Dalam lipatan sejarah manusia, pemberontakan yang diketuai oleh figura ajaran sesat didorong oleh pelbagai motif. Ada didorong oleh motif kekuasaan seperti Musailamah al-Kazzab atau sekadar kebebasan mengamalkan ajaran sendiri. Jika ditanya penulis tentang Pemberontakan Taiping, ia didorong oleh faktor pertama yang ditampilkan menerusi ketuanya, Hong Xiuquan.

Hong Xiuquan

Lahir di Guandong, China pada 1 Januari 1814, tempoh tersebut dianggap era bergelora Dinasti Qing. China pada ketika itu baru saja dalam Perang Candu. Susulan kekalahan berkenaan, China terpaksa membuka pintu sempadan antarabangsanya – sesuatu yang akan dialami negara jiran Jepun berpuluh-puluh tahun kemudian. Pembukaan pintu sempadan membolehkan para mubaligh Kristian bertapak di China.

Jika diamati, sejarah Xiuquan hampir sama dengan kisah seseorang yang bermisai pendek dari Jerman. Kedua-duanya gagal dalam perkara yang diminati (lukisan si misai pendek banyak kali ditolak sementara dia beberapa kali gagal melepasi peperiksaan kerajaan). Kedua-duanya juga dianggap orang terpinggir dan tiada harapan untuk berjaya. Akhir sekali, kedua-duanya meninggalkan jejak berdarah selepas mengetuai organisasi/kerajaan masing-masing (si pendek ialah diktator semasa WWII dan Xiuquan mengetuai pemberontakan).

Dalam kes Xiuquan, kegagalan melepasi peperiksaan kerajaan membuatkan dia rasa tidak berguna sehingga mengundang kebimbangan keluarga. Semasa dalam keadaan tidak sedarkan diri inilah, dia didatangi oleh Jesus dan diberitahu untuk bangkit dan memerangi syaitan-syaitan yang wujud di dunia. Dalam satu kisah lain, dia bermimpi melihat Confucius ditangkap oleh malaikat sebelum disebat atas perilaku buruknya.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Sebaik dia bangun, Xiuquan tidak memahami semua mimpinya itu. Apabila dia cuba menceritakannya kepada orang lain, mereka melihat mimpi-mimpi sebegini sebagai mainan tidur. Tetapi sebaik dia melihat risalah yang mengandungi petikan-petikan ayat New Testament yang diterimanya, sedarlah Xiuquan orang yang dilihatnya itu ialah Jesus.

Dengan berpandukan kitab-kitab Kristian yang diterjemah ke Bahasa China, dia mula membuat tafsiran sendiri berkenaan mimpinya. Syaitan dalam mimpinya merujuk kepada Dinasti Qing di mana kejahatan mereka perlu dibanteras. Tetapi tafsiran mimpi Confucius yang mendorong Xiuquan membuat satu kesimpulan mengejutkan: dia merupakan adik Jesus!

Kesimpulan ini yang mendorongnya menubuhkan sebuah gereja yang dipanggil God Worshippers’ Society (Persatuan Penyembah Tuhan). Kefasihannya menyampaikan dakyah Kristian dalam Bahasa Cina menarik minat ramai orang ketika itu termasuk golongan petani dan orang Hakka. Disebabkan pengaruhnya itu, ramai mubaligh Eropah menyimpan hasad terhadap Xiuquan. Ini termasuk melabel pergerakan gereja tersebut sebagai menyeleweng.

Di sebalik semua usaha ini, pergerakan tersebut telah mengumpul lebih 20,000 orang pengikut sekitar 1850. Pertambahan pengikut yang ramai mula membuatkan Beijing merasa resah lalu mengarahkan sepasukan tentera diutus ke Jintian untuk menamatkan pergerakan tersebut pada Januari 1851. Walaupun dari segi angka, tentera Qing mempunyai kelebihan, angkatan Xiuquan berjaya mengalahkan mereka.

Tapak Pemberontakan Jintian di Jintian, Guangxi, Guiping.

Susulan kejayaan itu, Xiuquan menggelar dirinya sebagai penyelamat Taiping Tianguo (Kerajaan upSyurga Aman Agung). Dan ini juga menandakan permulaan pemberontakan Taiping yang hampir-hampir merobek kekuasaan Dinasti Qing.

Walaupun mempunyai tentera yang ramai, sejarawan Jonathan Fenby melihat tentera dinasti berkenaan sebagai lemah. Ini kerana ramai tentera Qing dianggap korup, terjebak dalam ketagihan candu dan tidak cekap. Walaupun kerajaan boleh saja mengupah tentera upahan untuk menyokong mereka, Fenby melihat mereka jauh lebih teruk daripada tentera kerajaan.

Menjelang 1853, bilangan pengikut Xiuquan meningkat kepada dua juta orang. Menurut Profesor Wang Gungwu dari Universiti Negara Singapura (National University of Singapore), dua faktor pemberontakan Taiping mendapat sokongan ialah sentimen anti-Qing akibat Perang Candu dan penentangan golongan miskin terhadap tuan tanah mereka.

Kekalahan China dalam Perang Candu menyemarakkan sentimen anti-Qing dalam kalangan rakyat.

Mana-mana individu boleh saja menyertai mereka dengan bebas. Semua tanah yang diusahakan dimiliki secara kolektif. Tetapi lelaki dan perempuan dipisahkan – ironi memandangkan Xiuquan mempunyai harem gundiknya sendiri. Selain itu, pemberontak Taiping juga bersikap ganas terhadap musuh mereka. Prof Gungwu menambah, dengan perlakuan sebegitu, mereka membunuh orang China lebih ramai daripada tentera Qing.

Merasakan pemberontakan ini bakal memberi kesan bukan saja kepada Dinasti Qing tetapi juga kepentingan Barat, kedua-dua pihak memilih bergabung dan memerangi pemberontak Taiping. Keadaan ini dibantu oleh perpecahan yang timbul dalam kalangan ahli Taiping Tianguo dan sikap acuh tak acuh Xiuquan terhadap para pengikutnya.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Begitupun, usaha pembanterasan yang digerakkan pihak Qing bagaimanapun lebih ganas, Mana-mana kampung yang disyaki menyokong Taiping Tianguo akan dihapuskan. Menurut keterangan seorang saksi, dia melihat ratusan mayat yang hanyut di sebatang sungai di Guangzhou.

Satu persatu kota yang dikawal pemberontak Taiping tumbang di tangan tentera Qing. Tentera dinasti tersebut turut mendapat sokongan senjata moden daripada kuasa-kuasa Barat termasuk Britain. Memandangkan pihak pemberontak lebih suka berlawan hingga ke titisan darah terakhir, bilangan kematian terus meningkat.

Menjelang 1864, pihak Qing mengepung markas pemberontakan di Nanjing. Xiuquan, individu yang bertanggungjawab mencetuskan kegilaan ini mati akibat racun. Tidak diketahui sama ada dia dibunuh, bunuh diri atau terambil takaran candu berlebihan. Tetapi jika dia membunuh diri, ia merupakan satu lagi persamaan dengan lelaki aneh dari Jerman itu.

Imej moden bandar Nanjing.

Sebaik saja Nanjing jatuh, pengikut-pengikut Xiuquan memilih untuk membunuh diri. Tentera Qing turut menangkap anaknya yang berusia 14 tahun bernama Hong Tianguifu. Walaupun menafikan kaitannya dengan pemberontakan Taiping, Dinasti Qing mengarahkan dia dihukum mati secara lingchi.

Dan bagi memastikan Xiuquan tidak akan aman walaupun selepas mati, mayatnya dikeluarkan dari sebuah kubur sebelum disumbat ke dalam meriam. Setelah itu, meriam ditembak sekaligus mengakibatkan mayat pemimpin pemberontak itu bertukar menjadi cebisan. Ini sebagai hukuman kerana mencetuskan pemberontakan Taiping dan menentang Dinasti Qing.

Pemberontakan Taiping menyaksikan lebih 20 juta orang terbunuh. Pemberontakan itu tersenarai sebagai antara lima konflik paling berdarah dalam sejarah manusia. Oh, ya. Sedikit ingatan, bandar Taiping, Perak tiada kena-mengena dengan kisah pemberontakan ini.


Sejarah Cina sememangnya meluas, dengan unsur kebudayaan serba unik. Dalam buku ini, anda disajikan mukadimah yang mudah untuk mengikuti denai sejarah agar dapat memahami kebudayaan Cina sendiri. Dapatkan melalui: https://shopee.com.my/Kitab-Tamadun-Cina-Ayman-Rashdan-Wong-i.238336777.21315812272?

 

RUJUKAN

Gracie, C. (2012, 18 Oktober). Hong Xiuquan: The rebel who thought he was Jesus’s brother. BBC News.

Wong, N. (2022, 19 Februari). How a Chinese ‘messiah’ caused one of history’s bloodiest uprisings. Free Malaysia Today.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply