Mengenai penerokaan angkasa, kita perlu sedar bahawa penerokaan itu tidak terhad dengan membawa manusia atau teknologi ke semesta angkasa. Kajian dan perbahasan yang membawa kita ke ruang angkasa juga adalah sebahagian usaha yang usah dipandang remeh.

Menariknya, kegiatan ini sudah giat dibahas dan dikaji sejak ribuan tahun yang lalu, lebih berumur dari saya dan anda yang sedang membaca. Kemajuan penerokaan ini pula, seiring perkembangan ilmu falak, astronomi dan astrologi pada ketika itu. Berikut saya kongsikan pengamalan dan perkembangan pengetahuan angkasa menerusi lima tamadun purba.

1.Tamadun Mesopotamia Purba

Kehendak Tuhan sering dikaitkan dengan tafsiran dari carta-carta bintang oleh masyarakat ini. Fenomena astronomi pula dikaitkan dengan mesej tertentu yang disampaikan oleh Tuhan. Disebabkan inilah, wujudnya bidang astrologi dalam tamadun ini.

Namun begitu, kegiatan ramalan telah lama diamalkan di Mesopotamia jauh sebelum terbentuknya bidang astrologi. Perkara ini diamalkan melalui aktiviti pengorbanan haiwan dan ramalan pula ditafsir dari isi perut haiwan tersebut.

Astrologi mula mendominasi kegiatan ramalan kerana mesej atau tanda-tandanya yang lebih jelas terhadap karakter dan masa hadapan sesebuah negara mahupun individu.  Lambang Zodiak dan penentuan karakter dan nasib jangka pendek mahupun panjang individu, merupakan konsep yang pertama kali diperkenalkan oleh Mesopotamia sebelum pengetahuan ini dikembangkan oleh Tamadun Mesir Purba dan Yunani Purba (Mark, 2022).

2.Tamadun Mesir Purba

Masyarakat tamadun ini merancang temasya, korban ritual keagamaan, perjalanan dan bahkan baik buruk kelahiran seseorang bayi mahupun penyakit, melalui pencerapan tingkah bintang di angkasa. Di samping itu, manfaat dari pencerapan bintang juga membolehkan mereka meramal kejadian banjir Sungai Nil dan perubahan musim melalui cuaca semasa (Smith, 2018).

3.Tamadun India Purba

Astronomi India Purba boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

  1. Astronomi Vedik
  2. Pasca-astronomi Vedik

Pada era astronomi vedik, Rigveda dijadikan antara rujukan astronomi. Menurut Rigveda, alam semesta itu tiada batasan dan terdiri daripada Bumi, atmosfera dan langit. Lima planet utama-Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal- dirujuk sebagai Tuhan dan merujuk nama Birhaspati sebagai Musytari dan Vena sebagai Zuhrah. Dalam Rigveda juga ada menyatakan mengenai buruj, seperti Great Bear, Little Bear, Canis Major, Canis Minor dan Argo Navis.

Gambaran sekumpulan buruj

Pada era pasca-astronomi vedik, skop astronomi mula berkembang. Tidak tertumpu hanya dalam lingkungan matahari dan bulan, begitu juga dari tujuan asalnya yang menyediakan maklumat kepada sami vedik. Pengajian mengenai lima planet juga dikembangkan dan mula dikaji sebagai keperluan sains.

Vasistha-siddhanta merupakan penulisan astronomi terawal pada era ini. Penulisan itu membuat penambahbaikan dalam astronomi qamari-suria (luni-solar) selain menerangkan gerakan sinod planet yang memberikan formula empirik untuk mengetahui kedudukan planet Musytari dan Zuhal (Shukla, 1987).

4.Tamadun Cina Purba

Para maharaja masa lampau dari pelbagai dinasti akan melantik beberapa pegawai khas untuk mencerap bintang. Contohnya, Maharaja Yao melantik ahli astronomi seperti Xi dan He untuk penciptaan kalendar. Ada dua sebab mengapa pencerapan bintang dilakukan:

  1. Faktor astrologi dan politik

Gerhana matahari misalnya. Mereka percaya bahawa semasa gerhana berlaku, matahari dibaham oleh seekor anjing cakerawala, yang mana dianggap sebagai petanda bagi segala malapetaka. Maka, Maharaja dan masyarakat ingin tahu bilakah peristiwa itu akan berlaku.

  1. Untuk menambahbaik sistem astronomi

Setiap dinasti mahukan kronologi astronomi dan menghasilkan kalendar.

Untuk penghasilan kalendar sahaja, masyarakat Cina Purba telah menghasilkan lebih 100 buah kalendar, yang mana setiap satunya merupakan versi yang ditambah baik dari sebelumnya. Dari ratusan kalendar itu, hanya lebih 50 kalendar sahaja yang secara rasmi digunakan. Mereka juga merekodkan pelbagai peristiwa cakeralawa seperti, gerhana bulan dan matahari, tompok matahari, komet, meteor, kejadian planet dan lain-lain (Fang, 2015).

5.Tamadun Yunani Purba

Algamest merupakan antara penulisan ahli astrologi terkemuka tamadun ini, iaitu Ptolemy. Beliau mendakwa bahawa Bumi merupakan pusat angkasa sementara matahari, bulan dan beberapa bintang dan lima planet- Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal- kesemuanya mengelilingi Bumi.

Penulisan Ptolemy ini adalah pengaruh daripada pandangan Plato dalam bukunya, Timaeus. Hasil sentuhan Ptolemy ini, sebenarnya menyediakan asas terhadap perkembangan astronomi di masa Zaman Pembaharuan (Renaissance) Eropah dan penciptaan model angkasa seperti mana yang kita fahami hari ini (Mark, 2022).

Lima tamadun purba ini memanfaatkan pengetahuan alam semesta mereka dengan cara mereka tersendiri. Ada untuk persediaan awal menghadapi bencana dan ada juga digunakan untuk kebaikan hidupan seharian. Dengan “memandang” ke langit, masyarakat lampau mampu membangunkan ketamadunan mereka dengan pengetahuan mengenai angkasa. Suka saya akhiri penulisan ini dengan sebuah ayat dari Al-Quran buat renungan bersama. Surah Ali-Imran, ayat 191:

“Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan juga bumi serta pertukaran malam kepada siang, nescaya terdapat padanya tanda-tanda kebesaran Allah bagi golongan ulul albab. Iaitu golongan yang sentiasa mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk, serta berbaring dan mereka memikirkan kepada penciptaan langit-langit dan juga bumi lalu mengatakan ‘’Wahai Tuhan kami, tidaklah Kau menciptakan kesemuanya ini secara sia-sia, maha suci Kamu maka peliharalah kami dari azab api neraka’’.

Sejarah mengajarkan.

RUJUKAN:

Fang, Cheng. (2015). Past, Present and Future of Chinese Astronomy. Proceedings of the International Astronomical Union. 10. 19-29. 10.1017/S1743921314004621.

Mark, J. J. (2022, February 14). Greek Astronomy. World History Encyclopedia.

Mark, J. J. (2022, February 13). Mesopotamian Science and Technology. World History Encyclopedia.

Shukla, K. S. (1987). Main Characteristics and Achievements of Ancient Indian Astronomy in Historical Perspective. International Astronomical Union Colloquium, 91, 9–22.

Smith, K. N. (2018, November 22). Ancient Egypt Discovered Variable Stars A Thousand Years Before European Astronomers. Forbes.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pena, wadah intelek agama, bangsa dan watan.

Leave A Reply