Kalau sebut White House, semua orang tahu itu simbol kekuasaan tertinggi Amerika Syarikat. Tempat presiden jalani kehidupan, buat keputusan besar dan jadi wajah rasmi negara adikuasa dunia. Tapi tahukah anda, bangunan megah berwarna putih itu pernah dibakar sampai hangus oleh tentera British?
Ya, Rumah Putih yang kita tengok hari ini sebenarnya hasil daripada kebangkitan semula selepas tragedi besar tahun 1814!
Kisah ini bermula semasa Perang 1812, iaitu perang antara Amerika Syarikat dengan empayar Britain. Masa tu, Amerika baru je dua dekad merdeka. Tapi hubungan dengan bekas penjajah masih tegang. Britain mengenakan sekatan perdagangan dan menahan kapal Amerika di laut. Akhirnya, Amerika isytihar perang. Tapi mereka tak tahu, mereka baru cari pasal dengan kuasa tentera paling kuat di dunia pada masa tu.
Pada tahun 1814, British yang baru menang lawan Napoleon di Eropah mula alihkan tumpuan ke Amerika Utara. Tentera mereka mendarat di kawasan Maryland dan mula mara ke arah Washington D.C. Di situ, presiden ketika itu James Madison dan isterinya Dolley Madison sedang berusaha pertahankan ibu negara muda itu. Tapi segalanya berlaku terlalu pantas.
Pada 24 Ogos 1814, tentera British tiba di Washington. Tentera Amerika kalah teruk di Battle of Bladensburg. Presiden Madison terpaksa lari menyelamatkan diri. Sebelum keluar, Dolley sempat selamatkan potret besar George Washington dari dinding Rumah Putih yang kini jadi salah satu tindakan simbolik dalam sejarah Amerika. Tak lama lepas itu, British masuk ke bandar dan mula balas dendam.
Malam tu, tentera British bakar satu demi satu bangunan utama kerajaan Amerika. Rumah Putih, Capitol Building dan Treasury Department semua musnah dijilat api. Api yang marak dikatakan boleh dilihat dari sejauh berpuluh kilometer. Mujur sahaj, kebakaran berhenti selepas hujan lebat dan ribut petir besar melanda Washington malam itu.
Selepas serangan tu, British berundur. Mereka tak berniat nak jajah semula Amerika, cuma nak ajar “budak baru” ni erti kuasa empayar. Washington D.C. pula jadi padang jarak padang tekukur. Rumah Putih yang asal tinggal rangka batu hitam hangus. Tapi rakyat Amerika tak lama bersedih. Mereka bangkit semula dan memulakan pembinaan baru atas tapak sama.
Pembinaan semula Rumah Putih siap pada 1817 dan dicat putih sepenuhnya untuk menutup kesan hangus kebakaran. Dari situlah muncul nama “White House” yang kekal sampai hari ini. Ironinya, nama tu bukan direka untuk glamor, tapi untuk sembunyikan parut sejarah!
Peristiwa ni jadi titik penting dalam identiti Amerika. Ia ajar mereka bahawa kemerdekaan adalah tentang kemampuan bangkit semula selepas jatuh. Bayangkan, bangunan yang pernah dijilat api musuh kini jadi antara simbol paling terkenal di dunia. Dari situ juga lahir semangat patriotik Amerika yang sering mereka banggakan, semangat “we will rebuild.”
Jadi ya, White House yang kita lihat sekarang bukan bangunan asal, tapi versi kedua hasil daripada tragedi 1814. Siapa sangka, mahligai dan istana presiden paling berkuasa di dunia pernah terbakar. Bukan sebab kecuaian, tapi hasil dendam penjajah yang satu ketika dulu mahu buktikan, kuasa dunia belum berpihak pada Amerika Syarikat.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




