Australia merupakan pulau terbesar dan negara keenam terbesar di dunia, dengan keluasannya mencecah lebih 7.6 juta km². Walaupun kepadatan penduduknya sangat kecil (iaitu hanya 3.3 orang bagi setiap km² berbanding 100.99 bagi Malaysia), ia kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.
Dianggarkan, Australia menempatkan sebanyak 378 spesis mamalia, 828 spesis burung, 4,000 spesis ikan, 35,000 spesis tumbuhan dan 250,000 spesis kulat. Antara yang paling sinonim ialah kangaru, koala, wombat, dan platipus. Kesemua haiwan ini adalah spesis endemik di Australia.
Pada lewat kurun ke-18, interaksi dengan orang Eropah mula berlaku. Justeru, pulau itu menerima kemasukan 56 spesis invasif (spesis bukan-asli). Antaranya seperti kucing liar, kodok, dan musang merah. Haiwan-haiwan ini pada mulanya dibawa masuk sebagai peliharaan, makanan, dan haiwan buruan (bagi memenuhi masa lapang).
Namun, sebahagian daripadanya lolos dari kurungan lalu membiak tanpa kawalan. Antara kesemua spesis invasif yang ada, terdapat satu daripadanya yang memberi masalah besar buat Australia. Sampaikan, pembasmian berskala kebangsaan terpaksa digerakkan selama beberapa dekad.
Iya, haiwan yang dimaksudkan ialah arnab. Atau lebih tepat, arnab Eropah (oryctolagus cuniculus).
Spesis ini mula dibawa masuk ke Australia pada tahun 1788 melalui First Fleet. First Fleet merujuk kepada segerombolan 11 buah kapal Eropah yang pertama tiba di Australia bersama kira-kira 1,500 orang. Mereka inilah yang mendirikan koloni pertama di Australia, bertempat di Sydney.
Semenjak itu, banyak spesis invasif dibawa masuk termasuklah arnab. Hinggakan pada 1827, haiwan ini direkodkan sudah pun berada di Pulau Tasmania (RFA, n.d.). Namun, keadaan ketika itu masih terkawal. Populasi arnab pun masih pada paras sihat.
Masalah sebenar hanya bermula pada tahun 1859. Ia bertitik tolak daripada satu nama, iaitu Thomas Austin (1815-1871). Thomas ini kalau hendak diikutkan bukanlah sesiapa sangat. Sekadar salah seorang orang kaya British di Australia.
Dia juga salah seorang yang memperkenalkan beberapa spesis invasif ke Australia. Antaranya ialah kelinci (hare), burung hitam (turdus merula), dan burung anis hutan (thrush). Arnab Eropah juga tidak ketinggalan. Bahkan, Thomas mempunyai 24 ekor daripadanya.
Sekali imbas, bilangan itu memang tidak banyak. Tetapi apa yang menjadi masalah adalah arnab-arnab ini dibiarkan berlegar secara bebas dalam estet miliknya di Barwon Park, Victoria (Choudhury, 2021). Sedangkan, tanah itu berkeluasan 29,000 (bersamaan 117 km²). Yakni, lebih luas berbanding Disney World di Florida!
Jadi, bayangkan arnab-arnab ini membiak tanpa pemantauan – dalam keadaan seekor arnab Eropah boleh membiak lebih lima kali dalam setahun, dengan setiap satunya boleh ada empat atau lima anak. Justeru memang melonjaklah bilangan mereka dalam masa sekejap.
Sebab itu pada tahun 1866, kira-kira 14,000 ekor arnab ditangkap di Barwon Park. Yakni, penambahan sebanyak 583 kali ganda daripada jumlah asal dalam tempoh hanya tujuh tahun. Ini bagaimana pun baru jumlah yang ditangkap. Belum lagi jumlah keseluruhan.
Menjelang 1880, arnab-arnab ini sudah pun membiak sampai ke New South Wales sebelum tersebar hingga ke Queensland pada 1886 dan Nullarbor (Australia Barat) pada 1894 – satu perjalanan yang melangkaui jarak sejauh 2,000 km.
Dalam dua puluh enam tahun kemudian (1920), populasi arnab di Australia mencecah 10 billion ekor (RFA, n.d.). Yakni, 50 kali ganda daripada populasinya di Australia pada hari ini (200 juta). Memang ini satu lonjakan yang memeningkan kepala.
Bayangkan, untuk arnab tersebar ke seluruh Britain ia mengambil masa selama 700 tahun. Tetapi di Australia, untuk menghuni dua-pertiga daripadanya yang luasnya adalah 25 kali ganda besar berbanding Britain, arnab-arnab ini hanya mengambil masa 50-60 tahun sahaja (NMA, n.d.).
Justeru, tidak hairan jika kadar pembiakan arnab di negara itu dianggap sebagai yang paling pantas bagi mana-mana mamalia di dunia. Cuma, apa yang bahaya sebenarnya dengan pembiakan pesat arnab ini?
Begini. Arnab memang haiwan yang kecil. Ia juga bukan haiwan pemangsa seperti kucing dan musang. Tetapi, sejumlah 322 spesis haiwan dan tumbuhan di Australia terancam berpunca daripadanya (Taggart & Cooke, 2021). Bagaimana?
Pertama-tama, kajian mendapati yang seekor arnab bagi setiap dua hektar tanah memadai untuk memusnahkan habis benih-benih muda. Ini justeru mengganggu ekosistem. Di mana, apabila pokok-pokok tua mati maka kurang pokok muda sebagai pengganti.
Erti kata lain, arnab memang tidak menumbangkan pokok-pokok besar – tidak seperti kita manusia. Tetapi, mereka makan benih sekali gus menjejaskan proses penumbuhan semula. Hal ini bukan sahaja mengancam spesis-spesis flora, tetapi turut mengesankan haiwan yang berhabitat dan menumpang manfaat daripadanya.
Tambahan, mereka juga berebut makanan dengan haiwan tempatan di samping menjadi sumber protein utama buat haiwan pemangsa bukan-tempatan seperti kucing liar dan musang merah. Ini membuatkan bilangan mereka turut bertambah. Kesannya, haiwan seperti kambing dan lembu pula yang berkurang lantaran menjadi santapan.
Selain itu, tanah juga jadi lebih mudah terhakis. Ini rentetan banyak lubang yang dikorek untuk dijadikan tempat tinggal. Debunga lalang yang disebarkan juga membuatkan tumbuhan sedia ada kekurangan nutrien. Akibatnya, banyak kawasan jadi lebih tandus dan gersang.
Kesemua ini pada penghujungnya membawa kepada kerugian fiskal – merangkumi kos pengurusan dan kerugian dalam penghasilan. Dianggarkan, jumlah kerugian yang diakibatkan oleh arnab dalam sektor pertanian di Australia mencecah sehingga $206 juta setiap tahun.
Oleh sebab itu, tidak hairan jika banyak usaha digerakkan. Misalnya pada tempoh 1901-1907, tiga buah pagar didirikan di Australia Barat – dengan pagar paling panjang berukuran 1,831 km. Ibarat, kita dirikan pagar dari Johor hingga ke Bangkok (1,807 km). Tuntas, ia dianggap sebagai pagar paling panjang di dunia dengan kos pembinaan mencecah RM1.9 juta.
Namun, projek ini tampak tidak berjaya memandangkan banyak arnab sudah pun memasuki kawasan lindungan semasa kerja-kerja pembinaan masih dijalankan. Ada juga mengorek lubang untuk masuk.
Justeru, Australia beralih kepada kaedah biologi (National Geographic, n.d.). Pada tahun 1905, mereka melepaskan virus myxoma yang dibawa oleh nyamuk dan kutu. Virus ini dijumpai di Amerika Selatan dan didapati memang hanya berkesan ke atas arnab. Kadar keberhasilannya juga memberangsangkan, iaitu 90-99%.
Cuma, kaedah ini tidak memadai untuk menjadi penyelesai tuntas. Pertama, kerana nyamuk dan kutu lazimnya tidak mendiami kawasan gersang. Sedangkan, di situlah populasi arnab berhimpun. Kedua, kelalian arnab terhadap virus ini berkembang seiring peredaran masa. Dianggarkan pada hari ini, hanya 40% sahaja daripada mereka terdedah kepada bahaya virus ini. Selebihnya tidak mampan.
Maka, mana-mana arnab yang terselamat masih terus membiak. Ini mendorong Australia untuk menggunakan kaedah berikutnya. Iaitu, melepaskan lalat-lalat pembawa hawar berdarah arnab (RHD; rabbit haemorrhagic disease) pada tahun 1995.
Hawar ini berupaya menembusi kawasan gersang, justeru populasi di sana turut tidak terlepas. Namun, keberhasilannya bukanlah 100%. Memandangkan perumah bagi hawar ini ialah lalah, maka kawasan lembab pula yang kurang menerima kesan. Tambahan, kelalian dalam kalangan arnab juga terbangun secara perlahan-lahan.
Sebab itu, kaedah-kaedah konvensional tetap tidak dikesampingkan. Misalnya meletupkan sarang arnab, menembak mereka mati, meracun sumber makanan dan air, serta melepaskan haiwan pemangsa dalam skala besar.
Kesemua kaedah ini memang berhasil menurunkan populasi arnab dari 10 billion (pada masa kemuncak) kepada hanya 200 juta (pada hari ini). Ini sekali gus melegakan ‘perang’ yang dihadapi oleh Australia selama hampir 150 tahun – perang menentang haiwan sama yang pernah memeningkan kepala penakluk handalan dunia; Napoleon Bonaparte.
RUJUKAN:
Choudhury, Sajjad. (2021, 28 July). The Animal that Took Over Australia. History of Yesterday.
National Geographic. (2020, 27 January). How European Rabbits Took over Australia.
National Museum Australia. (n.d). Defining Moments: Rabbits Introduced.
Rabbit-Free Australia. (n.d). The Rabbit Problem.
Taggart, Pat & Cooke, Brian. (2021, 21 October). Don’t underestimate rabbits: these powerful pests threaten more native wildlife than cats or foxes. The Conversation.
Zhou, Ping. (2019, 22 November). Australia’s Massive Feral Rabbit Problem. ThoughtCo.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih