Pada tarikh 23 September yang lalu, bermula pada tahun 2018, secara rasminya telah diisytiharkan sebagai Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa. Tarikh 23 September ini telah dipilih oleh pihak UN General Assembly pada 19 Disember 2017, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahasa isyarat dan memperkuatkan status berkaitan bahasa isyarat.
Malah, tarikh ini juga dipilih sebagai memperingati tarikh di mana Pertubuhan Orang Pekak Sedunia telah ditubuhkan pada tahun 1951. Artikel ini akan membawa anda kepada sejarah penggunaan bahasa isyarat dan bagaimana ia telah banyak membantu golongan kelainan upaya untuk berkomunikasi dan mengenali dunia.
Sejarah bahasa isyarat
Berdasarkan statistik daripada Pertubuhan Orang Pekak Sedunia, dianggarkan jumlah individu pekak di seluruh dunia adalah seramai 72 juta orang dan lebih 80% daripada jumlah ini tinggal di negara-negara membangun. Dan, daripada kesemua jumlah ini, individu pekak ini telah menggunakan lebih daripada 300 bahasa isyarat yang berbeza mengikut negara masing-masing.
Bahasa isyarat adalah sebuah bahasa semulajadi yang secara strukturnya berbeza daripada bahasa yang dituturkan oleh individu normal yang lain. Bahasa isyarat sebenarnya telah menjadi sebahagian daripada pengalaman linguistik sejak dari zaman prasejarah hinggalah ke hari ini. Berdasarkan kajian yang dijalankan, dinyatakan bahawa bahasa isyarat ini boleh dipecahkan kepada dua kategori yang utama.
Kategori yang pertama ialah bahasa isyarat yang digunakan oleh individu yang boleh berbahasa atau bertutur seperti biasa (oral language) dan isyarat ini digunakan hanya untuk situasi-situasi tertentu, contohnya dalam komunikasi yang memerlukan keadaan tanpa sebarang percakapan. Manakala, kategori yang kedua pula ialah bahasa isyarat yang digunakan oleh individu yang tidak boleh bertutur seperti biasa, iaitu individu pekak dan bisu.
Bahasa isyarat yang digunakan oleh orang pekak dan bisu ini dipercayai telah bermula pada abad keempat sebelum Masehi lagi. Ini adalah berdasarkan kepada kenyataan Socrates dalam Cratylus Plato, iaitu:
“Dan aku ingin tanyakan satu lagi soalan: jika kita tidak mempunyai daya pertuturan, bagaimana harus kita berkomunikasi antara satu sama lain? Tidak haruskah kita menggunakan isyarat, seperti si pekak dan si bodoh?
Pergerakan tangan kita harus mempunyai maksud yang mudah. Mana-mana haiwan yang berlari sepatutnya digambarkan dengan pergerakan serupa dalam bentuk kita sendiri.”
“Katakanlah kita tidak mempunyai suara atau lidah, dan ingin berkomunikasi antara satu sama lain, haruskah kita, sama seperti si pekak dan si bodoh, melakukan isyarat dengan tangan, dan kepala dan seluruh anggota badan?”
Mengikut sejarah, bahasa isyarat terawal yang digunakan adalah di Greek, iaitu pada abad kelima sebelum Masehi, yang digambarkan melalui sebuah pasu Greek, di mana ia menunjukkan Philomela, yang lidahnya telah dipotong oleh Raja Tereus di Thrace, telah menggunakan isyarat untuk berkomunikasi. Satu lagi bukti yang menunjukkan komunikasi visual ini adalah pada syiling Roman, iaitu tessera, di mana gambar jari telah digunakan untuk menunjukkan nombor.
Perkembangan bahasa isyarat pada abad keenam hingga abad ke-16 Masehi
Perkembangan terawal bagi penggunaan huruf tangan (hand alphabet) adalah oleh Saint Bede (abad kelima hingga keenam Masehi) yang telah mencipta sebuah sistem bagi komunikasi visual yang khusus bagi digunakan oleh komuniti keagamaan untuk tujuan bertafakur atau berada dalam keadaan senyap. Saint Bonaventure (abad ke-13), seperti mana yang dinyatakan dalam Refugium infirmorum Melchor de Yedra tahun 1593, telah menghasilkan sistem huruf jejari (finger alphabet).
Bahasa isyarat tangan mula digunakan dengan meluas, terutamanya dalam kalangan komuniti Benedictine. Pengekalan jenis komunikasi ini telah menjadi asas kepada pembentukan bahasa khusus yang menjadi manual khas untuk golongan yang pekak menjelang abad ke-16 Masehi.
Selepas abad ke-13 Masehi, dan abad-abad seterusnya, terdapat peristiwa-peristiwa yang menunjukkan penggunaan komunikasi manual oleh golongan pekak. Satu daripadanya adalah peristiwa di mana Raja Alfonso X, iaitu Raja Sepanyol (abad ke-13) telah mengiktiraf hak golongan pekak untuk berkahwin, melalui penyataannya, iaitu:
“Isyarat yang menunjukkan tanda setuju antara yang bisu adalah sama seperti perkataan yang dituturkan oleh mereka yang boleh berbicara.”
Dalam satu lagi peristiwa, Rodolfo Phrisii Agricolae (abad ke-15), di dalam catatannya melalui De inventiuone dialectica pada tahun 1521, telah menggambarkan:
“Individu yang pekak sejak lahir dan juga bisu boleh memberikan pendapatnya dan memahami orang lain dengan cara penulisan.”
Penggunaan isyarat untuk pengajaran golongan pekak
Menjelang abad ke-17 Masehi, konsep Aristotelian yang diamalkan telah menyebabkan ramai individu yang pekak dan bisu dinafikan hak mereka untuk belajar dan menjalani kehidupan seperti individu yang lain. Penggunaan komunikasi visual sebagai asas kurikulum bagi pembelajaran dan komunnikasi untuk golongan pekak telah bermula di Benedictine Monastery of San Salvador iaitu di On˜a, Burgos, Sepanyol.
Pedro Ponce de Leo`n, iaitu seorang Benedictine pada abad ke-16 Masehi mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai isyarat di mana beliau mengetahui hampir 360 isyarat berbeza yang pernah digunakan sebagai alat komunikasi sewaktu era periods of silence.
Isyarat-isyarat ini telah digunakan untuk menggambarkan aktiviti dalam kehidupan seharian, seperti menggunakan peralatan makan, pakaian, termasuklah keadaan emosi. Terdapat dua orang budak lelaki yang pekak dan bisu telah tinggal di biara de Leo`n untuk menyambung pembelajaran mereka. Dan pengetahuan serta ilmu mengenai isyarat ini telah mereka peroleh sewaktu berada di biara berkenaan.
Kaedah pengajaran yang dijalankan oleh de Leo`n adalah melibatkan penggunaan perkataan bertulis, huruf manual, serta melalui penggunaan isyarat Benedictine serta isyarat-isyarat lain yang telah dihasilkan sepanjang proses pembelajaran tersebut. Pendidikan yang diberikan untuk kedua-dua budak lelaki tersebut telah berjaya dan mereka mempunyai kelebihan untuk bercakap (berkomunikasi) serta membaca dan menulis dalam bahasa Sepanyol, Greek dan Latin.
Beberapa tahun selepas kematian de Leo`n, pembelajaran untuk golongan pekak dan bisu ini telah berubah dari biara kepada pembelajaran di rumah. Antara guru yang bertanggungjawab dalam pembelajaran untuk golongan pekak ini adalah Manuel Ramırez de Carrion, yang menjadi tutor kepada Alonso Fernandez de Cordoba y Figueroa, yang pekak dan bisu sejak lahir, dan akhirnya telah berjaya dalam pembelajarannya pada tahap yang paling tinggi. Salah satu teknik yang digunakan oleh Carrion dalam pengajarannya adalah dengan mengaplikasikan penggunaan finger spelling.
Seorang lagi pengajar dan tutor pada waktu itu yang terbabit dalam pengajaran isyarat untuk golongan pekak dan bisu ini adalah Jan Pablo Bonet (1579-1633 Masehi) yang banyak mempelajari pengetahuan mengenai isyarat daripada Carrion.
Pada tahun 1620, beliau telah menghasilkan sebuah buku berkaitan dengan pendidikan golongan pekak, iaitu Reduction de las letras y arte para ensen˜ar a ablar los mudos. Buku ini telah menjadi rujukan penting kerana ia merupakan buku pertama yang menerangkan teknik-teknik dalam pengajaran untuk golongan pekak melalui finger spelling, bersama isyarat yang lain.
Bahasa isyarat sebagai kurikulum
Penggunaan bahasa isyarat sebagai sebuah bahasa yang lengkap dan pelaksanaan kurikulum bagi pengajaran bahasa isyarat bermula apabila Charles Michel de L’Epee membuka sebuah sekolah percuma untuk pelajar pekak pada tahun 1771.
Sekolah ini telah ditubuhkan melalui dana simpanannya sendiri dan rumah milik bapanya, hasil sebuah insiden yang melibatkan dirinya dengan dua orang kanak-kanak perempuan pekak. Penerbitan pertamanya berkaitan bahasa isyarat ini telah dikeluarkan pada tahun 1774, dan beliau telah menghasilkan sebuah sintaks khas untuk bahasa isyarat.
Pengganti beliau, Roch-Ambroise Sicard iaitu seorang paderi yang telah datang ke Paris untuk belajar lebih lanjut dengan de L’Epee, yang kemudiannya telah menubuhkan sebuah lagi sekolah untuk golongan pekak di Bordeaux.
Golongan aristokrat di Perancis telah menyambut baik akan usaha yang dilakukan oleh de L’Epee serta penubuhan sekolah ini. Suatu undang-undang berkaitan penubuhan sekolah orang pekak ini telah diluluskan pada 29 Julai 1791, hasil daripada usaha dan dedikasi yang ditunjukkan oleh de L’Epee.
Roch-Ambroise Sicard telah menyambung usaha yang dilakukan oleh de L’Epee pada tahun-tahun pertama berlakunya Revolusi Perancis. Malah, Sicard juga telah berjaya meyakinkan pihak National Assembly bahawa alat bantuan untuk golongan yang kurang upaya atau cacat adalah suatu hak untuk mereka. Ini sebenarnya telah menjadi asas kepada sistem pendidikan dan penjagaan untuk semua kanak-kanak terutamanya untuk kanak-kanak yang istimewa.
Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa
Kali pertama Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa ini diraikan adalah pada tahun 2018, dan pada tahun ini, hari tersebut diraikan dengan tema “Hak bagi Bahasa Isyarat untuk Semua”. Resolusi utama yang cuba disampaikan melalui penetapan Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa ini adalah bagi mengiktiraf bahasa isyarat sebagai salah satu bentuk komunikasi penting bagi perkembangan individu pekak dan bisu serta memeliharanya sebagai salah satu ciri kebudayaan.
Kepentingan dan rasional penggunaan bahasa isyarat
Bahasa isyarat sebenarnya sangat penting bagi masyarakat untuk membantu komunikasi tanpa batas antara golongan kelainan upaya serta individu normal. Sikap prejudis terhadap penggunaan bahasa isyarat harus dilenyapkan melalui lebih banyak kesedaran terhadap kepentingan mempelajarinya dan kaedah terbaik untuk mempelajarinya. Pada masa kini, di sesetengah negara yang tertentu, pengajaran untuk bahasa isyarat kini menjadi suatu kurikulum asas dalam pendidikan perubatan serta program-program lain yang berkaitan dengan sains kesihatan. Ini adalah antara langkah awal yang dijalankan dalam memupuk kesedaran terhadap kepentingan penggunaan bahasa isyarat.
Kesimpulan
Bahasa isyarat adalah bentuk komunikasi yang menjadi penghubung antara individu normal dengan individu yang mempunyai kelainan upaya. Melaluinya, individu istimewa mengenali dunia dan boleh saling berbicara tanpa batasan meskipun tidak secara verbal. Individu normal seharusnya mencari peluang untuk turut sama mempelajari bahasa isyarat dan menghapuskan jurang komunikasi antara mereka dengan individu istimewa.
RUJUKAN:
Fischer, S. D. (2015). Sign languages in their historical context. In RH of Historical Linguistic Book (pp. 442–465).
Humphries, T., Kushalnagar, P., Mathur, G., Napoli, D. J., Padden, C., Rathmann, C., & Smith, S. (2017). Discourses of prejudice in the professions : the case of sign languages. J Med Ethics, 43, 648–652.
Ruben, R. J. (2005). Sign language: Its history and contribution to the understanding of the biological nature of language. Acta Oto-Laryngologica, 125, 464–467.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih