Chichen Itza adalah sebuah kota Maya purba yang terletak di bahagian utara Semenanjung Yucatan, Mexico. Diperkirakan bahawa kota ini ditubuhkan sekitar kurun ke-6 Masihi. Namun, namanya hanya mula mencapai puncak persada pada beberapa kurun kemudian. Pada fasa awal era pasca-klasik Maya yang berlangsung sekitar kurun ke-10 hingga kurun ke-13M, Chichen Itza mendominasi Semenanjung Yucatan.

Kegemilangan kota berkenaan dapat dilihat menerusi monumen-monumen agung yang dibina oleh para pemerintahnya. Sewaktu ketibaan penjajah Sepanyol pada kurun ke-16, sebahagian besar Chichen Itza sudah pun ditinggalkan. Bermula pada kurun ke-19, tapak ini diteroka dan diekskavasi oleh ahli-ahli arkeologi. Selain menjadi tapak arkeologi yang agak aktif, Chichen Itza juga menempa nama sebagai salah sebuah destinasi pelancongan terkemuka di Mexico.

ASAL-USUL NAMA CHICHEN ITZA

Nama Chichen Itza datang daripada kombina tiga perkataan Maya. Chi membawa maksud ‘mulut’ atau ‘muncung’. Chen bermaksud ‘perigi’ dan Itza pula adalah nama kumpulan etnik Maya yang menetap di tapak berkenaan. Oleh kerana itu, nama kota purba tersebut bolehlah dimengertikan sebagai ‘mulut perigi warga Itza’. Perkataan Itza juga boleh diterjemahkan sebagai ‘ahli-ahli magis air’. Hal ini kerana Itza itu sendiri merupakan gabungan perkataan itz yang bermaksud magis dan yang bermaksud air.

Chichen Itza ditubuhkan pada kurun ke-6 Masihi oleh masyarakat Maya yang mendiami Semenanjung Yucatan sejak zaman pasca-klasik (1500SM hingga 300M). Dijumpai bukti bahawa pada kurun ke-10 Masihi, kota tersebut dis3rang oleh orang luar. Sekitar masa yang sama itu jugalah kota-kota Maya di selatan ikut tumbang.

Walau bagaimanapun, identiti penyerang tersebut tidak dapat dipastikan. Sebahagian sejarahwan menuding pada Itza. Ada pula yang menyebutkan bahawa masyarakat Maya yang terpengaruh dengan Toltec dari Mexico Tengah yang bertanggungjawab ke atas s3rangan-s3rangan itu. Bahkan ada juga yang menamakan Toltec itu sendiri.

Relif pada Gelanggang Bola Besar di Chichen Itza menunjukkan upacara korban dengan pemenggalan kepala

Cuma apa yang menariknya, di dalam Kitab Chilam Balam (‘Chilam Balam’ membawa maksud ‘Rahsia-Rahsia Ahli Nujum’) disebutkan bahawa sebelum ketibaan Itza, kota Chichen Itza dikenali dengan nama lain.

Namun, lantaran tiada ortografi piawai tunggal bagi Yucatec Maya, maka nama asal bagi kota itu disebutkan dengan bermacam variasi seperti Uuc Yabnal, Uuc Habnal, Uuc Hab Nal, atau Uc Abnal. Uuc atau Uc membawa maksud ‘tujuh’, manakala yab dan ab masing-masing boleh diertikan sebagai ‘banyak’ dan ‘sejenis buah’.

CENOTE KERAMAT: LUBANG BENAM RITUAL MENJADI GUDANG KHAZANAH ARKEOLOGI

Salah satu faktor yang mendorong kepada penubuhan petempatan di Chichen Itza adalah kewujudan beberapa buah cenote di sana. Cenote merupakan lubang benam semula yang berfungsi sebagai sumber air.

Memandangkan di wilayah utara Yucatan agak gersang dan kawasan pedalamannya pula tidak banyak sungai, cenote memainkan peranan penting dalam kelangsungan hidup masyarakat yang menetap di sana. Cenote yang paling masyhur di Chichen Itza adalah Cenote Sagrada atau Cenote Keramat, yang terbentuk akibat runtuhan gua di batu kapur.

Cenote Keramat dianggap sebagai salah sebuah simpanan khazanah terbesar di benua Amerika

Sebagaimana yang dapat kita lihat pada namanya, Cenote Keramat bukan sekadar membekalkan air, tetapi ia juga mempunyai signifikasi dari sudut ritual. Menurut sumber-sumber bertulis pada era Sepanyol, masyarakat Maya menyimpan barangan mewah dan mengorbankan manusia di cenote sebagai cara memuja Chaac si dewa hujan Maya.

Seiring peredaran masa, perkara ini berjaya dibuktikan oleh para penyelidik apabila banyak barangan mewah ditemui di dasar cenote. Sebagai maklumat tambahan, Cenote Keramat dianggap sebagai salah sebuah simpanan harta karun paling besar di benua Amerika pada era pra-Columbia.

Memasuki kurun ke-20, cenote berkenaan mula diselidiki secara giat oleh ahli-ahli arkeologi. Misalnya pada tempoh antara 1904 dan 1910, sebuah projek pengorekan yang agak kontroversi di jalankan oleh ahli arkeologi dari Amerika, Edward Herbert Thompson. Projek ini berjaya menemukan sejumlah besar artifak, termasuklah tembikar, barangan emas, dan barangan jed. Selain itu, rangka manusia yang mempunyai kesan korban ritual turut ditemui.

MENELUSURI SEJARAH KOTA MENERUSI SENI BINA

Sebagaimana yang disebut sebelum ini, Chichen Itza ditubuhkan pada kurun ke-6 Masihi namun kemudiannya dikuasi oleh orang asing. Kesan perubahan penghuni kota ini tampak secara fizikal pada struktur-struktur yang kekal hingga kini. Sebelum kedatangan Itza, warga Chichen Itza membina bangunan-bangunan mereka dalam suatu ciri seni bina yang dikenali sebagai Puuc.

Gaya ini dinamakan bersempena Perbukitan Puuc yang terletak di barat daya Chichen Itza dan beberapa cirinya dapat dilihat dengan ketara. Sebagai contoh, bangunan-bangunan Puuc lazimnya menghadap ke arah dataran kota dan berkelompok dalam paksi utara-selatan. Selain itu, bangunan-bangunan Puuc dapat dicirikan menerusi terasnya yang dibuat daripada batu dan plaster, lalu dilitupi oleh batu-batu yang ditempa rapi.

Pemandangan udara Chichen Itza, tapak Warisan Dunia UNESCO

Bangunan-bangunan di Chichen Itza yang dibina dengan gaya Puuc terletak di bahagian selatan plaza utama, tepatnya di kawasan yang kini dikenali sebagai Chichen Viejo (Chichen Lama). Struktur-struktur di Chichen Lama diandaikan sebagai yang tertua di tapak berkenaan.

Antaranya seperti el Caracol, la Iglesia, dan Akabtzib. El Caracol yang bermaksud ‘siput’ meraih nama bersempena tangga batu berpusar yang ada di dalamnya. Struktur tersebut turut terdiri daripada bangunan bulat (yang menempatkan tangga itu tadi) pada platform berbentuk petak dan ia berfungsi sebagai balai cerap.

La Iglesia pula membawa maksud gereja dan ia merupakan sebuah kuil kecil yang dihiasi dengan topeng-topeng Chaac. Sementara itu, Akabtzib atau ‘Rumah Tulisan Gelap’ adalah kediaman pentadbir kota. Nama Akabtzib diambil daripada ukiran glif yang ditemui di salah sebuah pintu yang terdapat di struktur berkenaan. Pada masa dahulu, bangunan itu dikenali sebagai ‘Rumah Rata dengan Bilik-Bilik Yang Banyak’.

KUIL KUKULCAN: PIRAMID BERTINGKAT MESOAMERIKA DI TENGAH-TENGAH CHICHEN ITZA

Walau bagaimanapun, monumen-monumen masyhur di Chichen Itza hanya dibina pada era ketibaan penjajah asing. Antaranya termasuklah El Castillo, Gelanggang Bola Besar, dan Kuil Pahlawan. El Castillo yang membawa maksud ‘istana’ tanpa dapat dinafikan merupakan monumen yang paling menonjol di Chichen Itza. Struktur yang turut dikenali sebagai Kuil Kukulcan ini terletak di tengah-tengah kota. Mercu kuil ini diperikan lagi apabila ia menjadi struktur paling tinggi di Chichen Itza.

Struktur piramid ini sendiri memiliki ketinggian mencecah 24m (78.7 kaki), manakala kuil yang terletak di puncak platformnya pula mempunyai ukuran tinggi 6m (19.7 kaki). Maka, monumen ini secara keseluruhan memiliki ketinggian 30m (98 kaki). Lebih daripada itu, Kuil Kukulcan juga merupakan kuil terbesar di Chichen Itza, dengan setiap sisi tapaknya berukuran 53.3m (174.9 kaki).

El Castillo, atau dikenali sebagai Kuil Kukulcan, di tengah-tengah kota Chichen Itza

Kuil Kukulcan bukan hanya megah dari segi saiznya, tetapi juga kegeniusan matematik dalam seni binanya. Menurut legenda, Kukulcan (Quetzalcoatl versi Maya) akan mengunjungi kuil berkenaan sebanyak dua kali dalam setahun, tepatnya swaktu malam dan siang seimbang. Dewa tersebut kemudian akan menghadap para pengikutnya, memberi kurnia kepada mereka, dan terus membawa diri ke wadah mandian keramat.

Usai mandi di sana, Kukulcan akan melanjutkan perjalanan ke Alam Kematian. Kuil Kukulan memang dibina dalam keadaan supaya apabila ekuinoks menjelma, mereka yang mengunjungi kuil akan dihidangkan dengan panorama cahaya dan bayang-bayang yang mengagumkan.

Pada hari-hari tertentu, tujuh bayang piramid akan muncul bersebelahan anak tangga, bermula di bahagian atas lalu menurun ke bawah menuju ke batu gergasi Kukulcan selama lima jam.

Kemudian, bahagian puncak dan dasar piramid seolah-olah terhubung dek bayang-bayang selama 45 minit, sebelum bayang itu tadi menurun dan hilang secara perlahan-lahan. Bagi masyarakat Maya purba, fenomena ini merupakan bukti yang mengesahkan legenda berkenaan. Tambah menarik, pada era moden, fenomena ini dicipta semula pada setiap malam sekaligus para pelancong tidak lagi perlu menunggu ekuinoks untuk menyaksikannya.

GELANGGANG BOLA DAN KUIL SERIBU PAHLAWAN

Di bahagian barat laut Kuil Kukulcan, terletak suatu monumen yang dikenali sebagai Gelanggang Bola Utama. Walaupun di Chichen Itza sahaja sudah ditemukan sebanyak tujuh buah gelanggang bola, gelanggang bola yang satu ini dianggap sebagai gelanggang yang paling mengagumkan. Ia memiliki ukuran 166m (544.6 kaki) kali 68m (223.1 kaki), secara efektif menjadikannya gelanggang bola yang paling besar di Mesoamerika.

Tembok gelanggang ini berukuran 12m (39.4 kaki) tinggi dan di atasnya terdapat gelung yang diiringi oleh ular berkembar. Tembok tersebut juga dihiasi dengan relif-relif patung. Salah satu relif yang ada menggambarkan pemenang perlawanan bola sedang memegang kepala milik salah seorang ahli pasukan yang kalah yang telah dipenggal.

Gelanggang Bola Besar di Chichen Itza

Berkenaan Kuil Seribu Pahlawan pula, ia merupakan sebuah piramid bertingkat yang besar dan dilengkapi dengan tiang-tiang berukiran pahlawan. Tiang-tiang tersebut terletak di hadapan dan sisi kuil. Persamaan seni bina yang agak ketara di antara kuil ini dan Kuil B di Tula, ibu kota Toltec, mencetuskan andaian bahawa berlakunya interaksi budaya antara kedua-dua kota tersebut.

KEJATUHAN CHICHEN ITZA DAN KEDATANGAN SEPANYOL

Sejarahwan meyakini bahawa Chichen Itza mendominasi Semenanjung Yucatan pada kurun ke-19 hingga kurun ke-13M. Menurut sumber-sumber bertulis, suatu pemberontakan dan p3rang saudara meletus di Chichen Itza pada tahun 1221 sekaligus membawa kepada kejatuhannya.

Dakwaan ini diperkuatkan lagi oleh bukti arkeologi, apabila didapati bahawa bumbung kayu Kuil Pahlawan dan Pasar Besar terbakar sekitar masa itu. Namun pada tahun kebelakangan, ahli-ahli arkeologi berpendapat bahawa Chichen Itza mengalami kejatuhan sekitar kurun ke-11, yakni 200 tahun lebih awal berbanding tarikh yang diperkirakan sebelumnya.

Sesudah mengalami kejatuhan, kedudukan Chichen Itza sebagai kuasa dominan di Semenanjung Yucatan diambil-alih oleh Mayapan, jirannya di barat. Selama beberapa tempoh, Chichen Itza bergabung dengan Mayapan dan Uxmal untuk menubuhkan sebuah konfederasi politik yang dikenali sebagai Liga Mayapan. Liga ini berakhir sekitar tahun 1450, turut lenyap bersama dominasi Mayapan.

Sekitar kurun ke-16, Sepanyol tiba di Semenanjung Yucatan dan memulakan kempen penaklukan mereka ke atas Maya. Chichen Itza dikuasai oleh Francisco de Montejo pada tahun 1531. Walaupun pada mulanya de Montejo berhasrat mahu menjadikan Chichen Itza sebagai ibu kota Yucatan-Sepanyol, niatnya itu tidak kesampaian lantaran Sepanyol diusir dek pemberontakan Maya beberapa bulan kemudian.

Cuplikan halaman buku Incidents of Travel in Yucutan oleh John Lloyd Stephens

RUNTUHAN MAYA MENGGAMIT PERHATIAN DUNIA

Apapun, di saat ketibaan Montejo, sebahagian besar Chichen Itza sememangnya sudah pun ditinggalkan, di mana para penghuninya berpindah ke bandar-bandar yang lebih kecil. Keadaan sedemikian berterusan hingga ke kurun-kurun berikutnya, dan kota itu secara bertahap tetapi pasti diselimuti oleh belantara.

Walaupun Chichen Itza kekal sebagai tempat keramat buat Maya, ia perlahan-perlahan lenyap dari ingatan dunia. Walau bagaimanapun, kota purba itu berdikit-dikit memasuki memori sejarah pada kurun ke-19.

Tepat pada tahun 1843, Incidents of Travel in Yucatan diterbitkan oleh seorang peneroka Amerika, John Lloyd Stephens; memerihalkan tentang pengembaraannya di Semenanjung Yucatan. Susulan daripada itu, ramai peneroka mula berbondong-bondong mengunjungi Chichen Itza.

Pada dekad-dekad yang menyusul, sejumlah ekskavasi arkeologi dijalankan di tapak berkenaan. Hasil penyelidikan ini berjaya memetakan semula runtuhan tapak tersebut dan beberapa buah monumen berjaya dipulihkan. Kerja-kerja ekskavasi di tapak berkenaan juga memberikan kefahaman yang lebih lanjut tentang Chichen Itza.

Sehingga kini, ahli-ahli arkeologi terus membanting tulang di Chichen Itza demi memburu penemuan-penemuan baru. Pada tahun 2019 sebagai misal, mereka berusaha mencari perigi keramat yang kononnya terletak di bawah kota. Namun, di kala Balamku atau sistem gua ‘Dewa Harimau Kumbang’ yang dicari, lain pula yang mereka temui. Iaitulah makam yang menyimpan 150 buah barangan ritual.

Chichen Itza berkembang menjadi sebuah tarikan pelancong yang amat masyhur. Buku karangan Stephens bukan hanya menggamit minat ahli-ahli arkeologi untuk meneroka tapak berkenaan, namun jua para pelancong dari segenap pelusuk dunia. Misalnya pada 1920an, badan pelancongan rasmi Yucatan yang pertama mula ditubuhkan.

Pada tahun-tahun kebelakangan pula, dianggarkan sehingga dua juta orang pelancong mengunjungi Chichen Itza secara tahunan, sekaligus menjadikannya salah sebuah tapak arkeologi yang paling kerap dikunjungi di Mexico. Tambahan lagi, Chichen Itza sudah pun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Pada tahun 2007, ia dicalonkan sebagai salah satu dari Tujuh Keajaiban Dunia Baru dalam sebuah tinjauan yang melibatkan lebih 100 juta orang responden.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (3 Julai 2020). Chichen Itza: Ancient Maya City Built Above A Gateway to the Underworld. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/chichen-itza-0013932


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.