26 Disember merupakan satu tarikh yang mempunyai definisi berbeza-beza di sesetengah tempat. Bagi negara-negara yang pernah dilanda tsunami tahun 2004, ia merupakan satu peristiwa pahit yang membawa kepada babak baru di sesetengah negara seperti pemeteraian perjanjian damai antara Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dengan kerajaan Indonesia. Bagi sesetengah negara-negara Commonwealth pula, ia diraikan sebagai hari selepas Krismas atau Boxing Day dan sudah diisytiharkan sebagai cuti umum di United Kingdom sejak tahun 1871.

Terdapat pelbagai tradisi bagaimana 26 Disember digelar Boxing Day. Jika kita melihat Kamus Bahasa Inggeris Oxford, nama berkenaan sudah muncul sejak tahun 1830-an, jauh lebih awal sebelum ia dirujuk oleh penulis Charles Dickens sebagai Boxing Day dalam karya ‘The Pickwick Papers’. Ia mendapat nama dari tradisi gereja mengutip derma dalam kotak-kotak bagi membolehkan sumbangan diagihkan kepada golongan fakir miskin selepas Hari Krismas semasa era Victoria. Hari tersebut turut ada kaitan dengan tradisi khadam-khadam diberi hari cuti oleh majikan mereka bagi membolehkan mereka bersama keluarga menyambut Krismas. Pada hari tersebut, selain mendapat cuti, pekerja-pekerja ini turut mendapat sebuah kotak mengandungi hadiah-hadiah atau bonus hari cuti.

Ada juga mengatakan ia berkait dengan tradisi pelayaran kapal-kapal yang hendak mengembara ke tempat yang jauh. Semasa hendak berlayar, krew akan mengunci sebuah kotak yang mengandungi sejumlah wang di atas kapal sebagai tanda nasib baik. Sekiranya pelayaran mereka berhasil dan memberi keuntungan, kotak berkenaan akan diberi kepada gereja, dibuka pada Hari Krismas dan kandungannya diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Sementara di Ireland pula, ia digelar sebagai Hari St Stephen sempena nama seorang santo yang direjam sampai mati kerana berpegang teguh kepada agama Nasrani. Pada hari berkenaan, wujud satu tradisi satu masa dahulu yang dilakukan sekumpulan budak dan remaja yang digelar ‘Wren Boys’. Mereka akan memakai pakaian yang cantik dan keluar lalu merejam mana-mana burung ren yang dilihat mereka sampai mati. Bangkai burung ini kemudiannya dikutip dan dibawa mengelilingi bandar di mana mereka mengetuk pintu rumah penduduk dan meminta wang. Tradisi merejam batu ke atas burung ren ini merupakan simbolisme kepada perlakuan jenayah yang membunuh Santo Stephen. Hari ini, tradisi yang dianggap kejam terhadap haiwan berkenaan sudah dihentikan. Walaupun mereka memakai pakaian cantik dan keluar seperti tradisi sebelumnya, Wren Boys menukar tradisi itu kepada mengadakan perarakan di jalanan dan mengutip wang untuk tujuan kebajikan.

Tradisi Boxing Day

1. Bagi penyokong bola sepak terutama Liga Perdana Inggeris, ia merupakan satu keluarga bola sepak yang popular semasa musim perayaan. Ia menggantikan permainan yang dimainkan pada Hari Krismas yang dianggap tidak popular dan ditinggalkan sejak tahun 1958. Bagi kelab-kelab terutama kelab-kelab kecil, ia amat membantu menambah duit dalam kantung kewangan mereka lebih-lebih lagi jika ia membabitkan perlawanan menentang musuh setempat atau membabitkan kelab-kelab besar. Selain sukan bola sepak, sukan lumba kuda turut popular dalam kalangan warga Commonwealth. Ada juga yang melihat ia sebagai peluang terbaik memanifestasikan tradisi yang dianggap unik dan pelik seperti berenang di Selat Inggeris yang sejuk atau aktiviti riadah atas nama kebajikan dan kemasyarakatan.


Figure 1: Antara sukan pelik yang dianjurkan pada Boxing Day ialah sukan menggolek tong kayu

2. Sebelum 2004, aktiviti memburu musang merupakan antara elemen tradisional Boxing Day. Tetapi selepas aktiviti memburu haiwan berkenaan dikenakan penggantungan pada tahun berkenaan, peminat sukan memburu mengubahsuai sedikit tradisi tersebut. Ya, mereka masih memakai jaket memburu warna merah dan bersedia memburu selepas mendengar tiupan hon memburu. Memandangkan mengejar musang dengan anjing tidak lai dibenarkan, mereka kini perlu mengikut jejak yang ditinggalkan secara tiruan bagi meniru elemen kejar-mengejar antara anjing dengan musang.


Figure 2: Contoh aktiviti memburu musang pada Boxing Day di Cheswick pada tahun 1962.

3. Jika ada melihat promosi beli-belah semasa melawat sesetengah negara Commonwealth, nasihat saya jangan rambang mata. Bagi negara-negara seperti Australia, New Zealand dan United Kingdom, ia merupakan antara tradisi percutian Krismas dengan jualan selalunya bermula pada 26 Disember sehingga Tahun Baru. Walaupun jualan pasca-Krismas hanya bermula pada 1 Januari, selalunya kegilaan dalam tempoh sebegini dianjakkan dalam tempoh beberapa hari bagi memenuhi kehendak pelanggan.


Figure 3: Contoh promosi beli-belah Boxing Day di Toronto

Bagi pusat-pusat beli belah, ia merupakan antara cari bagi mereka menambah keuntungan dan jualan lebih-lebih lagi selepas kemelesetan ekonomi yang melanda akhir tahun 2007 dan tahun 2008. Ada sesetengah pusat beli-belah dibuka lebih awal. Contohnya, pusat beli-belah Westfield dibuka pada pukul lima pagi pada hari cuti dengan pencari tawaran hebat sudah beratur dari luar dari pukul dua pagi lagi. Ada pula dikenali kerana mengadakan jualan murah pada Boxing Day di mana pelanggan boleh membeli secara dalam talian dan premis fizikal seperti syarikat Next.

SUMBER

1. Budd, Alice dan McElwee, Molly. (2018). London Evening Standard. Why is Boxing Day called Boxing Day? https://www.standard.co.uk/lifestyle/london-life/why-is-boxing-day-called-boxing-day-uk-traditions-christmas-bank-holiday-a4023036.html

2. Klein, Christopher. (2016). History.com. Why is the day after Christmas called Boxing Day? https://www.history.com/news/why-is-the-day-after-christmas-called-boxing-day

3. Lemm, Elaine. (2018). TheSpruce.com. What Is Boxing Day and How Did It Get Its Name? https://www.thespruce.com/what-is-boxing-day-435060


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.