Bagi yang Islam, kita mula mengenali terma oasis dalam kisah Nabi Ismail
semasa baginda menghentakkan kaki dan air zam zaman terpancur. Ini secara tak
langsung menyebabkan kawasan Mekah menjadi subur kerana adanya air. Begitu juga dengan mana mana kawasan padang pasir di dunia ini. Cumanya, kalau itu ialah padang pasir yang
kontang, maka daripada mana air ini datang dan kenapa ia susah nak habis?
Untuk memahami perkara ini, kita patut mulakan dengan penerangan tentang
struktur air mata air atau air bawah tanah. Semasa hujan berlaku, air air ini
akan mengalir ke dalam tanah dan meresap ke bawah. Struktur tanah ini pula ada
pelbagai di mana ada tanah yang membenarkan air mengalir dan ada tanah yang
kalis air kerana padat. Tanah seperti pasir, misalnya, adalah peresap air yang
bagus manakala ada sesetengah tanah liat akan bertindak menahan air daripada
diresap. Struktur tanah yang mengandungi air ini dinamakan sebagai aquifer.
Air ini kemudiannya akan mengalir ke lembah akibat tarikan graviti dan
juga sifat tanah liat yang tak membenarkan air untuk meresap dengan lebih
mendalam. Hasilnya ialah kawasan yang mempunyai air bawah tanah selalunya
lembap. Sekalipun kawasan itu lembap, kawasan di sekelilingnya tak semestinya
lembap. Ingat, air mengalir dan berkumpul di titik rendah lembah. Air ini juga
membawa mineral bersama mereka dan sekaligus menjadikannya lebih berkhasiat.
Namun, ada juga air yang tak mengalir ke lembah. Cuma setakat tersangkut
di poket tanah aquifer. Inilah punca air untuk perigi di Malaysia. Jadi,
sekiranya anda mahu membina perigi, anda perlu mencari kawasan yang bertanah
lembab. Kemudian, tanah itu dikorek dengan dalam sehingga tanah mula menjadi
berlecak. Titik hentinya ialah apabila anda menggali sampai ke tanah liat yang
sangat padat dan kalis air. Sekiranya dibiarkan semalaman, air bawah tanah akan
memenuhi lubang telaga ini. Sebagai selingan, sekiranya anda mempunyai kawasan
bertanah yang sentiasa bertakung walapun hujan telah lama berlaku, ini bermaksud
tanah anda itu mempunyai tanah liat berkenaan pada jarak yang tak dalam.
Sepatutnya tanah itu di kawasan yang dalam. Jadi, kawasan bertanah itu perlu
digali dan tanah liat tersebut dibuang atau dicampur bagi menjadi berliang.
Bagi kes oasis, kita tak perlu gali tanah di situ kerana mereka
sememangnya terletak di titik rendah lembah. Jadi, air akan terkeluar di situ
menjadi tasik. Disebabkan oasis ini terletak di lembah, kuantiti airnya susah nak
habis berbanding tasik. Hal ini disebabkan air daripada kawasan luar akan
sentiasa mengalir ke lembah tersebut di bawah tanah. Sebagai bukti, telaga zam
zam yang terletak di Lembah Ibrahim ataupun Wadi Ibrahim sudah beroperasi sejak
zaman Mesopotamia (Nabi Ibrahim hidup pada zaman tersebut) lagi tapi sampai
sekarang masih tak habis.
RUJUKAN:
Alley, William; Reilly, Thomas; Franke, O. (1999). Sustainability of
ground-water resources. Circular 1186. Denver, Colorado: U.S. Geological
Survey. p. 8. doi:10.3133/cir1186. ISBN 978-0-607-93040-5.
Assaad, Fakhry; LaMoreaux, Philip; Hughes, Travis (2004). Field
methods for geologists and hydrogeologists. Berlin, Germany:
Springer-Verlag Berlin Heidelberg. doi:10.1007/978-3-662-05438-3. ISBN
978-3-540-40882-6.
“How I drill a Well.” Popular Science, April 1952, pp.
177-181.
“Zamzam Studies and Research Centre”. Saudi Geological
Survey. Archived from the original on June 19, 2013. Retrieved June 2,
2014.




No comments yet