Lawsonia inermis atau lebih dikenali sebagai inai dalam masyarakat melayu adalah tumbuhan yang digunakan secara tradisional dalam bidang perubatan dan juga kosmetik oleh pelbagai kebudayaan masyarakat di seluruh dunia.
Pohon inai mampu tumbuh sehingga ketinggian 2.6 meter, mempunyai banyak ranting, berbunga, dan juga berbuah. Daun inai tumbuh secara berpasangan disisi batang dan ranting pohon inai. Terdapat 4 jenis warna bunga inai iaitu warna putih, pink, kuning, dan merah ros.
Pohon inai tumbuh dengan mudah dikawasan tropika dan kawasan separa-gersang yang bersuhu antara 35-45 darjah selsius, tetapi tidak dapat tumbuh dengan baik dikawasan bersuhu bawah 11 darjah selsius.
Oleh itu, pohon inai tumbuh boleh dijumpai dengan mudah di Malaysia, Pakistan, India, Indonesia, Mesir, Afrika, Yaman, Tunisia, Arab Saudi, Iran, dan Iraq.
Sejarah dunia daun inai
Sehingga kini, asal usul penggunaan daun inai oleh peradaban manusia adalah tidak diketahui kerana kurangnya kajian yang dilakukan untuk mencari titik permulaan tersebut.
Malah, dalam masyarakat melayu sendiri, kekurangan bukti sejarah dan kitab yang merekodkan secara khusus mengenai kegunaan daun inai menyebabkan kesulitan untuk mengetahui asal usul sejarah daun inai dalam peradaban bangsa melayu.
Kajian arkeologi mendapati bahawa daun inai telah digunakan diserata dunia sejak beribu tahun lampau. Terdapat artifak yang dijumpai berasal dari zaman pra-dinasti mesir, menggunakan inai untuk pewarna rambut untuk menutupi uban yang bertarikh antara 3650 – 3500 SM.
Bunga inai juga dijumpai di karangan perkuburan Mesir seperti di makam Sheikh Abd-el-Qurna yang bertarikh antara 1000 – 500 SM.
Inai juga tercatat dalam Eber Papyrus, iaitu catatan perubatan Mesir Kuno yang bertarikh 1550 SM, yang menghuraikan mengenai 7 jenis inai berdasarkan tempat tuaian, umur tanaman inai, dan bahagian pohon inai.
Di Assyria, sebuah kerajaan mesopotamia, kajian sejarah bertarikh 800 SM menunjukkan penggunaan inai oleh wanita semasa majlis perkahwinan. Dalam abad ke-9 SM di Assyria juga menunjukkan inai digunakan sebagai pewarna rambut, dan penanda kulit pada tapak tangan, dan tapak kaki.
Pada abad ke-14 SM, masyarakat Mycenae dan Crete, sebuah kawasan di wilayah Greece menggunakan inai dalam pembuatan pewangi, pewarna kuku, pewarna rambut, dan juga ‘body art’.
Selain itu, terdapat pelbagai bahasa yang mempunyai istilah untuk menggambarkan daun inai seperti pacar jawa (Indonesia), henna (bahasa inggeris), Hinna atau Panna (Persia), Kurinji (Tamil), hinna (arab), kopher (Hebrew), kuravamee (Telegu), Mehendi (Hindi dan Urdu), Kypors (Greek), dan Medhika, Medika, Dviranta, atau Kokanda (Sanskrit).
Ini menunjukkan kewujudan inai dalam kebudayaan masyarakat tersebut tetapi kewujudan istilah dalam bahasa masyarat tersebut tidak dapat membuktikan bahawa inai berasal dari kawasan tinggal masyarakat tersebut.
Sejarah penggunaan inai dalam peradaban masyarakat melayu
Daun inai dan masyarakat melayu sememangnya sinonim dan tidak dapat dipisahkan dari adat budaya melayu. Walaupun tidak diketahui sejak bila masyarakat melayu mula menggunakan daun inai dalam perubatan tradisional dan juga kosmetik, tetapi amalan tradisi ini masih kekal hingga kini.
Untuk mengetahui bagaimana inai boleh menghasilkan warna merah, sila baca disini.
Dari segi hasil seni, terdapat lagu rakyat dan tarian tradisional melayu yang menggunakan perkataan inai iaitu ‘Jong jong inai’ dan ‘tari inai’. Tari inai adalah sebuah tarian tradisional melayu yang ditarikan oleh penari lelaki pada malam sebelum perkahwinan, sesuai dengan adat budaya melayu zaman dahulu yang tidak membenarkan wanita menari.
Tari inai mendukung nilai-nilai moral dalam masyarakat melayu yang mementingkan kesopanan, saling menghargai dan hormat-menghormati,bersikap ramah terhadap sesiapa pun tanpa membezakan usia, status sosial, suku dan agama.
Tetapi tidak dapat dipastikan siapa yang mencipta lagu Jong jong inai dan juga tari inai. Selain itu, ukiran pintu dan tingkap berunsurkan elemen pohon inai juga boleh didapati pada seni binaan masyarakat melayu.
Jong jong inai
Mak ipong waja wali
Jong jong inai
Mak ipong waja wali
Sepak tunggul inai
Berdarah ibu kaki
Semangkuk jerluk
Sepinggan dagang
Tak cukup pulut
Tambah nasi dagang
Jong jong inai
Mak ipong waja wali
~Lirik lagu Jong Jong Inai
Inai juga digunakan dalam adat melayu untuk mewarnakan jari terutamanya sebelum pernikahan. Malam berinai akan dilangsungkan pada malam sebelum pernikahan dan pengantin wanita akan dipakaikan inai pada jari tangan dan kaki.
Malah majlis perkahwinan dianggap tidak lengkap jika pengantin wanita tidak mengenakan inai dijari. Adapun penggunaan inai dijari dan kaki sudah menjadi adat budaya masyarakat melayu, tetapi ukiran inai yang sangat popular pada zaman kini adalah berasal dari India.
Kegunaan inai dalam bidang perubatan tradisional melayu
Sememangnya kepulauan melayu kaya dengan tumbuhan herba dan akar kayu seperti jerangau, senduduk, kaduk, dan bertam sulur yang mempunyai seribu satu khasiat untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Daun inai yang juga tumbuh melata di kepulauan melayu juga turut digunakan untuk tujuan perubatan.
Dalam penjagaan selepas berpantang, daun inai digunakan dalam amalan mandi serom, iaitu mandian selepas melahirkan anak menggunakan tumbuhan herba. Mandi serom adalah bertujuan untuk menyegarkan kembali tubuh ibu yang lemah akibat melahirkan anak, dan juga membantu mempercepatkan penyembuhan dalaman wanita.
Masyarakat melayu menggunakan daun inai untuk menghilangkan kelemumur, menguatkan rambut, mewarnakan rambut, merawat jangkitan kulat di kaki, menguatkan kuku, dan menghilangkan parut.
Selain itu, daun inai digunakan untuk merawat luka, keradangan kulit, sakit perut, sakit sendi dan kembung perut, dan juga berkhatan. Cara menggunakan daun inai adalah seperti berikut:
- Luka: Tumbuk daun inai dan sapukan dikawasan luka.
- Sakit perut: Daun inai direbus dan diminum airnya.
- Sakit sendi dan kembung perut: Keringkan daun inai dan hancurkan daun inai menjadi serbuk. Serbuk daun inai dicampur dengan kuning telur dan dilumurkan dikawasan sakit.
- Berkhatan: Daun inai ditumbuk dan ditampal dikawasan luka.
- Selepas bersalin: Daun inai direbus dan dijadikan ubat meroyan.
- Keradangan kulit: Daun inai ditumbuk dengan kunyit dan beras dan ditampal dikawasan keradangan.
- Menghilangkan parut: Tumbuk daun inai bersama dengan sedikit beras dan sapu pada bahagian parut.
- Kuku rapuh: Tumbuk daun inai dan sapu pada kuku.
- Batu karang: Daun inai dicampur dengan 3 keping buah bonglai (Oroxylum indicum), 3 ulas bawang putih, 10 biji lada putih direbus dan diminum airnya selama 3 hingga 7 hari.
- Anti-penuaan: Tumbuk bawang merah yang telah dipanggang, dengan daun inai dan madu, sapu pada wajah semalaman. Cuci wajah dengan air suam yang telah dicampur dengan garam dan dedak gandum. Gunakan 3 kali sebulan.
Walaupun daun inai digunakan dalam perubatan tradisional melayu, tetapi hingga kini, amat kurang kajian saintifik yang dilakukan di Malaysia untuk merungkai nilai perubatan daun inai. Oleh sebab itu, nilai komersil daun inai sangat rendah di Malaysia berbanding tumbuhan herba lain seperti kacip fatimah, dan tongkat ali, yang mempunyai banyak hasil kajian saintifik seterusnya berjaya mengangkat nilai komersil tumbuhan tersebut.
Oleh itu, semua pihak termasuk pihak kerajaan dan swasta, universiti, dan para saintis perlulah berganding bahu menggembeleng tenaga untuk mengkaji khasiat daun inai agar manfaat daun inai dapat digunakan sepenuhnya, bukan sahaja dalam bidang kosmetik, tetapi juga bidang perubatan.
RUJUKAN:
- Razak, N.I.A., Othman, R. and Pahang, J.T., 2018. Ethnobotanical Study on Plant Materials Used in Malay Traditional Post-partum Bath (Mandi Serom) Among Malay Midwives in Kedah. In Proceedings of the Second International Conference on the Future of ASEAN (ICoFA) 2017–Volume 2 (pp. 891-897). Springer, Singapore.
- Ong, H.C., Zuki, R.M. and Milow, P., 2011. Traditional knowledge of medicinal plants among the Malay villagers in Kampung Mak Kemas, Terengganu, Malaysia. Studies on Ethno-medicine, 5(3), pp.175-185.
- Nasution, I., Sibarani, R. and Takari, M., 2016. Local Wisdom In Malam Berinai Tradition In Malay Society, Tanjungbalai, North Sumatera, Indonesia. Journal of Arts and Humanities, 5(5), pp.68-77.
- Muhammad Remy Othman, Mohd Farhan Md Ariffin, Nooraqilah Che Rozenan, Hazrina Hazni, Mohd Rais Mustafa, Khalijah Awang, Rozana Othman. 2016. LAWSONIA INERMIS LINNAEUS (INAI) DALAM AGAMA ISLAM DAN TRADISI SERTA PENEMUAN SAINTIFIK.
- Semwal, R.B., Semwal, D.K., Combrinck, S., Cartwright-Jones, C. and Viljoen, A., 2014. Lawsonia inermis L.(henna): ethnobotanical, phytochemical and pharmacological aspects. Journal of Ethnopharmacology, 155(1), pp.80-103.
- Othman M. R., Othman R., Ahmad K., Awang K., 2020. Use of henna in the malay world: from traditional uses to scientific approaches. TIBB Nabawi On Natural Based Products. Universiti of Malaya Press.
- Catherine Cartwringht-Jones. 2006. DEVELOPING GUIDELINES ON HENNA:A GEOGRAPHICAL APPROACH
- Putri, T.R. and Nugrahaningsih, R.H.D., TARI INAI PADA MASYARAKAT MELAYU DELISERDANG KAJIAN NILAI MORAL. Gesture: Jurnal Seni Tari, 9(1), pp.42-53.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih