Mutakhir ini kecoh di alam maya berkenaan proses Arabisasi yang melanda anak muda Melayu Malaysia. Perkara ini sedikit sebanyak telah menyebabkan perbalahan dan pertelagahan di antara pro-Arabisasi, pro-Melayu dan juga pro-pembaratan. Ada yang menyanggah pada apa-apa perubahan manakala ada yang menyanjung perubahan.

Ramai juga yang menyatakan dengan rasa takut akan fenomena ini sebagai petanda betapa menyemaraknya proses Islamisasi yang berlaku di Malaysia. Malah ada yang gatal mulut mengatakan ini merupakan proses talibanisasi yang akan membawa kepada pembentukkan negara Taliban. Sesungguhnya kenyataan-kenyataan ini menunjukkan kekeliruan yang nyata terhadap makna setiap istilah itu.

Ramai yang menganggap bahawa Islamisasi itu cukuplah sekadar dengan menempelkan nama Islam ke atas sesuatu nama seperti bank Islam, busana Islam, dan lain-lain atau memakai yang zahir sudah cukup walaupun secara batinnya mungkin berlawanan atau mengelirukan seperti pemakaian busana Arab sudah cukup sebagai piawai taraf Islamik seseorang.

Sesungguhnya penulis lebih suka menganjurkan makna Islamisasi yang ditakrif oleh Syed Muhammad Naquib Al Attas yakni;

“…pembebasan manusia pertamanya sekali daripada sihir, tahyul, animisme, tradisi bersifat bangsa dan kebangsaan, dan akhirnya daripada kawalan sekular ke atas akal (reason) dan bahasanya”

Di sini kita dapat melihat bahawa Islamisasi teramat berkait-rapat dan erat dengan perubahan dalam sistem bahasa yang digunakan. Perubahan yang dimaksudkan bukanlah hanya perubahan istilah-istilah yang terjadi dalam proses Arabisasi seperti penggantian kosa-kata saya/aku kepada ‘ana’ atau proses pembaratan seperti ‘I’. Akan tetapi ianya melibatkan kunci kata penting yang menayangkan cara kita berfikir dan pandangan alam penutur tersebut yang dipanggil ‘Weltanschauung’ atau ‘Worldview’.

Sekarang setelah kita memahami makna yang sebenar dan hakiki, barulah kita meninjau perubahan-perubahan yang berlaku dalam bahasa Melayu.

Sebenarnya Bahasa Melayu telah melalui pelbagai perubahan dan pengaruh. Pengaruh dari segi kemasukan daftar kata bahasa asing hinggalah kepada perubahan sistem tulisan. Namun, hingga kini pengaruh yang paling menyerlah dan menusuk ke kalbu ialah pengaruh Islamisasi terhadap Bahasa Melayu yang kekal hingga ke hari ini.

Malah pengaruh ini telah meletakkan bahasa Melayu, mengikut takrif SM Naquib Al Attas, sebagai salah satu rumpun bahasa Islam. Bahasa Islam menurut Prof Al Attas ialah bahasa baru yang terbentuk hasil pertembungan dengan agama Islam sehingga ianya berubah sepenuhnya zahir dan batin. Bahasa-bahasa lain yang telah melalui proses ini ialah bahasa Arab pasca turunnya wahyu, bahasa Turki Uthmaniah, bahasa Urdu, bahasa Parsi, bahasa Berber dan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu kuno yang pada asalnya ditulis dengan aksara Sanskrit dan Pali telah berubah secara zahir dan batin dengan penyerapan tulisan Arab diubah-suai menjadi tulisan Jawi. Bahasa Melayu Baru inilah yang telah menyebar-luaskan pengaruhnya di setiap ceruk alam Melayu ini. Kekuatan yang dimilikinya setelah memeluk ruh baru telah menjadikannya berdaya saing dan berjaya menembusi daerah baru sehingga menjadi bahasa antarabangsa.

Kita harus akui bahawa sesungguhnya dan sememangnya terdapat pengaruh Hindhu-Buddha di dalam bahasa Melayu namun saat ini tiada bukti yang kukuh mengatakan bahawa bahasa Melayu Kuno itu berdiri setaraf bahasa Melayu walaupun telah mencapai taraf lingua franca.

Pengaruh Islamisasi itu lebih menyerlah dapat dikesan dengan huruf-huruf Jawi yang merupakan pinjaman daripada tulisan Arab yang kemudiannya diubah-suaikan dengan ditambah lagi lima huruf baru. Lima huruf baru ini ialah huruf cha, nga, pa, ga dan nya. Kesemua huruf tersebut merupakan kearifan tempatan yang telah mengubah-suai huruf-huruf Arab supaya menepati lidah penutur bahasa Melayu.

Kemasukkan kosa kata Arab ke dalam kamus bahasa Melayu menunjukkan proses Islamisasi bahasa Melayu. Proses ini ditandai dengan kosa-kata utama agama Islam ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu seperti;

Allah, Nabi, ilmu, adab, sahabat, ulama, insan, akhirat, fikir dan adil.

