Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Beradabkah Aku Sebagai Seorang Islam?
Mutiara Islam

Beradabkah Aku Sebagai Seorang Islam?

Seorang anak kecil apabila berjalan di
hadapan orang tuanya pasti dia akan sedikit membongkokkan badan. Seorang wanita
yang bergelar isteri tiada dibenarkannya untuk meninggikan suara terhadap suami
yang dianggap ketua keluarga. Seorang anak murid yang sememangnya rendah ilmu
dan cetek pengetahuan berkenaan kehidupan tidaklah elok seandainya dia berucap
yang kasar lagi kesat terhadap gurunya.

Kerana Islam itu mengajarkan adab dan
pekerti yang elok lagi halus budi. Adab itu besar ruang lingkupnya. Tentang
perilaku, halusnya pertuturan, kebaikan, kesantunan budi, ketinggian akhlak dan
murahnya kemaafan. Semua perkara yang tersebut diajarkan oleh Islam.

Justeru, selayaknya adab itu diberikan kepada ibu dan ayah, kepada para guru dan masyaikh yang kesemuanya telah banyak berkorban serta berkeringat buat sekelian umat, setinggi-tinggi dan adab yang paling agung seharusnya diberikan kepada orang yang perjuangannya paling mulia. Perjalanannya yang penuh dengan darah dan duka. Hati yang penuh dengan kesan luka dan koyak. Hanya kepada Maha Pencipta tempatnya mengadu dan melepaskan segala gelisah dan tangis. Tidak lain dan tidak bukan dia ialah junjungan besar lagi mulia Nabi Muhammad SAW.

Nabi Muhammad SAW tidak pernah sesekali berasa lelah dan kesal dalam memberikan pengajaran dan pendidikan kepada umat. Setiap hari dalam lebaran kehidupannya tidak Baginda biarkan berlalu kecuali setelah memberikan didikan dan mencurahkan cinta kepada umatnya. Risalah yang telah dipertanggungjawabkan ini Baginda sampaikan dengan penuh hemat dan cermat sehingga tiada satu pun ajarannya terlepas untuk diajarkan.

Oleh hal yang demikian, suka kita ingatkan kepada pembaca bahawa dalam naskah yang serba kurang ini akan banyak dijumpai istilah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (SAW). Jadi, kita; yang serba kurang, berasa tergerak hati ini untuk berkongsi berkaitan hal sebenar berkaitan istilah ini. Kita bukanlah golongan alim ulama’ yang autoritinya tinggi dan mulia.

Kita ini hanya seorang anak muda yang
gemar akan membaca dan mengumpul maklumat sini dan sana. Jadi, apalah kiranya
kita berkongsi tentang bacaan dan maklumat ini kepada pembaca sekalian yang
sememangnya sediakala tinggi ilmunya berbanding diri yang kerdil ini.

MAKNA DI SEBALIK KALIMAH.

Istilah yang disebutkan di atas sebenarnya terdiri ia daripada dua bahagian. Pertamanya ialah istilah sallah yang letaknya pada kalimah sallahu dan keduanya pada istilah sallam pada bahagian wa sallam. Kalau kita tidak salah (betulkan andainya kita silap), kedua-dua kalimah tersebut adalah merupakan sebagai satu bentuk doa kepada Baginda Nabi Muhammad SAW. Bukankah Allah SWT ada berfirman,     

“Sesungguhnya Allah SWT dan para
malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Wahai orang-orang yang
beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi Muhammad SAW dan ucapkanlah salam
kepadanya
”

(al-Ahzab : 56)

Menurut pendapat sekalian ulama’ yang rajih, erti yang tersirat daripada bahagian pertama adalah permohonan kepada Allah SWT memberikan ketinggian dan kemuliaan darjat, kedudukan serta kehormatan kepada Nabi Muhammad SAW. 

Hal ini demikian kerana, sebagai seorang
manusia yang rendah martabatnya dan biasa-biasa saja, umat Islam tiadalah mampu
serta daya untuk memuji Baginda dengan pujian yang tinggi serta mencukupi demi
memenuhi haknya terhadap diri mereka. Maksud di sini ialah sekalian umat Islam
sesungguhnya tidak akan mampu untuk membalas jasa dan budi Baginda Nabi
Muhammad SAW tanpa pertolongan serta pujian yang paling lengkap daripada Allah
SWT.

Adapun dalam bahagian yang kedua iaitu pada kata sallam itu merupakan satu bentuk doa supaya Gusti Pangeran Allah SWT dengan rahmat dan hidayah-Nya membebaskan Baginda berserta sekalian umatnya daripada segala perkara yang batil selama perjuangan dakwah masih diteruskan. Inilah satu bentuk penyandaran dan pengharapan yang mulia kerana tiadalah satu bentuk kuasa mana-manapun yang mampu memberikan naungan selamat berserta rahmat selain daripada-Nya.

BAGAIMANA PULA DENGAN HUKUMNYA?

Orang sekarang ini sudah bijak pandai otaknya. Pemikiran semakin berevolusi seiring dengan zaman. Setiap perkara harus mempunya dalil, sumber dan sebab diharuskan ini dan diharuskan itu. Menurut pandangan yang rajih berkaitan dengan penulisan atau pengucapan (lafaz) istilah sallallahu ‘alaihi wasallam tatkala nama Baginda Nabi Muhammad SAW disebut, ia merupakan sebuah kewajipan. Perkara ini dapat disandarkan kepada hadis yang berbunyi,

“Orang yang kikir adalah mereka
yang apabila namaku disebut (atau ditulis) namun di sisinya mereka tidak
berselawat kembali ke atasku (sallallahu ‘alaihi wasallam).
”

(HR. at-Tirmidzi)

Oleh hal yang demikian, maka sudah terang lagi bersuluh bahawa tidak membaca selawat untuk Baginda Nabi Muhammad SAW apabila namanya disebut atau ditulis merupakan satu bentuk ketidaksopanan dan tiada beradab. Sehubungan dengan itu, Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran sebagai satu dorongan kepada umat manusia untuk senantiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW,

“Sesungguhnya, Allah SWT dan para
malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Hai orang-orang yang
beriman, berselawatlah kalian untuk Nabi Muhammad SAW dan ucapkanlah salam
penghormatan kepadanya.
”

(al-Ahzab : 56)

KEUTAMAAN BERSELAWAT.

Begitu banyak keutamaan yang diriwayatkan oleh para ulama’ berkenaan selawat kepada Nabi Muhammad SAW ini. Antara yang acapkali didengari adalah,

“Barangsiapa yang berselawat
kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali pula.
”

(HR. Muslim)

Ibnu Mas’ud pula ada meriwayatkan bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,

“Orang yang palik berhak
mendapatkan syafa’atku kelak pada hari kiamat ialah mereka yang yang paling
banyak berselawat untukku.
”

(HR. at-Tirmidzi)

Nabi Muhammad SAW ialah insan yang paling mulia darjatnya dan merupakan utusan terakhir kepada umat Allah SWT di muka bumi ini. Tentu saja Allah SWT tidak mengutuskan Baginda yang serba-serbi mulia tanpa diiringi dengan sekalian berkat dan rahmat buat sekelian alam.

Orang biasa pun boleh diberi gelar Tuan-tuan, Yang Berbahagia, Buapak-buapak, Pangeran, Raden dan Prabu Gusti padahal mereka tidak memberi apa-apa syafa’at dan faedah sewaktu di Padang Mahsyar nanti. Itu pun andai tersalah disebutnya maka dicacilah orang yang menyebut itu. Dianggap dungu dia kerana tidak tahu adat-istiadat berhormat. Tetapi bagaimana pula halnya yang apabila mendengar sallallahu ‘alaihi wasallam, bibirnya bungkam diam seribu bahasa? Padahal ‘dia’ lah nanti yang bakal menyelamatkan sekelian umat manusia menuju titian siratal mustaqim.

Ralat bukan? Tepuk dada, tanya iman.

FAEDAH DAN KELEBIHAN BERSELAWAT.

“Orang yang palik berhak mendapatkan
syafa’atku kelak pada hari kiamat ialah mereka yang yang paling banyak
berselawat untukku.”

(HR. at-Tirmidzi)

Kebaikan yang ada pada Nabi Muhammad SAW begitu banyaknya dan tidak terhitung. Apabila seseorang menyimpan cinta dan rindu kepada kekasihnya, sewajarnya dia sering menyebut dan meratib nama pasangannya sehingga berjatuhan air mata. Perasaan rindu hanya akan dilenyapkan apabila sang kekasih mula membalas dan menyahut panggilan rindu. Perasaan kasih dan rindu mendorong seseorang tidak merasa jemu untuk berulang-ulang kali menyebut nama kekasihnya.

Justeru, Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang paling rindu kepada umatnya. Sayang dan cinta Baginda melebihi rasa kasih terhadap nyawanya sendiri. Dalam setiap gerak-geri, tiada satu detik pun perihal umatnya dilupakan. Untuk memanifestasikan rindu, dapatlah bersama umat zaman sekarang memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW yang terkandung pelbagai manfaat. Antaranya:

  • Orang yang paling mulia di akhirat.

“Sesungguhnya manusia yang paling
utama di sisiku pada hari kiamat ialah mereka yang banyak memberikan selawat
kepadaku
”

(HR. at-Tirmidzi)

  • Allah SWT berselawat ke atasnya sebanyak
    10 kali.

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku
satu kali, maka Allah akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali pula.”

(HR. Muslim)

  • Mendapat syafa’at dan perlindungan Nabi
    Muhammad SAW di akhirat kelak.

“Orang yang palik berhak mendapatkan
syafa’atku kelak pada hari kiamat ialah mereka yang yang paling banyak
berselawat untukku.”

(HR. at-Tirmidzi)

  • Doa tidak makbul jika tidak diiringi
    selawat.

“Sesungguhnya, doa akan terhenti di
antara langit dan bumi . Tidak akan akan naik sedikitpun sehingga kamu
berselawat kepada nabimu.
”

(HR. at-Tirmidzi)

  • Keutamaan berselawat pada hari Jumaat.

“Sesungguhnya, hari yang paling
utama bagi kamu adalah pada hari Jumaat. Maka, perbanyaklah selawat kepadaku
pada hari itu kerana sesungguhnya bacaan selawat kamu itu akan diperlihatkan
kepadaku.
”

(HR. Abu Daud)

            Bahkan,
ulama’ al-Syeikh Abdul Kadir al-Jailani RA juga ada memberikan penjelasan
terhadap kelebihan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau menulis di dalam
kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah bahawa daripada Ibnu Farhun dalam
kitab Haqa’iq al-Anwar,

“Berselawat kepada Nabi Muhammad
SAW itu terdapat padanya 42 macam jenis kelebihan.
”

            Di
sini, kita akan cuba sampaikan pembacaan yang telah kita lakukan untuk tatapan
semua.

  • Sebagai satu bentuk pelaksanaan perintah
    kepada Allah SWT.
  • Bersamaan dengan selawat Allah kepada
    Baginda Nabi Muhammad SAW.
  • Bersamaan dengan selawat para malaikat.
  • Mendapat ganjaran 10 kali ganda selawat
    daripada Allah SWT atas setiap satu selawat yang diucapkan kepada Nabi Muhammad
    SAW (selawat daripada Allah SWT bermakna rahmat).
  • Dianugerahkan oleh Allah SWT 10 darjat
    atas setiap satu selawat yang diucapkan.
  • Dituliskan oleh malaikat 10 kebaikan atas
    setiap satu selawat yang diucapkan.
  • Dihapuskan 10 keburukan dan kejahatan
    oleh Allah SWT atas setiap satu selawat yang diucapkan.
  • Segala bentuk doa akan mudah
    diperkenankan oleh Allah SWT.
  • Mendapatkan syafa’at langsung daripada
    Baginda Nabi Muhammad SAW pada hari akhirat kelak.
  • Diberikan keampunan serta ditutup segala
    aib oleh Allah SWT yang bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim.
  • Pintu-pintu duka dan lara akan ditutup
    oleh Allah SWT yang Maha Berkuasa.
  • Dikurniakan makam yang darjatnya sangat
    hampir kepada Baginda Nabi Muhammad SAW.
  • Mendapatkan darjat dan gelar al-Siddiq.
  • Dikabulkan segala permintaan dan hajat.
  • Mendapat kesejahteraan pada hari kiamat.
  • Allah SWT dan para malaikat akan
    berselawat kembali kepada sesiapa yang mengucapkan selawat untuk Nabi Muhammad
    SAW.
  • Mendapatkan khabar berita gembira dan
    ganjaran syurga oleh Allah SWT.
  • Memperoleh kesejahteraan pada saat
    kehuru-haraan hari kiamat kelak.
  • Nabi Muhammad SAW akan menjawab salam
    (selawat) yang diberikan secara langsung dan tanpa adanya orang perantara.
  • Mendapatkan kemudahan dalam mengingat
    apa-apa perkara yang terlupa.
  • Dianugerahkan kedudukan yang baik dan
    mula pada hari kiamat dan tidak akan berduka lara pada hari tersebut.
  • Tidak akan merasakan kefakiran.
  • Terpelihara – dengan izin Allah –
    daripada sifat bakhil apabila selawat dibacakan.
  • Mendapatkan kesejahteraan daripada
    doa-doa Nabi Muhammad SAW.
  • Selawat yang diucapkan akan menghantarkan
    pengucapnya ke arah jalan menuju ke syurga.
  • Seseorang yang bibir dan lidahnya basah
    dengan selawat akan dijauhkan daripada majlis-majlis yang tidak disebut padanya
    nama-nama Allah SWT dan Rasul-Nya – lagha.
  • Berselawat memberikan kesempurnaan
    terhadap kalam pujian kepada Allah SWT apabila dibacakan dalam doa. Maka akan
    disambut ia selepas itu dengan kalimah selawat atas Baginda Nabi Muhammad SAW.
  • Akan diberikan keselamatan tatkala
    melintasi titian siratal mustaqim pada hari kiamat kelak.
  • Disambut oleh Allah SWT dengan kata
    puji-pujian yang lembut dan lunak.
  • Mendapatkan balasan rahmat yang luas
    daripada Allah SWT.
  • Dikurnia akan orang yang senantiasa dia
    berselawat atas Nabi Muhammad SAW bermacam-macam keberkatan daripada Allah SWT.
  • Imannya akan disempurnakan.
  • Cinta dan kasih kepada Baginda Nabi Muhammad
    SAW yang sangat tinggi.
  • Dikaruniakan dia hidayah dan hati yang
    senantiasa mengingati Allah SWT.
  • Setiap selawat yang dibacakan akan
    dibentangkan di hadapan Nabi Muhammad SAW sendiri.
  • Hidupnya akan berpegang dan teguh
    pendirian terhadap kebenaran.
  • Di samping sebagai salah satu bentuk
    mensyukuri nikmat Allah SWT kerana mengutuskan Nabi Muhammad SAW kepada umat
    manusia, selawat juga dikira sebagai memenuhi sebahagian daripada hak Baginda
    yang harus dicukupi.
  • Berselawat juga dianggap seperti zikrullah.
    Orang yang lidah dan bibirnya sentiasa basah dengan zikir maka dia akan
    dikurniakan pelbagai nikmat dan rahmat oleh Allah SWT.
  • Berselawat melengkapkan pengertian dalam
    berdoa. Selawat yang dibaca oleh seseorang adalah dalam bentuk doa dan
    permohonan kepada Allah SWT di samping dapat mendatangkan tambahan pahala.
  • Gambaran wujudnya jasad Nabi Muhammad SAW
    akan menjelma dalam benak kalbu seseorang dan inilah antara kelebihan yang
    paling manis dan didambakan oleh semua orang.
  • Dikurniakan oleh Allah SWT makam seorang
    syeikh dan murabbi.
  • Mendapat kebahagiaan dan ketenangan hidup
    di dunia juga di akhirat.

Selesailah sudah kesemua kelebihan
berselawat atas Nabi Muhammad SAW yang dapat kita kongsikan melalui pembacaan
dan pengumpulan sana sini kerana diri ini tidak lain dan tidak bukan sekadar
umat picisan yang lebih dan bermandi dengan dosa. Jadi, tiadalah layak dan
hebat kita ini untuk mengulas dan memberikan pengetahuan perkara semisal ini
kerana tiadalah ilmu yang mencukupi melainkan dicukupkan dengan banyaknya
membaca serta berguru.

ADAB TERHADAP NABI MUHAMMAD SAW.

Nabi Muhammad SAW merupakan obor kebenaran yang dianugerahkan oleh Allah SWT sebagai penerang kegelapan sekalian umat. Baginda membawa risalah yang mengeluarkan manusia daripada kebobrokan dan kejahilan serta mengajarkan bahawa tauhid sebenar adalah Allah Yang Maha Esa.

Nabi Muhammad SAW jugalah insan yang
bakal membantu umatnya pada hari akhirat kelak. Syafa’atnya yang bakal
menyelamatkan segenap umat manusia daripada azab neraka. Justeru, adab dan
hormat terhadap Baginda harus sangat-sangat dijaga dan sentiasa diperlelok.
Antara adabnya adalah :

  • Berselawat apabila mendengar nama Baginda
    disebut. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,

“Celakalah seseorang apabila namaku
disebutkan di sisinya tetapi dia tidak berselawat ke atasku.
”

(HR. Ahmad, at-Tirmidzi dan
al-Hakim
)

  • Taat akan segala suruhan dan perintah
    Baginda kerana padanya tersembunyi kejayaan dunia serta akhirat. Allah SWT
    telah berfirman,

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan
taatlah kemu kepada Rasul-Nya dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling maka
ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan
(amanah Allah) dengan terang.
”

  • Mencintai Baginda dengan sepenuh hati
    melebihi cinta kepada yang lain. Sabda Baginda,

“Seseorang itu bersama sesiapa yang
dicintainya.
”

(HR. al-Bukhari dan Muslim)

  • Membaca dan mengambil pengajaran daripada
    sirah dan perjuangan Nabi Muhammad SAW yang mewariskan risalah ini dengan darah
    serta lelah.
  • Menjadikan Baginda sebagai suri tauladan
    tertinggi dan menjadikannya sebagai rujukan dalam apa-apa juga perbuatan dalam
    kehidupan.
  • Sentiasa ada waktu dan ruang untu
    berselawat kepada Baginda.
  • Yakin terhadap semua perilaku dab
    sabdanya tanpa ada sekelumit perasaan ragu dalam hati.

ADAB TERHADAP AHLI KELUARGA BAGINDA
(AHLUL BAIT).

Nabi Muhammad SAW merupakan manusia yang dititipkan padanya kemuliaan dan keberkatan. Maka, setiap perkara yang berkait rapat dengan Baginda juga tidak lari daripada terkena tempias kemuliaan ini. Umat Islam akhir zaman merupakan umat paling mulia berbanding umat-umat terdahulu. Atas dasar apakah hal ini terjadi? Kerana umat ini adalah umat Nabi Muhamad SAW.

Sehubungan dengan itu, disebabkan oleh mulianya Baginda, keluarganya (ahlul bait) juga selayaknya kita hormati dan sayangi selayaknya kita menjaga adab terhadap Nabi Muhammad SAW sendiri. Ahli keluarga Baginda merupakan keturunan yang mulia dan beriman berasal daripada kalangan Banu Hashim. Antara adab terhadap ahli keluarga Baginda yang digariskan oleh ulama’ :

  • Mencintai dan menyayangi mereka dengan
    niat untuk mendekaktkan diri kepada Nabi Muhammad SAW.
  • Membaca tentang sirah dan sejarah
    keluarga Baginda supaya dalam hidup akan adanya panduan untuk mendidik ahli
    keluarga mengikut acuan dan ajaran Nabi Muhammad SAW.
  • Menceritakan kepada anak-anak, isteri,
    ibu dan adik beradik tentang perihal ahli keluarga Baginda supaya dapat
    dijadikan contoh dan suri tauladan dalam menjalani hidup sehari-hari. Perkara
    ini seiring dengan suruhan Allah SWT yang berbunyi,

“Katakanlah, aku tidak meminta
kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.
Dan barangsiapa yang mengerjakan kebaikan, akan Kami tambahkan baginya kebaikan
pada kebaikannya itu. Sesungguhnya, Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha
Mensyukuri.
”

(as-Syura : 23)

ADAB TERHADAP PARA SAHABAT BAGINDA.

Para sahabat merupakan mereka yang berkesempatan untuk berada pada zaman Nabi Muhammad SAW serta dapat berkumpul bersama dengan Baginda dalam keadaan beriman dan mempercayai ajarannya. Lalu, para sahabat ini meninggalkan dunia dalam keadaan Muslim. Tidak ada keraguan lagi bahawa para sahabat ialah mereka yang berjuang bermati-matian di samping Nabi Muhammad SAW dalam setiap perjuangan Baginda.

 Jadi, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam yang mukmin dan muslim untuk beradab apabila berkata-kata tentang para sahabat ini kerana mereka semuanya mulia. Iman dan kepercayaan mereka sangat teguh dan tinggi. Antara adab yang digariskan adalah :

  • Tidak mempertikai sifat para sahabat yang
    sememangnya adil dan amanah serta tiada cacat celanya pada diri mereka.
  • Cintai dan sayangi mereka sebagaimana
    rasa kasih kepada Nabi Muhammad SAW.
  • Berikan ucapan radhiallahu ‘anhu setiap
    kali selepas menyebut atau membaca nama mereka kerana sesungguhnya Allah SWT
    sudahpun reda atas setiap seorang daripada mereka.
  • Tidak usah mencampuri konflik atau
    sibuk-sibuk mencari aib dan kesalahan mereka.
  • Pelajari sirah mereka dan ambil ibrah
    untuk kehidupan pada zaman yang penuh dengan kebobrokan ini.

KESIMPULAN.

Demikianlah yang dapat kita tuliskan sedikit sebanyak tentang adab yang harus dititikberatkan kepada Nabi Muhammad SAW. Bukan hendak menunjuk bijak dan handal kerana sesungguhnya di luar sana pasti ada orang-orang yang ilmunya tinggi melangit berbanding kita yang sekadar membaca dan mengumpul ke sana dan ke sini. Kerana itulah nilai hidup, demi melengkapkan nilai hidup yang tiada diajar di bangku sekolah maka pergaulan dan pembacaan menjadi teman akrab.                     

Kita bukanlah pandai mengarang berkenaan adab dan jika ada yang rasa kurang silakan rujuk pada kitab-kitab yang lebih masyhur dan tinggi nilainya seperti Riyadhus Solihin, Adab-Adab Syari’e, al-Fiqh al-Manhaj, Ihya’ atau Ihya’ Ulumuddin. Adapun tujuan penulisan adab ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai satu wadah untuk saling mengingatkan barang perkara yang mungkin pada awalnya ada dalam benak fikiran. Namun kerana dek kerana tiadanya orang yang mengingatkan, maka barang itu fanalah dia.

Sumber rujukan:

  1. Dr. Ramadhan al-Buthy. (2009). The
    Great Episodes of Muhammad SAW.
    Jakarta Selatan: Noura Books.
  2. Rusydi Ramli al-Jauhari. (2014). Biografi
    Agung Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam.
    Selangor: Mustread.
  3. HJ Abdul Hadi Awang. (2007). Fiqh
    al-Harakah Dari Sirah al-Nabawiyyah
    . Selangor: Dewan Pustaka Fajar.
  4. Syeikh Muhammad al-Khudori. (1996). Nur
    al-Yaqin: Kitab Sirah Rasulullah SAW
    . Kuala Lumpur: Pustaka Salam.
  5. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
    (2018). Kelebihan Berselawat Ke Atas Nabi Muhammad SAW. Dipetik
    daripada:

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet