Tiga tahun lepas, Netflix ada keluarkan satu siri realiti berjudul Tidying Up With Marie Kondo, kesinambungan daripada buku The Life-Changing Magic of Tidying Up (2010). Siri tersebut bertemakan tata rias rumah, persis beberapa siri lain seperti Clean House (2003-2011) dan Hoarders (2013).
Cuma bezanya, rumah dalam siri ini tidaklah begitu ‘bersepah’. Paling utama, ia mengenengahkan idea minimalis secara lebih ketara dan lebih bergaya justeru lebih diterima. Kesannya sampaikan tren menyahsimpan barang menjadi satu fenomena, terutama di Amerika Syarikat.
Rentetan itu, jumlah barang sumbangan (seperti pakaian terpakai) pun meningkat dengan mendadak. Di Washington DC misalnya, pusat sumbangan Goodwills mengalami peningkatan jumlah sumbangan sebanyak 66% pada minggu pertama Januari (Holder, 2019). Hal sama juga dialami oleh semua cawangan Salvation Army, dengan peningkatan sebanyak 45-67% (Lopez, 2019).
Perkara ini, pada satu sisi, memang boleh ditanggapi sebagai satu perubahan positif. Yakni, ramai semakin cakna dan cermat tentang barang peribadi; simpan mana yang bermakna, sumbang mana yang tak diguna. Dengan begitu, rumah jadi kemas. Penghuni pun tidak lagi rimas.
Cumanya, ‘rimas’ ini berpindah pula ke tempat-tempat lain. Baik pusat sumbangan, kedai barangan murah, pusat pelupusan sampah, pusat kitar semula atau rantaian terhujung, dieksport ke luar negara. Mereka inilah yang nanti akan uruskan semua barang tadi.
Benar, ‘Kesan Marie Kondo’ bukanlah pencetus utama masalah pengurusan sisa ini. Sebab setiap tahun pun, Amerika Syarikat perlu menguruskan hampir 1.08 billion kg pakaian dan kasut terbuang (Cline, 2019).
Kebiasaannya, pusat-pusat sumbangan (termasuk kedai barangan murah) hanya ambil 1/5 sahaja daripada hasil sumbangan – setelah dipilih dan diasingkan. Baki 80% akan diserahkan kepada pusat kitar semula dan syarikat eksport.
Kalau lihat data OEC tahun 2019, nilai dagangan dunia bagi industri pakaian terpakai memang besar. Cecah $4.46 billion. Amerika Syarikat adalah penyumbang nilai eksport tertinggi, iaitu $720 juta. Negara yang paling banyak import pula ialah Ukraine ($203 juta), Pakistan ($189 juta), Ghana ($168 juta), dan Kenya ($165 juta).
Cuma berbanding Ukraine dan Pakistan, industri tekstil tempatan di Ghana dan beberapa negara Afrika lain agak membimbangkan.
Bayangkan, Ukraine dengan populasi 44.1 juta orang mampu memiliki 500 buah kilang tekstil tempatan dan menggajikan lebih 16 ribu orang pekerja (Simsek, 2022). Sementara Ghana yang berpopulasi 31 juta orang pula hanya miliki 4 buah kilang dan menggaji 3,000 orang pekerja. Lebih teruk, setiap tahun ibu negaranya (Accra) perlu melupuskan lebih 21 juta kg pakaian terbuang – yang diimport, tapi tidak terjual (Cline, 2019).
Tren penurunan yang sama turut berlaku di beberapa negara Afrika lain. Contohnya, Kenya pada 30 tahun lalu memiliki kira-kira 110 buah kilang tekstil berskala besar. Angka ini bagaimana pun jatuh 50% menjelang 2006, sekali gus bilangan pekerja dalam industri pakaian tempatan pun berkurang daripada 500,000 orang kepada 20,000 orang. Begitu juga di Tanzania – daripada 25,000 orang pekerja pada 1980-an kepada 10,000 orang pada 2002 (Borba, 2021).
Persoalannya, mengapa dan bagaimana perkara ini terjadi?
Jawapan mudah, kerana pengedar pakaian tempatan tidak mampu bersaing dengan pengedar pakaian terpakai-import. Bukan sebab tidak kompeten atau masalah kualiti. Tetapi kerana harga.
Iyalah, pakaian terpakai ini datang dari hasil sumbangan. Barang percuma. Sampai kepada peruncit dengan harga sehabis minimum – yang mana harga ini pun wujud sebab berlaku import-eksport. Ditambah pula dengan adanya dasar bebas cukai antara AS dan beberapa negara Afrika menerusi Akta Pertumbuhan dan Peluang Afrika (AGOA).
Jadi, memang mustahil untuk jenama tempatan bersaing dengan pakaian terpakai-import. Dah kalau peniaga barang terpakai jual pada harga lelong pun boleh raih untung, jenama tempatan hendak bersaing macam mana.
Habis tutuplah kilang-kilang tekstil, lalu diganti dengan pusat pengurusan (sorting center) – daripada menghasilkan pakaian jenama sendiri kepada mengagih dan memilih pakaian terpakai-import; mana yang boleh diedar ke pasaran dan mana yang hanya sesuai dicampak ke tempat buangan.
Oleh kerana itu, tidak hairan bila Waste Atlas nyatakan yang 20 daripada 50 tempat buangan terbesar di dunia terletak di benua Afrika (Fall, 2019). Sebab mereka berada di hujung rantaian.
Negara maju seperti Amerika Syarikat boleh sahaja hantar sisa pepejal mereka ke negara-negara lain, negara dunia ketiga khususnya. Tetapi bagaimana pula dengan nasib negara yang menerima? Mereka sama ada melonggokkan sisa tersebut di tanah lapang atau membakarnya secara terbuka. Dua-dua pun tidak sihat, baik untuk alam mahupun penduduk.
Kesihatan terjejas. Ekonomi pula terbantut. Memang betul, industri pakaian terpakai ini jana peluang pekerjaan – walau tidaklah sebanyak jika ia dihasilkan secara tempatan. Tetapi, tren mengimport berbanding menghasilkan sendiri tetap tidak sihat. Sebab ia bakal jejaskan imbangan perdagangan.
Lantaran itu, pada 2015, negara anggota EAC (East African Community; Kenya, Uganda, Tanzania, Burundi, dan Rwanda) bercadang mahu mengharamkan aktiviti tersebut. Pelaksanaan tariff import juga turut dikuatkuasakan.
Namun berikutan tekanan dari AS, mereka mengurangkan kadar tariff dan menarik semula usul pengharaman. Hanya Rwanda sahaja yang enggan akur. Sampaikan pada Mac 2018, presiden Donald Trump menyekat negara itu dari sebarang manfaat yang ditawarkan oleh AGOA ().
Tindakan itu bagaimana pun tidak menggugat keputusan Rwanda. Mereka mahu ikuti langkah Ethiopia dengan memperkasakan industri tempatan. ‘Made in Rwanda’ justeru menjadi agenda utama negara terbabit.
Hasilnya memang tidak mengecewakan. Semenjak konsisten mengenakan tariff import, nilai industri tekstil Rwanda meningkat dari $7 juta kepada $9 juta. Hal itu turut disumbangkan oleh kemasukan pelabur asing, seperti C&H Garments dari China yang membuka kilang pertamanya di Rwanda (BBC, 2018). Dengan pembukaan tersebut, sebanyak 1,400 peluang pekerjaan berjaya dijana sekali gus melorongkan negara itu ke masa hadapan yang lebih cerah.
RUJUKAN:
BBC News. (2018, 27 July). Reality Check: Why some African countries don’t want charity clothes?
Borba, Levi. (2021, 1 July). Why We Should Stop Donating Clothes to Africa. History of Yesterday.
Cline, Elizabeth L. (2019, 13 May). Tidying Up Has Created a Flood of Clothing Donations No One Wants. Slate.
Fall, Maguette. (2019, 13 December). The Journey of Our Donated Clothes. The Perspective.
Holder, Sarah. (2019, 18 January). The ‘Marie Kondo Effect’ Comes at a Weird Time for Thrift Stores. Bloomberg.
Lopez, Vivian. (2019, 13 February). Netflix craze sees more Americans bulldozing their closets and calling The Salvation Army.
Simsek, Yagmur Melis. (2022, 18 March). How does Russia-Ukraine War affect Turkish textile industry? Textilegence.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih