Secara umumnya, kita hidup di dalam dunia dimana kebanyakan orang percaya, apabila kita berbuat baik, maka akan dibalas dengan kebaikan dan perlakuan buruk akan dibalas dengan kejahatan. Tapi bagaimana jika kebaikan dibalas dengan kejahatan dan sebaliknya?

Sudah tentu kita akan bertanya “ Mengapa ini semua berlaku kepada kita?” – maka disitu timbullah perasaan menyalahkan diri sendiri,rasa bersalah yang keterlaluan, dan putus harapan. Semua perasaan ini, boleh mencetuskan – kemurungan.

Apabila kita memahami bahawa bukan hanya dengan berbuat baik, pasti akan dibalas dengan kebaikan,maka kita akan mula bertindak dan berfikir secara  rasional terhadap perkara-perkara buruk yang berlaku dalam hidup kita. Kita mungkin merana atau mengalami pengalaman pahit seperti kurang kasih sayang keluarga, kehilangan orang yang tersayang, hilang mata pencarian,atau dilanda ribut taufan, tetapi semua perkara ini berlaku bukan kerana kita ditimpa nasib malang atau tidak baik. Tetapi kita perlu mula memahami dan menyedari bahawa kadang kala perkara buruk akan berlaku.

“Apa nak jadi, akan terjadi, hujan pasti berhenti.” (M.Nasir , Apokalips)

“Untuk mengubah kesedihan yang normal kepada kemurungan, apa yang perlu dilakukan adalah menyalahkan diri sendiri keatas semua bencana yang telah menimpa. “  – Dorothy Rowe (1930)

Kemurungan?

Di zaman yang serba moden dan mencabar ini, ramai diantara kita secara tidak sedar mudah menghidapi penyakit kemurungan atau depresi. Ianya berlaku adalah disebabkan oleh banyak faktor dan pengaruh sosial sekeliling atau persekitaran serta perkara-perkara yang boleh menyebakan depresi itu berlaku sama ada secara sedar ataupun tidak sedar.

Kemurungan adalah kecelaruan emosi atau perasaan dan puncanya adalah daripada dua perasaan yang negatif iaitu kesedihan dan kemurungan.

Depresi atau kemurungan adalah satu keadaan gangguan kepada emosi atau perasaan. Ia merangkumi aspek pemikiran, keseimbangan homeostasis dan sikap. Depresi adalah termasuk dalam kecelaruan perasaan. Perasaan ini dikatakan negatif kerana emosi ini boleh mengganggu kelancaran perjalanan kehidupan harian.

Menurut DSM-IV (Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental), kemurungan dibahagikan kepada empat ciri iaitu ragam, vitaliti, agitasi dan tingkah laku yang berbentuk mencari ketenangan.

Seseorang yang tergolong dalam ciri kecelaruan ragam, mempunyai sifat seperti kesedihan yang keterlaluan, menangis, terlalu sengsara emosi, tiada harapan serta tidak berkeinginan untuk hidup, merasa rendah diri dan merasakan tidak berminat terhadap apa yang berlaku di sekeliling serta persekitarannya.

Manakala seseorang yang  termasuk dalam kategori vitaliti menunjukkan keadaan seseorang itu tidak boleh berfikir dengan lurus dan betul, sering merasa kepenatan, hilang selera makan malah jarang pula berasa lapar. Hilang nafsu dan juga sentiasa menjauhi hubungan peribadi yang rapat juga termasuk dalam ciri-ciri vitaliti ini.

Bagi ciri agitasi pula, biasanya merujuk kepada keadaan seseorang yang sering merasa takut, seram, sering termenung, risau dan sentiasa runsing. Mereka juga sering mengalami mimpi buruk dan mengalami masalah untuk tidur. Kadang kala mereka hilang kawalan fikiran dan perasaan. Mereka juga melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Bagi ciri yang terakhir, iaitu ciri tingkah laku yang berbentuk mencari ketenangan, seseorang itu cenderung untuk menunjukkan reaksi merayu, mempamerkan kekurangannya serta suka meminta-minta sesuatu daripada orang lain (Levy, 1972). Mereka lebih gemar untuk bersendirian dan banyak tidur. Ada kes yang lebih serius dimana mereka terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan tertentu..

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kemurungan diantaranya adalah faktor genetik. Seseorang yang mempunyai sejarah keluarga yang mengalami depresi, akan cenderung untuk mendapatkan penyakit ini.

Selain itu juga faktor persekitaran dan pengalaman hidup boleh membuatkan seseorang itu mengalami depresi. Antara contoh-contoh yang boleh dikaitkan faktor persekitaran adalah tekanan ditempat kerja, kesempitan ekonomi, kematian orang yang di sayangi , putusnya hubungan kekeluargaan, menghidap penyakit yang kronik dan sebagainya.

Adakah kemurungan boleh diubati?

Terdapat banyak pendekatan rawatan kecelaruan psikologi dan di antaranya adalah terapi biologikal, pendekatan psikoterapi, dan pendekatan alternatif. Pada peringkat awal, rawatan kecelaruan psikologi biasanya dilakukan menggunakan pendekatan terapi biologikal. Rawatan ini beranggapan bahawa masalah kecelaruan psikologi adalah berpunca daripada faktor biologi seperti terdapat gangguan dalam sistem saraf atau sistem otak seseorang (Yahaya Abdullah Ahmad & Ismail 2006).

Rawatan ini juga beranggapan bahawa penyakit kecelaruan psikologi dapat dirawat dengan mengubah fungsi sistem badan yang terjejas agar menjadi normal dan sihat. (Kaplan & Saddock 2003). Terdapat tiga jenis rawatan terapi biologikal yang sering digunakan dalam merawat masalah kecelaruan psikologi di negara-negara membangun, rawatan tersebut adalah :

  • Rawatan Psikofarmalogi
  • Rawatan terapi elektrokonvulsif
  • Rawatan psikosurgeri

Rawatan psikofarmakologi merupakan rawatan terapi biologikal yang paling banyak digunakan untuk merawat penyakit kecelaruan psikologi. Ia merupakan kaedah biologi yang menggunakan ubat-ubatan yang bertujuan untuk mengurangkan kesan simptom gangguan psikologi dikalangan pesakit. Walaubagaimana pun kesan kaedah rawatan ini adalah berbeza di antara setiap individu. Kemurungan boleh di rawat dengan menggunakan terapi ubat anti kemurungan.

Terapi ini digunakan untuk membangkitkan mood pesakit yang menghidap kemurungan. Kebanyakan ubat tersebut berfungsi untuk meningkatkan keupayaan sistem badan dalam menghasilkan hormon serotonin atau norepinephrine; iaitu dua jenis hormon yang dapat membangkitkan rasa mood positif pesakit. Fluoxetine atau lebih dikenali dengan jenama Prozax merupakan ubat antikemurungan pertama yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat pada tahun 1988. Sehingga kini, Fluoxetine (Prozax)  telah menguasai pasaran antarabangsa dalam merawat penyakit kemurungan ( Sadock & Sadock 2003).

Dan antara ubatan lain yang turut mendapat tempat di pasaran adalah sertraline (Zoloft) dan paroxetine (Paxil). Ubat ubatan ini dikatakan sangat berkesan dalam mengurangkan simptom-simptom kemurungan sekirannya diambil secara berkesan dengan dos yang bersesuaian dan atas nasihat doktor. Pengambilan dos ubatan perlulah secara terkawal dan terancang untuk menjamin keberkesanan rawatan. Antara kesan sampingan pengambilan ubat antikemurungan ini adalah mual,cirit birit,insomnia,ketakutan dan masalah seksual. Malah jika diambil secara berlebihan, boleh membawa maut. (Moy 2009)

Bagaimana mengatasi kemurungan?

Kemurungan ternyata boleh membuatkan kita merasa tidak berdaya. Dengan rawatan terapi dan ubat-ubatan, masalah ini boleh di atasi. Ubah tingkah laku dan cara berfikir, termasuklah aktiviti fizikal, dan cara hidup.

Antara tips yang boleh membantu untuk mengatasi kemurungan adalah :

Dapatkan bantuan sokongan moral

Mendapatkan bantuan dan sokongan moral adalah perkara asas yang memainkan peranan penting dalam mengatasi kemurungan. Apabila menghadapi tekanan secara berseorangan, ia akan membuatkan kita sukar untuk mengatasi kemurungan. Apabila kemurungan, kita cenderung untuk memencilkan diri dan mengasingkan diri. Kekal berhubung dengan orang lain dan mengambil bahagian dalam aktiviti sosial akan memberikan impak yang berbeza terhadap mood kita. Kita boleh mendapatkan bantuan dari orang lain dengan cara :

  • Cari sokongan dan bantuan dari orang yang kita rasa selamat dan percaya
  • Bersemuka – walaupun boleh menggunakan khidmat pesanan ringkas,panggilan telefon dan sosial media, tetapi berjumpa dan berkongsi masalah secara bersemuka dapat memainkan peranan dalam melegakan perasaan kemurungan.
  • Cuba untuk mengambil bahagian dalam aktiviti sosial – keranan apabila kita berada dalam lingkungan sosial dan berada bersama dengan orang lain, maka akan membuatkan perasaan kemurungan itu berkurangan.
  • Cuba dapatkan haiwan peliharaan – walaupun tiada apa yang dapat menggantikan hubungan kemanusiaan, haiwan peliharaan dapat memberikan kegembiraan dan rasa kebersamaan dalam kehidupan.
  • Sertai kumpulan sokongan untuk mengatasi kemurungan – dengan menyertai kumpulan ini, setiap ahli kumpulan akan menyokong dan bantu membantu antara satu sama lain serta dapat bertukar-tukar pendapat.

Buat perkara yang menggembirakan dan menenangkan

Untuk mengatasi kemurungan, kita perlu melakukan perkara yang membuatkan kita merasa tenang dan ‘relax’.  Contohnya :

  • Pilih hobi atau sukan kegemaran
  • Tunjukkan ekspresi kita dengan secara kreatif melalui muzik, seni atau penulisan
  • Keluar bersama rakan-rakan
  • Rancang percutian ke tempat-tempat yang tenang dan menarik

Utamakan kesihatan dan sayangi diri anda :

  • Dapatkan tidur yang cukup – kemurungan juga boleh berlaku apabila sesorang mengalami masalah tidur, sama ada lebih atau kurang tidur, emosi seseorang akan sengsara. Dapatkan tidur yang cukup dan berkualiti
  • Sentiasa semak tahap tekanan dan cari jalan untuk melegakan tekanan
  • Latih diri dengan teknik bertenang – ia akan membantu melegakan simptom kemurungan , mengurangkan tekanan dan meningkatkan rasa tenang dan aman.
  • Makan makanan yang sihat
  • Kurangkan pengambilan gula
  • Tingkatkan Vitamin B – Kekurangan vitamin B seperti asid folic dan B-12 boleh menyebabkan kemurungan. Untuk mendapatkan vitamin B, ambil vitamin B-complex sebagai tambahan atau banyakkan makan buah ‘citrus’ , sayaur berdaun hijau, kekacang, ayam dan telur.

Selain itu, bagi seorang Muslim, kemurungan boleh diatasi dengan cara :

  • Solat – Solat boleh mendekatkan diri dengan Allah SWT. Solat boleh membawa hati menjadi lebih tenang dan damai sehingga boleh menjaga kestabilan emosi dengan baik.
  • Berzikir – Zikir juga boleh membuatkan seseorang lebih tenang dan mendekatkan diri dengan Allah.
  • Beriman pada Qada’ dan Qadar
  • Berkumpul bersama keluarga
  • Bersikap sabar
  • Tawakkal
  • Teruskan berdoa agar diberikan kehidupan yang baik

Masyarakat sentiasa mengaitkan penyakit kecelaruan psikologi dengan istilahkan penyakit mental dan gila. Mereka juga menganggap bahawa penyakit ini adalah penyakit keturunan dan tidak boleh dirawat. Dan fenomena ini membuatkan ramai ahli keluarga tidak tampil untuk membantu ahli keluarga mereka yang mengalami masalah mental. Ia juga menyumbang kepada faktor penghidap lambat mendapatkan rawatan segera.

Oleh itu, perhatikanlah orang sekeliling, dan bantulah mereka mendapatkan rawatan yang sewajarnya sebelum terlambat.

“Apabila manusia sudah mula berhenti dari menyalahkan diri sendiri terhadap perkara buruk yang berlaku dalam kehidupan mereka, maka jumlah kemurungan pasti akan turun mendadak.” – Dorothy Rowe (1930)

Rujukan :

Azizi Yahaya, Jamaluddin Ramli (2012). Psikologi Abnormal. Johor: Percetakan Muafakat Jaya Sdn. Bhd.

Mahmood Nazar Mohamed (2014). Penghantar Psikologi Satu Pengenalan Asas Kepada Jiwa Dan Tingkah laku Manusia. Selangor: Utusan Omnicorp Sdn. Bhd.

Asmawati Desa, Getrude Cosmas, Mariny Abdu Ghani, Siti Rozaina Kamsani, Noor Azniza Ishak, Nabisah Ibrahim, Mohd Makzan Musa(2015). Penghantar Psikologi. Kuala Lumpur: Art Printing Works Sdn. Bhd.

DK Penguin Random House(2017). The Psychology Book Big Ideas Simply Explained. China

Darul Islam (2017) 15 Cara Mengatasi Depresi Menurut Islam yang Efektif dan Dalilnya

Melinda Smith, Robert Segal, Lawrence Robinson, Jeanne Sega (2018) Coping with Depression. Helpguide.Org


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Amat meminati bidang psikologi, sejarah, dan juga falsafah. Merupakan seorang Rakan Pembimbing (AKRAB) berdaftar dibawah JPA. Juga merupakan seorang peminat sejarah melayu serta kebudayaan. Penulis juga amat berharap agar diperkasakan sejarah melayu dan dikukuhkan usaha memeliharanya

Comments are closed.