Kelab bola sepak seperti mana-mana firma-firma perniagaan yang lain turut mempunyai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka. Ada yang mengadakan kerjasama dengan badan kebajikan dalam bentuk penajaan atau projek komuniti. Ada pula yang mempunyai sayap kebajikan masing-masing yang banyak menyumbang kepada komuniti setempat. Tetapi di Itali atau lebih tepat AS Roma, mereka menggunakan peluang menunjukkan pemain terbaru mereka dengan menggabungkan pengumuman itu dengan iklan kanak-kanak yang hilang di Eropah.

Mungkin ada yang menganggap idea ini tidak masuk akal atau tidak sensitif kepada keluarga mangsa yang hilang. Tetapi ia sebenarnya menawarkan dua kelebihan unik untuk kelab-kelab bola sepak. Apabila kelab mengumumkan pemain baru mereka di laman media sosial, ia akan menghasilkan detik tular sekaligus peluang terbaik untuk menyampaikan mesej kepada peminat-peminat di luar sana. Dan dengan merekrut pemain dari negara-negara tertentu, mereka mempunyai penonton khusus dengan minat yang lebih tinggi.

Contohnya bila Roma merekrut pemain pertahanan Manchester United, Chris Smalling secara pinjaman semusim, mereka tahu ia akan menarik minat ramai penyokong dari United Kingdom. Justeru, video pengumuman akan disisipkan dengan mesej kanak-kanak yang hilang dari Britain. Perkara sama turut diaplikasikan kepada pemain yang ditandatangani dari liga negara-negara tertentu. Contohnya, dalam kes Davide Zappacosta dipinjam secara semusim oleh Giallorossi. Tidak lama selepas gambar seorang kanak-kanak yang hilang di London ditampilkan dalam video pengumuman penyertaan Zappacosta, kanak-kanak tersebut berjaya ditemui oleh pihak berkuasa.

Rajah 1: Contoh video yang melampirkan imej kanak-kanak yang hilang iaitu video pengenalan Chris Smalling. Sumber: https://www.bbc.com/sport/football/49892443

Sejak kempen tersebut dilaksanakan, lima kanak-kanak yang hilang dari pelbagai negara berjaya ditemui semula. Bagi Smalling yang kini menjadi tonggak penting pertahanan La Lupa, ini merupakan satu berita baik kepada keluarga mangsa. Beliau menulis dalam catatan Twitternya, “Sebagai seorang ayah, ini membuatkan saya rasa gembira apabila gambar kanak-kanak perempuan yang dilampirkan dalam video pengumuman perpindahan saya berjaya disatukan semula dengan keluarganya. Kami berharap dapat membantu lebih ramai kanak-kanak disatukan semula dengan keluarga mereka.”

Tetapi dalam saat kita bergembira kanak-kanak yang hilang ini ditemui semula, hak perundangan iaitu hak untuk dilupakan juga berkuatkuasa. Bila kanak-kanak ini ditemui, Roma perlu memadamkan imej kanak-kanak berkenaan dan mengedit semula video pengumuman perpindahan yang dilampirkan tanpa memaparkan imej kanak-kanak yang hilang yang ditemui semula. Ini untuk memastikan kanak-kanak ini dapat menjalani kehidupan normal tanpa berhadapan stigma pernah hilang satu masa dahulu.

Jadi bagaimana idea pelik tetapi menarik ini timbul? Menurut ketua strategi Roma, Paul Rogers, idea ini timbul selepas beliau obses dengan kisah kumpulan rock Soul Asylum di mana klip video lagu mereka termasuk Runaway Train menyiarkan gambar kanak-kanak yang hilang. Tambah Rogers, dengan saiz penyokong yang ramai di laman media sosial dan musim perpindahan musim panas, beliau melihat Giallorossi mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu yang bermakna. Rogers menambah, “Bola sepak di sosial media boleh saja menjadi toksik ada ketikanya dan kami fikir kami boleh melakukan sesuatu yang berlawanan dengan semua itu dan boleh diterima oleh semua lapisan peminat.”

Apabila kempen ini dilancarkan pada musim panas 2019, 72 video mereka menampilkan 109 kes kanak-kanak yang hilang merentasi 12 buah negara. Sejak itu, lima kanak-kanak yang hilang berjaya ditemui semula dan disatukan semula dengan keluarga mereka. Lima kanak-kanak ini terdiri daripada dua kanak-kanak Kenya, dua remaja perempuan dari London dan seorang budak lelaki dari Belgium. Rogers mengakui semasa membentangkan ideanya kepada Pusat Kanak-Kanak Hilang dan Dieksploitasi Kebangsaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, beliau merasa bimbang sama ada pusat berkenaan akan menerima idea itu atau tidak. Tetapi selepas menunjukkan contoh video yang dibuat dan pengikut laman media sosial Roma seramai 16 juta orang, mereka merasa takjub dengan idea itu.

Rogers masih ingat dalam pertemuan itu, pusat itu memberitahu kebanyakan jenama terkenal jika boleh mahu menjauhkan diri mereka daripada semua ini. Ini kerana isu kanak-kanak hilang merupakan sesuatu yang sensitif dan logiknya, mana-mana jenama sudah pasti tidak mahu berada dalam situasi rumit. Beliau menambah, “Kami memberitahu mereka kami mahu membantu 100%. Kami merasakan walaupun tiada kanak-kanak dapat ditemui, kami masih membangkitkan kesedaran berkenaan kes-kes ini, isu kehilangan kanak-kanak dan apa yang dilakukan organisasi seperti mereka.”

Tetapi jika ada kelab yang mengikut jejak langkah La Magica, pertama, mereka harus mempunyai bilangan pengikut laman media sosial yang ramai. Kedua, pengaruh mereka mestilah melangkaui sempadan negara mereka seperti yang dimiliki kelab-kelab besar seperti United, Manchester City, Barcelona, Real Madrid dan Paris Saint Germain. Tetapi selepas melihat kempen ini menarik penglibatan ramai peminat, Rogers percaya ia akan mendorong lebih banyak kelab melibatkan diri untuk kempen sama untuk Hari Kanak-Kanak Hilang Antarabangsa yang diadakan setiap tahun pada setiap 25 Mei.

Tambah Rogers, “Saya tidak akan memberitahu kelab-kelab lain apa yang mereka patut lakukan atau tidak lakukan dan kebanyakan mereka melakukan banyak perkara baik kepada komuniti mereka tetapi jika mereka melakukannya, ia merupakan satu perkara terhebat dan memberi mesej baik kepada semua pihak. Saya tidaklah naif untuk mengatakan Roma boleh mengubah dunia secara sendiri tetapi saya percaya secara kolektif, kelab-kelab bola sepak boleh mengubah dunia secara bersama.”

RUJUKAN:

Magowan, Alistair. (2019). AS Roma: Why did Italian club decide to announce signings alongside missing children?. BBC Sport. https://www.bbc.com/sport/football/49892443


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.