Sejak muda remaja, saya gemar menekuni puisi Jalaluddin Rumi. Naif sekali, saya menyangkakan cinta sejati yang Rumi maksudkan adalah kepada perempuan. Maka saya menghabiskan sebahagian umur kepemudaan bagi menjejaki cinta sejati dengan mengejar cinta insan. Dengan sangkaan cinta manusia itulah yang memenuhi keperluan jiwa, maka saya rela mengorbankan segala-galanya bagi mengenal apakah benar indahnya ia bagai dikata.

Rumi kata, cinta itu membutakan.

Sayang sekali, alangkah rugi masa dan tenaga yang dikorbankan untuk redha manusia. Kenapa? Kerana manusia lain pun sama empunya keburukan dan khilaf sepertimana diri sendiri. Tiada kesempurnaan di sini. Hanyalah kekurangan. Dunia bukan syurga. Dunia adalah lapangan nyawa mengharungi kekecewaan, kepedihan dan putus asa. Tentang cinta, adakah Rumi berdusta? Ia tak seindah bagai dikata.

Pengalaman sememangnya mendewasakan. Dengan bimbingan guru mursyid, saya mengenal jalan pertengahan. Bukanlah cinta kepada manusia itu yang membinasakan, tetapi mencintai orang yang salah itu sebenar-benar menyakitkan. Saya pernah meminta supaya hati ini tidak mencintai lagi mana-mana gadis. Maka ujar syeikh, “Sunnah Nabi adalah bernikah, siapa yang membenci sunnah Nabi, bukan dari kalangan umat nabi.” And the rest is history. Berkat doa solehin, termeterailah ikatan suci.

Rupa-rupanya faktor besar kecelaruan saya dahulu dalam memahami Rumi adalah pada pemilihan teks. Buku pertama poem Rumi yang saya miliki adalah terjemahan Coleman Barks. Saya sempat mengumpulkan The Essential Rumi, Rumi: The Big Red Book dan Rumi: The Book of Love.

Hasil kajian lanjut, tahulah saya yang terjemahan Barks kerap lari makna. Misinterpretation. Barks mengagung-agungkan cinta kepada watak feminin yang cenderung difahami sebagai perempuan, sedangkan dalam Mathnawi asal, ianya bukanlah topik utama. Malah cinta kepada perempuan bagi Rumi itu binasa, jika dibanding dengan cinta yang lebih agung, yakni kepada Tuhan. Polemik ini bukan baru terjadi. Bahkan ia disahkan Sultan Valad, anakanda Jalaluddin Rumi sendiri.

Pada sesetengah manuskrip Mathnawi terdapat komentar Sultan Valad dengan dakwat merah. Bila ditanya “mengapa?”, maka Sultan Walad jawab yang orang ramai ni memang bodoh. “Ayahku memaksudkan yang lain, tetapi mereka faham yang lain.” Kalau Rumi cerita tentang agungnya cinta lelaki perempuan, bukan cinta lelaki perempuan itu yang diagungkan. Bukan itu mesejnya. Perhatikan, apa kesimpulan Rumi di akhir bait. Pasti kita ketemu huraian dan pencerahan.

Cinta itu menghampakan

Wajah sebenar cinta manusia yang berjujuran air mata, didedahkan dalam karyanya Divan Syams Tabrizi. Meskipun kisah Laila Majnun itu terpaling romantis, malah banyak dimuatkan dalam Mathnawi, tahukah anda yang pasangan kekasih ini tidak pernah dapat bersama. Diceritakan yang Laila mati akibat merindukan Majnun. Selepas itu Majnun tiba ke kubur Laila dan menangis teresak-esak sampaikan dia jua meninggal dunia kerana patah hati.

Begitulah keadaan dunia dan para pencintanya. Ada suata frasa dari Rumi yang tidak diterjemahkan ke barat, iaitu: “Cinta yang sejatinya hidup adalah kepada al-Hayy (Allah). Manakala cinta kepada makhluk bagaikan sarang labah-labah. Bezanya aku dgn Majnun ada satu. Kami sama-sama mendambakan cinta, tetapi dia menginginkan Laila, aku menginginkan Mawla (Allah). Majnun dan Laila kedua-duanya mati dan menjadi debu. Begitulah kehidupan di dunia ini, hujungnya hanyalah debu. Jika engkau jatuh cinta kepada Tuhanku, engkaulah Lailaku. Engkau menjadi Laila, dengan mencintai Mawla (Allah).”

Kebenaran ini mungkin tidak digemari barat, maka mereka tidak menterjemahkannya. Sedangkan inilah intipati terpenting dalam semua madah cinta dari Rumi. Cinta kepada manusia tidak abadi.

Jikalau Rumi menyuruh kita mengorbankan seluruh tangkai jiwa kepada cinta, itu bukanlah maknanya mengorbankan jiwa kepada awek atau pakwe. Jangan jadi simp. Yang Rumi maksudkan adalah kepada Tuhan. Kekasih abadi.

Punyalah Majnun cintakan Laila. Sanggup mencium tembok kota yang Laila tinggal, berlakon jadi kambing semata-mata nak ke kampungnya Laila, mencari Laila di semua tempat kerana katanya Laila ada di mana saja, sampaikan pengsan bila ada orang menyebut nama Laila. Tapi apa jadi? Mereka terpisah jua. Tidak pernah bersama. Semua itu hanya rindu-rindu yang tidak pernah bersatu.

Ada satu bait dalam Mathnawi yang cukup menjelaskan, apa kaitan Laila Majnun dengan kehidupan cinta kita. Satu masa Majnun nak ke tempat Laila. Jadi dia menaiki seekor ibu unta. Kebetulan unta betina itu baru melahirkan anak. Maka tatkala Majnun menunggang unta itu, ia kerap berpatah balik dek teringatkan anaknya. Lalu, Majnun tarik balik tali kekang, supaya unta itu kembali berjalan lurus. Bila Majnun tertidur, unta itu patah balik lagi.

Begitulah sampai berkali-kali. Jadi, apa Majnun buat? Dia pun terjun turun daripada unta betina itu. Punya sakit dia terjun, sampai patah kaki. Walaupun dah tak mampu berjalan lagi, Majnun terus berguling. Berguling nak ke kotanya Laila. Di sini, apa kata Rumi? Maulana bicara, bergulinglah kepada Tuhanmu. Walaupun dengan kelemahan, dengan kekurangan dan kepayahan pergilah kepada-Nya. Jangan putus asa. Meski sejengkal demi sejengkal, pergilah usah dipeduli pendeknya. Mungkin sedikit di mata kita, tetapi bernilai di pandangan-Nya.

Beda sekali dengan terjemahan Barks. Cinta kepada perempuan yang dianggap segala-galanya itu sebenarnya sekadar bernilai debu bagi Rumi.

Namun, tidak semua cinta kepada perempuan, kepada manusia itu tidak berharga.

“Siang dan malam engkau sentiasa berjuang, berusaha mengubah akhlak lawan-jenismu, untuk membersihkan ketidaksucian mereka dan memperbaiki kesalahan-kesalahan mereka. Lebih baik mensucikan dirimu sendiri melalui mereka daripada mencuba mensucikan mereka melalui dirimu sendiri. Ubahlah dirimu sendiri melalui mereka. Temuilah mereka dan terimalah apa sahaja yang mereka katakan, walaupun dari sudut pandangmu ucapan mereka itu terdengar aneh dan tidak adil,” nyata Rumi.

Manusia yang dicintai itu boleh mati. Rumi sepanjang hidupnya berkahwin dua kali. Setelah isteri pertamanya Gevher Khatun meninggal dunia, Rumi mengahwini seorang janda iaitu Karra Khatun. Perkahwinannya itulah cerminan bagi memperbaiki diri.

Pasangan lebih-lebih lagi dalam rumahtangga adalah ladang pahala. Anggaplah penyatuan lelaki dan perempuan dalam akad pernikahan sebagai suatu madrasah tarbiyah. Cinta sebegini yang disemai di dunia, bisa bertunas membuahkan keabadian di syurga. Dengan syarat, lillahi taala. Cinta andainya bersandar kepada yang tidak mati, akan kekal terukir setelah nafas yang terakhir.

Cinta sejati itu menanti untuk kau temui.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Penceramah Bebas dan Guru Al-Quran Tauliah Khas. Aktif memenuhi jemputan kuliah agama di 10 buah masjid dan surau dalam sebulan. Bertugas mengajar kelas tahfiz di Pondok At-Tanzil serta mengajarkan al-Quran kepada orang ramai dalam Kelas Al-Quran Dewasa Kg Kelantan dan Kelas Al-Quran Dewasa TIC Kota Tinggi. Diijazahkan sanad 10 Qiraat Al-Quran termasuklah Riwayat Hafs an Asim dari Mesir. Graduan Diploma Qiraat & Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin & Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Comments are closed.