Running Man. BTS. Parasite. Squid Game. Bagi peminat dunia K-Pop, pasti arif dengan nama-nama ini. Mungkin bagi sesetengah orang, K-Pop hanya hiburan semata-mata. Tetapi ia membantu menonjolkan keupayaan kuasa lembut (soft power) Korea Selatan dengan menonjolkan kebudayaan dan hiburan mereka di pentas global.

Apa itu kuasa lembut (soft power)? Secara ringkas, ia bermaksud keupayaan mempengaruhi dan membentuk persepsi orang ramai terhadap sesebuah negara tanpa paksaan dengan menggunakan nilai tertentu seperti budaya dan hiburan. K-Pop dianggap kesinambungan gelombang Hallyu yang pernah melanda pada tahun 1990-an tetapi memberi fokus kepada mengembangkan pengaruh budaya Korea Selatan kepada dunia.

Trend K-Pop di peringkat global mula dirasai menerusi pencapaian filem Parasite menggondol beberapa anugerah termasuk Filem Terbaik dalam Anugerah Oscar Ke-92 pada Februari 2020. BTS pula menduduki kedudukan nombor satu carta muzik Billboard 100. Sementara dua kumpulan K-Pop terkenal, Blackpink dan Twice pula berjaya memasuki carta muzik Billboard Global 100.

Secara perlahan-lahan, budaya Korea Selatan mula memecah dominasi soft power yang dipelopori Barat terutama dari Amerika Syarikat. Dan ini secara tidak langsung menunjukkan masa depan Asia sebagai sebuah benua.

Tiada siapa menyangka seorang wanita dari Asia berpeluang menjadi penghias muka depan majalah Vogue. Tetapi itulah yang berlaku kepada model dan pelakon Jung Ho-yeon selepas dipilih sebagai penghias muka depan majalah berkenaan. Ini selepas drama pertama yang dibintanginya, Squid Game terbitan Netflix menjadi bualan di seluruh dunia.

Disebabkan pengaruh K-Pop yang kuat termasuk dalam program drama dan hiburan, penyiar-penyiar digital berlumba-lumba menyiarkan program-program sebegini di sebelah Asia. Bagi Netflix, semua pasti masak dengan Squid Game, Kingdom, The Silent Sea dan All of Us Are Dead. Sementara Disney+ pula menyiarkan program original mereka seperti Outrun by Running Man, Snowdrop dan Rookies.

Rajah 1: Outrun By Running Man merupakan contoh program Korea yang dihasilkan Disney+. Sumber: Disney.

K-Pop dianggap berbeza kerana ia menonjolkan dominasi ekonomi dan kebudayaan Korea Selatan melalui ekspresi artistik yang bersifat kolektif. Ia dapat dilihat menerusi pengembangannya di setiap penjuru dari Rusia di utara, Amerika Syarikat di timur, India di sebelah barat dan rantau Oceania di sebelah selatan. Dan paling menonjol, pengaruhnya mendorong peminat terutama dari generasi muda menolak politik golongan tertentu dan membentuk idealisme mereka sendiri.

Menariknya, tiga syarikat besar yang menjadi tunjang gelombang K-Pop iaitu SM Entertainment, JYP Entertainment dan YG Entertainment diasaskan berdasarkan sistem artis idola Jepun. Ketiga-tiganya diasaskan pada pertengahan 90-an sebelum disertai oleh HYBE Corporation yang diasaskan oleh bekas kakitangan JYP Bang Si-hyuk pada 2005. HYBE dianggap bertuah kerana artis naungan mereka, BTS kini menjadi sebutan di seantero dunia.

Kejayaan gelombang K-Pop turut dikaitkan dengan kedudukan Korea Selatan sebagai pendahulu dalam teknologi digital. Melalui teknologi digital, ia membawa kepada kemunculan laman media sosial sekaligus membolehkan para peminat K-Pop mengikuti artis pujaan mereka termasuk perjalanan karier mereka.

Bagi para artis K-Pop, platform media sosial bukan sekadar medan interaksi bersama peminat. Adakalanya, ia turut digunakan sebagai cara menyampaikan mesej berkenaan pelbagai perkara dari kebajikan hinggalah isu-isu semasa. Usaha mereka turut disokong oleh para peminat yang turut berperanan memasarkan artis pujaan mereka secara profesional di platform sama.

Gelombang K-Pop turut bergerak mengikut generasi – sama seperti mana-mana pergerakan kebudayaan di seluruh dunia. Bagi generasi yang sezaman dengan penulis, pasti masak dengan Super Junior dan Wonder Girls. Pada dekad 2010-an, kemunculan Psy menerusi Gangnam Style mungkin dianggap anomali. Tetapi ia merupakan pencetus kepada kemunculan generasi baru artis K-Pop yang datang dari pelbagai latar belakang termasuk negara dan etnik.

Tak percaya? Lihat terlebih dahulu latar belakang setiap anggota Blackpink. Lisa seperti semua maklum berasal dari Thailand. Sementara Jennie menghabiskan sebahagian masa kecilnya di New Zealand dengan Rose merupakan anak pasangan imigran Korea dari Australia. Peminat kumpulan EXO pula pasti maklum pada satu ketika, mereka pernah dianggotai oleh tiga ahli dari China iaitu Kris Wu, Luhan dan Zitao (Tao).

Rajah 2: Kumpulan K-Pop Blackpink dianggotai oleh ahli-ahli yang datang dari pelbagai latar belakang berbeza.

Dengan mempelbagaikan latar belakang artis K-Pop, ia kini dianggap sesuatu yang normal. Generasi artis K-Pop hari ini dikenali sebagai generasi global bukan saja kerana latar belakang mereka yang berbeza. Malah, mereka turut mensasarkan matlamat berjaya di peringkat antarabangsa sejak dari awal lagi.

Bagi memastikan mereka diterima di peringkat antarabangsa, semua lagu yang dipasarkan menggunakan judul ringkas dan dalam Bahasa Inggeris. Contohnya, lagu Sorry Sorry (Super Junior), Monster dan Dancing King (EXO), Aespa (Next Level) dan BTS (Butter).

Selain menggunakan tajuk dalam Bahasa Inggeris, artis-artis K-Pop juga tidak ketinggalan menyelitkan pelbagai bahasa asing dalam lagu-lagu mereka. Misalnya, dalam lagu Dancing King (EXO), terdapat perkataan asing seperti senorita (Bahasa Sepanyol) dan buona sera (Bahasa Itali). Sementara Butter merupakan lagu BTS sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris. Dengan menggunakan bahasa asing pada lagu mereka, ia sebenarnya meningkatkan jangkauan global K-Pop.

Contoh lagu K-Pop yang ada bahasa asing:

Kuasa lembut (soft power) K-Pop memberi impak besar kepada hubungan antarabangsa Korea Selatan termasuk dengan China. Begitupun, pada peringkat awal, tema yang berlegar pada tahun-tahun awal ini lebih bersifat konfrontasi. Pada 2016, bagi ‘meraikan’ hari lahir Presiden Korea Utara, Kim Jong-un, lagu-lagu K-Pop dimainkan dari pembesar suara di kawasan sempadan Korea Utara-Korea Selatan.

Tahun sama turut menyaksikan kumpulan wanita popular Twice memohon maaf selepas ahlinya Tzuyu mengibarkan bendera Taiwan. Strategi bersifat konfrontasi sebegini dianggap tidak berhasil. Bagi salah seorang pemain utama K-Pop dan orang kuat JYP Entertainment, Park Jin-young/JYP, ia perlu disemak semula kerana ia boleh menjejaskan populariti Hallyu jika dibiarkan.

Sejak itu, generasi artis K-Pop seterusnya berusaha mengelak sebarang kontroversi termasuk perkara yang tidak disengajakan. Pada 2020, BTS dituduh tidak menghormati tentera China oleh akhbar Global Times kerana tidak menyebut nama mereka semasa menerima anugerah sempena ulang tahun ke-70 Perang Korea. Dua hari selepas itu, Global Times terpaksa menarik balik serangan ke atas kumpulan itu selepas mendapat tekanan daripada peminat BTS (BTS Army).

Rajah 3: Tekanan BTS Army memaksa Global Times menarik balik beberapa artikel yang mengkritik BTS pada 2020. Sumber: Filmdaily.co

Impak K-Pop terutama bantahan BTS Army menjelaskan mengapa China bertindak mengharamkan budaya peminat tegar (fandom) pada tahun lepas. Walaupun ia bertujuan membuang elemen toksik yang menyelubungi fenomena ini, penulis percaya ia turut didorong oleh ego. Ego bahawa institusi seperti media terpaksa tunduk kepada tekanan peminat tegar BTS selepas mengkritik mereka pada 2020.

China berharap dengan langkah tersebut, ia dapat mengekang pengaruh K-Pop daripada terus mendapat tempat di hati penduduk mereka. Tetapi dengan mempelbagaikan latar belakang mereka agar diterima di peringkat antarabangsa, strategi China dijangka tidak berhasil.

Imej K-Pop masih dianggap bersih dan dominan di sebalik pelbagai kontroversi dan skandal. Ini kerana pada akhirnya, ia menjanjikan perwakilan semua orang tanpa mengira latar belakang dan memberi inspirasi kepada semua.

Contoh paling mudah, kehadiran BTS ke Perhimpunan Agung PBB sebagai duta khas Korea Selatan. Mereka juga turut diberi peluang berucap di hadapan semua perwakilan ke Perhimpunan Agung PBB di mana mereka mempunyai keyakinan terhadap generasi seterusnya.

Apabila tiga ahli kumpulan tersebut disahkan positif Covid-19 pada akhir tahun 2021, ramai mendoakan kesembuhan. Ini termasuk ketua pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi satu ciapan di Twitter.

Selain mengucapkan kesembuhan kepada mereka, Dr Tedros turut memberi peringatan tentang SOP pencegahan Covid-19 dan kepentingan vaksinasi. Satu kajian akademik turut mendedahkan gerakan pro-vaksinasi yang dipelopori penyokong-penyokong BTS mendorong ramai orang berusaha mendapatkan perlindungan daripada wabak berkenaan.

Peminat-peminat tegar K-Pop kini bukan lagi bersifat setempat tetapi sudah mencecah peringkat global. Dan ia mula mempengaruhi kehidupan harian seperti protes Black Lives Matter atau mana-mana aktiviti yang bersifat keadilan sosial. Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump juga sudah merasa penangan mereka. Ini kerana tiket menghadiri program politiknya di Oklahoma pada 2020 disabotaj oleh BTS Army yang membeli kebanyakan tiket programnya.

Satu lagi ekspresi yang dianggap popular dengan K-Pop ialah terma ‘fighting!’. ‘Fighting!’ di sini bukan bermaksud berlawan secara fizikal seperti digambarkan dalam kamus Bahasa Inggeris. Sebaliknya, dalam konteks Korea, ia bermaksud selamat berjaya atau keyakinan untuk melakukannya. Ia juga merupakan teras utama K-Pop iaitu mengatasi cabaran dengan tenaga dan mesej positif.

Contoh laungan ‘fighting’:

K-Pop dilihat alternatif terbaik untuk politik bersifat konfrontasi yang biasa dilihat dalam hubungan antarabangsa. Tetapi apakah ia bersifat praktikal untuk jangka masa panjang? Hanya masa akan menentukannya…

RUJUKAN

Nissen, A. dan Valeriano, B. (2022, 16 Februari). This Is South Korea’s K-pop Soft Power Moment. The Diplomat.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply