Sejak krisis Ukraine-Rusia bermula beberapa hari lepas, satu lokasi penting tetapi gagal disedari keutamaannya ialah Chernobyl. Di sinilah lokasi musibah nuklear terburuk yang pernah disaksikan dunia semasa ia berlaku pada 1986. Dan pertempuran sengit antara kedua-dua pihak untuk mengawal lokasi ini sebenarnya menambah elemen tragis kepada lokasi ini.
Chernobyl atau lebih tepat loji kuasa nuklear Chernobyl terletak 130 km di utara ibu negara Ukraine, Kiev dan 20 km berhampiran sempadan Belarus-Ukraine. Sebuah bandar kecil bernama Pripyat dibina beberapa batu dari loji berkenaan bagi menempatkan para pekerja dan keluarga mereka.
Pada tahun 1986, bandar tersebut mempunyai populasi 50,000 penduduk dengan Chernobyl pula mempunyai 12,000 penduduk. Baki wilayah berkenaan terdiri daripada kawasan pertanian dan kawasan hutan belantara. Projek reaktor Chernobyl mula dibina pada tahun 1977 tatkala Ukraine masih lagi menjadi sebahagian daripada Soviet. Menjelang tahun 1983, empat reaktor siap dibina dengan dua lagi dibina pada tahun-tahun berikutnya.
Empat reaktor yang digunakan di Chernobyl ialah reaktor jenis RBMK-1000. Reaktor ini menggunakan proses pengayaan uranium U-235 untuk memanaskan air dan menghasilkan stim untuk menggerakkan turbin reaktor dan menjana tenaga elektrik. Kebanyakan reaktor nuklear hari ini menjadikan air sebagai penyejuk dan mengawal kereaktifan teras nuklear.
Apabila teras tersebut dipanaskan, ia akan menghasilkan lebih banyak stim berbuih dalam air ini sekaligus mengurangkan kereaktifan teras berkenaan. Ini merupakan antara ciri keselamatan utama reaktor nuklear di kebanyakan negara terutama di Barat.
Tetapi reaktor nuklear versi Soviet menggunakan grafit untuk mengawal kereaktifan teras nuklear dan pada masa sama, menghasilkan reaksi nuklear dalam teras berkenaan. Reaktor sebegini menghasilkan lebih banyak kereaktifan teras nuklear apabila ia dipanaskan dan menghasilkan lebih banyak buih stim. Kelemahan ini biasa dilihat pada reaktor berkenaan – kesilapan yang membuka jalan kepada musibah nuklear Chernobyl.
Sehari sebelum tercetusnya bencana nuklear Chernobyl, operator-operator loji bersedia menutup reaktor untuk menjalankan proses penyelenggaraan rutin pada reaktor nombor empat. Yang anehnya, operator-operator loji memilih mematikan semua peralatan termasuk mekanisme penutupan automatik. Perbuatan ini merupakan satu perlanggaran keselamatan reaktor menurut Jawatankuasa Saintifik PBB berkenaan Kesan Radiasi Atom (UNSCEAR).
Pada pukul 1.23 pagi, bila rod nuklear yang panas dimasukkan ke dalam air penyejuk, ia menghasilkan sejumlah besar stim dan mencetuskan lebih banyak reaktiviti dalam teras nuklear reaktor nombor empat. Akibatnya, ia mengakibatkan letupαn besar yang menanggalkan plat seberat 1,000 tan yang menutup teras reaktor. Bila ia itu berlaku, radiasi terlepas ke atmosfera dan memotong aliran penyejuk ke reaktor.
Beberapa saat kemudian, satu lagi letupαn lebih besar berlaku. Letupαn ini bukan sekadar memusnahkan bangunan reaktor tetapi memuntahkan grafit dan bahagian teras reaktor yang terbakar sekitar kawasan loji. Akibatnya, ia mencetuskan kebakaran besar sekitar reaktor yang rosak dan reaktor nombor tiga yang masih beroperasi ketika itu.
Letupαn tersebut membunuh dua orang pekerja, antara pekerja pertama yang mati dalam tragedi berkenaan. Untuk beberapa hari berikutnya, krew-krew kecemasan berusaha memadamkan kebakaran dan mengekang kebocoran radiasi. Malangnya, usaha ini menambah bilangan pekerja yang terbunuh kerana mengalami tanda keracunan radiasi yang teruk.
Kebanyakan radiasi yang dilepaskan ke atmosfera ialah iodin-131, cesium-134 dan cesium-137. Cesium amat dibimbangi ramai pakar dari UNSCEAR kerana isotopnya mempunyai separuh hayat yang lebih lama dan boleh berada dalam persekitaran selama bertahun-tahun selepas ia dilepaskan ke atmosfera. Satu lagi elemen yang dibimbangi ialah Iodin-131. Ini kerana walaupun ia mempunyai separuh hayat berusia lapan hari, ia boleh masuk melalui udara dan boleh sampai ke kelenjar tiroid.
36 jam selepas kemalangan, populasi Pripyat mula dipindahkan selepas ramai mengadu muntah-muntah, sakit kepala dan pelbagai simptom keracunan radiasi. Mereka diberitahu akan dibenarkan pulang selepas beberapa hari dan ini mendorong ramai membawa sedikit barang semasa berpindah. Kebanyakan mereka tidak akan kembali ke Pripyat.
Bagi Kesatuan Soviet, agak sukar bagi mereka menerangkan apa yang berlaku kepada komuniti antarabangsa. Ini mendorong mereka tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan Chernobyl. Bagaimanapun, semua itu berubah selepas loji nuklear di Sweden mengeluarkan amaran radiasi selepas mengesan tahap radiasi yang luar biasa. Soviet akhirnya mendedahkan apa yang berlaku dan menerangkan cara mereka mengendalikan bencana itu.
Bagi Moscow, urusan rasmi dan kehidupan seharian berjalan seperti biasa. Ini termasuk sambutan Hari Buruh di Moscow, Kiev dan Minsk walaupun Chernobyl terus mengeluarkan asap radiasi. Kebanyakan penduduk Ukraine tidak tahu apa yang berlaku termasuk kematian para pekerja dan pemindahan penduduk secara tergesa-gesa dari Pripyat.
Awan radioaktif yang mengandungi habuk dan serpihan loji berkenaan ditiup angin ke Ukraine, Belarus, Rusia, Scandinavia dan beberapa bahagian di Eropah. Empat bulan selepas bencana tersebut, 31 orang terbunuh akibat pendedahan radiasi. Sementara 6,000 lagi penduduk mengalami masalah kanser tiroid di Ukraine, Belarus dan Rusia untuk tahun-tahun berikutnya.
Bagaimanapun, jumlah sebenar penduduk yang mengalami masalah sebegini tidak diketahui berikutan kesukaran mengumpul bilangan kes pesakit yang terlibat. Pada tahun 1995, Ukraine menganggarkan 125,000 penduduk terbunuh akibat terdedah secara langsung kepada radiasi Chernobyl. Tetapi khabar tidak benar tentang keracunan radiasi menyebabkan penduduk mengambil langkah tidak sepatutnya seperti menggugurkan kandungan mereka. Bagi wanita-wanita malang ini, mereka bimbang bayi mereka akan mati akibat keracunan radiasi yang dahsyat.
Pada 14 Mei 1989, Presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev mengarahkan proses pembersihan dan pembendungan radiasi loji digerakkan dengan segera. Ratusan pekerja, ahli bomba, tentera simpanan dan pelombong digerakkan untuk membantu proses pembersihan. Bagi kelompok yang dikerah membantu, ia merupakan satu cabaran kerana bekerja tanpa peralatan perlindungan yang mencukupi untuk membuang serpihan dan membendung radiasi. Dalam tempoh 206 hari, para pekerja membina satu makam besar untuk menutup reaktor yang rosak dan membendung lebih banyak perlepasan radiasi.
Dalam satu temubual bersama BBC pada tahun 2017, bekas pekerja bernama Yaroslav Melnik mendedahkan mereka bekerja sebanyak tiga syif. Bagaimanapun, durasi kerja mereka selama lima hingga tujuh minit pada satu-satu masa disebabkan bahaya radiasi. Selepas selesai bekerja, mereka terus membuang pakaian mereka dalam tong sampah. Pada tahun 2010, sebuah konsortium antarabangsa ditubuhkan bagi membina sebuah bangunan lebih besar untuk reaktor berkenaan.
Bangunan seberat 35,000 tan itu disiapkan pada tahun 2016 dan diluncurkan bagi menutup makam sedia ada pada November 2016. Struktur baru ini membantu menurunkan kadar radiasi kepada satu persepuluh dari tahap sebelumnya. Struktur ini dijangka dapat membendung serpihan radioaktif untuk tempoh seabad.
Di sebalik semua ini, siapa sangka Chernobyl sebenarnya masih dibenarkan beroperasi sehingga reaktor terakhir ditutup pada tahun 2000. Selepas populasi manusia meninggalkan Pripyat, alam semulajadi menuntut semula kawasannya dan ia menjadi kawasan perlindungan hidupan liar yang unik seperti serigala, rusa, beruang, babi hutan dan ikan bersaiz besar. Buktinya, seekor ikan keli bersaiz besar yang berjaya ditangkap pemancing ekstrem dan ahli biologi Jeremy Wade semasa beliau memancing di Chernobyl untuk satu episod River Monsters pada tahun 2013.
Kawasan ini perlahan-lahan menjadi tumpuan pelancong yang tertarik melihat apa yang dianggap masa yang dibekukan bila melihat tinggalan penduduk di Pripyat (dengan mengikut arahan ketat pihak yang mengawal kawasan berkenaan). Tetapi bagi sesetengah penduduk terutama yang terkesan dengan konflik di Crimea dan Donbass, inilah rumah baru mereka walaupun sedar ia masih tidak boleh didiami sekurang-kurangnya untuk 24,000 tahun.
Jadi, mengapa ramai pakar bimbang tentang keselamatan Chernobyl? Pertempuran sengit tentera Rusia dan Ukraine boleh mengancam simpanan bahan buangan nuklear terutama makam yang menutup bangunan reaktor. Sebarang serangan termasuks serangan udara dan artileri boleh mengakibatkan bangunan tersebut rosak dan melepaskan radiasi ke atmosfera sebelum tersebar ke negara-negara Eropah.
Perkara ini dibangkitkan oleh penasihat presiden Ukraine, Anton Gerashchenko dalam catatan Facebooknya pada 24 Februari lepas. Isu sama turut mendapat perhatian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Ketua pengarah IAEA, Rafael Mariano Grossi menggesa kedua-dua pihak agar tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan keselamatan reaktor nuklear yang wujud di Ukraine termasuk Chernobyl.
Kenyataan Grossi bersandarkan kepada kenyataan yang dibuat pada Persidangan Agung IAEA pada 2009. Kenyataan tersebut menyatakan sebarang bentuk serangan atau ancaman kepada kemudahan nuklear untuk tujuan keamanan dianggap mencabuli Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), undang-undang antarabangsa dan statut IAEA.
Tetapi bagi Moscow, dengan mengambil alih kawasan tersebut, ia sebenarnya membantu mereka mara lebih pantas ke Kiev dari Belarus. Pandangan ini disuarakan oleh James Acton dari Tabung Keamanan Antarabangsa Carnegie. Dengan mara ke Kiev dari Chernobyl, ia dapat mempercepatkan matlamat mereka menyingkirkan kerajaan Ukraine.
Tambah Acton lagi, bukan Chernobyl sahaja yang patut dibimbangkan oleh pakar-pakar nuklear. Ini kerana terdapat empat loji nuklear Ukraine yang beroperasi ketika ini di zon pengecualian Ukraine seluas Luxembourg. Dengan keempat-empat reaktor ini mengandungi bahan nuklear yang lebih radioaktif, ia berpotensi mencetuskan satu lagi musibah nuklear jauh lebih buruk daripada Chernobyl pada 1986 sekiranya pertempuran masih berlaku sekitar zon berkenaan.
RUJUKAN
Mohammed, A. dan Lindsey, J. (2022, 25 Februari). Explainer: Why Russia and Ukraine are fighting for Chernobyl disaster site. Reuters.
Borys, C. (2017, 3 Januari). A vast new tomb for the most dangerous waste in the world. BBC Future.
Geggel, L. dan Lallanilla, M. (2022, 25 Februari). Chernobyl: Facts about the world’s worst nuclear disaster. Live Science.
Gill, V. (2019, 14 Februari). Chernobyl: The end of a three-decade experiment. BBC News.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih