Kejahatan Yang Tidak Tersusun akan dikalahkan oleh Kebaikan yang Tersusun. Begitu juga kebaikan yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kejahatan yang tersusun. Sebenarnya pepatah ini ada kebenarannya kerana, dibalik kebaikan yang tidak tersusun ada kejahatan yang dirancang untuk menghancurkannya. Begitu juga dalam Politik dan Realiti dunia kini.
Kita beri sebuah contoh pemimpin Islam yang masyhur dalam Sejarah Islam. Kenal Sultan Muhammad Al-Fateh atau lebih dikenali Mehmed II? Kalau dilihat dari neraca Islamis, Sultan Mehmed II merupakan tokoh agamawan yang suci dari permainan politik ini. Namun, adakah dakwaan ini sepenuhnya benar? Jawapannya, sudah tentu tidak.
Kalau saya sebutkan dekrit, Fratricide yang digubal pada era Sultan Mehmed II merupakan sebuah undang undang bagi membunuh saudara sendiri jikalau berlaku pemberontakan. Kalau menurut neraca hitam dan putih, mana mungkin seorang Sultan yang Warak sanggup membunuh adindanya sendiri demi kuasa?
Sebab itu kita katakan bahawa, Politik itu tiada hitam atau putih. Tiada baik atau jahat. Yang ada hanyalah mereka yang terselamat dari kejahatan atau kebaikan dari pihak yang lain.
Kita beri contoh lagi, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi, Tokoh yang sering diangkat oleh pejuang Islamis yang menyatakan bahawa Sultan Salahuddin Al-Ayyubi merupakan seorang sultan yang warak dan ulama’. Tidak dinafikan jasanya dalam pengembangan agama Islam dan Ahl Sunnah Wal Jamaah di Mesir.
Tetapi, barang jangan kita lupa Sultan Salahuddin sewaktu ingin menyatukan umat Islam, baginda lebih banyak bertempur dengan pasukan Islam berbanding Salib. Emir Mosul, Emir Halab, dan emiriyyah yang lain enggan bersatu di bawah Panji Ayyubid menyebabkan kesukaran Sultan Salahuddin Ayyubi bagi menkonsolidasi kuasa Islam di rantau Arab.
Jadi, Sultan Salahuddin Ayyubi bertindak menyerbu negara negara ini. Kalau difikir sekali lagi, mana mungkin seorang Sultan yang faham akan agama membunuh saudara Muslim yang lain? Jelas, seperti saya ulang di atas, kebaikan yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kejahatan yang tersusun.
Oleh itu, sebagai Umat Islam kita hendaklah memandang sesuatu perkara itu dari segenap aspek bukan dari sebuah aspek sahaja. Baik atau Buruk itu kita serahkan kepada Yang Maha Esa bagi mengadilinya.




No comments yet