Pada tahun 221 SM, wilayah-wilayah China untuk pertama kalinya bersatu di bawah satu pemerintahan. Usaha ini dilakukan oleh Qin Shi Huang ketika umurnya 38 tahun.
Beliau menggunakaan gelaran “huangdi” yang bermaksud maharaja – menandakan beliau adalah raja kepada raja-raja yang telah ditumpaskan olehnya. Beliau juga memakai gelaran Shih Huangdi (Maharaja Pertama) sebagai aspirasi penerusnya akan memakai gelaran Maharaja Kedua, Ketiga, dan seterusnya.
Antara usaha beliau untuk memastikan pemerintahannya kuat dan teguh berdiri adalah melalui penghapusan fahaman dan pemikiran selain daripada legalism – fahaman yang dipacakkan dalam pemerintahannya.
Maka, buku-buku yang bertentangan dengan idea empayar yang terkandung dalam sastera, sejarah dan falsafah dibakar. Dikatakan, karya-karya yang dibakar ini mempunyai salinan dan disimpan di arkib istana. Karya-karya yang menitipkan kemajuan sains seperti perubatan dan pertanian dipelihara dan dikekalkan.
Tidak cukup sampai situ, maharaja juga mengarahkan sekitar 460 hingga 700 sarjana ditanam hidup-hidup kerana menyimpan dan memiliki buku-buku yang diharamkan. Dikatakan sarjana-sarjana yang ditanam itu merupakan sarjana Confucian.
Pada kemuncak hidupnya, Qin Shi Huang mula takutkan kematian dan terdesak untuk mendapatkan eliksir hayat (elixir of life) yang bertujuan memanjangkan hayat hidupnya. Beliau sangat obses dengan keabadian hidup sehingga mudah ditipu oleh mereka yang kononnya menawarkan eliksir tersebut.
Berdasarkan kajian paling terbaru, rupa-rupanya sarjana-sarjana yang pernah ditanam oleh maharaja hidup-hidup bukanlah sarjana Confucian, tetapi alkimiawan. Pada suatu hari, Maharaja mendapati dua alkimiawan telah menipunya tentang eliksir hayat. Beliau melakukan siasatan untuk mengetahui siapa alkimiawan tersebut tetapi tiada siapa yang mengaku, malah alkimiawan-alkimiawan ini saling menuduh antara satu sama lain sehinggalah semuanya ditanam hidup-hidup.
Sebelum Qin Shi Huang meninggal dunia, beliau pernah pergi ke pelabuhan Langya bertemu dengan Xu Fu, seorang alkimiawan dan memintanya untuk mencari eliksir yang boleh membuatkan manusia hidup selamanya.
Xu Fu dihantar mencari Gunung Penglai untuk mendapatkan eliksir tersebut. Gunung tersebut terletaknya Istana Penglai yang menjadi tempat tinggal para individu yang hayatnya kekal abadi. Antara individu tersebut ialah Anqi Shang yang kononnya telah hidup 1,000 tahun ketika zaman Dinasti Qin.
Segalanya di Gunung Penglai amai indah – tiada musim sejuk, air yang diminum tidak akan surut, nasi yang dimakan tidak pernah habis dan buah yang tumbuh dapat menyembuhkan segala penyakit, seolah-olah terdapat satu sumber ajaib mengalir yang membuatkan gunung sakti itu sebegitu rupa.
Xu Fu pernah berlayar bertahun-tahun untuk mencari Gunung Penglai bersama 3,000 lelaki dan 3,000 perempuan tetapi tidak pernah jumpa. Apabila maharaja bertanyakan tentang kegagalannya, Xu Fu menyatakan terdapat haiwan laut gergasi yang menghalang perjalanan mereka dan beliau memohon sekumpulan pemanah untuk membantunya.
Maharaja bersetuju untuk menyediakan sekumpulan pemanah dan pada tahun 210 SM, Xu Fu melakukan pelayaran untuk kali kedua. Kali ini beliau tidak pernah pulang dan di mana destinasi terakhirnya tidak pernah diketahui.
Mungkin sekiranya mereka pulang dengan tangan kosong untuk kali kedua, mereka akan dipenggal kerana tidak pernah menjumpai gunung sakti yang dicari-cari oleh maharaja.
Legenda menyatakan Xu Fu berlayar sampai ke Jepun dan mendirikan penempatan di situ. Terdapat legenda lain menyatakan Xu Fu merupakan maharaja pertama Jepun kerana tempat beliau mendarat sama dengan tempat
Maharaja Jimmu Tenno (maharaja pertama Jepun) mendarat. Pengaruh Xu Fu di Jepun begitu kuat sehingga terciptanya memorial dan relik atas namanya. Malah, terdapat orang Jepun yang mendakwa keturunan Xu Fu.
Selain daripada misi untuk mencari eliksir hayat, Qin Shi Huang juga turut memerintahkan para sarjananya untuk menghasilkan eliksir tersebut.
Terdapat kemungkinan arahan untuk membakar buku yang dikatakan tidak berguna pada mata maharaja adalah bertujuan untuk para sarjana kerajaan Qin memberikan perhatian sepenuhnya terhadap penghasilan eliksir itu.
Apa-apa pun, hidup Qin Shi Huang berakhir dengan kegagalan untuk mencari eliksir keabadian hidup. Punca kematian beliau tidak diketahui. Tetapi terdapat rekod beliau meninggal dunia kerana menelan pil raksa (mercury pill) yang kononnya memanjangkan jangka hayat tetapi rupanya racun yang membawa kepada kematiannya.
Misi mencari eliksir keabadian hidup tidak berakhir dengan Qin Shi Huang. Seramai 14 maharaja selepasnya berusaha untuk mendapatkan eliksir tersebut. Ironinya, usaha mereka berakhir dengan kematian, menjadi gila dan menderita kerana menelan racun yang disangka eliksir keabadian hidup. Maharaja terakhir yang menelan eliksir racun ialah Yinzhen dari Dinasti Qing – dinasti terakhir China.
Lebih ironi lagi, usaha para alkimiawan ini telah membawa kepada terhasilnya teknologi serbuk letupan yang pada kurun-kurun seterusnya bertanggungjawab membunuh jutaan manusia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih