Sepanjang lebih seribu tahun sejarahnya (753 SM – 476 M), Empayar Rom memahat nama sebagai adikuasa dunia. Terutama dalam bidang ketenteraan. Banyak peperangan yang mereka harungi  – baik pada era Republik (510-31 SM) mahupun Imperial (31 SM – 476 M).

Antaranya seperti Perang Samnium (343-290 SM), Perang Pyrrhic (280-275 SM), Perang Punic (264-146 SM), Perang Saudara Caesar (49-45 SM), dan Perang Alemanni (251-270 M).

Bagi penggemar sejarah Rom, menyebut nama-nama ini memang boleh membawa fikiran kita ke serata tempat – dari Itali dan Kepulauan Greek hingga ke Afrika Utara dan Eropah Barat. Erti kata lain, banyak suku dan bangsa di dunia pernah bertentang senjata dengan mereka.

Namun, sukar sebenarnya untuk kita kuantifikasikan nisbah kalah-menang Empayar Rom. Walaupun jika diikutkan, data itu penting dalam menilai kekuatan mereka secara tuntas. Di laman Quora, ada yang cuba membincangkan hal ini.

Menurut perkongsian mereka, peratus kemenangan Empayar Rom adalah 70-75%. Ini satu nilai yang relatif tinggi. Sekali gus, meletakkan legion Rom sebagai antara unit tentera terampuh sepanjang masa.

Bercakap tentang legion, setiap legion terdiri daripada 5,000-6,000 orang tentera. Secara purata, seramai 120 orang daripada mereka akan bersara setiap tahun. Justeru untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan (sama ada sebab bersara, dilepaskan, terkorban, atau dipindahkan lokasi), kira-kira 250 orang rekrut baru diperlukan.

Kebiasaannya, pegawai yang paling sibuk dalam proses pengambilan tentera baru ini ialah doktor dan pelatih. Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada unit immune.

Immune merujuk kepada sepasukan tentera berpangkat tinggi yang mahir dalam kepakaran tertentu – seperti kejuruteraan, kejurulatihan, pengendalian artileri, pertukangan kayu, dan perubatan. Sesuai dengan pangkat, mereka ini menerima bayaran yang lebih tinggi dan dikecualikan daripada tugas tertentu seperti penggalian parit dan rondaan di benteng.

Kebanyakan rekrut diambil dari kawasan luar bandar. Ini kerana populasi di sana cenderung lebih cergas dan alah dengan suasana susah. Rata-rata mereka juga memiliki latar belakang yang ada sangkut-paut dengan asas seorang tentera – misalnya tukang besi, pemburu, dan pelapah daging.

Antara wilayah yang sinonim dengan bakat-bakat muda ialah Illyricum (kini merangkumi negara Albania, Kosovo, Montenegro, Serbia, Bosnia & Herzegovina, Croatia, dan Slovenia). Mereka memang terkenal gagah, walaupun dahulu pernah bermusuhan dan bahkan berperang dengan Rom (dalam Perang Illyrian; 229-219 SM).

Justeru, warga Illyricum ini boleh diumpamakan seperti tentera-tentera Qingzhou – yang mulanya adalah anggota Serban Kuning namun kemudian diserap sebagai unit elit Cao Cao selepas mereka tewas perang.

Wilayah Illyricum pada 318-379 M

Baik. Berbalik kepada cerita pengambilan tentera, setiap rekrut perlu memenuhi beberapa kriteria. Misalnya mempunyai badan yang sihat dan cergas serta berketinggian sekurang-kurangnya 168 cm. Mereka juga perlu berusia 17 tahun dan ke atas, serta memiliki kewarganegaraan Rom. Bagi rekrut bukan-warganegara, mereka akan diserap ke dalam pasukan kerahan (auxiliary troops).

Oh sebelum terlupa, rekrut juga mestilah bujang. Kalau sudah berkahwin, rumah tangganya akan serta-merta terbatal sejurus memasuki khidmat tentera. Peraturan begini memang ketat, tetapi agak munasabah.

Sebab, khidmat tentera memang lama. Sampai 25 tahun. Dengan dasar empayar yang rajin ‘bertegur-sapa’ dengan jiran tetangga, maka selalunya memang kena tunggu sehingga bersaralah baru ada peluang untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Walaupun begitu, bekalan tentera muda sentiasa tersedia. Faktornya ringkas sahaja; menjadi tentera bermaksud mempunyai kelangsungan hidup yang terjamin. Yakni, gaji yang bagus, pemakanan dan perubatan yang terjaga, dan kalau beruntung, dapat pula wang pencen untuk manfaat hari tua. Mereka yang bukan-warganegara pula akan terus diberi kerakyatan apabila habis tempoh perkhidmatan.

Jadi, profesion sebagai tentera memang lumayan. Tetapi, ia tidak datang tanpa cabaran.

Sebaik sahaja rekrut baru diambil, mereka akan dihadapkan dengan latihan selama empat bulan. Latihan ini merangkumi empat perkara utama; berarak bersama kelengkapan penuh, berlatih menggunakan senjata, bergerak mengikut formasi, dan berhempas mendirikan kem. Sepanjang tempoh ini, mereka dibenarkan untuk menarik diri pada bila-bila masa.

Biasanya, latihan berarak adalah yang pertama diajarkan. Kalau tonton filem ketenteraan seperti PASKAL pun, latihan sebegini memang lazim dipaparkan – berarak sejauh beberapa kilometer sambil membawa peralatan dan kelengkapan perang penuh.

Ini penting kerana untuk mengekalkan formasi pasukan ketika bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan, stamina dan keseragaman amat diperlukan.

Bagi rekrut dalam legion Rom, setiap hari mereka perlu menyelesaikan perjalanan sejauh 29 kilometer dalam masa enam jam sambil membawa kelengkapan seberat 20 kg. Pada penghujung tempoh latihan, jarak tersebut ditambah menjadi 35 km.

Kelengkapan asas bagi seseorang tentera Rom

Kelengkapan asas bagi setiap tentera Rom ialah cassis (pelindung kepala), lorica segmentata (baju perisai), focale and cingulum (penutup leher dan tunik), gladius (pedang 18-24 inci), pilum (tombak), scutum (perisai), dan caligae (but perang).

Ini tidak termasuk barangan lain dalam kit peribadi, seperti baju gentian, bekalan makanan, periuk memasak, penyodok pendek, penggiling tangan, dan dua batang kayu (untuk bina palisade).

Di samping jarak perjalanan dan berat bebanan, faktor permukaan bumi dan cuaca juga diambil kira. Justeru, mereka dikerah untuk meredah bukit-bukau dan mengharungi hujan mahupun salji. Latihan berenang turut dirangkumkan, memandangkan ia satu senaman yang berkesan untuk meningkatkan kecergasan.

Dalam latihan berarak ini juga mereka diajarkan tentang pelbagai formasi. Contohnya formasi phalanx dan formasi baji (wedge formasi).

Apabila sudah mahir perihal formasi, mereka diajarkan pula tentang cara membina kem tentera. Perkara ini penting terutama ketika berada di kawasan musuh, sebagai perlindungan sementara di waktu malam. Sebab itu, selain pedang dan perisai, cangkul juga merupakan kelengkapan asas bagi seseorang tentera Rom. Kebiasaannya, kem ini merangkumi parit, benteng pertahanan, dan pagar palisade dan ia perlu dibangunkan dalam masa lima jam.

Kem legion Rom

Dalam latihan penggunaan senjata pula, mereka umumnya diberikan kelengkapan yang dua kali ganda lebih berat berbanding senjata sebenar. Tujuannya mudah – supaya hayunan dan genggaman ketika menggunakan senjata sebenar lebih kuat dan bertenaga. Senjata yang digunakan tidak hanya terhad kepada pedang dan perisai. Setiap rekrut turut dilatih melempar tombak, menunggang kuda, dan memanah.

Memang kalau lihat komposisi sesebuah legion pun, biasanya ia terdiri daripada 3,600 infantri berat dan disokong oleh sejumlah kavalri dan infantri ringan – sehingga jumlahnya mencapai sekitar 5,000-6,000 orang.

Selepas kesemua latihan tersebut selesai dijalani, rekrut akan diminta memberi sumpah setia sebelum menerima tatu SPQR (Senatus Populusque Romanus) sebagai tanda pengenalan diri. Lantas, khidmatnya sebagai tentera legion Rom pun bermula – dan hanya disudahkan oleh tiga perkara; digugurkan, bersara, atau terkorban.

RUJUKAN:

Preskar, Peter. (2021, 9 October). The Badass Training of the Roman Army. History of Yesterday.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply