Sejak permulaan ketamadunan manusia, barang kemas tidak pernah lari sebagai aksesori yang dipakai manusia setiap masa. Tetapi berdasarkan penemuan artifak barang kemas di sebuah gua di pesisir pantai Maghribi pada 2018, ramai saintis merasakan amalan memakai barang kemas telah wujud jauh lebih lama daripada apa yang disangka.

Artifak berbentuk manik-manik cangkerang laut itu dikatakan berusia antara 142,000 hingga 150,000 tahun yang lalu sekaligus menjadikan ia artifak barang kemas tertua di dunia. Manik-manik ini dijumpai di Gua Bizmoune yang terletak di pesisir pantai Maghribi yang menghadap Lautan Atlantik. Kesemua artifak ini dikeluarkan menerusi ekskavasi yang dijalankan di gua berkenaan dari 2014 hingga 2018 dan diketuai oleh pakar antropologi dari Universiti Arizona, Dr Steven Kuhn.

Rajah 1: Profesor Steven Kuhn menyelia ekskavasi di Gua Bizmoune, Maghribi dari 2014 hingga 2018. Sumber: Steven Kuhn/Universiti Arizona

Ekskavasi tersebut turut disertai oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Sains Arkeologi dan Warisan Kebangsaan Maghribi. Hasil ekskavasi menemukan 33 buah manik kulit siput lama dengan setiap manik berukuran kurang daripada 1 cm dan mempunyai lubang berbentuk bulatan. Analisis makmal menunjukkan manik-manik ini berkemungkinan digunakan untuk dijadikan sebagai rantai leher atau gelang tangan.

Semasa mengumumkan penemuan tersebut, Dr Kuhn berpandangan artifak ini merupakan cara orang terdahulu mengekspresikan diri mereka melalui pakaian. Ini menunjukkan ratusan ribu tahun yang lalu, manusia mempunyai keinginan berkomunikasi dengan kumpulan manusia yang lebih besar daripada rakan-rakan dan keluarga.

Manik-manik sama turut ditemui di tapak-tapak arkeologi lain di utara dan selatan Afrika. Tetapi manik yang tertua yang pernah ditemui itu berusia 130,000 tahun. Ini sekaligus menjadikan manik-manik dari Gua Bizmoune bukan saja 12,000 tahun lebih tua tetapi mungkin lebih berusia berbanding artifak-artifak barang kemas lain di seluruh dunia.

Rajah 2: Contoh manik yang ditemui di Gua Bizmoune. Sumber: A. Bouzouggar, INSAP, Morocco / Science Advances

Kebanyakan manik yang ditemui pengkaji arkeologi seperti di Bizmoune merupakan artifak yang ditinggalkan oleh orang Aterian. Golongan ini menghuni wilayah berkenaan lebih 100,000 tahun semasa Zaman Batu Pertengahan. Tapak arkeologi golongan ini dikatakan berusia 150,000 tahun dengan kelompok ini hilang daripada rekod arkeologi lebih 20,000 tahun yang lalu.

Orang Aterian merupakan kelompok manusia moden yang mahir menghasilkan peralatan batu dan sen.ja.ta untuk memburu. Selain memburu haiwan yang wujud ketika itu seperti badak sumbu dan gazel, orang Aterian juga bijak memanfaatkan hasil laut dari Lautan Atlantik termasuk kulit siput untuk dijadikan sebagai barang kemas.

Tambah Kuhn lagi, barang kemas manik yang dihasilkan dan dipakai oleh orang Aterian berkemungkinan sebagai medium komunikasi bukan lisan. Ahli-ahli antropologi masih berbeza pandangan bila bahasa terawal dicipta (ia berkemungkinan berlaku antara 50,000 hingga 100,000 tahun lalu). Justeru, tidak mustahil orang Aterian menggunakan kaedah komunikasi bukan lisan untuk berkongsi maklumat.

Beliau juga percaya mesej atau maksud sesebuah manik itu bersifat malar hijau dan penting sebagai cara menyampaikan maklumat. Orang-orang pra-sejarah kebiasaannya menghias muka dan badan dengan contengan arang atau oker untuk tujuan komunikasi atau untuk upacara tertentu. Begitupun, hiasan sebegini bersifat sementara dan akan dicuci apabila sesebuah upacara atau penyampaian maklumat telah selesai dilakukan.

Sehingga hari ini, saintis masih menggaru kepala apa bentuk komunikasi yang cuba disampaikan oleh orang Aterian menerusi manik-manik mereka. Ada yang mengatakan ia berperanan sebagai tag nama atau identiti unik individu sebagai cara membezakan mereka dengan orang lain. Identiti sebegini amat penting apatah lagi bila populasi manusia pada Zaman Batu semakin bertambah.

Ada juga yang berpandangan ia digunakan lambang status terutama dari segi fahaman politik dan taraf ekonomi. Tetapi ada juga yang melihatnya sebagai barangan kemas bagi memperlihatkan si pemakainya tampil ayu/tampan dan bergaya di mata orang lain.

Tetapi kesemua teori yang dinyatakan hanyalah teori dan ia memerlukan lebih banyak artifak untuk membuktikan mana-mana teori yang dikemukakan. Selain itu, zaman pra-sejarah turut menyaksikan orang terdahulu tidak menyimpan sebarang rekod bertulis tentang setiap aspek kehidupan mereka. Akibatnya, ini memaksa para saintis berspekulasi setiap kali artifak baru dijumpai.

Yang pasti, manik-manik ini menunjukkan manusia sudah membuat inovasi jauh lebih lama daripada apa yang disangka komuniti saintifik. Cuma apa maksud di sebalik manik-manik ini terus kekal menjadi misteri kepada para pengkaji. Apakah ia ada kaitan dengan kepercayaan mereka? Atau cara untuk mengekspresikan diri mereka? Hanya masa dapat menentukan persoalan ini kekal tidak berjawab atau tidak…

RUJUKAN

Falde, Nathan. (2021, 23 September). World’s Oldest Jewelry Excavated at a Moroccan Cave. Ancient-Origins.

Sumber gambar: A. Bouzouggar, INSAP, Morocco / Science Advances.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.