Filem ketiga Spider-Man terbitan Marvel Studios dan Sony iaitu Spider-Man: No Way Home bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi. Ramai menyatakan minat untuk menontonnya selepas melihat dua trailer filem yang mengesahkan kehadiran Sinister Six sebagai musuh terbaru Peter Parker (Tom Holland). Tetapi siapa sebenarnya Sinister Six?
Sinister Six mula muncul dalam Marvel Comics menerusi The Amazing Spider-Man Annual #1 pada 1964. Secara ringkas, kumpulan ini diasaskan oleh Dr Otto Octavius/Doctor Octopus (Doc Ock) sebagai cara untuk menewaskan dan membu.nu.h Spiderman. Semasa kemunculan pertama kumpulan ini, ia dianggotai oleh Doc Ock, Vulture, Kraven the Hunter, Mysterio, Sandman dan Electro.
Pada awalnya, kumpulan ini tidak dapat bersetuju siapa yang sepatutnya membu.n.uh Spiderman. Lantas, untuk mengelak pertelagahan sesama mereka, semua bersetuju untuk berlawan dengan musuh ketat mereka itu secara bergilir. Bagi mengumpan Spiderman keluar, mereka menculik Mak Cik May, ibu saudara Parker dan setiausaha akhbar Daily Bugle, Betty Brant.
Bagaimanapun, keputusan untuk berlawan dengan Spiderman secara berseorangan daripada berkumpulan akhirnya memakan diri. Seorang demi seorang ahli Sinister Six ditewaskan dengan Doc Ock ahli terakhir yang dikalahkan. Tetapi sejak itu, ia bukan lagi bahan ketawa mana-mana adiwira Marvel Comics lebih-lebih lagi sekiranya ia diterajui oleh Doc Ock.
Dengan pengesahan kemunculan Sinister Six dalam No Way Home, ia merealisasikan usaha membawa kumpulan itu ke layar perak oleh Sony. Mengikut perancangan, Sony berhasrat mengadaptasi kumpulan itu ke layar perak selepas filem The Amazing Spider-Man 2. Drew Goddard dikhabarkan diberi kepercayaan oleh Sony untuk melaksanakan usaha tersebut. (Patten, 2013)
Filem tersebut sudah menampilkan ahli terawal mereka iaitu Rhino (Paul Giamatti) dan Harry Osborn/Green Goblin (Dane DeHaan). Bagaimanapun, rancangan tersebut dibatalkan selepas The Amazing Spider-Man 2 gagal mendapat sambutan memuaskan di pawagam. Selain itu, ia turut didorong oleh keputusan Sony yang bersetuju membenarkan Spiderman membuat kemunculan dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) menerusi Captain America: Civil W.a.r. (Lang dan Graser, 2015)
Tetapi selepas sekian lama, akhirnya Sinister Six muncul sebagai satu kumpulan dalam No Way Home. Menariknya, semua ahli datang dari era filem Spider-Man versi Tobey Maguire dan Andrew Garfield yang muncul selepas usaha Dr Stephen Strange (Benedict Cumberbatch) untuk memadamkan ingatan semua orang tentang identiti adiwira Parker gagal.
Bagi musuh era Spider-Man versi Maguire, ia diwakili oleh Doctor Octopus (Alfred Molina), Green Goblin/Norman Osborn (Willem Dafoe) dan Sandman (Thomas Haden Church). Sementara musuh Spider-Man versi Garfield pula ialah Electro (Jamie Foxx) dan Lizard/Dr Curt Connors (Rhys Ifan). Nanti sekejap, mengapa berlima sedangkan sepatutnya mereka berenam?!
Penulis percaya identiti ahli keenam masih dirahsiakan oleh Marvel Studios, berkemungkinan sebagai kejutan kepada peminat. Antara calon yang mungkin mengisi slot keenam ialah Mysterio/Quentin Beck (Jake Gyllenhaal) dan Venom/Eddie Brock (Tom Hardy).
Mysterio dilihat calon paling berkemungkinan untuk Sinister Six memandangkan beliau merupakan ahli asal kumpulan dan perseteruannya dengan Parker dalam Far From Home. Benar, Mysterio ma.ti dalam filem itu tetapi disebabkan dia, identiti Spiderman didedahkan kepada umum dan dilabel sebagai penjahat. Hal ini juga yang mendorong Parker mencari Strange untuk membantu menyelesaikan permasalahan dihadapinya.
Untuk Venom pula, mungkin agak sukar untuk dibayangkan sebagai ahli keenam. Pertama, dalam filem Venom dan Venom: Let There Be Carnage, Venom versi Hardy digambarkan sebagai anti-hero. Kedua, tidak wujud permusuhan antara kedua-duanya kerana kedua-duanya tidak pernah bertemu apatah lagi berlawan. Jika benar mereka berlawan sejalipun, ia berkemungkinan disebabkan hasrat Venom yang mahu kekal di dunia MCU dan enggan kembali ke dunia Sony’s Spider-Man Universe (SSU). (Erdmann, 2021)
Tetapi usah terkejut jika calon ketiga ialah penjahat berbeza. Ini kerana dalam satu temubual sebelum ini, pengarah No Way Home Jon Watts berhajat menggunakan Kraven the Hunter dalam filem itu. (Chichizola, 2019) Kebiasaannya, permintaan ini sukar direalisasikan berikutan situasi hubungan Marvel Studios dengan Sony yang bersifat pasang surut.
Namun begitu, dalam kes Kraven the Hunter, ia boleh direalisasikan. Ini kerana Sony telah mengupah J.C. Chandor sebagai pengarah filem itu dengan skrip dan lakon layar sedang diusahakan oleh duo di sebalik Iron Man (2008), Art Marcum dan Matt Holloway. Dan pemegang watak Kraven telah disahkan oleh Sony sendiri pada Mei 2021 iaitu Aaron Taylor-Johnson. (Peters, 2021)
Taylor-Johnson bukan asing dalam dunia MCU kerana pernah menggalas watak Pietro Maximoff dalam Avengers: Age of Ultron. Dengan memperkenalkan Kraven dalam No Way Home, ia merupakan pengenalan terbaik watak antagonis Spiderman itu sebelum filem SSU watak itu ditayangkan pada Januari 2023.
Satu lagi calon yang patut dipertimbang ialah Adrian Toomes/Vulture (Michael Keaton). Watak ini kali terakhir dilihat di pen.ja.ra pada akhir filem Homecoming selepas mengetahui identiti sebenar Spiderman. Dengan Toomes disahkan membuat penampilan dalam filem Morbius yang akan ditayangkan pada tahun hadapan, ia dilihat peluang untuk penjahat itu membalas de.nd.am kepada Parker.
RUJUKAN
Lang, B. dan Graser, M. (2015, 10 Februari). Spider-Man: How Sony, Marvel Will Benefit from Unique Deal (EXCLUSIVE). Variety.
Chichizola, C. (2019, 8 Julai). Spider-Man: Far From Home Director ‘Would Love’ To Bring Kraven In For A Sequel. CinemaBlend.
Patten, D. (2013, 13 Disember). Sony Sets Spider-Man Spinoffs ‘Venom,’ ‘Sinister Six’ With New “Franchise Brain Trust”. De.ad.line.
Erdmann, K. (2021, 17 November). Who No Way Home’s Secret Last Sinister Six Member Could Be. ScreenRant.
Peters, M. (2021, 26 Mei). Aaron Taylor-Johnson to Play Kraven the Hunter in Solo Marvel Movie. ComicBook.
Sumber gambar: Marvel Comics
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih