India sebelum kedatangan Inggeris bukanlah sebuah wilayah yang tidak bertamadun dan tidak berupaya  berkerajaan sendiri seperti yang dimomokkan oleh sebilangan sarjana Inggeris. Sebaliknya, India adalah sebuah tamadun yang amat maju serta memang mempunyai kemampuan untuk mentadbir tanah mereka yang amat luas itu. Maka alasan Inggeris menjajah India dengan hujahan dangkal untuk mentamadunkan bumi itu langsung tidak terpakai.

SHTI atau Syarikat Hindia Timur India merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan melalui idea dan kerjasama beberapa orang pedagang di London. Sekumpulan pedagang tersebut menyedari pada waktu itu, sektor perdagangan dunia sedang digerakkan oleh perdagangan rempah terutamanya lada hitam.

Namun demikian, mereka juga maklum bahawa sektor rempah pada waktu itu sedang dikuasai oleh kuasa-kuasa asing termasuklah jiran Eropah mereka di seberang iaitu Belanda, Perancis, Portugal dan Sepanyol. Lalu, pedagang-pedagang tersebut telah sebulat suara ingin menubuhkan sebuah syarikat engan tujuan untuk meneroka dan menguasai perdagangan rempah (termasuk juga komoditi lain seperti kapas, sutera, gula, garam, teh, dan candu) selain berazam untuk memecahkan dominasi kuasa Eropah yang lain ke atas sektor tersebut.

Bagi memenuhi azam yang telah mereka rencanakan itu, maka pada tanggal 13 Disember 1600M pedagang-pedagang tadi pun pergi menghadap Ratu mereka iaitu Elizabeth I bagi memohon ‘lesen’ kebenaran untuk berlayar ke Timur bagi mendapatkan rempah dan meneroka ke India Timur. Ratu Elizabeth I lantas berkenan untuk menganugerahkan sekumpulan pedagang ‘lesen’ itu.

Pemberian lesen itu sekaligus memberikan kuasa kepada pedagang-pedagang tersebut untuk menjadi satu-satunya syarikat yang dibenarkan berdagang ke Timur India. Dengan penganugerahan lesen daripada Ratu Elizabeth I itu, maka tertubuhlah sebuah syarikat yang seterusnya bertanggungjawab meletakkan tapak kaki Inggeris ke atas India.

Syarikat tersebut pada awalnya diberi nama Company Of Merchants Of London Trading Into The East India namun berlaku sedikit kekeliruan apabila sebuah syarikat pesaing ditubuhkan pada tahun 1698 yang turut menggunakan nama yang lebih kurang sama iaitu The English Company Trading To The East Indies. Selepas mereka bergabung pada tahun 1709, nama United Company Of Merchants Of England Trading To The East Indies telah digunapakai. Namun demikian, disebabkan mereka mempunyai sedikit masalah dengan penggunaan nama itu, akhirnya nama East Indie Company digunakan.

Pada awalnya, belum timbulnya lagi kemahuan syarikat untuk menjalankan perdagangan secara langsung dengan India. Sebaliknya mereka lebih cenderung untuk berdagang di Kepulauan Rempah dan kawasan-kawasan sekitar. Kisah penjajahan India bermula pada tanggal 24 Ogos 1608, apabila SHTI membuat pendaratan di pelabuhan Surat.

Pelabuhan Surat merupakan antara pelabuhan terpenting bagi Empayar Mughal pada ketika itu. Setibanya mereka di India, SHTI menyedari mereka tidaklah berseorangan di India. Hal ini demikian kerana, terdapat orang lain yang telah tiba terlebih dahulu di India. Dalam hal ini, Portugal merupakan pedagang Eropah yang pertama tiba di India. Bahkan, Portugal tiba seratus tahun lebih awal menerusi pendaratan Vasco Da Gama di pesisiran Malabar, Calcutta pada bulan Mei tahun 1498.

Pertemuan dua mata antara mereka ternyata telah mewujudkan ketegangan. Kemuncak kepada perseteruan dua kuasa Eropah ini berlaku sejurus terletusnya peperangan antara mereka sekitar bulan November tahun 1612. Peperangan yang direkodkan sebagai pertempuran Suvalli ini merupakan sebuah pertempuran yang tercetus antara armada Inggeris dengan armada Portugis.  Menariknya, Inggeris yang hanya berbekalkan bilangan kapal kecil dengan gahnya mampu menewaskan armada Portugis yang mempunyai kekuatan yang lebih tinggi.

Kemenangan yang diraih Inggeris menerusi pertempuran Suvalli (Swally) sekaligus berhasil meningkatkan prestij mereka di mata Maharaja Mughal. Maharaja Mughal kagum dengan kemampuan Inggeris menewaskan Portugis yang dianggap kuasa besar maritim ketika itu. Selain itu, Maharaja Mughal telah mengurniakan kebenaran kepada SHTI untuk membuka pusat perdagangan mereka di Surat. Demikianlah tindakan Maharaja Mughal yang telah mengukuhkan lagi penapakan Inggeris di India buat ratusan tahun seterusnya.

Ukiran dari abad ke-18 yang menggambarkan suasana Pertempuran Suvalli  yang berlangsung antara 29 hingga 30 November 1612 (Sumber Foto: Wikimedia)
RUJUKAN:

Durant, W. (1930). The case for India. Simon and Schuster.

Barrow, I. J. (2017). The East India Company, 1600/1858 A short history with documents. Hackett Publishing Company, Inc.

Tirthankar, Roy (2016). The East India Company: The World’s Most Powerful Corporation

Wolpert, S. A. (2020, September 8). British raj. Encyclopedia Britannica. https://www.britannica.com/event/British-raj


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.

Leave A Reply