Ini kalau sembang dengan puak konspirasi, rata-ratanya cakap konflik US dan Iran sebenarnya wayang saja. Kononnya mereka berbaik di sebalik tabir. Satu saja masalah dengan andaian ini. Kalau suruh buktikan, boleh pula suruh tengok dengan mata hati. Sudah. Masalah Amerika Syarikat dengan Iran sebenarnya jelas. Entah apa yang perlu guna mata hati bagai.
Amerika Syarikat sebenarnya agak mesra dengan Iran suatu masa dahulu. Selepas Mahmud Hotak berjaya menumbangkan kerajaan monarki Sultan Husayn, lagilah mereka bersorak (Ghazvinian, 2020). Namun Parsi pada masa itu sangat menyangka buruk pada kuasa-kuasa Eropah. Kerana wilayah Parsi sememangnya berada dalam sasaran penjajah British dan Rusia yang sedang beradu dalam Perang Dingin (Great Game).
Sebelum itu, banyak benda pasal kerajaan yang kalian perlu tahu. Untuk memudahkan pemahaman, kalian dipelawa beli buku POLITIK UNTUK PEMULA. Dalam buku ini, penulis Ayman Rashdan Wong bercerita habis tentang institusi, sistem dan bentuk kerajaan dalam setiap aspek politik sedia ada. Link pembelian: https://bit.ly/3vK4xw5
Untuk mengimbangi tekanan daripada Eropah, pihak Parsi berusaha sebaik mungkin untuk menjaga hubungan baik dengan Amerika Syarikat. Sampai mereka melantik penasihat-penasihat kewangan seperti Arthur Millspaugh dan William Shuster dalam perbendaharaan kerajaan (Kamrava, 2013). Syak wasangka Parsi terhadap Eropah ternyata benar, kerana British dan Soviet akhirnya mencerobohi negara tersebut semasa Perang Dunia Kedua.
Iran Menjadi Permata Antarabangsa
Selepas Perang Dunia Kedua, pihak Amerika Syarikat masih merapati Iran untuk menghamburkan pengaruhnya dalam kuasa minyak negara tersebut. Walau bagaimanapun, cita-cita Amerika Syarikat dihalang pemimpin Iran iaitu Mohammad Mossadegh. Beliau berkuasa sebagai perdana menteri dibawah Shah Reza Pahlavi. Pentadbiran Mossadegh benar-benar menaikkan amarah British yang kehilangan pegangannya dalam industri minyak Iran.
Mossadegh mengatur dasar untuk menyerap semua industri minyak sebagai asset negara (oil nationalization), sekali gus mencantas cengkaman British yang masih cuba mencucuk angin di meja rundingan. Akhirnya Mossadegh memutuskan semua hubungan diplomatik dengan British yang diisytihar musuh Iran (Coughenour, 2010). Amerika Syarikat pada masa ini berpihak pada Iran. Namun pada tahun 1952, Dwight D. Eisenhower memenangi pilihan raya dan terus beralih ke pihak British.
Gandingan Amerika Syarikat-British bermula dengan cara memujuk Shah Reza Pahlavi untuk jatuhkan Mossadegh. Pahlavi pada mulanya takut kerana Mossadegh terlalu popular. Lalu negara-negara Barat menghantar CIA dan MI6 untuk berlakon sebagai puak-puak politik. Agen-agen CIA-MI6 ini mengugut mana-mana pemimpin Islam yang anti-Mossadegh. Kira kalau tengok dari luar sekarang, Mossadegh sedang menzalimi penentang politiknya (Risen, 2000).
Hasutan ini terkena umpan. Dan akhirnya Shah sendiri bersetuju untuk tumbangkan Mossadegh, padahal semuanya berputik daripada fitnah CIA-MI6. Sekelip mata Iran terumbang ambing apabila perusuh pro-monarki dan anti-monarki bertembungan sampai 300 orang mati dan beberapa masjid dibakar. Semuanya angkara Barat.
Tumbangnya Monarki Ribuan Tahun
Jelas sekali Amerika Syarikat dan United Kingdom telah memijak demokrasi yang rancak di Iran. Kejatuhan Mohammad Mossadegh memberi laluan mudah untuk Shah Reza Pahlavi berkuasa lebih mutlak. Namun kerajaan Pahlavi kemudian hilang populariti dalam kalangan akar umbi dan rakyat marhaen. Jutaan rakyat membanjiri dataran untuk memprostes dan akhirnya melaksanakan Revolusi 1979.
Mossadegh pada masa itu sudah meninggal dunia. Beliau tidak sempat melihat rajanya sendiri ditumbangkan rakyat yang kemudian mengangkat Ruhollah Khomeini sebagai Pemimpin Agung Negara (Supreme Leader of the Republic). Naiknya Khomeini telah mengubah habis kedudukan Iran di pentas dunia. Beliau mengisytihar Amerika Syarikat sebagai “Syaitan Besar” dan Kesatuan Soviet pula “Syaitan Kecil” (Katz, 2010).
Iran mahu Shah Pahlavi pulang supaya dapat diheret ke muka pengadilan. Namun Amerika Syarikat telah membawa Shah keluar untuk rawatan kanser. Tindakan ini mengundang masalah besar, apabila sekumpulan pelajar university merusuh pejabat kedutaan Amerika di Tehran dan membuat semua pekerja kedutaan tebusan. Serangan ini dianggap suatu pencabulan undang-undang antarabangsa, sekali gus mengelapkan Iran pada mata Amerika Syarikat buat selamanya. Kerana Khomeini didakwa menyokong serangan tersebut sambil menyatakan, “Amerika tak boleh buat apa benda pun!”
Selepas isu ini, Iran juga telah berperang dengan Iraq. Saddam Hussein merupakan sekutu baik Amerika Syarikat sampailah saat beliau menduduki Kuwait secara haram. Peralihan antara Pahlavi ke Khomeini merupakan punca Amerika Syarikat tidak suka pada Iran. Tambah pula sekarang Iran berkebolehan untuk memiliki senjata nuklear. Maka sampai sudahlah Iran akan disekat ekonominya… dan katanya Iran kini berdagang dalam matawang kripto untuk ‘keluar’ daripada belenggu sekatan Amerika.
Jadi sekarang semua nampak – hubungan buruk antara dua negara ini bukannya wayang semata-mata. Banyak isu yang berlaku, semuanya mustahil dirancang. Ketahuilah. Amerika menjatuhkan Mohammad Mossadegh. Hasilnya, Amerika Syarikat menjadi punca tidak langsung di sebalik bangkitnya seorang pemimpin yang jauh mereka geruni berbanding Mossadegh sendiri.
RUJUKAN:
Coughenour, C. (2010). Anyone That Works for a Living and Votes Republican Is an Idiot. Trafford. Halaman 133.
Ghazvinian, J. (2020). America and Iran: A History, 1720 to the Present. Oneworld Publications.
Kamrava, M. (2013). The Modern Middle East, Third Edition: A Political History Since the First World War. University of California Press. Halaman 415.
Katz, M. (2010). Iran and Russia.The Iran Primer : Power and Politics, and US Policy. Halaman 186.
Risen, J. (2000, April 16). Secrets of History: The CIA in Iran – A special report. The New York Times.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih