Pada tahun 2015, media antarabangsa melaporkan penemuan tinggalan kapal geliung Sepanyol, San Jose di kawasan perairan Colombia. Kapal yang tenggelam semasa kempen Perang Pewarisan Takhta Sepanyol (War of the Spanish Succession) itu kini direbut sekurang-kurangnya empat buah negara. Ini disebabkan nilai kapal tersebut berjumlah AS$20 bilion (RM88 bilion)!

Sejak itu, ia mencetuskan pertarungan undang-undang yang rumit di mahkamah membabitkan Colombia, Sepanyol, Peru dan Panama. Malah, kumpulan orang asli Bolivia iaitu Qhara Qhara turut memohon agar mendapat sebahagian daripada harta San Jose. Alasan mereka mudah: nenek moyang mereka dipaksa bekerja sebagai buruh paksa oleh Conquistador bagi melombong emas dan perak yang menjadi sebahagian daripada harta kapal geliung itu.

Di sebalik masalah ini, itu tidak menghalang kerajaan Colombia mengarahkan imej terbaru San Jose direkodkan. Ini bukan saja mengetahui kedudukan sebenar kapal di dasar laut tetapi juga mengetahui berapa banyak artifak yang terkandung di dalamnya. Kenderaan kawalan jauh bawah air (ROV) digunakan oleh Tentera Laut Colombia bagi merakam semua imej kapal berkenaan.

Duit syiling emas yang ditemui dalam bangkai kapal San Jose. Sumber: Presidency of the Republic of Colombia

Dan hasilnya amat mengejutkan. Selain San Jose, pihak tentera mengesan dua lagi kapal lama yang karam berhampiran dengan kedudukan kapal geliung Sepanyol itu. Sementara imej-imej yang diambil dari kapal berkenaan mendedahkan lebih banyak artifak termasuk meriam, cawan-cawan porselin dan duit syiling emas. Justeru, tidak mustahil nilai sebenar San Jose berkemungkinan lebih tinggi daripada angka AS$20 bilion (RM88 bilion) yang dinyatakan sebelum ini.

Berita ini sudah pasti menggembirakan Presiden Colombia, Ivan Duque. Duque menyifatkan artifak-artifak ini sebagai patrimoni negara  yang tidak ternilai harganya. Beliau berharap artifak-artifak San Jose dapat dikeluarkan dan dipamerkan di sebuah muzium khas di Cartagena. Bagi memastikan rancangan tersebut terlaksana, kerajaan sedang merangka satu pelan kewangan yang kukuh yang diharap dapat menjamin kelancaran proses ekskavasi dan pengambilan artifak San Jose.

Salah satu meriam kapal San Jose. Pakar arkeologi Colombia percaya meriam ini dihasilkan di Seville pada 1644. Sumber: Presidency of the Republic of Colombia.

Duque kini berharap rancangan San Jose beliau dapat diteruskan oleh penggantinya Gustavo Petro. Petro baru-baru ini memenangi pilihan raya presiden Colombia 2022 selepas menewaskan lawannya Rodolfo Hernandez Suarez. Beliau dijangka mengangkat sumpah sebagai presiden pada 7 Ogos ini.

Secara ringkas, kapal geliung San Jose merupakan sebahagian daripada kapal tentera laut Sepanyol pada abad ke-17. Perang Pewarisan Takhta Sepanyol tercetus apabila kuasa-kuasa Eropah yang berkepentingan berebut menentukan siapa Raja Sepanyol seterusnya. Ini selepas Raja Charles II mangkat tanpa meninggalkan sebarang waris.

Semasa perang tersebut berlaku, San Jose menjadi sebahagian daripada kumpulan kapal harta Sepanyol yang mengangkut semua harta bernilai dari Dunia Baru sebelum dihantar ke Sepanyol. Pada akhir Mei 1708, ia mengetuai tiga buah kapal perang dan 14 buah kapal dagang untuk berlayar dari Portobelo, Panama ke Cartagena, Colombia. Disebabkan musim taufan bakal melanda ketika itu, kumpulan kapal yang diketuai Jeneral José Fernández de Santillán berharap dapat berlindung di Cartagena.

Lukisan kapal San Jose meletup akibat serangan Laksamana Sir Charles Wager yang dibuat Samuel Scott.

Bagaimanapun, rancangan mereka untuk tiba di situ tidak kesampaian. Ini selepas kumpulan kapal San Jose diserang empat kapal perang British diketuai Laksamana Sir Charles Wager di Isla de Baru berhampiran Cartagena. Serangan tersebut mengakibatkan San Jose karam selepas simpanan serbuk letupan pada kapal berkenaan meletup. Insiden itu menyaksikan 589 orang terbunuh termasuk de Santillan dengan 11 orang saja yang dilaporkan terselamat.

Disebabkan nilai San Jose yang tinggi, kerajaan Colombia enggan mendedahkan lokasi sebenar kapal sehingga hari ini. Peru dan Panama menuntut sebahagian daripada San Jose memandangkan sebahagian emas dan perak yang dibawa kapal itu berasal dari negara mereka. Sementara Sepanyol mahukan semua artifak yang ditemui dipulangkan kepada mereka atas alasan ia merupakan hak milik negara itu dan mengikut konvensyen UNESCO.

Tetapi ketiga-tiga negara berkenaan bakal berdepan masalah menuntut hak mereka di mahkamah. Pertama, penggubalan undang-undang Colombia pada 2013 yang menyatakan mana-mana kapal lama yang karam di perairan Colombia akan diiktiraf sebagai khazanah negara itu. Ini bermakna sebarang tuntutan untuk mensalvaj kapal tersebut tidak akan dilayan oleh mahkamah Colombia. Selain itu, mana-mana artifak yang ditemui tidak boleh dijual di luar negara itu.

Cawan-cawan porselin yang ditemui di bangkai kapal San Jose. Sumber: Presidency of the Republic of Colombia.

Kedua, tindakan undang-undang yang difailkan Sea Search Armada (SSA), sebuah syarikat salvaj Amerika Syarikat terhadap Colombia. Pada 1985, sebuah syarikat salvaj lain iaitu Glocca Mora Company (GMC) mendakwa telah menemui San Jose sebagai tukaran kepada 35% daripada semua artifak yang ditemui. Kemudian, hak tersebut diambil oleh SSA dengan harapan dapat mengakses tapak San Jose. Bagaimanapun, penggubalan undang-undang Colombia pada 2013 memusnahkan harapan mereka untuk berbuat demikian.

Susulan itu, saman dikemukakan di mahkamah oleh pihak SSA. Tetapi Colombia menegaskan syarikat tersebut tidak berhak memfailkan saman kerana mereka langsung tidak tahu lokasi sebenar San Jose. Negara itu hanya mengetahui lokasi kapal geliung Sepanyol itu selepas mengupah Institut Oseanografi Woods Hole (WHOI) untuk membantu tentera laut Colombia mengesannya pada 2015. WHOI turut dikenali kerana membantu mengesan bangkai pesawat Air France 447 di luar perairan Brazil pada 2011.

Jadi, apa kepentingan perkataan patrimoni yang dinyatakan oleh Duque selepas imej-imej San Jose diterbitkan? Ia bertujuan untuk menyukarkan semua tuntutan San Jose yang dibuat oleh mana-mana pihak berkepentingan termasuk Sepanyol.

Nampak kecil tetapi amat penting dengan mengambil kira kes saman yang sedang berlangsung di mahkamah. Dengan memilih perkataan itu, Colombia mahu dilihat sebagai pelindung khazanah negara. Dan ini semestinya akan memberi tekanan kepada Peru, Panama dan Sepanyol untuk menggugurkan tuntutan terhadap San Jose.

Beberapa bulan lepas, Colombia dilaporkan sudah mengeluarkan tender kontrak untuk mengeluarkan artifak dari San Jose. Bagaimanapun, penganugerahan kontrak ditangguhkan selepas mendapat perintah mahkamh bagi memberi ruang kepada semua isu undang-undang berbangkit berkenaan kapal berkenaan dapat diselesaikan.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

RUJUKAN

Vanessa Herrero, A. dan Parker, C. (2022, 8 Jun). Colombia discovers two shipwrecks, releases new images of sunken treasure. The Washington Post.

Cowie, A. (2022, 15 Jun). Deep-Sea Robot Reveals Treasures of $20 Billion San Jose Wreck. Ancient-Origins.

Metcalfe, T. (2022, 23 Februari). Colombia moves to salvage immense treasure from sunken Spanish galleon. LiveScience.

Metcalfe, T. (2022, 17 Jun). $17 billion shipwreck near Colombia is remarkably preserved, new photos reveal. LiveScience.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply