Sejak filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck viral beberapa tahun lepas, ramai antara kita yang tidak henti-henti mengupas dan mengulas watak Zainuddin dan Hayati. Kedua-dua watak ini menjadi pemain utama dalam filem adaptasi daripada novel imaginasi Buya Hamka ini. Mungkin saya tidak keseorangan yang menonton filem ini berulang kali. Dek kerana pensyarah saya juga menayangkan filem ini di dalam kelas yang membuatkan saya terfikir pasti ada lagi hikmah dan ibrah yang boleh kita cedok daripada filem arahan Sunil Soraya ini.

Filem ini bukanlah bertujuan untuk kita bergaduh dan perli memerli antara lelaki dan perempuan tentang siapa yang selalu betul dan siapa yang selalu salah. Watak Hayati misalnya sering menjadi mangsa penghinaan kepada seorang wanita yang tidak setia pada janji. Sebenarnya, kita tidak boleh meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Hayati. Dia telah jadi mangsa kepada adat dan ketaksuban nasab. Jika kita berada di tempat Hayati, belum tentu kita dapat melawan arus yang sudah menjadi darah daging masyarakat hanya kerana menyerahkan cintanya kepada seorang lelaki.

Keberanian Hayati menabur sumpah dan menunjukkan inai kahwinnya adalah satu kesilapan yang tidak mungkin diterima oleh mana-mana lelaki seperti Zainudin. Sikap rasional lelaki seringkali gagal dalam memahami keputusan perempuan yang bersifat emosi. Namun, atas kecelaruan cinta Zainuddin walaupun pernah jatuh tetapi memilih untuk bangkit pada setiap kali jatuh. Sepertimana kata Zainuddin pada akhir filem, “banyak orang berkata bahawa kisah ini adalah hikayat cinta sejati antara Hayati dan Zainuddin, namun bagi diriku ini adalah hikayat kebangkitan sejati, tentang anak manusia yang jatuh tetapi memilih untuk bangkit kembali” .

Namun, sebagai manusia yang normal kebangkitan Zainuddin sudah tentu tidak berdiri dengan sendiri. Pasti ada manusia yang memainkan peranan dalam mengubah perjalanan hidup Zainuddin daripada terlentang di atas katil hingga bangkit kembali menjadi penulis yang berjaya. Siapakah di belakang Zainuddin? Sudah pastilah orang yang dipanggil Bang Muluk.

Bang Muluk adalah wira yang tak didendang. Dia bukan seorang yang berpendidikan apatah lagi penulis seperti Zainuddin. Dia asalnya seorang ‘parewa’ atau samseng di kampungnya. Pertemuan pertama Zainuddin dengan Bang Muluk adalah di Padang Panjang setelah Zainuddin dihalau oleh penghulu Minangkabau semata-mata kerana kantoi bercinta dengan Hayati. Zainuddin menumpang di rumah Bang Muluk untuk mengaji agama di situ. Sejak itu, Bang Muluk menjadi pendamping setia kepada Zainuddin yang sememangnya daripada kecil sering disisihkan kerana orang ramai curiga dengan jurai keturunannya.

Sebagai seorang manusia, Bang Muluk mempunyai sisi yang baik yang tidak ramai orang nampak, iaitulah menjadi sahabat yang setia. Ramai antara kita yang mampu untuk berkelakuan baik apabila tiba dalam ‘circle’ nya sahaja. Tetapi apabila berjumpa dengan orang yang tidak sefikrah dengannya, kita seringkali gagal menjadi sahabat yang baik. Bang Muluk berjaya mengajar kita menjadi sahabat yang baik kepada sesiapa sahaja yang datang kepadanya. Dia tidak memilih bulu dan mengajak sahabatnya untuk berkelakuan nakal sepertinya.

Disebalik kenakalan Bang Muluk, dia sendiri sedikit sebanyak terpengaruh dengan kesantunan dan kebaikan yang ada pada Zainuddin. Samseng jenis Zainuddin tidak menunjukkan kesamsengannya kepada sahabat baiknya, sebaliknya menjadi sahabat yang sentiasa memberi bantuan jika perlu, termasuklah memotong rambut Zainuddin ketika berita kedatangan Hayati melawat Zainuddin di Padang Panjang.  Benar kata pepatah, “jika kamu berkawan dengan penjual besi, kamu akan menerima bau busuknya, tapi jika kamu berkawan dengan penjual minyak wangi kamu akan menerima tempiasnya”. Bakat dan kecekalan yang ada pada Zainuddin membuat Bang Muluk setia menjadi pendampingnya.

Pasti kita semua teringat dialog antara Bang Muluk dengan Zainuddin. Di mana ketika itu Zainuddin seolah-olah tidak dapat meneruskan kehidupannya seperti biasa, kegiatan penulisannya turut terjejas. Pada waktu inilah, Bang Muluk bertindak sebagai ‘turning point’ kepada perjalanan hidup Zainuddin yang hampir-hampir mati. Bang Muluk memberikan motivasi kepada sahabatnya dengan kata-kata yang tidak mungkin terkeluar daripada mulut seorang samseng sepertinya.

“…cinta bukan melemahkan semangat tapi membangkitkan semangat, tunjukkan kepada perempuan itu yang engkau tidak mati dibunuhnya.”

Bang Muluk bukanlah seorang sahabat yang menjatuhkan. Dia bersedia berada disisi sahabatnya di masa jatuh bangunnya. Penghijrahan Zainuddin ke Betavia dengan didampingi Bang Muluk merupakan permulaan baru kepada perjuangan hidup seorang lelaki yang cintakan ilmu pengetahuan dan lapangan dunia penulisan. Mungkin jika tidak kerana motivasi yang diberikan oleh Bang Muluk, Zainuddin mungkin tidak berupaya bangkit kembali daripada era kejatuhannya.

Jika kita tidak mampu menjadi secekal Zainuddin atau setabah Hayati, jadilah sahabat setia seperti Bang Muluk. Yang sentiasa ada di setiap jatuh dan bangun, susah dan senang. Sahabat yang baik adalah sahabat yang menerima kekurangan dan perbezaan sikap. Tidak menghina dan mencemuh, bahkan sentiasa memberikan motivasi untuk terus berjuang.

Dalam hidup kita, kita sangat perlukan sahabat seperti Bang Muluk. Pada saat kita buntu dan tertekan, akan ada seorang sahabat yang datang membangkitkan semangat dan menyuntik motivasi.  Kadangkala kita tidak perlukan pertolongan daripada sesiapa, tetapi kita perlukan tempat untuk meluahkan dan berkongsi perasaan. Semoga wujud lagi sahabat sesetia dan sehebat Bang Muluk di atas dunia kita sekarang ini.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ahmad Faizal Bin Basir. Anak muda kelahiran Tanjong Malim Perak ini merupakan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah), Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Comments are closed.