Pada
zaman moden ini, bukan sedikit pasukan khas yang menjadi kebanggaan negara
masing-masing. Kita berbangga dengan kelibat anggota Pasukan Khas Laut
(PASKAL), Britain (Special Air Service (SAS) dan Special Boat Service (SBS))
dan Rusia (Spetsnaz). Tetapi pada masa silam terutama di Jepun, mereka juga
mempunyai pasukan khas tersendiri yang berkhidmat sama ada dengan Keshogunan
Tokugawa atau daimyo wilayah masing-masing. Pasukan ini yang kita kenali
sebagai ninja dan mereka bukan saja perisik tetapi juga komando setaraf dengan
pasukan khas keselamatan hari ini.
Sejarah ninja
Tidak
diketahui bagaimana sejarah ninja bermula kerana tiada rekod catatan dan jika
ada sekalipun, ia diselubungi dengan mitos-mitos. Cerita rakyat Jepun
menyifatkan golongan ninja ini merupakan keturunan syaitan yang mempunyai ciri
separuh manusia dan separuh burung gagak. Tetapi jika mengikut rekod
kontemporari, mereka merupakan pesaing kepada golongan samurai pada era awal
feudal Jepun. Kebanyakan sumber menunjukkan ninjutsu atau seni bayang-bayang
mereka ini mula dibangunkan antara 600 hingga 900 Masihi. Antara individu yang
bertanggungjawab membangunkan ninjutsu ialah Otomono Sahito yang direkrut
sebagai perisik shinobi oleh Putera Shotoku yang hidup antara 574 hingga 622
Masihi.
Pada
awal abad ke-10 yang menyaksikan kejatuhan Dinasti Tang, China bergelumang
dengan perang saudara dan pemberontakan yang berlangsung selama 50 tahun. Ini
memaksa jeneral-jeneral Tang melarikan diri ke Jepun. Semasa di tanah baru
inilah, mereka mengajarkan kelas pahlawan Jepun terutama ninja
strategi-strategi peperangan dan falsafah pertempuran. Pada awal abad ke-11
pula menyaksikan kehadiran sami-sami China yang membawa falsafah perang mereka
sendiri dan rahsia-rahsia berkenaan perubatan. Semua ilmu ini amat berguna
kepada kelas pahlawan Jepun dan membantu konflik mereka dengan daimyo-daimyo yang
menjadi pesaing tuan mereka.
Untuk
satu abad seterusnya, ia terus dibangunkan tanpa sebarang peraturan tetapi
semua itu berubah melalui kehadiran Daisuke Togakure dan Kain Doshi sekitar
abad ke-12. Togakure merupakan seorang samurai tetapi selepas tewas dalam
peperangan, beliau terpaksa menyerahkan gelaran samurai dan tanah yang
dimilikinya kepada pihak yang menang. Biasanya jika mengikut kod Bushido,
seorang samurai itu harus melakukan seppuku untuk memastikan maruahnya tidak
tercemar tetapi itu tidak dilakukan oleh pahlawan berkenaan. Sebaliknya,
Togakure mengembara ke kawasan pergunungan di barat daya Honshu dan bertemu
dengan Doshi, seorang sami pahlawan China yang duduk dalam buangan di Jepun.
Beliau tidak lagi mengamalkan Bushido dan kedua-duanya membangunkan taktik
perang gerila yang kita kenali hari ini sebagai ninjutsu. Dari situ juga,
Togakure dan keturunannya menubuhkan sebuah sekolah ninja pertama bernama
Togakureryu.
Ninja
datang dari latar belakang yang berbeza. Ada yang datang dari latar belakang
samurai seperti Togakure di mana mereka kalah dalam peperangan atau
disingkirkan daimyo mereka tetapi enggan melakukan seppuku. Menurut Jinichi
Kawakami, antara mahaguru terakhir ninjutsu di Jepun, ninja juga mempunyai
pekerjaan harian mereka. Selain sebagai samurai, ada juga yang bekerja sebagai
petani, pedagang, artisan dan sami. Ninja wanita atau kunoichi juga wujud di
Jepun ketika itu dan mereka selalunya menyusup ke istana-istana sebagai penari,
pelacur atau khadam untuk menyusup sebagai perisik atau adakalanya sebagai
pembunuh.
Hubungan benci-sayang ninja
dengan samurai
Bagi
samurai, hubungan mereka dengan ninja boleh diibaratkan seperti hubungan
sayang-benci. Dalam sesetengah perkara yang dianggap bertentangan dengan kod
Bushido, mereka tidak boleh melakukannya. Jadi orang terbaik untuk melakukannya
ialah golongan ninja untuk perkara-perkara seperti pembunuhan musuh,
pengintipan dan penyebaran propaganda, perkara-perkara yang dianggap mencemar
maruah seorang samurai. Masalahnya, mereka ini juga boleh diupah oleh sesiapa
saja untuk melakukan perkara sama dan upah untuk semua ini amat lumayan. Jadi
ninja walaupun diperlukan tetapi dibenci dan ditakuti oleh golongan samurai.
Ninja
juga mempunyai hierarki mereka tersendiri. Ninja bertaraf tinggi dipanggil
jonin dan mereka memberi arahan kepada ninja kelas pertengahan atau chunin,
seterusnya arahan ini diberi kepada ninja biasa. Hierarki ini berdasarkan kelas
ninja yang datang sebelum menjalani latihan. Bagaimanapun, semua ini boleh
berubah sekiranya mereka yang berkemahiran boleh mendaki hierarki ninja tanpa
mengira latar belakang mereka.
Kebangkitan dan kejatuhan ninja
Ninja
mula menjadi pemain penting antara abad ke-14 hinggalah abad ke-17 membabitkan
daimyo-daimyo yang berusaha mengekalkan kekuasaan atau melebarkan pengaruh
mereka. Disebabkan situasi perang yang berterusan, mereka membantu dalam siri
perang Nanbukucho (1336-1392), Perang Onin dan tempoh Sengoku. Dan jika samurai
terjebak dengan pertelingkahan dalaman, orang pertama yang pasti dipanggil
ialah ninja untuk mencetuskan huru-hara dalam kem musuh.
Tetapi
di sebalik semua ini, mereka juga menjadi ancaman kepada sesiapa yang mempunyai
impian menyatukan Jepun sebagai sebuah negara. Ini berlaku semasa era Oda
Nobunaga yang muncul sebagai daimyo terkuat pada pertengahan dan akhir abad
ke-16. Nobunaga melihat kubu-kubu ninja di Iga dan Koga sebagai halangan kepada
rancangan penyatuan Jepunnya. Walaupun tidak bermasalah menewaskan Koga, Iga
terus menentang mereka habis-habisan kerana melihat rancangan Nobunaga itu
boleh melenyapkan cara hidup mereka sebagai pahlawan bayang-bayang.
Bagi
Nobunaga, beliau ada sebab tersendiri untuk memerangi mereka. Pada September
1579, pasukan pimpinan puteranya Oda Nobuo tewas mengejut di tangan 4,000
pahlawan dan ninja Iga melalui serangan hendap di perkampungan Iseji pada waktu
malam. Kelibat kabus dan hujan menutup jejak mereka serta mencetuskan
kekeliruan dalam kalangan tentera Nobuo. Ramai mati dibunuh oleh oleh tentera
dan ninja Iga, ada yang mati dibunuh rakan sendiri atau melakukan seppuku. Bagi
sejarawan Stephen Turnbull, kejayaan Iga merupakan kejayaan dramatik taktik
bukan konvensional ninja ke atas taktik perang samurai. Berang dengan kekalahan
ini, Nobunaga menyelar sikap mengambil mudah Nobuo dan gagal merekrut ninja
untuk membantu kempen perang mereka.
Pada
tahun 1581, kesilapan puteranya itu tidak diulangi oleh Nobunaga dengan
merekrut ninja-ninja dari Koga untuk membantu angkatan perangnya seramai 40,000
orang. Iga diserang dari semua arah dan mereka yang tidak dapat bertahan
terpaksa membuka pintu kubu mereka. Tentera Nobunaga membunuh ramai orang Iga
tetapi ada juga yang berjaya melarikan diri dan menyertai pesaing Nobunaga,
Ieyasu Tokugawa. Walaupun era kebebasan mereka berakhir pada tahun 1581, mereka
terus menjadi pemain penting semasa era Tokugawa termasuk semasa Perang Sekigahara
(1600), Peristiwa Pengepungan Osaka (1614) dan Pemberontakan Shimabara
(1637-1638). Tetapi semasa era Tokugawa, ia membawa kepada kestabilan dan
keamanan di Jepun, sekaligus menamatkan kisah ninja yang kita ketahui hari ini.
Mitos ninja
1.
Jika anda perasan, kebanyakan filem dan drama televisyen atau dalam talian
menunjukkan ninja memakai topeng sebagai samaran semasa beroperasi. Hakikatnya,
mereka tidaklah memakai topeng seperti digambarkan dalam drama atau filem
seperti American Ninja, GI Joe atau Daredevil. Jika hendak menutup identiti
mereka, mereka menutup rupa dengan memakai kain lengan baju. Dan bagi
membolehkan ninja mengenali siapa rakan mereka, mereka diarah memakai kain
pengikat putih sebagai tanda pengenalan pada waktu malam dan pin rambut suci
yang dikatakan dapat membantu mereka menutup jejak. Topeng biasanya digunakan
oleh mana-mana individu untuk menutup identiti mereka semasa pergi ke sarang
perjudian atau rumah pelacuran.
2.
Dalam catatan sama, ninja juga mempunyai kod pakaian berbeza mengikut waktu
atau situasi. Perisai hanya dipakai jika mereka terlibat dalam serangan malam,
pakaian longgar bila menyusup masuk ke kawasan perumahan, pakaian hitam (fasa
anak bulan), pakaian berwarna cerah (fasa bulan purnama) dan warna popular bila
bertemu dengan orang ramai. Semasa waktu siang, mereka juga turut menyamar
sebagai pedagang, sami atau peminta sedekah.
3.
Shuriken atau balingan bintang memang wujud semasa tempoh ninja aktif tetapi
tiada kaitan dengan tokoh sejarah ninja dan tidak pernah disebut dalam manual
ninja. Begitu juga dengan ninjato atau pedang ninja yang selalu ditonjolkan
dalam filem atau drama.
4.
Ninja menggunakan senjata biasa berdasarkan kemahiran menyusup mereka seperti
alat mengumpil pintu, sabit, kunci dan gas tidur. Ninja juga arif dengan bahan
letupan, cop, kod rahsia dan peralatan canggih bagi membolehkan mereka menyusup
masuk ke istana atau melakukan misi-misi tertentu.
SUMBER
1.
Cummins, Antony. (2015). Aeon.co. Samurai, spy, commando: who were the real
ninja? https://aeon.co/ideas/samurai-spy-commando-who-were-the-real-ninja
2.
Szczepanski, Kallie. (2018). Thoughtco.com. The Greatest Ninja Battle in 1581. https://www.thoughtco.com/the-greatest-ninja-battle-195580
3.
Szczepanski, Kallie. (2018). Thoughtco.com. The Ninja of Japan. https://www.thoughtco.com/history-of-the-ninja-195811




No comments yet