Pada separuh kedua abad ke-15, ia membawa pelbagai perubahan mengejutkan. Constantinople jatuh ke tangan Turki Uthmaniyah. Di Semenanjung Iberia pula, ia kembali menjadi milik kerajaan Kristian menerusi Reconquista mereka. Manakala Christopher Columbus pula secara tidak sengaja sampai di benua Amerika.

Penemuan benua Amerika terutama Amerika Tengah dan Selatan merupakan satu peluang ekonomi baru bagi kuasa-kuasa Eropah. Tetapi perkembangan di sebelah selatan benua Eropah yang bikin mereka tidak senang duduk.

Penaklukan Constantinople bukan sekadar merealisasikan ramalan Rasulullah s.a.w semasa Perαng Khandak. Malah, kejayaan itu menjadikan angkatan Turki Uthmaniyyah digeruni dengan Eropah menjadi sasaran mereka seterusnya. Aktiviti perluasan kuasa ini dimulakan Sultan Mehmed II dan diteruskan oleh pemerintah-pemerintah Uthmaniyah seterusnya.

Tetapi untuk mencapai hasrat itu, Turki Uthmaniyah harus mempunyai angkatan laut yang kuat. Di Laut Mediterranean, Venice dan pertubuhan Salibi yang berpangkalan di Malta Knights of St John dianggap duri dalam daging kepada usaha mereka. Lantas, pihak Uthmaniyah bergabung tenaga dengan beberapa orang pelaut dan nakhoda hebat untuk membantu menguasai Laut Mediterranean.

Berikut kisah tiga pelayar Turki Uthmaniyah yang menjadi legenda dalam kalangan rakan dan lawan:

  • Oruc Reis

Oruc Reis yang turut dikenali sebagai Aruj atau Baba Aruj merupakan seorang laksamana tentera laut Uthmaniyah sebelum kemudiannya menjadi pemerintah Algiers. Dilahirkan di Middili (kini Pulau Lesvos/Lesbos, Greece) sekitar 1470-an, beliau sebahagian daripada empat bersaudara membelah samudera sebagai pedagang sebelum kemudiannya menjadi nakhoda dan tentera laut.

Semasa bergelar pedagang, Reis belajar dan mampu bertutur dalam Bahasa Turki, Arab, Perancis, Sepanyol dan Yunani. Bagaimanapun, semua itu berubah apabila rombongan dagang beliau diserang oleh Knights of St John di Rhodes. Serangan tersebut mengakibatkan salah seorang saudaranya terbunαh dengan Reis mengalami kecederaan dan menjadi tawanan organisasi Salibi itu.

Selepas dibebaskan oleh seorang lagi saudaranya yang terkenal Hayrettin Barbarossa, kedua-duanya berlayar ke Antalya di selatan Turki. Di sinilah, kedua-duanya diberi naungan dan sokongan oleh putera Sultan Bayezid II, Shehzade Korkut. Melalui sokongan penaung mereka, kedua-duanya menggerakkan operasi laut Uthmaniyyah yang mengucar-kacirkan banyak kapal termasuk kapal Portugal dan Sepanyol.

Reis juga turut diberi jolokan Baba Oruc. Ini selepas tindakannya menyelamatkan ramai umat Islam dan orang Yahudi yang menjadi mangsa penindasan kerajaan Kristian Sepanyol pasca-Reconquista.

Terdapat teori tentang nama Barbarossa ini. Ada mengatakan ia sebagai versi Baba Oruc yang dibesar-besarkan dalam karya-karya penulisan. Ada juga yang melihat ia merujuk kepada janggutnya yang berwarna merah. Barbarossa bermaksud janggut merah dalam Bahasa Itali.

Kedua-dua Hayrettin dan Reis membentuk gabungan Barbarossa bersaudara yang digeruni oleh pihak lawan. Ramai berpandangan watak Kapten Barbarossa yang dilakonkan Geoffrey Rush dalam francais filem Pirates of the Carribean diinspirasikan daripada Barbarossa bersaudara.

Pada 1516, Reis berjaya menakluk Algiers di Algeria. Dengan penaklukan itu, ia membantu kerajaan Turki Uthmaniyah meluaskan pengaruh mereka di Afrika Utara. Bagaimanapun, dua tahun selepas itu, Reis syahid di Tlemcen selepas bertempur dengan pihak Sepanyol.

Selepas abang yang dikasihi pergi menemui Ilahi, Hayrettin meneruskan legasi Barbarossa dan terus bertarung di bawah panji Turki Uthmaniyah.

  • Barbaros Hayrettin Pasha

Barbaros Hayrettin Pasha yang turut dikenali sebagai Hizir Hayrettin dan Hizir Reis mengukir nama sebagai pelaut terkenal di samping abangnya Reis. Seperti Reis, Hayrettin juga memusuhi Sepanyol kerana menindas dan mengusir umat Islam keluar dari Semenanjung Iberia pasca-Reconquista.

Selepas mengukir nama sebagai pelayar yang beberapa kali mengakali pihak Sepanyol dalam pertempuran laut, ini mendorong pihak Uthmaniyah melantiknya sebagai laksamana tentera laut mereka. Nama Hayrettin diambil sempena perkataan Arab Khayr al-Din yang bermaksud kebaikan iman.

Selain berperanan sebagai laksamana Turki Uthmaniyah, beliau juga turut berperanan sebagai Gabenor Algeria. Jawatan tersebut diambil selepas mendapat perkenan pemerintah Uthmaniyah ketika itu, Sultan Selim I. Dari wilayahnya di Afrika Utara, ia berperanan sebagai lokasi serangan kapal laut atau membawa keluar pelarian Muslim dan Yahudi dari Semenanjung Iberia ke Afrika Utara.

Antara kejayaan yang dicapai bersama armada perαng Uthmaniyah ialah Pertempuran Preveza pada tahun 1538. Pertempuran tersebut menyaksikan pihak Uthmaniyah berdepan tentangan Liga Suci – pakatan antara Sepanyol, Portugal dan negara-negara yang diberi arahan oleh Paus. Hayrettin turut bertanggungjawab melebarkan pengaruh Uthmaniyah di Tunisia dan meneruskan kerja Reis di Algeria.

Di bawah seliaan beliau, Turki Uthmaniyah muncul sebagai kuasa maritim utama di Laut Mediterranean. Situasi ini berterusan lama selepas beliau bersara di Istanbul pada 1545 sebelum meninggal dunia setahun kemudian.

  • Sayyida al-Hurra

Daripada seorang pelarian kepada permaisuri. Mungkin itu penerangan terbaik untuk Sayyida al-Hurra atau nama sebenarnya Lalla Aicha al-Alami. Lahir di Granada pada 1485 dalam sebuah keluarga bangsawan Andalusia, keluarganya meninggalkan Granada susulan kekalahan Emiriah Granada di tangan kerajaan Aragon Sepanyol pada 1492. Nama Sayyida al-Hurra bermaksud wanita merdeka dalam Bahasa Arab.

Selepas menetap di Maghribi, Sayyida berkahwin dengan pemerintah Tetouan ketika itu, Sidi al-Mandri II. Beliau bukan sekadar mempunyai rupa yang jelita tetapi dikurniakan kebijaksanaan dari segi urus tadbir kerajaan dan diplomasi. Justeru, ini menjelaskan mengapa al-Mandri melantiknya sebagai orang nombor dua tidak rasmi dalam kerajaan.

Selepas suami tercinta meninggal dunia pada 1515, Sayyida mengambil alih pemerintahan Tetouan. Beliau memanfaatkan peluang menggunakan aset yang dimiliki kerajaan tersebut untuk membalas dendam perlakuan buruk Sepanyol semasa Reconquista. Sayyida beruntung kerana sekutunya, Hayrettin turut berkongsi motivasi sama.

Sebelum meninggal dunia, al-Mandri telah memperkukuh kedudukan pertahanan Tetouan sebagai pangkalan tentera laut. Ini membolehkan Sayyida melancarkan kempen di sebelah barat dengan Hayrettin menggempur pihak musuh dari sebelah timur Mediterranean. Taktik ini mengakibatkan kapal-kapal Sepanyol dan Portugal berdepan kesukaran merentasi Laut Mediterranean.

Walaupun bilangan sebenar kapal yang dirampas tidak diketahui, kekayaan yang dirampas cukup menjadikan Tetouan sebagai antara kota utama Afrika Utara ketika itu. Dengan kedudukan itu juga, Sepanyol dan Portugal sentiasa mencari Sayyida sebagai orang tengah bila berinteraksi dengan mana-mana kerajaan Islam termasuk Turki Uthmaniyyah,

Pada tahun-tahun terakhir kehidupannya, beliau berkahwin dengan Raja Maghribi tetapi kekal sebagai pemerintah Tetouan. Ini termasuk menguruskan angkatan laut wilayah itu. Bagaimanapun, semua itu berakhir apabila putera tirinya menyingkirkan Sayyida sebagai pemerintah Tetouan.

RUJUKAN

N. Kandur, E. (2022, 15 Februari). The Barbarossa brothers and Sayyida al-Hurra: Three Muslim corsairs who took on Europe. Middle East Eye.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply