Setiap kali penulis membaca cerita ini, ia ibarat ubat pahit yang perlu ditelan Taliban. Sikap terburu-buru mereka pada 2001 hampir menyebabkan banyak khazanah sejarah yang berusia ratusan tahun hilang ditelan zaman. Dan kini di Pakistan, wujud kebimbangan perkara sama bakal berulang di Taxila jika tiada sebarang tindakan konkrit oleh Islamabad untuk melindunginya.

Pada tahun 2015, dua buah patung Buddha lama dan unik ditemui di tapak Stupa Bhamala di Taxila, Pakistan. Salah satu daripadanya menunjukkan postur kema.ti.an Gautama Buddha dengan satu lagi patung Buddha yang dilengkapi dengan dua lingkaran cahaya (halo). Patung tersebut merupakan yang pertama kali seumpamanya ditemui di Stupa Bhamala.

Rajah 1: Contoh patung Buddha di Stupa Bhamala yang dibuat berdasarkan Mahaparinirvana. Sumber: Amber Rahim Shamsi/Dawn.

Bagi Pengarah Jabatan Arkeologi Universiti Hazara ketika itu, Dr Abdul Samad, ini menunjukkan Stupa Bhamala merupakan antara beberapa tapak kuil di dunia yang diperuntukkan khas untuk Buddha. Patung yang berukuran 14 meter panjang itu merupakan patung terbesar yang pernah ditemui dari era Tamadun Gandhara. Patung yang diletakkan di atas platform berukuran 15 meter itu dibuat berdasarkan Mahaparinirvana. (Leafloor, 2015)

Boleh dapatkan buku terbaru The Patriots di webstore kami: https://bit.ly/pratempahktmktr

Beberapa tahun kemudian, lebih 500 artifak bersejarah ditemui di tapak stupa yang sama. Antara artifak yang ditemui ialah duit syiling tembaga, ukiran-ukiran stuko, artifak-artifak terracotta, paku-paku besi, tembikar dan kepala patung Buddha yang diperbuat daripada tanah liat. Pentarikhan karbon pada kepala patung Buddha yang ditemui mendapati ia dihasilkan pada abad ketiga Masihi.

Rajah 2: Kepala patung Buddha yang diperbuat daripada tanah liat ditemui di Stupa Bhamala.

Tetapi malangnya, kebanyakan artifak yang ditemui dalam keadaan rosak. Dr Abdul Samad percaya ini berlaku akibat kecurian artifak di kawasan tapak dan usaha ekskavasi secara haram di Stupa Bhamala. Di sebalik semua itu, ia turut mendedahkan kawasan stupa ini berkemungkinan lebih tua daripada apa yang disangka komuniti arkeologi. Sebelum ini, ia dianggarkan mula dibina antara abad kelima hingga kedua SM. (Leafloor, 2018)

Ini berdasarkan bentuk Stupa Bhamala yang unik yang kelihatan seperti piramid yang dibangunkan orang Aztec. Kurator Muzium Taxila, Abdul Nasir Khan percaya satu-satunya stupa yang dibangunkan sebegini rupa ialah di Kashmir.

Rajah 3: Jika diamati, bentuk Stupa Bhamala hampir serupa dengan piramid orang Aztec.

Agama Buddha tersebar di wilayah yang membentuk Pakistan moden kira-kira 2,300 tahun atas arahan pemerintah Empayar Maurya, Asoka. Taxila atau nama lamanya Takashila pernah berperanan sebagai pusat penyebaran agama Buddha yang penting pada ketika itu. Disebabkan statusnya itu, terdapat banyak tinggalan arkeologi dari segi kesenian dan seni bina selepas ia diekskavasi oleh pengkaji-pengkaji arkeologi. (Iqbal, 2019)

Antara tapak yang menarik perhatian ialah Stupa Bhamala yang diekskavasi oleh dua ahli arkeologi, Sir Sufian Malik dan Sir John Marshall pada 1929 dan 1930. Selepas itu, usaha ekskavasi hanya disambung semula pada abad ke-21 menerusi penemuan dua buah patung Buddha lama yang dinyatakan di atas. Ia turut dicalonkan sebagai calon berpotensi untuk Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Walaupun ia masih belum mendapat kelulusan UNESCO untuk pengiktirafan sedemikian, kerajaan Pakistan bernasib baik apabila pertubuhan itu menyenaraikan Taxila sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1980. Bagaimanapun, itu tidak menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada merosakkan artifak seperti apa yang berlaku di Bamiyan pada 2001 atau mengambil dan menjualnya di pasaran gelap.

Jadi, apa motif yang mendorong pihak-pihak ini berbuat demikian? Ramai sejarawan dan pengkaji percaya tindakan ini didorong oleh rasa malu bahawa wilayah Pakistan yang dihuni etnik Pashtun termasuk Taxila pernah menganut agama Buddha. Bagi mereka, itu sama sekali bertentangan dengan agama yang dianuti mereka hari ini iaitu Islam. Justeru, sebarang tinggalan sebegini perlu diha.pu.skan sebagai cara memisahkan agama Buddha dengan identiti etnik mereka.

Ahli politik tempatan dan aktivis berdarah Pashtun Afrasiab Khattak percaya perkara sebegini merupakan usaha berterusan untuk memisahkan orang Pashtun dengan sejarah mereka termasuk sejarah wilayah Pakistan. (Whelan, 2020) Oleh sebab itu, ramai pakar akademik bimbang sekiranya ekskavasi mendedahkan lebih banyak artifak berharga, ia bakal berdepan nasib sama seperti di Bamiyan.

Rajah 4: Afrasiab Khattak

Tetapi kisah Bamiyan menunjukkan perkara itu boleh berubah. Mungkin bagi generasi lama, ia tidak memberi sebarang erti kepada mereka. Tetapi bagi generasi hari ini yang mahu mengenali sejarah silam bangsa mereka, maka ia perlu dilindungi dan dipertahankan agar dapat memberi manfaat kepada generasi seterusnya. Dan itu diharap dapat direalisasikan di Taxila.

RUJUKAN

Iqbal, A. (2019, 3 Februari). ‘Discoveries at Bhamala stupa opened new chapter in history’. Dawn.

Leafloor, L. (2015, 21 Mac). Large, Rare Statue Portraying the De.a.th of Buddha Unearthed at Ancient Bahmala Stupa Site. Ancient-Origins.

Leafloor, L. (2018, 15 Jun). 500 ancient artifacts uncovered at the remarkable Bhamala Archaeological Complex in Pakistan. Ancient-Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.