Bani Israel
adalah suatu kumpulan bangsa yang mempunyai sejarah yang panjang. Sejarah
kewujudan Bani Israel bermula seawal kelahiran Nabi Ya’aqub AS yang merupakan
bapa pertama yang menumbuhkan warisan Bani Israel sehingga hari ini. Dalam
sejarah manusia, Nabi Adam dan Nabi Ibrahim dianggap sebagai bapa kepada
seluruh umat manusia. Nabi Adam dianggap sedemikian kerana Baginda merupakan
manusia pertama yang diciptakan Allah SWT. Manakala, Nabi Ibrahim adalah bapa
yang melahirkan bangsa Arab dan bangsa Israel.
Nabi Ibrahim mempunyai dua orang isteri iaitu Siti Hajar dan Siti Sarah. Isteri keduanya Siti Hajar melahirkan seorang zuriat iaitu Nabi Ismail AS. Mereka berpindah dari Palestin dan menuju ke Tanah Arab. Maka lahirlah bangsa Arab bermula dari Nabi Ismail AS. Rasulullah SAW adalah darah daging dari Nabi Ismail AS yang bersambung kepada Nabi Ibrahim AS. Manakala, isteri pertama Nabi Ibrahim iaiti Siti Sarah melahirkan zuriat bernama Nabi Ishak AS.
Manakala, Nabi Ishak pula mempunyai zuriat seorang Nabi juga iaitu Nabi Ya’aqub AS. Melalui Nabi Ya’aqub AS terlahirlah bangsa Israel sehingga hari ini. Nabi Ya’aqub menetap di Palestin. Manakala, anak kepada Nabi Ya’aqub iaitu Nabi Yusuf pula menetap di Mesir setelah dibuang oleh saudaranya ke dalam perigi.
ASAL
USUL NAMA IBRANI
Ibrani atau Ibri, Ibriyyun, Ibraniyyun adalah suatu nama yang membawa maksud yang sama. Nama Ibrani ini dinisbahkan kepada Nabi Ibrahim kerana di dalam Taurat ianya disebut dengan Abram orang Ibrani (Perjanjian Lama, Kejadian 14:13). Kata dasar kepada perkataan Ibrani terdiri dari tiga huruf.
Dalam bahasa Ibrani, kata dasar tersebut bermaksud pindah atau seseorang yang berhijrah dari suatu tempat menuju ke tempat yang lain. Sebahagian pengkaji menyebut bahawa nama Ibrani diambil dari nama Eber yang merupakan salah seorang datuk kepada Nabi Ibrahim AS (Perjanjian Lama, Kejadian 10:21, 24, 25 dan 11: 14-17).
Mengikut
sebahagian pengkaji, perkataan Ibrani juga terdapat dalam rujukan Mesir Kuno
dan Asyur Babilonia dengan nama Abirou dan Khabirou yang
dinisbahkan kepada orang arab badwi antaranya kabilah Aram yang dikaitkan
dengan keturunan Nabi Ibrahim AS (Ander Robert, 1970).
Perkataan
Ibrani juga membawa maksud orang asing dan keterasingan bangsa (Perjanjian
Lama, Kejadian 39: 14, 18 dan 14: 21, dan Keluaran 1: 19). Perkataan Ibrani
juga bermaksud bahasa suku-suku terasing. Pendek kata, Ibrani membawa maksud
suatu suku kaum yang terasing bahasanya dan budayanya dari manusia kebanyakan.
Mungkin ingin menggambarkan akan nasib yang menimpa kaum tersebut yang tiada
negaranya sendiri.
Dalam kitab
Keluaran disebutkan:
“Apbila
engkau membeli seorang budak Ibrani, maka haruslah ia bekerja padamu enam tahun
lamanya, tetapi pada tahun yang ketuju ia diizinkan keluar sebagai orang
merdeka, dengan tidak membayar tebusan apa-apa.” (Keluaran 21:2)
Sedangkan
di dalam kitab Ulangan, perkataan Ibrani bermaksud saudara:
“Apabila
seorang saudaramu menjual dirinya kepadamu, baik seorang laki-laki Ibrani
ataupun seorang perempuan Ibrani, maka ia akan bekerja padamu enam tahun
lamanya, tetapi pada tahun ketujuh engkau harus melepaskan dia sebagai orang
merdeka.” (Ulangan
15: 12)
Kesimpulannya, perkataan Ibrani merupakan nama kepada bahasa yang digunakan oleh bangsa Israel iaitu Bahasa Ibrani. Perkara ini dibuktikan melalui banyaknya sastera hasil karya dari bahasa Ibrani sejak zaman dahulu seperti sastera Ibrani klasik, pertengahan dan modern.
Sastera Ibrani adalah sastera yang menggunakan bahasa Ibrani sebagai ungkapan di samping penggunaannya sebagai bahasa komunikasi seharian. Sastera ini dapat dilihat di dalam Perjanjian Lama, kitab suci Yahudi. Bangsa Israel menjadikan bahasa Ibrani sebagai medium propaganda mereka di tengah masyarakat Eropah Timur dan Barat, Amerika dan Amerika Latin. Perkara ini menjadi tujuan utama kepada gerakan Zionis.
ASAL
USUL NAMA ISRAEL
TEORI 1:
Nama Israel
mula dipakai bermula antara abad 18 dan 19 sebelum masihi. Mengikut sumber dari
Taurat, nama Israel asalnya merupakan nama Nabi Ya’aqub AS yang berubah menjadi
Israel. Disebut di dalam kitab Kejadian:
“Lalu tinggallah Ya’aqub seorang diri. Dan seorang lelaki bergelut dengan dia sampai fajar menyinsing. Ketika orang itu melihat, bahawa dia tidak dapat dikalahkan, dia memukul sendi pangkal paha Ya’aqub sehingga sendi itu pangkal paha itu terseliuh, ketika ia bergelut dengan orang itu. Lalu orang itu berkata, “Biarkanlah aku pergi, kerana fajar telah menyinsing.” Sahut Ya’aqub, “aku tidak akan membiarkan engkau pergi, jika engkau tidak memberkati aku.” Bertanyalah orang itu kepadanya, “siapakah namamu?” sahutnya, “Ya’aqub.” Lalu orang itu berkata, “namamu tidak akan disebutkan lagi sebagai Ya’aqub, tetapi Israel sebab engkau telah bergelut melawan Allah dan manusia, dan engkau menang.” Bertanyalah Ya’aqub: “Katakanlah juga namamu,” Tetapi sahutnya, “Mengapa engkau bertanyakan namaku?” Lalu diberkatinyalah Ya’aqub di situ. Ya’aqub menamai tempat itu Pniel, sebab katanya: “aku telah melihat Allah berhadapan muka, tetapi nyawaku diselamatkan!” Lalu nampaklah kepadanya matahari terbit, ketika ia telah melewati Pniel; dan Ya’aqub kesakitan kerana pangkal pahanya. Itulah sebabnya sampai sekarang orang Israel tidak memakan daging yang menutupi sendi pangkal paha.” (Kejadian 32: 24-32)
Walaupun
kisah ini dongeng dan khurafat sebagai membenarkan perubahan nama Ya’aqub
kepada Israel. Namun kisah tersebut menjadi pegangan buat mereka kerana ianya
disebutkan di dalam kitab suci mereka. Para pakar sejarah menyebutkan kisah
tersebut sebagai Myth of Origin atau Actiological Myth. Tujuan
dari kisah tersebut adalah sebagai mencipta alasan akan sebab berlakunya
sesuatu peristiwa atau tradisi.
Al-Quran
juga menisbahkan nama Israel kepada Nabi Ya’aqub AS, tetapi al-Quran tidak
mengaitkannya dengan kisah atau alasan yang tidak masuk akal seperti yang
disebut di dalam kitab suci mereka. Al-Quran hanya menyebutkan:
كُلُّ ٱلطَّعَامِ
كَانَ حِلّٗا لِّبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسۡرَٰٓءِيلُ عَلَىٰ
نَفۡسِهِۦ مِن قَبۡلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّوۡرَىٰةُۚ قُلۡ فَأۡتُواْ بِٱلتَّوۡرَىٰةِ
فَٱتۡلُوهَآ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِين
Maksudnya:
Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang
diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan
Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika ada makanan yang
diharamkan kepada kamu – wahai Bani Israil – sebelum Kitab Taurat diturunkan)
maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu
orang-orang yang benar. (Ali-Imran: 93)
Melalui kisah tersebut, orang Ibrani mula menisbahkan diri mereka dengan nama Israel iaitu orang yang bergelut dengan Tuhan. Melalui kisah ini, dapat difahami tujuan sebenarnya adalah bersifat rasisme dan berusaha untuk menyucikan susur galur bangsa Israel dari keterikatannya dengan keturunan Nabi Ismail AS yang bersambung dengan Nabi Ibrahim AS.
Mereka berniat untuk merendahkan keturunan Nabi Ismail dengan membataskan wahyu dan kenabian kepada keturunan Nabi Ishak sahaja. Maka, dari sini wujudlah istilah bahawa “Israel adalah bangsa pilihan Tuhan”, “perjanjian Tuhan hanyalah untuk bangsa Israel” dan “keselamatan Tuhan hanya untuk bangsa Israel”. (Will Herberg, 1970).
TEORI 2:
Nama Israel
menjadi penunjuk kepada geografi politik setelah terpecahnya kerajaan Nabi
Sulaiman AS menjadi dua kerajaan yang bertikai iaitu Kerajaan Israel Utara dan
Kerajaan Yahudza Selatan. Israel Utara menjadikan Syakim, Tirshah dan Samaria
sebagai ibu kotanya. Manakala, Yahudza Selatan menjadik Jerusalem sebagai ibu
kotanya.
Perpecahan
ini terjadi pada tahun 932SM, iaitu tahun kematian Nabi Sulaiman AS. Bermula
dari itu, maka nama Israel dan Yahudi digunakan sebagai makna politik dan
kedudukan geografi dua buah kerajaan tadi.
ASAL
USUL NAMA YAHUDI
Secara
umum, Yahudi adalah gelaran kepada mereka yang menganut agama Yahudi. Sama
seperti muslim bagi mereka yang menganut agama Islam. Ini bermakna Yahudi
adalah nama untuk agama.
Secara
khusus, Yahudi dinisbahkan kepada kecenderungan politik dan kedudukan geografi
kerajaan Yahudza Selatan yang merupakan pecahan dari kerajaan NabI Sulaiman AS.
Pada sudut sejarah, nama Yahudza adalah merupakan salah satu kelompok Bani
Israel. Yahudza adalah salah seorang anak Nabi Ya’aqub. Yahudza menjadi tokoh
penting di dalam kisah Nabi Yusuf AS melebihi pentingnya kedudukan Nabi Yusuf
(menurut orang Yahudi). Kepentingan nama Yahudza menurut orang Yahudi adalah
disebabkan beberapa faktor:
- Yahudza menjadi pelindung dan
penyebab kepada tidak terbunuhnya Nabi Yusuf AS apabila dia mencadangkan supaya
Nabi Yusuf dijual sebagai hamba. (Kejadian 37: 26-27) - Yahudza menjadi faktor kepada Nabi
Ya’aqub dan saudaranya untuk kekal hidup
apabila dia mencadangkan supaya dirinya dan Benyamin diutuskan menemui Nabi
Yusuf AS di Mesir untuk meminta bantuan makanan. Tanpa cadangan Yahudza,
pastilah Nabi Ya’aqub dan saudaranya akan mati kelaparan. (Kejadian 43: 8, 49:
8-10) - Yahudza berjaya mendapatkan kerajaan
dari Nabi Yusuf AS dan selamat dari dihukum akibat perbuatannya dahulu. Manakala,
saudaranya yang lain tidak dapat diselamatkan. (Kejadian pasal 49)
Rujukan
kitab Yahudi ini bermaksud untuk mengangkat kerajaan Yahudza setelah
terpecahnya kerajaan Nabi Sulaiman AS sehinggalah kerajaannya jatuh ditawan
oleh Nebuchadnezzar, Raja Babylon pada tahun 582SM. Kerajaan Yahudza Selatan
ini bertahan lebih lama iaitu selama 135 tahun berbanding Kerajaan Israel Utara
yang ditawan oleh bangsa Asyur.
KESIMPULAN
Nama
Ibrani, Israel dan Yahudi adalah nama kepada bahasa, bangsa dan agama. Bangsa
Israel mempunyai sejarah yang panjang dan para Nabi kebanyakannya diturunkan
untuk bangsa Israel. Dari 25 orang para Nabi yang wajib diimani, hanya 10 orang
sahaja yang tidak diturunkan kepada Bani Israel iaitu Nuh, Hud, Soleh, Syuib,
Ibrahim, Ishaq, Ismail, Ayyub dan Muhammad.
RUJUKAN
- Al-Quran
- Kitab Kejadian
- Muhammad Hasan. 2017. Sejarah
Agama Yahudi. Pekanbaru. Tafaqquh Media, Kelompok Smartania Publishing. - Ander Robert and Ander Feuiliet, Introduction
to the Old Testament, vol. 1, Doubleday & co., N.Y., 1970, hal. 42-44 - Mustaffa, Ishkandar. Penyelewengan
Kitab Taurat dan Penjelasannya di dalam Al-Quran.




No comments yet