Islamisasi juga berlaku dengan pengubahan rohani, makna dan semantik perkataan yang masih mengekalkan ejaan zahir yang asalnya seperti yang berlaku pada istilah pra-Islam seperti;

Tuhan, sembahyang, puasa, syurga, neraka, dosa, pahala

Selanjutnya penukaran gelaran bagi ketua negara daripada Seri Maharaja, Seri Pikrama, dan Seri Dewa Raja kepada Sultan menunjukkan betapa eratnya hubungan di antara ketamadunan alam Melayu dengan ketamadunan Arab-Islam. Malah eratnya Islamisasi ini juga menerjah ke setiap rumah orang Melayu dengan pengambilan nama hari Arab iaitu Isnin (Ithnain), Selasa (Thalathah), Rabu, Khamis (Khomis), Jumaat (Jumu’ah), Sabtu (Sabtu) dan Ahad.

Perpindahan punca ilmu juga turut berlaku iaitu daripada Lautan Hindi dan Benua India kepada Timur Tengah dengan dapat disaksikan melalui penghasilan manuskrip ilmu beraksarakan Jawi secara meluas dan sangat banyak judulnya meliputi pelbagai cabang-cabang ilmu; di mana belasan ribu tersimpan kemas di luar alam Melayu seperti di benua Eropah, Amerika dan negara Rusia.

Namun begitu, penulis ingin mengingatkan kepada pembaca bahawa sesungguhnya proses Islamisasi yang berlaku semenjak ianya bertapak di Samudera-Pasai tidaklah merujuk kepada proses Arabisasi yang berlaku semenjak dua menjak ini. Proses Islamisasi ini lebih perlahan tetapi mendalam bukan hanya laksana pelitur menutup pokok dan jika dikikis sedikit akan nampak batinnya yang berbeza.

Islamisasi bukanlah hanya melambakkan kosa-kata bahasa Arab atau Inggeris ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu secara berterabur dan semborono seperti proses Arabisasi dan Pembaratan namun ianya jugak mengubah semantik dan makna kosa kata pra-Islam supaya lebih cocok dengan Islam. Penyerapan kosa kata Arab-Islam ini telah melalui proses pemeribumian sehinggakan penuturnya sendiri tidak merasa janggal dan sesuai dengan lidah Melayu.

Proses Islamisasi yang berlaku melalui dua cara ini yang dimulai dengan perpindahan istilah penting dalam pandangan alam Islam ke dalam bahasa Melayu secara menyeluruh zahir dan batin. Kemudian diikuti Islamisasi istilah bahasa Melayu pra-Islam yang mengukuhkan lagi Islamisasi ke atas bahasa Melayu. Ini penting dalam memastikan agar kekeliruan istilah agama Islam tidak berlaku dengan penyerapan istilah-istilah tersebut secara mutlak.

Kini, tulisan Rumi mula menggantikan sepenuhnya tulisan Jawi dan ini secara tidak langsung telah merencatkan proses Islamisasi yang telah berlangsung selama 700 tahun di alam Melayu. Ini diganti dengan proses yang baru iaitu pensekularan bahasa Melayu dengan berbondong-bondong kosa kata penting peradaban Barat masuk ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu yang tidak mampu ditapis lagi setelah benteng tulisan Jawi itu runtuh.

Malah bahasa Melayu yang telah mencapai taraf yang lebih global apabila berkongsi status sebagai rumpun bahasa Islam telah diceraikan daripada status itu dan kembali sebagai bahasa ‘daerah’ dan hanya mampu berhubung sejauh lautan hindi sahaja. Bahasa Melayu Jawi yang banyak diungkapkan secara prosa yang saintifik berbanding puisi telah kembali kepada nilai estetik sahaja akibat perumian tersebut. Puisi lebih dipentingkan kini berbanding prosa dan ini merupakan pemerosotan nilai kualiti bahasa tersebut.

Kesimpulannya di sini adalah agar pensejarahan bahasa Melayu Baru haruslah menitik-beratkan pengaruh Islam dan pemusatan bahasa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera bukannya pengaruh Hindu-Buddha melalui pusatnya di Pulau Jawa dan Bali. Kita harus insaf bahawa Islamisasi bahasa Melayu telah meningkatkan taraf bahasa kita ke tahap yang lebih tinggi dari segi ilmiahnya mahupun dari segi nilai estetik.

Renungilah ungkapan di bawah ini;

Tuhan yang Maha Esa!

Sesungguhnya pernyataan di atas ialah bahasa Melayu asli dan bukti kukuh bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa Islam dan menunjukkan Islamisasi ke atas bahasa Melayu telah lengkap.

RUJUKAN:

  1. Wan Daud, Wan Mohd Nor, Budaya Ilmu Satu Penjelasan. Pustaka Nasional Pte Ltd 2007.
  2. Wan Daud, Wan Mohd Nor, Peranan Universiti. PengIslaman Ilmu Semasa, Penafibaratan dan Penafijajahan. Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains Dan Peradaban (CASIS) dan Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) 2017.
  3. Wan Daud, Wan Mohd Nor, Al-Attas: Penyambung Tradisi Pembaharu Tulen. MPH Group Publishing Sdn Bhd 2012.
  4. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Islam And Secularism. International Institute of Islamic Thought And Civilisation (ISTAC) 1993.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Dilahirkan di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan di dalam bidang perubatan di RCSI, Ireland, dan PMC(RUMC), Pulau Pinang. Kini, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Kesihatan Awam. Seorang yang meminati hal-ehwal sejarah, falsafah, geopolitik dan bahasa. Cenderung kepada Gagasan Islamisasi Ilmu oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Mempunyai pengalaman dalam menerjemah buku dan sedang mempelajari bahasa Rusia dan Mandarin. Bercita-cita untuk menjadi seorang polymath dan polyglot.

Comments are closed.