Selalunya bila kita bercakap pasal baka-baka kucing ni, kebanyakan daripada mereka ni masih lagi satu spesis yang sama yakni berindukkan kucing hutan Afrika. Namun, kita juga ada baka kucing yang wujud melalui percampuran spesis kucing domestik dengan spesis kucing di hutan. Antara baka tersebut ialah kucing Bengal.
Kucing Bengal ini merupakan kucing yang dibiak antara kucing domestik (Felis catus) dengan kucing batu (Prionailurus bengalensis). Daripada namanya sahaja kita boleh nampak bukan sahaja dua kucing ni berbeza spesis, bahkan juga berbeza genus. Sebagai perbandingan, harimau (Panthera tigris) dan singa (Panthera leo) masih sama genus (Panthera).
Disebabkan perbezaan ini, maka lazimnya anak daripada perkahwinan beza spesis dan genus ni memang akan mendatangkan anak yang mandul. Misalnya, selembu (seladang + lembu) dan sirimau (singa + harimau) ni semuanya mandul. Benda yang sama juga berlaku pada kacukan kucing domestik dan kucing akar. Cumanya, hanya kucing jantan dari kacukan kucing-kucing ni je yang mandul. Kucing betina dari hasil kacukan ni pula masih subur.
Oleh itu, sewaktu baka kucing Bengal ni nak diwujudkan, pembiak kucing ni mula-mula kahwinkan kucing domestik dengan kucing akar dulu. Anak kucing betina generasi pertama (F1) dari hasil tersebut akan dikahwinkan pula dengan kucing domestik lain. Anak kucing betina generasi kedua (F2) ni dikahwinkan pula dengan kucing domestik lain. Anak kucing generasi ketiga (F3) ni dikahwinkan dengan kucing domestik.
Hasilnya, dapatlah kita anak-anak kucing hibrid kucing batu-domestik generasi keempat (F4) yang bukan sahaja subur dan tak cacat pada kedua-dua jantina, bahkan juga mempunyai bulu yang sama cantik macam kucing akar tapi perangai macam kucing domestik. Anak-anak kucing hibrid ni dari F1-hingga F3 perangainya masih sama buas macam kucing akar, jadi tak selalunya orang tak ambik buat bela untuk generasi tersebut. Hanya F4 yang dibuat bela sebab sudah jinak dan manja macam kucing biasa.
Melalui benda ni, kita boleh nampak macam mana pembiakan tu dibuat untuk menjinakkan haiwan dengan membuang gen-gen buas dan dimasukkan dengan gen-gen jinak dari spesisnya yang domestik. Benda yang sama juga kita boleh lihat pada evolusi serigala dan anjing. Bila manusia mula biakkan serigala, mereka memfokuskan pada gen-gen dan ciri-ciri yang jinak, sekaligus mewujudkan anjing yang yang sangat jinak pada manusia tapi sangat menakutkan untuk haiwan lain persis serigala dengan buruannya.




No comments yet