Timur Tengah mempunyai dua bangsa yang amat berpengaruh tetapi bermusuhan. Sokongan terhadap setiap satu pula berasaskan api kebencian terhadap pihak lain. Tetapi seberapa ramai yang benar-benar mengenali asal-usul bangsa Yahudi, itu harus dijadikan perbincangan. Untuk mengenalpasti secara sempurna, pengajian mengenai Yahudi harus dipecahkan kepada tiga:sejarah, agama dan propaganda. Jika tidak, pemahaman tentang mereka akan bercampuk-aduk dan tidak terurus, sekaligus memintal fakta dan mengelirukan.

Ini kerana, propaganda moden mengandaikan bahawa bangsa Yahudi layak keatas Tanah Palestin kerana perhubungan dengan nenek-nenek moyang Bani Israil mereka. Buat seketika, sebarang propaganda perlu diketepikan. Dan sekadar informasi, ‘sejarah’ adalah perbincangan melibatkan fakta berekod sahaja, manakala ‘agama’ pula akan menyentuh perihal Islam dan Judaisme.

Sekarang ini, sebut sahaja “Yahudi”, “Israel”, malah “Bani Israil” sudah cukup untuk menjerutkan kesabaran Melayu. Malah dua perkataan pertama tersebut sudahpun dijadikan terma-terma penghinaan. Dan mempertahankan fakta mengenai Yahudi atas dasar keadilan dan kebenaran dipandang serong seolah-olah memusuhi Islam. Manakala menghamburkan rasa duka kepada tragedi Shoah pula mencetuskan tuduhan berbagai.

Tetapi The Patriots akan cuba sebaik mungkin untuk berpaut kepada tali keadilan dan kebenaran.

Bani Israil adalah penduduk Semitik yang menetap di kawasan Kanaan satu masa dahulu. Dari segi sejarah, hanya teori sahaja yang berlegar. Tetapi sejarawan berpegang bahawa Bani Israil adalah campuran warga-warga asli, bersama Mesir, Ammon, Moab dan Edom. Bahasa mereka pula dikatakan bentuk Ibrani yang kuno, seperti sistem Chaucer kepada English moden. Tetapi nama “Israil” didapati telah wujud sekitar 3,200 tahun dahulu apabila sebuah batu bersurat ditemui daripada pemerintahan Merneptah:

“Dijarah adalah (puak) Canaan yang setiap satunya jahat,
Diusung adalah (puak) Ashkelon,
Dirampas adalah (puak) Gezer,
Yenoam dibuat seolah-olah tidak wujud lagi,
Israil pula dilumatkan, benihnya sudah tiada lagi,
Hurru telah menjadi balu kerana Mesir.”

Merneptah adalah Firaun yang menggantikan ayahandanya, iaitu Ramses II, seorang penguasa dipercayai Firaun yang ditenggelamkan di Laut Mati. Baginda mengetuai operasi-operasi ketenteraan menentang bangsa Libya – dan menurut batu bersurat ini, Bani Israil pun. Cuma anehnya, batu bersurat ini dipercayai adalah tugu peringatan kemenangan baginda – tetapi mungkin sekadar mendabik dada katanya Bani Israil sudah tiada.

Apabila berbicara tentang Mesir dan Firaun, teringat pula kisah Nabi Musa as. Disini perbincangan akan bergerak daripada ‘sejarah’ ke ‘agama’. Bani Israil adalah benih Nabi Israil sendiri, iaitu gelaran kepada Nabi Ya’akub as, menerusi 12 orang anak baginda – Re’uven, Shim’on, Levi, Yehuda, Dan, Naftali, Gad, Asher, Yissakhar, Zebulun, Yosef dan Binyamin. Suku-suku Bani Israil adalah turun-temurun setiap seorang anak ini, kecuali Yosef (Nabi Yusuf as). Tetapi anak-anak Yosef as iaitu Manasseh dan Ephraim akan dirikan suku masing-masing.

Jika diteliti dalam Judaisme, kelompok Bani Israil mempunyai pengaruh yang besar dalam peristiwa-peristiwa akhir zaman dianuti mereka. Keturunan Nabi Yusuf as dipercayai akan berperang menentang kezaliman Yakjuj-dan-Makjuj agar al-Masih berketurunan Nabi Daud as dapat disediakan takhta untuk berkuasa. Dalam bahasa Ibrani, kedua-dua keturunan ini digelar al-Masih: “Maschiach ben Yosef” (al-Masih bin Yusuf) dan “Maschiach ben David” (al-Masih bin Daud).

Perkara ini berbeza dengan Islam yang meletakkan tugas al-Masih keatas bahu Isa bin Maryam. Tetapi ia langsung tidak mengecilkan skop Nabi Ya’akub as dan Nabi Yusuf as. Pada suatu hari, Nabi Yusuf as memberitahu ayahandanya akan satu mimpi yang menunjukkan 11 bintang, Matahari dan Bulan tunduk hormat kepada Nabi Yusuf as. Pada masa itu, Nabi Ya’akub as sudah tahu maksud disebalik mimpi ini, bahawa beliau adalah Matahari tersebut manakala Bulan itu merujuk kepada isterinya yang melahirkan Nabi Yusuf as iaitu Rakhel dan 11 bintang adalah tidak lain tidak bukan anak-anaknya (Qur’an 12:4-6).

Nabi Yusuf as dilarang berkongsi mimpi ini bersama saudara-saudaranya, tetapi berbeza dengan Bibel yang menceritakan baginda memberitahu semua akan mimpinya (Kitab Kejadian 37:9-11). Tetapi al-Qur’an dan Bibel menjalinkan persamaan berkaitan dengan perancangan saudara-saudaranya agar membunuh Nabi Yusuf as (Qur’an 12:9) atas dengki. Tetapi mereka ubah fikiran dan membuangkannya ke dalam sebuah telaga. Nabi Yusuf as diselamatkan sekumpulan musafir dan dijual dengan harga yang murah kepada seorang Aziz jauh di Mesir (Qur’an 12:20).

Dalam Bibel, Aziz ini bernama Potiphar, seorang kapten penjaga istana (Kitab Permulaan 39:1). Setelah Nabi Yusuf as mencapai usia kematangan, ketampanannya diselitkan lagi dengan pemikiran yang cerdas seperti ayahandanya (Qur’an 12:22). Dan pada masa ini, ‘Imraatul-aziz’ (atau menurut sumber Ibnu Kathir, Zulaikha) berusaha merapatinya. Kesukaan ini mengundang penjara pula kepada Nabi Yusuf as yang membuka jalan kepada kisah penafsiran mimpi. Perkara ini menarik perhatian raja Mesir. Salah satu perkara yang menarik disini adalah penggunaan “Raja” buat pemerintah Mesir dalam al-Qur’an.

Perkara ini membuatkan beberapa golongan fundamentalis mengasah parang dengan hujah bahawa “Firaun” hanyalah satu iaitu penguasa yang takbur sezaman dengan Nabi Musa as. Hujah ini sangat tumpul. Perkataan “raja” digunakan kerana penguasa Mesir ketika ini bukan berbangsa Qibti. Hanya bangsa Qibti sahaja yang menggunakan darjat Firaun. Dalam sejarah, terdapat ratusan Firaun sejak Menes mula memerintah. Sambung cerita, Nabi Yusuf as akan dibebaskan dan mendapat tempat tinggi dalam kalangan masyarakat Mesir.

Kedua-dua nabi (Ya’akub dan Yusuf) bertemu di Mesir setelah sekian lama berpisah. Janji Allah kemudiannya dinyatakan: 11 bintang, Matahari dan Bulan tunduk hormat kepada Nabi Yusuf as (Qur’an 12:100). Kisah ini, walaupun dilihat kecil, merupakan permulaan kegemilangan Bani Israil. Kelompok ini berhijrah bersama Nabi Ya’akub as memandangkan kebuluran melanda di Tanah Canaan dengan angka lebih kurang 70 orang sahaja.

Dalam masa empat generasi, Bani Israil berkembang pesat sehingga mencecah 600,000 orang. Mereka merangkul kedudukan tinggi dalam hal ehwal politik, kebudayaan dan ekonomi Mesir Purba. Bermulanya satu lembaran kerasulan baru pada era kezaliman seorang penguasa hanya kerana sifat waspada terhadap “pendatang-pendatang Canaan” ini. Pandangan curiga ini pula dikongsi bangsa Qibti di Mesir. Maka Firaun berniatkan untuk melebur dominasi ini menyekat kebebasan Bani Israil, memperuntukkan cukai tinggi dan tuntutan buruh kasar yang teruk.

Tetapi ibaratkan cuba padam api dengan minyak, Firaun hanya membuatkan Bani Israil lebih berkembang. Pada satu hari, Firaun mendapat mimpi yang kerajaannya dijilat api dari Baitulmuqaddis. Tetapi di dalam petunjuk itu, Bani Israil tidak diapa-apakan. Salah satu inspirasi yang boleh didapati daripada mimpi ini adalah kebenaran di sebalik sebuah petunjuk. Mengandaikan bahawa Firaun tersebut adalah Firaun menentang Musa, mimpi ini jelas menunjukkan bahawa Bani Israil adalah umat terpelihara mampu menahan penganiayaan yang hanya akan memakan tuan. Kini terbukti bahawa penganiayaan terhadap mereka telah memakan Firaun sendiri – sehingga masih belum jelas terbukti penguasa Qibti manakah yang merupakan Firaun terlaknat.

Selepas berbicara dengan ahli-ahli nujum, Firaun menitahkan anak-anak lelaki Bani Israil dicampakkan dalam Sungai Nil. Pakar-pakar ekonomi benar terperanjat kerana penghapusan sumber manusia dalam tenaga buruh akan menggugat ekonomi Mesir Purba. Lalu Firaun menitahkan bahawa bayi-bayi lelaki dibunuh setiap dua tahun, secara berselang-seli.

Titah ini mencetuskan kegusaran dalam kalangan Bani Israil. Ia juga adalah mancis kepada api dalam mimpi Firaun. Seorang wanita daripada suku Levi (rujuk senarai anak-anak Nabi Ya’akub) terpaksa meletakkan bayinya dalam raga untuk dibawa arus Sungai Nil. “Pembuangan bayi” ini mengandungi inspirasi ketuhanan yang tersurat (Qur’an 28:7). Bayi tersebut ditemui siapa lagi kalau bukan Permaisuri Firaun sendiri (Asiyah) yang memujuk Firaun supaya diambil anak angkat. Tetapi Nabi Musa as menolak ibu-ibu susuan sehinggalah ibu kandungnya diseru; maka sekali lagi janji Allah dizahirkan, bahawa Nabi Musa as akan bertemu ibunya semula.

Seperti didendangkan nujum-nujumnya, Nabi Musa as berjaya mengeluarkan Bani Israil daripada cengkaman zalim Firaun dan secara tidak sengaja menjatuhkannnya, itupun berdasarkan pilihan Firaun sendiri. Usaha Nabi Musa as pula bukannya satu perkara yang harus diambil mudah. Firaun diselingkan bala-bala dahsyat yang tiada manusia mampu mengharungi. Tetapi kesemua bala itu tidak menginsafkan Firaun walau sedikit pun.

Bani Israil dipimpin kembali ke Tanah Canaan. Di sana mereka bertemu dengan seorang gergasi bernama Uj, yang akhirnya disudahkan dengan pertempuran antaranya bersama Nabi Musa as. Tetapi disini jelas bahawa Bani Israil mempunyai masalah apabila menempuhi dugaan. Hanya dua orang sahaja yang turut serta bersama baginda, sekaligus Bani Israil melanggar syariat Allah dengan “pengunduran ke belakang” (Qur’an 5:21). Dua lelaki ini cuba membakar semangat Bani Israil tetapi inilah balasan mereka, “wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami disinilah duduk menunggu.” (Qur’an 5:24)

Salah seorang daripada dua lelaki tersebut adalah Joshua, seorang individu yang berdasarkan perbezaan pendapat merupakan nabi atau “sahabat nabi” selepas kewafatan Nabi Musa as. Atas keengganan ini, Bani Israil diharamkan memasuki Tanah Suci selama 40 tahun lamanya. Mereka dipimpin Nabi Musa as ke Gunung Tursina pula. Disini baginda diseru mendakinya, meninggalkan umatnya kepada Nabi Harun as buat sementara waktu. Diperintah puasa 40 hari, baginda kemudian membuat permintaan yang bersejarah dalam hukum alam.

Baginda memohon Allah tunjukkan ‘dirinya’. Dan semua umat Islam kini tahu apa yang berlaku – bagaimana di depan mata Nabi Musa as sendiri Allah menzahirkan kebesaran-Nya sehingga gunung terlipat, tergulung, diratakan dan hancur lebur sampai baginda as sendiri pengsan.

Apabila tersedar, baginda terus memohon taubat. Dan Nabi Musa as dikurniakan Sepuluh Hukum sebagai panduan. Namun hanya Allah saja tahu betapa hancurnya hati baginda setelah diberitahu umatnya disesatkan atas penipuan Samiri, yang membuat Patung Lembu Emas sambil mengisytiharkannya sebagai Tuhan Nabi Musa as.

Apabila Nabi Musa as mempersoalkan mereka, inilah jawapan diberi:
“Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir) itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang demikian, maka demikianlah juga “Samiri” mencampakkan apa yang dibawanya.” (Qur’an 20:87). Lalu Samiri menciptakan sebuah patung lembu, sambil mengatakan, “Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!”

Setelah kekeliruan ini dibetulkan dan Samiri dibuang daripada kelompok Bani Israil, Nabi Musa as terus memimpin umatnya sehingga kewafatan yang baginda mewasiatkan bahawa ganjaran dan bala besar menanti Bani Israil tertakluk kepada pengamalan mereka sama ada mereka mengikuti atau abaikan ajaran Taurat (Kitab Ulangan 28).

40 tahun selepas keluaran Bani Israil dari Mesir, mukmin bernama Joshua yang disebutkan tadi memimpin kelompok aneh ini kembali ke Tanah Canaan. Sangat logik untuk mengaitkan Joshua sebagai mukmin yang taat kepada Nabi Musa as. Sesungguhnya baginda pernah menyandang tanggungjawab sebagai ketua militan dalam pertempuran pertama selepas keluaran dari Mesir (Kitab Keluaran 17:8-16). Pada masa itu, Bani Israil sedang berehat di Wadi Feiran apabila puak Amalek menimpa mereka. Namun atas kehebatan Joshua, Bani Israil menikmati kemenangan.

Ibaratkan Saidina Abu Bakar atau Umar kepada Nabi Muhammad SAW, mungkin begitulah rapatnya Joshua kepada Nabi Musa as, cuma berbeza dari segi personaliti. Tetapi berdasarkan Bibel, Joshua adalah seorang nabi, kerana Tuhan sendiri berfirman kepadanya selepas kewafatan Nabi Musa agar merentasi Sungai Jordan sambil menjanjikan kejayaan besar kepada Bani Israil (Joshua 1:1-9). Pertempuran pertama berlaku di Jericho dimana Bani Israil meraih kemenangan besar.

Sedikit demi sedikit Bani Israil berkembang. Seterusnya, Bani Israil memohon seorang raja dan seorang nabi dalam kalangan mereka bernama Samuel memilih Talut (Sha’ul) sebagai raja, pemilihan yang kurang dipersetujui Bani Israil kerana Talut bukannya seorang yang kaya. Inilah kali pertama Bani Israil mempunyai negara, dengan kesatuan suku-suku Konfederasi bersama suku Yehudah dan Binyamin.

Dikatakan ancaman Filistin juga merupakan salah satu faktor yang menerajui kesatuan ini. 42 tahun kemudian, negara ini diterajui Nabi Daud as yang menyaksikan permulaan Zaman Keemasan Bani Israil, tetapi dikatakan juga selepas memenangi Perang Saudara terhadap Talut. Nabi Daud as meletakkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara dan berjaya menghalang kemaraan musuh. Kemudian negara ini diperintah Nabi Sulaiman as pula yang membina Kuil Pertama Yahudi dan meneruskan kegemilangan yang dimulakan ayahandanya.

Tetapi selepas kewafatan Nabi Sulaiman as, bermulalah episod baru dalam Bani Israil: Zaman Pendustaan. Kesatuan ini bermula daripada satu pertelingkahan yang berkembang ibaratkan kanser. Bani Israil dileburkan akibat penggeseran antara-suku di Utara dan Selatan. Ia berlaku akibat 10 suku Utara tidak menerima Rehoboam sebagai pengganti Raja Sulaiman as. Dan kesatuan ini terpecah kepada dua negara baru: Israel (Utara) dan Yehuda (Selatan).

Untuk membezakan dengan negara Israel di zaman moden, “Israel (Utara)” akan dikenali sebagai “Yisra’el”. Hanya suku Yehuda dan Binyamin (rujuk kembali anak-anak Nabi Ya’akub as) sahaja yang tidak menyertai Yisra’el, berpaut kepada pecahan kerajaan Yehuda (Selatan). Usah terkeliru dengan Suku Yehuda dan Kerajaan Yehuda. Perkaitannya boleh difahami dengan mudah seperti Persekutuan Rusia, yang dipopulasikan bangsa majoriti Rusia. Jadi, suku Yehuda dan Binyamin sekadar menubuhkan kerajaan Yehuda. Dan warganegara kerajaan ini digelarkan Y’hudi, iaitu Yahudi.

Pemberontakan berlaku akibat keengganan Raja Rehoboam untuk kurangkan cukai yang dimandatkan menurut Kitab Raja-Raja ayahandanya, iaitu Raja Sulaiman. Umat Islam disyorkan membaca sahaja tanpa mempercayai, kerana kitab yang sama mengatakan Nabi Sulaiman as telah mengamalkan syirik dimana agama Islam menobatkan baginda kekal taat kepada Allah sepanjang hayat. Perbezaan pandangan agama tidak seharusnya dijadikan dinding untuk meneruskan pembacaan. Penguasaan Raja Rehoboam pra-pemberontakan telahpun menunjukkan keretakan, apabila menteri buruh paksa iaitu Adoniram dihantar baginda lalu direjam sampai mati (1 Raja-Raja 12:18).

Semasa pemerintahan Raja Sulaiman (tidak akan di‘alai’hissalam’kan atas faktor perbezaan dengan Nabi Sulaiman as), Jeroboam dilantik menjadi pentadbir buat sukunya semasa pembinaan kubu Millo di Baitulmuqaddis. Namun, Jeroboam mula mencetuskan konspirasi, dan apabila didedahkan, beliau melarikan diri ke Mesir untuk dipelihara Firaun Shishak. Tetapi berita kemangkatan (‘kewafatan’ sengaja tidak digunakan) Raja Sulaiman menyapai cuping telinganya, membuatkan Jeroboam kembali untuk menuntut pengurangan cukai, tetapi kemudian diisytiharkan Raja Yisra’el, lalu meneruskan konflik dalam pemberontakan Yisra’el-Yehuda.

Tetapi Jeroboam terasing daripada agama, meskipun dipuji pada awalnya. Takut rakyatnya pergi ke Kuil Sulaiman di Baitulmuqaddis, Jeroboam membuatkan berhala di bandar Bethel dan Dan, lantas mencalarkan dirinya sebagai ‘pendosa Yisra’el’. Anehnya, rakyat Yisra’el sanggup beredar dari tempat tinggal ke berhala yang terdekat, lalu pergi ke berhala kedua pula. Walhal jarak penyembahan dua berhala sebenarnya lebih jauh berbanding pergi ke Baitulmuqaddis sahaja.

Pada tahun ke-18 pemerintahan Jeroboam, anak Rehoboam iaitu Abijah ditabalkan raja Yehuda lalu menewaskan kuasa Yisra’el sampai Jeroboam tidak dapat bangkit menjadi ancaman lagi. Seramai 500,000 daripada angkatan 800,000 Jeroboam ditewaskan Abijah yang mengetuai 400,000 bala tentera sahaja. Bandar Bethel, Jeshanah dan Ephron terjatuh ke tangan Yehuda. Suku Ephraim, Manasseh yang meletakkan Allah sebagai suami Dewi Asherah, dan Simeon menjadi sebahagian daripada Yehuda semasa pemerintahan Raja Asa.

Raja-raja Yehuda cuba mewujudkan penguasaan mereka terhadap Israel. Tiada peperangan terbuka yang berlaku antara Israel dan Yehuda. Kedua-dua negara ini rapat menentang musuh yang nyata. Tetapi pada 722 S.M., Israel ditundukkan Empayar Assyria. Yehuda berjaya bertahan sehingga 586 S.M., ketika Empayar Babylon semasa pemerintahan agung Maharaja Nebuchadnezzar II merusuh negara ini dan hasil daripada peperangan yang berlaku, Kuil Pertama yang dibina Nabi Sulaiman as dihancurkan oleh Jeneral Nebuzaradan.

Sebagai kesimpulan, Yahudi adalah sebahagian daripada Bani Israil. Dan Nabi Musa as sendiri bukan seorang Yahudi, kerana:

1) Baginda wafat sebelum perpecahan kerajaan Israel bersatu (baginda telahpun wafat sebelum pengasasannya)

2) Baginda adalah sebahagian daripada suku Levi.

Maka benarlah firman Allah SWT:
“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.” – Qur’an 3:67.

Nabi Ibrahim as pun bukan sebahagian daripadanya, sama ada bangsa (Yahudi) atau agama (Judaisme). Juga Bani Israil pula bermaksud kelompok yang bertunjangkan “umat” seperti umat Islam. Tetapi akibat kekeliruan yang dicetuskan propaganda moden, Bani Israil kerap dilihat sebagai kelompok suku-suku Yehuda (Yahudi) .

Walhal, Yahudi hanyalah sebahagian daripada Bani Israil, bermula daripada dua suku sahaja – dua daripada dua belas suku.

– Ahmad Faezal –


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply