Tidak mampu disangkal lagi fakta bahawa tamadun Mesir Purba merupakan antara peradaban yang amat berpengaruh pernah wujud dalam helaian lembaran sejarah dunia. Setiap sumbangan yang telah mereka sumbangkan dalam pelbagai aspek telah melayakkan mereka untuk duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan tamadun-tamadun agung lain di dunia.

Kira-kira 5000 tahun yang lalu, Mesir Purba bukanlah sebuah negara atau kerajaan yang bersatu. Pada ketika itu, mereka dibahagikan kepada dua buah kerajaan yang berasingan. Satu kerajaan terletak di bahagian utara yang dikenali sebagai Mesir Hilir. Manakala satu lagi kerajaan berada di bahagian selatan Mesir yang dikenali sebagai Mesir Hulu.

Kerajaan di bahagian selatan dikatakan lebih membangun dan maju berbanding kerajaan di utara. Seterusnya, Kedua-dua kerajaan ini diperintah oleh seorang raja dari kalangan mereka.

Zaman dua kerajaan ini berlaku kira-kira pada tahun 3100 Sebelum Masihi dan dikenali sebagai zaman pra-dinasti.

Palet Narmer

Pada tahun 1898 Selepas Masihi (sesetengah pendapat mengatakan tahun 1899), dunia pengkajian Mesir purba telah dikejutkan dengan sebuah penemuan berupa seketul artifak misteri. Artifak yang dikenali sebagai ‘Palet Narmer’ ini ditemukan oleh dua orang ahli kaji Mesir Purba berbangsa British iaitu James Quibell and Frederick Green.

Palet Narmer telah ditemui bersama koleksi artifak upacara lain di tapak runtuhan kuil di bahagian selatan Mesir iaitu di kota purba Hierakonpolis. Hierakonpolis yang juga dikenali dengan nama ‘bandar helang’ adalah sebuah kota purba yang terletak kira-kira 113 KM dari utara Aswan.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Palet Narmer dinobat sebagai dokumen politik pertama dalam sejarah peradaban manusia selain yang terawal memuatkan artifak ukiran tulisan hieroglif.

Palet yang mempunyai ketinggian setinggi 64 cm dengan kelebaran seluas 42 cm ini dikatakan diperbuat daripada bahan batu lodak. Fungsi palet ini dipercayai digunakan untuk tujuan kosmetik, namun ianya bukanlah untuk tujuan kosmetik secara harian, sebaliknya, digunakan untuk upacara di kuil.

Ahli kaji Mesir Purba telah berjaya memperoleh sejumlah maklumat penting tentang bagaimana berlakunya penyatuan Mesir dan siapakah karakter yang bertanggunggjawab disebalik peristiwa penyatuan ini.

Kisahnya begini, terdapat seorang raja dari Mesir Selatan datang menyerang dan menakluk Mesir Utara. Penaklukan baginda ke atas Mesir Utara Sekaligus telah berjaya menyatukan Mesir menjadi sebuah kerajaan. Lalu, ahli kaji Mesir purba bersepakat mengatakan bahawa baginda adalah firaun yang pertama bagi sejarah 3,000 tahun berdirinya tamadun Mesir Purba.

Rupa depan dan belakang Palet Narmer. Kredit foto: http://www.studyblue.com/notes/note/n/art-midterm/deck/1189362

Rupa depan

Perkara pertama yang dapat lihat pada bahagian depan palet ini adalah figura yang diukir dengan gagahnya dalam posisi yang berdiri. Ukiran Figura lelaki ini telah dikenalpasti sebagai Raja Narmer.

Hal ini dapat dibuktikan dengan pelbagai petunjuk seperti cara pemakaian dan gaya ukirannya. Dari segi pemakaiannya, kelihatan figura lelaki ini sedang memakai sebuah mahkota sambil mengenakan janggut palsu, kedua-dua aksesori ini merupakan aksesori yang hanya dipakai oleh raja sahaja bagi melambangkan autoriti kekuasaan yang dipegang olehnya.

Mahkota yang disarung oleh Raja Narmer itu dikenali sebagai Mahkota Putih. Mahkota Putih adalah mahkota bagi pemerintah Kerajaan Mesir Hulu pada waktu itu. Jelaslah bahawa, figura lelaki ini iaitu Raja Narmer merupakan seorang raja yang datang daripada kerajaan Mesir Hulu.

Pada bahagian paling atas, kelihatan keberadaan sebuah Serekh1 berada di antara dua ekor kepala kerbau. Jika diperhatikan dengan lebih terperinci, kita akan mendapati bahawa terdapat simbol yang berupa seekor ikan keli dan sebatang pahat di dalam serekh tersebut.

Melalui kaedah Prinsip Rebus2 , ahli kaji Mesir purba telah berhasil memecahkan bunyi dan makna yang terkandung disebalik simbol ini. Ikan keli itu mewakili konsonan (n,r) manakala pahat pula mewakili konsonan (m,r). Maka dengan itulah terhasilnya nama ‘Narmer’, sekaligus membuktikan figura lelaki itu ialah Raja Narmer.

Figura Raja Narmer diukir dengan gaya libasan atau ‘smiting pose’. Hal ini demikian kerana, gaya libasan ini memberikan gambaran dan simbolik bahawa raja itu adalah seorang pahlawan yang gagah perkasa lantas berhasil memperkukuh imejnya dikalangan rakyat. Oleh sebab itu, ukiran gaya libasan ini terus menjadi format ukiran yang digunakan oleh firaun-firaun pada zaman yang seterusnya.

Gaya libasan merupakan gaya ukiran yang agak masyhur dipraktikkan oleh para pengukir sepanjang sejarah tamadun Mesir Purba.

Kelihatan  Raja Narmer sedang mengcengkam rambut seorang figura lelaki yand sedang melutut di hadapannya. Figura lelaki tersebut merupakan musuh yang ditawan semasa ekspedisi penaklukan ke atas Mesir Hilir. Raja Narmer juga dilihat sedang menggenggam sebatang cokmar yang dikatakan sedia untuk dilibas bagi memecahkan kepala musuhnya itu.

Jika diperhatikan, terdapat ukiran tulisan hieroglif pada belakang kepala musuh itu. Walaupun ahli kaji Mesir purba tidak dapat memecahkan maksud asal disebalik hieroglif itu, akan tetapi, wujud sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa ukiran hieroglif itu membawa maksud wilayah asal datangnya musuh itu.

Di belakang Raja Narmer, kita dapat memerhatikan seorang figura lelaki yang kecil sedang membawa sepasang sandal pada tangan kanannya serta jag air pada tangan kirinya. Ukiran hieroglif yang terdapat di belakang figura itu tertera dengan jelas perkataan yang jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu membawa maksud pelayan.

Kelihatan ukiran seekor burung helang sewah sedang berada di atas badan seorang figura. Figura itu  dipercayai merupakan musuh yang ditawan oleh Raja Narmer. Burung tersebut dipercayai mewakili entiti dewa Horus dan merupakan antara dewa-dewa yang wujud di dalam sistem kepercayaan Poleteisme3 masyarakat Mesir purba.

Di atas badan tawanan itu terdapat ukiran enam batang pokok bunga papyrus, enam batang pokok itu mewakili bilangan tentera Mesir Hilir yang berjaya ditawan oleh Raja Narmer. Satu batang pokok itu mewakili bilangan seribu orang tawanan, maka disiniahli kaji Mesir Purba membuat kesimpulan bahawa Raja Narmer telah berjaya menawan seramai 6,000 orang tentera musuh.

Di bawah kaki Raja Narmer iaitu pada tingkat ketiga, kita dapat dapat melihat terdapat dua figura lelaki berjanggut dan tidak berpakaian. Mereka kelihatan seolah-olah sedang cuba melarikan diri daripada Raja Narmer. Adapaun pendapat lain menafsirkan mereka seolah-olah telah mati tergeletak di atas tanah.

Terdapat ukiran hieroglif muncul di sebelah kiri kepala setiap lelaki tersebut, yang pertama adalah sebuah kota bertembok manakala yang kedua kelihatan seperti simpulan tali. Ukiran hieroglif ini kemungkinan besar bermaksud nama bandar yang ditakluki Raja Narmer.

Rupa Belakang

Pertama sekali, pada tingkat pertama kita dapat lihat bahawa ukirannya adalah serupa sebagaimana ukiran yang terdapat pada bahagian depan. Ukiran yang berupa dua ekor kepala kerbau dan sebuah serekh.

Seterusnya kelihatan figura lelaki yang diukir dengan saiz yang lebih besar berbanding dengan figura-figura yang lain. Tujuan figura lelaki ini diukir dengan saiz yang lebih besar adalah bagi menggambarkan sistem hierarki yang wujud dalam masyarakat Mesir Purba pada waktu itu.

Ringkasnya, sesiapa yang menduduki tempat tertinggi dalam struktur sosial masyarakat pada waktu itu, maka imejnya akan diukir dengan saiz yang lebih besar berbanding figura yang lain. Dalam hal ini, individu yang meduduki tempat tertinggi dalam masyarakat adalah Firaun. Maka dengan itu, figura lelaki itu tidak lain tidak bukan ialah Raja Narmer.

Figura Lelaki itu juga dilihat sedang menyarung mahkota yang dikenali sebagai ‘Mahkota Merah’. Berbeza dengan Mahkota Putih, Mahkota Merah adalah mahkota yang biasanya dikenakan oleh pemerintah Mesir Hilir.

Ukiran yang menonjolkan pemakaian Mahkota Merah oleh Raja Narmer itu seakan-akan jelas ingin menyampaikan mesej bahawa baginda telah berjaya menawan Mesir Hilir sekaligus menyatukan Mesir dibawah satu kerajaan yang bersatu. Hal ini diperkukuhkan lagi oleh Dr. Amy Calvert yang berpendapat bahawa:

“Mahkota Merah Mesir Hilir (Kerajaan Utara) dan Mahkota Putih Mesir Hulu (Kerajaan Selatan) merupakan mahkota terawal yang dipakai oleh raja dan berkait rapat dengan penyatuan negara yang seterusnya mengasaskan tamadun Mesir sepenuhnya. Gambaran terawal yang menunjukkan mereka (Mahkota Merah dan Mahkota Putih) dipakai oleh pemerintah yang sama adalah pada Palet Narmer, menandakan bahawa raja itu (Raja Narmer) telah memerintah kedua-dua kawasan di negara itu.”

Raja Narmer juga dilihat sedang mengenggam sebatang cokmar sambil mengenakan sehelai tunik yang diikat pada bahu kirinya bersama seutas ekor lembu yang terjurai pada bahagian kiri pinggangnya. Menurut Dr. Bob Brier, ekor lembu yang dipakai oleh Raja Narmer itu merupakan aksesori bagi melambangkan simbol kekuasaan dan autoriti yang ada pada dirinya sebagai seorang pemerintah.

Kedua-dua lelaki kecil kelihatan sedang berdiri di kiri dan kanan Raja Narmer. Kedudukan kedua-dua figura ini seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka sedang berdiri atau berjalan mengiringi Raja Narmer. Mereka merupakan individu yang berpangkat tinggi di dalam kerajaan Raja Narmer. Figura yang berada di kiri Raja Narmer kelihatan sedang membawa sepasang sandal manakala figura di bahagian kanan kelihatan sedang mengenakan helaian kulit harimau bintang.

Ukiran hieroglif yang terdapat di hadapan individu kanan Raja Narmer itu dikatakan membawa maksud wazir. Oleh yang demikian, dapatlah kita mengetahui bahawa individu tersebut adalah seorang wazir atau perdana menteri bagi Kerajaan Narmer pada waktu itu. (Brier, 04:38)

Kelihatan empat lagi figura yang lebih kecil berbanding dua figura sebelum ini. Menurut Ian shaw, empat orang figura ini merupakan pembawa panji yang datang dari sebuah kumpulan yang dikenali sebagai ‘pengikut Horus’. Kumpulan ini dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan kegiatan sambutan perayaan mahupun acara pengebumian pada waku itu.

Kelihatan empat panji itu membawa simbol yang merupakan dua helang, satu serigala, dan satu plasenta diraja. Dr.Bob Brier berpendapat bahawa, keempat-empat panji ini mewakili sesebuah kawasan atau divisi bagi tentera Raja narmer.

Kesimpulannya, ukiran pada tingkat kedua pada bahagian belakang ini memberi kita gambaran bahawa Raja Narmer bersama dua pegawainya berserta empat pembawa panjinya sedang dalam upacara perarakan bagi merayakan kejayaan mereka dalam penaklukan Mesir Hilir.

Pendapat lain pula mengatakan mereka sedang dalam satu upacara pembunuhan beramai-ramai dan dikatakan sedang memerhatikan mayat sepuluh orang musuh yang telah dipenggal kepala mereka. Kelihatan terdapat kepala di antara kaki sepuluh figura mayat sambil tangan mereka diikat dibelakang.

Pada tingkat ketiga palet ini, kelihatan dua ekor makhluk aneh yang mempunyai fizikal harimau bintang dan leher yang agak panjang seperti ular. Dua ekor makhluk dikenali sebagai ‘Serpopards’ yang merupakan gabungan perkataan ‘serpent’ iaitu ular dan ‘leopard’ yang membawa maksud harimau bintang. Menariknya, ahli kaji Mesir purba tidak dapat memastikan apakah tujuan asal diukirnya makhluk ini pada Palet Narmer.

Andaian terbaik yang dibuat berkenaan ukiran makhluk mitos ini adalah kedua-dua makhluk ini secara simboliknya mewakili Mesir Hulu dan Mesir Hilir. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan posisi mereka yang saling membelitkan leher sesama sendiri seolah-olah memberi satu simbolik yang jelas bahawa Mesir Hulu dan Mesir Hilir telah bersatu di bawah pemerintahan kukuh pimpinan Raja Narmer.

Pada tingkat yang terakhir pula kelihatan seekor kerbau yang gagah sedang memusnahkan tembok sebuah kota dengan tanduknya sambil menginjak-injak musuh di bawah tapak kakinya. Berdasarkan ukiran ini, ahli kaji Mesir Purba telah membuat satu penafsiran bahawa ukiran kerbau itu merupakan satu simbolik kepada Raja Narmer yang dengan gagahnya berjaya mengalahkan tentera musuh dan memusnahkan kota yang diperanginya

Iktibar

Menurut penulis, antara iktibar diperoleh daripada artifak ini adalah perpaduan negara merupakan kunci utama bagi mencapai status negara yang maju. Hal ini dikatakan demikian kerana, walaupun butiran mengenai pemerintahan raja Narmer adalah tidak jelas ekoran kekurangan rekod yang ditemui. Namun kita tidak dapat menafikan bahawa, antara legasi yang ditinggalkan oleh Raja Narmer adalah sumbangan baginda dalam menyatukan Mesir menjadi sebuah kerajaan bersepadu. Sudah jelas bahawa, peristiwa penyatuan ini merupakan batu asas kepada pembinaan tamadun Mesir Purba yang seterusnya mampu untuk gah berdiri teguh selama 3,000 tahun lamanya.

Bahkan jika diperhatikan kebanyakan negara-negara maju tidak kiralah pada zaman kini mahupun zaman lampau, persamaan utama yang ada pada mereka adalah mempunyai sifat perpaduan yang tinggi dikalangan warganegara mereka. Manakan tidak, perpaduan negara merupakan antara faktor terpenting dalam mengekalkan keharmonian masyarkat. Sekiranya masyarakat berpecah atau bertelingkah antara satu sama lain, tidak mustahil untuk sesebuah negara itu jatuh ke dalam lembah kemunduran sekaligus mampu mencetuskan masalah seperti ketidakstabilan ekonomi dan sosial lantas membantutkan proses pembangunan negara.

Oleh itu, kita wajarlah menerapkan sifat perpaduan sesama masyarakat sepertimana yang dilakukan oleh Raja Narmer dengan menyatukan Mesir Hulu dan Mesir Hilir. Namun dalam konteks kita pada hari ini, antara cara untuk mengekalkan perpaduan negara adalah dengan menjadi penggerak utama dalam usaha membudayakan dan mengekalkan perpaduan negara. Seruan ini juga selari dengan sepotong rangkap yang terdapat pada jata negara kita yang berbunyi “Bersekutu Bertambah Mutu”. Rangkap hikmah ini mengajar kita untuk berkerjasama antara satu sama lain dalam melaksanakan sesuatu bagi memperoleh kejayaan yang cemerlang. Tegaslah bahawa, iktibar yang dapat diperoleh daripada artifak ini adalah perpaduan negara merupakan kunci utama bagi mencapai status negara yang maju

Akhirnya, siapa sangka bahawa artifak Palet Narmer yang dihasilkan oleh manusia ribuan tahun yang lalu ternyata mendatangkan kebaikan buat manusia pada hari ini. Selain membantu kita untuk memahami bagaimana tamadun Mesir Purba diasaskan, ia juga seolah-olah memaksa kita untuk merenung dengan lebih mendalam. Hasilnya, pelbagai iktibar yang berjaya dirungkai disebalik ukiran-ukiran purba ini dapat kita ambil dan sesuaikan dalam konteks kehidupan pada hari ini.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Nota

1.Serekh adalah bingkai segi empat tepat yang mewakili binaan istana yang dimana atasnya terdapat dewa Horus, melambangkan bahawa tulisan di dalamnya adalah nama diraja. Serekh lazimnya digunakan sebagai lambang diraja yang terkandung nama Firaun di dalamnya.

2.Prinsip Rebus adalah satu konsep linguistik yang berupa mesej yang dinyatakan dalam bentuk gambar yang mewakili bunyi dan bukannya perkara yang mereka gambarkan

3.Politeisme merupakan sistem kepercayaan yang mempercayai wujudnya lebih daripada satu tuhan.

Rujukan

1. Shaw, I. (2021). Ancient egypt: A very short introduction. Oxford University Press.

2. O’Brien, A. A., & O’Brien, A. (1996). The Serekh as an Aspect of the Iconography of Early Kingship. Journal of the American Research Center in Egypt, 33, 123–138. https://doi.org/10.2307/40000610

3. Calvert, A. (n.d.). Palette of king narmer (article). Khan Academy. Retrieved from https://www.khanacademy.org/humanities/ap-art-history/ancient-mediterranean-ap/ancient-egypt-ap/a/palette-of-king-narmer

4.The Rebus Principle. Egyptology Man. (2018, August 12).from https://egyptologyman.wordpress.com/2011/02/17/the-rebus-principle/

5. (2021). Decoding the Secrets Of Egyptian Hieroglyphs.

6. Perry,D. (Host). (2012, October). The Two Lands (No. 1) [Audio podcast episode]. In The History Of Egypt Podcast. Agora Podcast Network.  


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.

Leave A Reply