“Apa hal siling berbunyi, Mat? Aku dengar bunyi pelik-pelik sejak aku tumpang tidur rumah kau dari semalam.”
“Kau ni. Tidur jelah, Zam. Takde benda pun. Kucing kot main atas siling.”
“Bohonglah kucing boleh buat bunyi kuat atas siling. Rumah kau ini ada penunggu ke apa?”
“Mulut kau ni takde insurans, kau tau tak. Tau terjah situ saja!”
Ini merupakan rungutan orang kita setiap kali mendengar bunyi aneh di siling atau bumbung. Dengar saja perkara begitu, hantu muncul dalam kepala si polan. Walaupun benar dalam sesetengah kes ia merupakan gangguan makhluk halus, kebanyakan kes boleh dijelaskan secara logik.
Bagi penghuni kediaman terutama di apartmen atau kondominium, bunyi sebegini menandakan bunyi saluran paip rumah berfungsi dengan baik. Bagi pemilik rumah, ia sepatutnya satu berita baik kerana anda pasti tidak mahu rumah anda digenangi dengan air akibat paip bocor atau rosak.
Bunyi sebegini dikenali dalam komuniti saintifik sebagai kejutan hidraulik atau tukul air. Perkara ini berlaku dalam saluran-saluran paip apabila aliran air tiba-tiba terputus. Andy Piacsek dari Persatuan Akustik Amerika mencadangkan bunyi ini berkemungkinan terhasil daripada udara yang terperangkap dalam saluran paip. Apabila air mengalir atau udara berkurangan, bunyinya mungkin diubah apabila ia melalui bangunan-bangunan.
Tambah Profesor Preston S. Wilson dari Universiti Texas, sekiranya saluran paip disusun secara mendatar dalam ruang antara siling dengan lantai apartmen di bawah anda, ia boleh saja mengakibatkan fenomena tukul air. Ini boleh berlaku sekiranya seseorang dalam bangunan menutup paip air dengan cepat atau mengepam tandas selepas selesai membuang air. Tukul air boleh mengakibatkan paip beralih dari kedudukan asalnya.
Perubahan tekanan ini menggoncang paip dan menghasilkan bunyi yang kuat di mana bunyi boleh melepasi dinding konkrit. Paip akan kembali melantun dan kembali ke kedudukan asalnya sekaligus menghasilkan bunyi. Kitaran ini akan berlaku beberapa kali tetapi tekanannya berkurangan bagi setiap kitaran. Selepas beberapa kitaran, bunyi tersebut terlalu perlahan untuk menggoncang paip sekaligus menghentikan bunyi yang dihasilkan.
Selain tukul air, bunyi pelik yang selalu didengar orang berkemungkinan terhasil akibat buih udara yang terperangkap dalam paip kumbahan yang ada di sekeliling bangunan. Perubahan mengejut pada aliran air disebabkan air bercampur dengan buih sabun akan menghasilkan poket udara yang akan mele.tu.p dan bergema sepanjang paip. Tetapi ia hanya boleh menghasilkan bunyi sekali sahaja.
Bagi bunyi seperti pintu dihempas atau perabot dialihkan, ia boleh dijelaskan secara logik. Chong Kee Sen dari Institut Jurutera Singapura menyifatkan bunyi boleh diperkuat atau diubah bergantung kepada jenis medium yang membawa gelombang bunyi. Bunyi yang didengar menembusi lantai atau siling boleh saja berlaku di tempat lain dan boleh didengar apabila ia melalui secara mendatar atau menegak melepasi siling atas kepala penghuni.
Dan tidak ramai tahu, kebanyakan bangunan hari ini termasuk rumah kediaman menggunakan konkrit yang diperkukuh. Peninjau bangunan Crispin Casimir berpandangan bangunan sebegini membenarkan pemindahan bunyi dengan berkesan. Keterangan ini turut disokong oleh pengarah kejuruteraan Vertes Technologies, Chiam Soon Kiam di mana bunyi boleh keluar dari pintu, tingkap, ruang terbuka atau peredaran udara.
Tambah Kee Sen lagi, dalam sesetengah kes, ada bunyi yang terhasil akibat pengembangan atau pengecutan bahan yang disambungkan bersama. Misalnya, bagi paip besi atau plastik, ia menghasilkan bunyi berbeza yang boleh melepasi lantai atau dinding dan boleh didengar jauh daripada sumber asalnya.
Ada juga kes di mana ia terhasil akibat keriuhan kanak-kanak bermain atau perilaku jiran yang menjengkilkan. Maka di sinilah peranan sebagai jiran untuk cuba menyelesaikan isu ini secara harmoni dan tuntas agar memastikan semua orang hidup aman tanpa gangguan sebegini.
RUJUKAN:
Cheong, Alexis. (2020, 4 Mei). There’s No Ghost in Your Apartment, Here’s Why You Hear Marbles Noises at Night!. World of Buzz.
Lam, L. (2017). Complaints of noise from empty flat: Some issues defy explanation, says Tan Chuan-Jin. The Straits Times.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih