Sejak tapak kaki Bigfoot ditemui di Bluff Creek, utara California, Amerika Syarikat pada 1958, ia mencetuskan perdebatan sama ada makhluk ini wujud atau tidak. Bagi komuniti saintifik terutama antropologi, ia hanya mitos semata-mata. Tetapi bagi para saksi yang melihat makhluk ini, apa pula penjelasan yang boleh diberi?

Selama bertahun-tahun, hal ini membingungkan komuniti saintifik. Dalam sesetengah insiden, ia boleh dijelaskan sebagai tersilap identiti haiwan (beruang, rusa dan sebagainya), cuaca atau faktor muka bumi. Tetapi bagi yang pernah melihat atau bekas tapak kaki makhluk tersebut, mereka tahu ini haiwan yang belum diketahui secara saintifik.

Bigfoot atau nama lainnya seperti sasquatch sebagai makluk mawas serupa manusia. Ia berukuran 10 kaki tinggi, mempunyai berat melebihi 400 paun, mempunyai bahu lebar dan berjalan dengan dua kaki. Makhluk ini kerap dilihat di Amerika Utara dari Kanada dan utara New York hinggalah negeri Washington dan California.

Bagi yang masih enggan percaya, mereka percaya makhluk ini merupakan orang yang memakai kostum mawas. Apa saja bukti yang dikemukakan ditolak atas alasan ia tidak boleh dipercayai dan direka-reka.

Ini termasuk bukti paling kukuh berkenaan Bigfoot: rakaman video Bigfoot oleh Roger Patterson dan Bob Gimlin pada 1967. Patterson yang meninggal dunia pada 1972 masih percaya makhluk yang dirakamnya ialah Bigfoot. Bagi Gimlin pula menerusi satu temubual pada 2004, apa yang dilihatnya pada hari itu benar-benar berlaku dan tidak direka-reka seperti didakwa sesetengah pihak.

Rajah 1: Imej Bigfoot dari rakaman Patterson-Gimlin.

Terdapat empat faktor yang harus diambil kira bagi menyiasat kesahihannya. Pertama, disebabkan ia dirakam pada 1967, ini bermakna filem tersebut berdepan kekurangan dari segi kuantiti mahupun kualiti. Kedua, disebabkan ia digunakan dengan tangan, ini menunjukkan rakaman tersebut tulen. Sebarang rakaman yang direka-reka memerlukan kamera dipasang dengan tripod di lokasi tertentu.

Ketiga, ia boleh disiasat menggunakan kaedah penyiasatan forensik terkini. Kaedah sebegini belum wujud pada 1967, lantas pembikinnya pasti tidak menjangka atau menghasilkan bukti untuk memperkuat kredibiliti filem. Yang anehnya ialah ramai orang yang menolak kewujudan Bigfoot langsung tidak menggunakan teknik ini untuk membuktikan rakaman Patterson-Gimlin palsu atau tidak.

Akhir sekali, resolusi filem yang elok sudah pasti dapat menentukan sama ada pergerakan individu dalam Patterson-Gimlin ialah manusia memakai kostum atau Bigfoot sebenar. Dan ini sebenarnya sudah disahkan sebanyak dua kali untuk dua program terbitan History, MonsterQuest dan The Proof Is Out There.

Pada tahun 2007, produksi MonsterQuest menganalisis video Patterson-Gimlin melalui dua aspek. Pertama, pemeriksaan salinan filem sebenar Patterson-Gimlin menerusi mikroskop digital resolusi tinggi oleh penyelidik Dr Owen Caddy. Sementara Dr Jurgen Konczak dari Universiti Minnesota dan Dr Esteban Sarmiento (Muzium Sejarah Alam Semulajadi New York) pula menganalisis pergerakan individu dalam rakaman tersebut.

Ini bagi menentukan sama ada ia merupakan Bigfoot sebenar atau manusia yang memakai kostum. Cubaan Dr Konczak dan Dr Sarmiento untuk subjek eksperimen meniru pergerakan dalam rakaman Patterson-Gimlin gagal. Ini mendorong Dr Sarmiento berpandangan pergerakan tersebut bukan pergerakan manusia mahupun mawas.

Rajah 2: Eksperimen untuk meniru pergerakan subjek video Patterson-Gimlin tidak berhasil. Ini menunjukkan subjek tidak berjalan seperti manusia. Sumber: MonsterQuest: Bigfoot

Sementara pemeriksaan oleh Dr Caddy mendapati imej kepala individu tersebut hampir serupa dengan mawas atau primat. Tetapi disebabkan imej yang kabur, agak sukar untuk menentukan rupa sebenar makhluk tersebut.

Dan baru-baru ini, The Proof Is Out There menyiasat sama ada video Patterson-Gimlin ini sahih atau tidak. Bagi menganalisis video berkenaan, tanggungjawab itu dipikul pakar antropologi dari Idaho State University Dr Jeff Meldrum, saintis komputer Isaac Tian dan pakar kesan khas Hollywood Bill Muns.

Dengan teknologi terkini lebih 15 tahun selepas analisis MonsterQuest, ini membolehkan pasukan penganalisis menentukan sama ada individu dalam rakaman berkenaan manusia atau Bigfoot. Walaupun rakaman asal Patterson-Gimlin sudah tiada, pasukan pengkaji menghasilkan 22 salinan di mana semua salinan diintegrasikan dalam satu video penuh menerusi sebuah program AI.

Satu perkara yang diperhatikan ialah pergerakan kaki makhluk tersebut. Mereka mendapati pada bahagian tapak kaki makhluk itu, ia bengkok pada bahagian tengah tapak. Ciri ini biasa dilihat dalam kalangan haiwan primat seperti monyet, gorila dan beruk. Dapatan ini turut menolak dakwaan individu dalam rakaman Patterson-Gimlin ialah manusia memakai kostum monyet.

Rajah 3: Penganalisis percaya pergerakan individu dalam rakaman Patterson-Gimlin lebih mirip kepada pergerakan primat. Ini berdasarkan bengkok pada bahagian tengah tapak kaki, sesuatu yang biasa dilihat pada primat.

Dakwaan individu berpakaian kostum dalam rakaman tersebut semakin lemah dengan dapatan otot betis kelihatan dalam pergerakan individu yang dirakam. Kostum hanya menunjukkan bentuk badan pemakainya dan itu tidak berlaku dalam rakaman Patterson-Gimlin.

Analisis mendapati individu tersebut mempunyai berat melebihi 300 kg. Dengan ketinggian dan berat yang dinyatakan, agak sukar untuk menerima hujah itu merupakan manusia memakai kostum. Analisis pada bahagian belakang leher turut mendapati ia hampir serupa dengan spesies manusia terawal australopithecine yang wujud di Afrika Timur kira-kira tiga juta tahun lalu.

Rajah 4: Bahagian belakang leher subjek video Patterson-Gimlin hampir serupa dengan Australopithecine, manusia purba yang wujud tiga juta tahun lalu.

Dengan semua analisis yang dinyatakan, sudah tiba masanya rakaman ini tidak diketepikan begitu saja oleh komuniti saintifik. Tetapi satu-satunya cara untuk menghentikan polemik ialah sampel DNA atau ba.ng.kai Bigfoot. Selagi itu tidak berlaku, polemik Bigfoot akan terus diperkatakan untuk tahun mendatang.

RUJUKAN

MonsterQuest. (2007). Musim Pertama Episod Kelima: Bigfoot. History.

Pandey, S. (2021, 5 Disember). Bigfoot: Giant Hoax or Giant Hominid?. Ancient-Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.