlah panik.
Kolam renang awam ditutup. Panggung wayang kosong. Mak ayah tak bagi anak keluar rumah sebab takut berjangkit.
Dalam kegelapan itulah, muncul Jonas Salk.
Dia bukan jutawan. Dia bukan CEO syarikat farmasi gergasi yang menyamar jadi "cleaner".
Dia cuma seorang penyelidik perubatan di Universiti Pittsburgh yang bekerja siang malam dalam makmal bawah tanah.
Selama 7 tahun tau dia buat kajian. Dia tak tidur lena. Dia tak kejar nama.
Penyelidikan dia bukan ditaja oleh syarikat gergasi, tapi dibiayai oleh derma orang ramai melalui tabung March of Dimes.
Niat dia satu saja. Dia nak hentikan tangisan ibu bapa yang melihat anak mereka lumpuh.
Akhirnya, pada 12 April 1955, pengumuman keramat dibuat.
Vaksin Polio ciptaan Jonas Salk diisytiharkan selamat dan berkesan!
Satu dunia bersorak. Lonceng gereja dibunyikan. Orang ramai berpelukan di jalanan. Salk dianggap sebagai "Hero Rakyat".
Syarikat-syarikat farmasi dan peguam masa tu dah mula pasang angan-angan.
Mereka nampak lubuk emas.
Mereka tanya tentang paten. "Kalau kita patenkan ni, kita boleh kawal pasaran dunia."
Dalam satu temuramah "legend" dengan wartawan Edward R. Murrow, soalan cepumas diajukan.
"Dr. Salk, siapa yang pegang paten vaksin ini?"
Tuan-puan tahu apa jawab Salk?
Dia tak sebut nama dia. Dia tak sebut nama universiti.
Dengan muka tenang dan senyum ikhlas, dia jawab:
"Well, the people, I would say. There is no patent. Could you patent the sun?"
(Maksudnya: Rakyatlah pemiliknya. Tiada paten. Bolehkah kamu patenkan matahari?)
Allahuakbar.
Jawapan itu ringkas, tapi ia "membunuh" ketamakan kapitalis masa itu.
Bagi Salk, vaksin itu macam cahaya matahari.
Matahari adalah milik Tuhan untuk semua manusia. Tak kira miskin atau kaya, semua berhak dapat cahaya.
Begitu juga ubat.
Dia sedar, memandangkan duit kajian datang dari derma rakyat, maka hasilnya wajib dikembalikan kepada rakyat.
Kalau dia patenkan, harga vaksin akan jadi mahal.
Anak orang kaya mungkin selamat, tapi anak orang miskin di kampung akan terus lumpuh dan mati.
Salk tak sanggup tengok benda tu berlaku.
Dia lepaskan potensi kekayaan berbilion dolar itu macam habuk saja.
Dia bagi formula tu pada dunia secara terbuka supaya kilang-kilang boleh hasilkan vaksin dengan harga murah dan cepat.
Hasil pengorbanan dia itulah, penyakit polio berjaya dihapuskan hampir di seluruh dunia hari ini.
Cuba Tuan-puan bandingkan dengan industri perubatan zaman sekarang.
Hari ini, ubat adalah bisnes. Nyawa adalah komoditi.
Syarikat farmasi berlumba-lumba patenkan ubat, kemudian naikkan harga beratus kali ganda.
Ada ubat yang kos buatnya cuma RM10, tapi dijual RM1,000 sebab "kos R&D" kononnya.
Kita bukannya naif. Kita faham, nak buat ubat bukan macam buat goreng pisang.
Kos R&D memang tinggi. Saintis pun kena bayar gaji, mesin makmal pun mahal dan banyak kajian yang gagal sebelum jumpa satu yang berjaya.
Tak salah pun kalau syarikat nak ambil untung untuk pusing modal dan teruskan inovasi.
Cuma, biarlah berpada-pada.
Janganlah sampai mencekik darah. Janganlah sampai nyawa manusia digadaikan semata-mata nak puaskan hati pemegang saham yang nak dividen tinggi melangit.
Salk mengajar kita bahawa ada garisan halus antara "berniaga untuk kelangsungan" dengan "menindas demi kekayaan".
Orang miskin yang tak ada insurans, dibiarkan menderita.
Jonas Salk adalah baka saintis yang dah pupus.
Dia saintis yang ada jiwa. Dia saintis yang faham bahawa tugas doktor adalah merawat, bukan mengaut untung atas kesakitan orang lain.
Dia meninggal dunia pada tahun 1995.
Dia tak "pergi" sebagai orang paling kaya dalam senarai Forbes. Rumah dia biasa-biasa saja, tidaklah semewah CEO farmasi hari ini.
Tapi kekayaan yang dia tinggalkan jauh lebih besar daripada wang ringgit.
Dia tinggalkan sebuah dunia yang bebas lumpuh untuk anak cucu kita berjalan dan berlari riang.
Kisah Jonas Salk mengajar kita erti sebenar "kaya".
Kaya bukan pada berapa banyak yang kita simpan dalam akaun bank.
Tetapi kaya adalah pada berapa banyak yang kita sanggup lepaskan demi manfaat orang lain.
Kadang-kadang, menolak kekayaan demi menyelamatkan nyawa manusia adalah pelaburan paling untung di sisi Tuhan.
Bolehkah kamu patenkan matahari? Tidak.
Dan tidak sepatutnya ada sesiapa yang mempatenkan kemanusiaan




No comments yet