Pada tahap awal penganjuran Sukan Olimpik di tamadun Yunani, amatlah jarang bagi wanita untuk bertanding, apatah lagi untuk menjadi pemenang. Akan tetapi, terdapat beberapa wanita yang direkodkan turut mengambil bahagian dalam acara sukan 4 tahun sekali ini. Salah seorang dari mereka ialah Cynisca, juara wanita pertama Sukan Olimpik Yunani.
Cynisca dilahirkan pada sekitar 440 SM di kota Sparta. Dia ialah puteri kepada raja Sparta, iaitu Raja Archidamus II dan kakak kepada Agesilaus II. Nama Cynisca bermaksud ‘anak anjing betina’, mungkin merujuk kepada anjing Bloodhound yang terkenal dengan keupayaan memburu dan deria bau yang kuat.
Kemenjadian diri Masyarakat Sparta
Pembangunan wanita Sparta adalah sangat berbeza dengan wilayah Yunani yang lain. Mereka menjalani latihan yang ketat seawal usia 6 tahun, sama seperti golongan lelaki, dengan harapan masyarakat Sparta dapat membina keluarga yang utuh. Cynisca membesar dengan baik dalam suasana yang kompetitif ini. Berpewatakan tomboy sejak kecil, Cynisca ialah seorang penunggang kuda yang berkemahiran tinggi, kaya-raya, dan bercita-cita tinggi untuk menjadi wanita pertama yang berjaya di Olimpik, menurut ahli geografi Pausanias.
Sukan Olimpik Didominasi Lelaki
Ketika itu, acara Olimpik hanya disertai oleh lelaki, manakala penyertaan perempuan adalah dilarang. Wanita turut dilarang untuk menonton acara larian dan pertempuran di stadium utama Olympia. Mereka boleh menyertai acara berkuda, itu pun dengan memiliki dan melatih kuda, bukannya sebagai seorang pelumba.
Raja Agesilaus II mendorong Cynisca untuk menyertai perlumbaan. Sebab mengapa Agesilaus II berbuat demikian adalah tidak diketahui; Agesilaus II tidak menyukai pelumbaan kereta kuda, menganggapnya terlalu bergantung kepada kekayaan dan status pemilik kuda, bukannya kekuatan fizikal seperti acara lain. Mungkin juga Agesilaus II ingin membuka ruang kepada penglibatan wanita dalam Olimpik. Atau mungkin dia ingin mempersembahkan bakat Cynisca, dan mempromosikan wanita dalam masyarakat.
Kejayaan Cynisca
Cynisca menyertai perlumbaan kereta kuda, tetapi sebagai pemilik dan pelatih kuda, bukannya sebagai pelumba. Dia mengupah beberapa orang lelaki untuk berlumba bagi pasukannya, dan berjaya memenangi acara perlumbaan four-horse chariot (tethrippon) pada 396 SM dan 392 SM. Ironinya, Cynisca tidak berpeluang untuk menyaksikan kejayaan dirinya dan pasukannya itu. Walau bagaimanapun, kejayaan ini tetap menjadikan dirinya sebagai juara wanita pertama dalam Sukan Olimpik.
Kejayaan Cynisca adalah cukup popular. Tugu gangsa berbentuk kuda, kereta kuda dan Cynisca sendiri telah dihasilkan dan ditempatkan di Temple of Zeus, Olympia, bagi memperingati kejayaan Cynisca. Tugu-tugu ini juga disertakan sekali dengan tulisan:
“Raja-raja Sparta adalah ayah dan abang saya
Saya, Cynisca, menang dengan kereta kuda berkaki pantas,
Mendirikan tugu ini. Saya isytiharkan diri saya satu-satunya wanita
di Yunani yang memenangi takhta ini.”
Tulisan ini adalah dari Cynisca sendiri dan menjadi petunjuk kebebasan dan kesediaan diri Cynisca untuk mendorong dirinya lebih maju, walaupun penulisnya, Xenophon mendakwa itu adalah idea Agesilaus II. Cynisca juga mempunyai kuil pahlawan di Platanistas. Kurniaan ini adalah satu penghormatan yang besar; tempat ini dikhaskan untuk upacara keagamaan, dan hanya raja-raja Sparta yang dikenang dengan cara sebegini.
Kejayaan Cynisca telah membuka jalan bagi penyertaan atlet wanita lain, terutamanya Euryleonis, Belistiche, Zeuxo, Encrateia dan Hermione, Timareta, Theodota, dan Cassia, walaupun mereka tidak mendapat pengiktirafan yang serupa. Cynisca terus dikenang apabila penulis Yunani Zoe Karelli, menulis puisi yang menggambarkan cinta Cynisca kepada kuda dan sukan.
Artikel dikirimkan oleh Azamuddin untuk The Patriots.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih