Bila kita tengok movie Alice Through the Looking Glass (2016), awal-awal lagi diorang ada tunjuk ada tiga buah kapal Melayu yang gah mengejar kapal persendirian dari London milik Alice.
Babak ni berlatar tempat di Selat Melaka dan latar masanya sekitar tahun 1874.
Anak kapal Alice ni siap cakap ada lanun Melayu kepung diorang.
Persoalannya, memang ada ke lanun Melayu ni?
Laut mana-mana pun sentiasa ada lanun.
Tapi boleh jadi diorang ni kumpulan pelaut yang diamanahkan menjaga perairan oleh pemerintah atau sememangnya lanun Melayu yang ada undang-undang tersendiri.
Ini yang dikatakan memahami perspektif pandangan mengikut kecenderungan sentimen sesebuah negara. Memahami sempadan perspektif itu, maka kita setuju.
Sebenarnya, berdasarkan rekod arkib dan perpustakaan dalam dan luar negara, isu pelanunan ni jadi duri dalam daging kepada British pada akhir abad ke-19.
Kegiatan ni mengganggu aktiviti perdagangan ketika itu. Antara kapal dagang yang jadi mangsa ialah Malacca, Sultana dan Lord Melbourne (Britain) sementara Sabine dan A.S. Friendship didaftarkan di Perancis.
Situasi ni mengundang publisiti negatif seperti tajuk akhbar New York Times bertarikh 14 Jun 1874 ini, ‘Malay Pirates. The Slaughter of Ship’s Crew – Quick Retribution’.
Mungkin penulis novel Alice in Wonderland ambil dari sini jugak la untuk buat cerita pasal Selat Melaka ada lanun. Novel Alice Through the Looking Glass terbit pada 1871.
Mungkin perspektif negatif pasal lanun di Selat Melaka dah membarah dan jadi buah mulut di Eropah sampai jadi inspirasi penulis novel Alice ni.
Publisiti negatif ni bagaimanapun menyapu rata semua. Pejuang-pejuang tempatan pun tak terkecuali jadi mangsa label tak bertanggungjawab British seperti yang dihadapi pejuang-pejuang Kedah.
Semasa konflik tercetus antara Kedah-Siam, tindakan pejuang-pejuang seperti Tunku Muhammad Saad, Tunku Kudin dan Tengku Long Puteh menyerang dan merampas kapal Siam untuk paksa Siam berundur.
Tapi, bagi Britain terutamanya Gabenor Pulau Pinang ketika itu, Robert Ibbetson, anggap ni sebagai aktiviti pelanunan.
Buktinya, ini berdasarkan arahannya kepada Pesuruhjaya Polis Province Wellesley berbunyi, “… any person residing there who aid or abet the ex-Sultan of Kedah in making ini attack on Kedah “will be treated as pirates.”
Malah semasa Perjanjian Burney yang dimeterai pada tahun 1826, kegiatan lanun dijadikan alasan oleh British untuk menangkap pejuang-pejuang Kedah.
Dua kapal digerakkan oleh Ibbetson iaitu H.M Wolf digunakan untuk mengepung Kuala Kedah sementara Crocodile pula digunakan untuk menyekat dan menahan pejuang-pejuang Kedah.
Kesemua yang ditahan dibicarakan atas kesalahan lanun tetapi dibebaskan oleh mahkamah kerana ketiadaan bukti kukuh.
Di Selangor pula, alasan kegiatan lanun digunakan oleh British untuk menekan Sultan Abdul Samad.
Satu insiden dijadikan isu ialah insiden rompakan dan rampasan dagangan sebuah perahu sekoci oleh 20 orang lanun di Kuala Sungai Jugra pada 16 November 1873.
Masa tu, perahu ni dalam perjalanan pulang dari Langat menuju ke Melaka dan diketuai Nakhoda Haji Abdul Rahman.
Serangan tu menyebabkan lima awak-awak terbunuh dengan seorang awak-awak terselamat. Ini mengakibatkan satu siasatan dijalankan pihak British sehingga tahun 1874.
Sebenarnya orientalis barat terlupa sesetengah kegiatan lanun yang berlaku di Selat Melaka masa tu pun turut membabitkan kongsi-kongsi gelap Cina.
Nicholas Tarling dalam bukunya ‘Piracy and politics in the Malay world: a study of British imperialism in nineteenth-century South-east Asia’ kata “Nevertheless only petty piracy now remained, for many of the subordinate chiefs had turned to tin-mining, utilising Chinese labour and Settlement capital.”
Perkataan lanun ni pertama kali digunakan dalam teks Tuhfat al-Nafis yang ditulis pada tahun 1872.
Teks tersebut merujuk lanun kepada suku kaum dari Tempusuk yang membantu Sultan Mahmud menghalau Belanda dari Riau pada tahun 1781.
Begitu juga dengan Kesah Pelayaran Abdullah yang ditulis sekitar tahun 1880-an masih merujuk kepada kumpulan perompak suku Lanun atau Iranun (Illanun).
Namun dari konteks British, diorang pukul rata je menyamakan aktiviti lanun dengan kegiatan rompakan dan kecenderungan ini sudah dapat dikesan sejak abad ke-18 lagi.
Beberapa sejarawan tempatan pernah menyangkal pasal istilah lanun ni. Antaranya ialah Profesor Dr Cheah Boon Kheng dan Prof Madya Ahmad Jelani Halimi.
Profesor Dr Cheah Boon Kheng sangkal dakwaan bekas wartawan Australia, Alex Jorsey yang kata orang Melayu tiada sejarah selain jadi perompak lanun.
Prof Cheah ada kata yang tulisan Tarling dalam Piracy and Politics in the Malay World sebenarnya menunjukkan betapa pihak British “membesar-besarkan peristiwa perompak lanun dan menggunakan istilah itu untuk mengisahkan perompak-perompak lain dan keganasan yang dihadapinya.”
Prof Madya Ahmad Jelani Halimi pula dalam bukunya Perdagangan dan Perkapalan di Alam Melayu Abad Ke-15 hingga Ke-19 kata istilah lanun yang suka digunakan pihak Barat sebagai tidak tepat dan kebanyakan peristiwa yang direkodkan lebih menjurus kepada aktiviti rompakan laut selepas mengambil kira ciri-ciri lanun yang dikemukakan sejarawan-sejarawan Barat dan manuskrip Nusantara seperti Tuhfat al-Nafis dan Misa Melayu.
Lanun memang ada di Selat Melaka, tapi label lanun yang dilempar penjajah Barat ke atas pemerintah dan orang Melayu hanyalah sekadar alasan untuk menjustifikasikan penjajahan mereka di Alam Melayu.
Tindakan yang dianggap sebagai pelanunan itu hanyalah bertujuan mendapatkan semula hak mereka yang dinafikan melalui penipuan yang wujud dari perjanjian-perjanjian yang dimeterai.
Oleh: Azizul Farhan
___
Kejap, orang Melayu ni pelaut yang handal? Menakluk lautan sampai Madagascar? Biar betul?
Korang boleh selam lebih dalam pasal ni dalam KITAB TAMADUN MELAYU. Ayuh dapatkan segera, boleh dapat kalendar sekali ni!

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Leave A Reply