Konflik Ukraine-Rusia kini memasuki minggu ketiga. Di sebalik kelebihan yang dimiliki kedua-dua pihak – Rusia (bilangan tentera dan aset) dan Ukraine (kelengkapan canggih), ia masih menemui jalan buntu. Dan kini, kedua-duanya berpaling kepada askar-askar upahan untuk membantu mereka mencapai matlamat masing-masing.

Ukraine sebelum ini telah membuka pintu seluas-luasnya kepada sukarelawan asing menyertai legion asing mereka sejak dua minggu lepas. Dikatakan 16,000 orang telah mendaftarkan diri menyertai legion ini.

Di sebalik kehadiran legion asing ini, kontraktor tentera swasta (PMC) turut mengambil kesempatan merekrut individu berpengalaman untuk kerja-kerja pertahanan dan keselamatan. Ini termasuk mengeluarkan pekerja-pekerja dari syarikat-syarikat asing.

Silent Profesionals yang berpangkalan di Amerika Syarikat misalnya mengeluarkan satu iklan mencari pekerjaan kepada mana-mana PMC yang berminat. Syaratnya mudah, hanya perlu mempunyai pengalaman lima tahun atau lebih sebagai tentera di Eropah. PMC yang terpilih akan dibayar AS$1,000 hingga AS$2,000 sehari dengan bonus akan diberi selepas mereka selesai menjalankan sesebuah operasi.

Tangkap skrin Silent Profesionals merekrut PMC untuk tugasan di Ukraine.

Sesetengah syarikat turut menawarkan kerja PMC tetapi pada kadar 2,000 hingga 3,000 euro. Menurut beberapa PMC yang enggan didedahkan namanya, terdapat lebih seribu tentera profesional sudah berada di Ukraine pada 2 Mac. Dengan situasi konflik belum menemui kesudahan antara kedua-dua pihak, bilangan mereka dijangka bertambah bagi menyokong pihak yang bertelagah.

100 daripadanya mempunyai latar belakang Legion Asing Perancis (French Foreign Legion/FFL). Mereka diberitahu agar tidak membawa sebarang pengenalan diri dan jika ditangkap, mereka perlu menanggungnya sendiri.

Pendedahan ini sebenarnya mewakili pendirian negara-negara Eropah terhadap penyertaan askar mereka dalam konflik Ukraine-Rusia. Walaupun membekalkan banyak peralatan pertahanan dan kewangan kepada Kiev, pada mereka, penyertaan askar profesional hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Ini kerana Rusia sudah memberi amaran sekiranya tentera mereka menemui mana-mana askar dari mana-mana negara Eropah di Ukraine, maka mereka juga berdepan risiko tindak balas daripada Moscow. Oleh sebab itulah, banyak negara menggesa askar-askar ini membatalkan niat mereka ke negara itu.

Di Britain, Setiausaha Pertahanan Ben Wallace menggesa tentera Britain agar membatalkan niat mereka ke Ukraine. Sekiranya mereka enggan berbuat demikian, maka tentera yang terlibat akan ditangkap dan dibicarakan di mahkamah tentera.

Bagi sukarelawan pula, mereka berdepan nasib ditahan di bawah undang-undang anti-keganasan UK sebaik pulang. Inilah nasib yang menimpa sesetengah warga Britain yang pergi ke Syria dan Iraq bagi membantu pihak Kurdis melawan kumpulan Daish.

Situasi ini juga mendorong Kementerian Luar Perancis menggesa ahli FFL agar membatalkan niat mereka. 14 daripadanya berjaya dihalang daripada terbang ke Ukraine. Sementara 25 ahli FFL yang berdarah Ukraine telah meninggalkan pasukan.

Ukraine yang sememangnya terdesak memerlukan tentera, baik sukarelawan mahupun tentera profesional untuk terus mengekang asakan Rusia. Dalam kes legion asing mereka, tentera yang menyertai pasukan itu akan dibayar AS$3,500 sebulan dan mendapat hak sama seperti askar Ukraine lain.

Menurut seorang pegawai Kiev yang enggan dikenali, negara mereka mempunyai bilangan tentera yang mencukupi. Tetapi dengan menerima sukarelawan asing ini, ia dianggap tanda perpaduan dunia menentang kekejaman Moscow.

Di sebelah Rusia pula, mereka membawa masuk PMC dari Kumpulan Wagner. Kumpulan Wagner memang diketahui menghantar PMC di beberapa negara seperti Libya, Syria dan Central Africa Republic (CAR). Malah, pemilik syarikat Yevgeniy Prigozhin mempunyai hubungan baik dengan Presiden Vladimir Putin. Begitupun, kebanyakan ahlinya diketahui mempunyai pandangan pelampau berhaluan kanan seperti diketahui warga Libya.

Pihak Rusia juga turut menghantar kumpulan tentera Chechnya ke Ukraine bagi mempercepatkan usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Voldomyr Zelensky di Kiev. Malah, khabarnya pemimpin Chechnya Ramzan Kadyrov turut turun padang dalam konflik berkenaan.

Dan terbaru, Rusia sedang merancang membawa masuk PMC dari Syria untuk menyokong kempen mereka di Ukraine. Buat masa ini, usaha merekrut dihadkan bilangannya – satu eksperimen bagi melihat sejauh mana keupayaan mereka bertempur di teater Ukraine.

Iklan merekrut PMC Syria untuk bertempur bagi pihak Rusia di Ukraine. Sumber: Facebook.

Dengan tawaran gaji sebanyak AS$3,000 atau 7.5 juta paun Syria, ia merupakan satu tawaran menggiurkan bagi mana-mana tentera Syria yang berdepan isu ekonomi dan kekurangan makanan di negara mereka.

Namun begitu, tawaran sebegini dijangka bakal mendedahkan sekutu Putin, Presiden Bashar al-Assad kepada bahaya. Ini kerana ahli-ahli kumpulan anti-Assad di Syria sudah pasti akan pergi ke Ukraine dan membantu Kiev menentang jentera perang Moscow.

Salah seorang daripada mereka ialah Suheil Hammoud atau Abu TOW. Dia berharap dapat diberi laluan selamat untuk pergi ke Ukraine dan membantu mereka melawan Rusia.

Di sebalik semua ini, seorang PMC yang enggan dikenali berpandangan kerja merekrut sebegini bersifat sia-sia terutama bagi pihak Ukraine. Ini kerana jika diletak kemungkinan menentang PMC dari Wagner dan Syria serta kumpulan separa tentera Chechen dalam situasi perang bandar, PMC asing bakal berdepan masalah besar.

RUJUKAN

Makki, D. (2022, 11 Mac). Russia-Ukraine war: Moscow recruiting Syrians for invasion. Middle East Eye.

Averre, D et al. (2022, 9 Mac). British soldiers who went AWOL to fight in Ukraine could be prosecuted for DESERTION, warns Defence Secretary Ben Wallace. Daily Mail.

Kemal, L. dan Soylu, R. (2022, 3 Mac).Russia-Ukraine war: How invasion is attracting mercenaries – not just foreign volunteers. Middle East Eye.

Sumber gambar: Reuters


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply