Sebut saja lanun terkenal dalam sejarah, ramai menyebut nama Edward Teach atau Blackbeard. Di sebalik reputasinya yang kejam, hakikatnya dia sebenarnya seorang yang licik dalam kalangan kawan dan lawan. Tetapi bagaimana tengkorak lanun paling terkenal ini bertukar menjadi mangkuk minuman?

Edward Teach/Blackbeard

Mungkin lebih baik kita mulakan dengan menyelusuri sejarah kehidupannya. Lahir di Bristol pada 1680, tidak banyak maklumat diketahui tentang masa kecil Teach. Apabila menginjak usia dewasa, dia menjadi kelasi kapal dagang sekitar Jamaica. Pengalaman bergelar kelasi dimanfaatkan sepenuhnya Teach apabila dia membantu pihak British dalam Perang Takhta Sepanyol (War of the Spanish Succession) di West Indies.

Selepas perang tamat, seorang lanun Inggeris terkenal bernama Benjamin Hornigold melihat dia ada potensi sebagai lanun/privatir. Lantas, Teach diberi peluang menyertai krewnya di New Providence dan mengetuai sebuah kapal yang baru dirampas Hornigold pada 1716. Selepas setahun, kedua-duanya keluar dari perairan New Providence dan berjaya merampas beberapa kapal dagang.

Kejayaan Teach dan Hornigold merampas kapal-kapal ini mendorong seorang lagi lanun bernama Stede Bonnet untuk bergabung dengan mereka. Tetapi bezanya di sini, Bonnet mahukan Teach mengetuai kapalnya selepas mendapati 70 orang anak kapal tidak berpuas hati dengan kepimpinannya. Hasratnya diterima oleh Teach lalu dia mengetuai kapal Revenge yang dibawa Bonnet.

Di sebalik keupayaan mereka merampas sejumlah harta yang banyak dari kapal-kapal dagang yang berlayar sekitar Carribean, tiada langsung bukti menunjukkan Hornigold dan Teach berlaku kejam terhadap mangsa mereka. Tetapi itu sudah cukup dijadikan alasan untuk menyingkirkan mentor Teach itu. Lantas, Hornigold meninggalkan kumpulan mereka dengan dua kapal dan memilih protegenya sebagai pengganti.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Tidak lama selepas itu, kumpulan lanun Teach berjaya merampas kapal Concord. Kapal tersebut kemudian ditukar nama kepada Queen Anne’s Revenge sekaligus menjadi kapal utamanya. Kapal ini dilengkapi dengan 40 buah meriam dan dianggotai oleh 400 orang anak kapal. Dengan kapal sebegini, amat mudah bagi Teach atau nama gelarannya Blackbeard mencetuskan huru-hara dalam kalangan kapal-kapal dagang yang merentas samudera.

Bagaimanapun, jodoh Blackbeard dengan Queen Anne’s Revenge tidak bertahan lama. Selepas setahun, dia terpaksa meninggalkan kapal itu selepas ia mengalami kerosakan teruk dan terkandas atas beting pasir di luar pesisir pantai North Carolina. Di sebalik kehilangan kapal utamanya itu, itu tidak menghalang Blackbeard memburu lebih banyak kapal.

Jadi, apakah benar Blackbeard seorang yang ganas terhadap mangsanya? Jawapannya tidak. Di sebalik rupanya yang menakutkan termasuk janggut hitam tebal yang dinyalakan api, itu hanya sekadar perang saraf. Para sejarawan percaya penampilan kapal dan fizikalnya sudah cukup untuk menakutkan mangsa-mangsa Blackbeard untuk menyerah kalah dan menyerlahkan dirinya sebagai lanun ganas.

Semua menyangka aktiviti lanun Blackbeard berakhir pada 1718 selepas berjaya mendapat pengampunan daripada Gabenor North Carolina, Charles Eden. Tetapi sangkaan mereka meleset dan aktiviti tersebut diteruskan. Pada November 1718, dua buah kapal Perancis dirampas di luar perairan Bermuda. Ramai pegawai di North Carolina percaya dengan menawarkan pengampunan kepada Blackbeard, Eden dijanjikan sebahagian daripada hasil kegiatan haramnya itu.

Ini mendorong seorang lelaki bernama Alexander Spotswood bertindak mengetuai sebuah armada kapal untuk memburu lanun berkenaan. Spotswood merupakan Gabenor Virginia dan tahu North Carolina tidak mempunyai keupayaan untuk mengekang lanun-lanun ini. Dengan sesetengah lanun yang didakwa sekutu Blackbeard berada sekitar Virginia, beliau tahu lambat-laun lanun terkenal itu akan membuat penampilan di Virginia dan mencetuskan huru-hara di situ.

Spotswood mengarahkan armada laut British menyerang kedudukan Blackbeard di North Carolina. Sebaik tiba, lanun tersebut diberi kata dua sama ada menyerah atau diserang. Blackbeard enggan tunduk kepada kata dua yang dinyatakan dan bersedia menentang mereka. Tanpa meriam, armada British tidak mempunyai kelebihan signifikan terhadap lawan mereka dan terpaksa menggunakan senjata mereka sendiri.

Lukisan pertarungan Robert Maynard dengan Blackbeard.

Salah seorang ketua armada, Leftenan Robert Maynard bagaimanapun mempunyai helah. Sebaik Blackbeard menghampiri kapalnya Jane, beliau berbohong dengan mengatakan krew yang berada di bawah kapal sudah mati. Terpedaya dengan pembohongan Maynard, dia dan krewnya menjejakkan kaki di Jane.

Sebaik saja mereka percaya Blackbeard di atas kapal, Maynard dan orang-orangnya menyerang krew Blackbeard dari bahagian bawah kapal. Teach yang terkejut ditikam beberapa kali sebelum mati akibat kecederaan parah. Mengikut rekod perubatan, lanun terkenal itu ditembak sebanyak lima kali dan menerima 20 tikaman – agak sukar mengetahui tembakan atau tikaman mana yang membunuh Blackbeard.

Kepala Blackbird digantung di spar kapal selepas dipenggal atas arahan Maynard.

Maynard kemudiannya mengarahkan kepala lanun itu dipenggal sebelum kepalanya digantung pada bahagian penghujung spar kapal. Selepas tiba di pelabuhan Chesapeake Bay, kepala Blackbeard dipacakkan pada sebatang kayu dan diletakkan di Blackbeard’s Point, Hampton Creek yang juga pintu masuk ke teluk berkenaan. Ia sebagai amaran kepada lanun-lanun di luar sana akan nasib yang menimpa mereka sekiranya menyerang Virginia.

Jadi, apa yang berlaku kepada tengkorak Blackbeard? Selepas dibiarkan terpacak selama beberapa tahun, ada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil tengkorak itu sebelum ia disadur dengan perak. Setelah itu, ia menjadi mangkuk minuman dalam banyak majlis sosial yang diadakan di sebelah pantai timur – pengakhiran sedih dan kejam kepada lanun-lanun yang beroperasi di situ.

Ada juga mendakwa tengkorak Blackbeard turut digunakan sebagai alat ritual pelik di New England. Tetapi laporan ini sukar disahkan oleh pengkaji sejarah. Pada awal abad ke-20, tengkorak ini dikatakan dimiliki oleh seorang penulis bernama Edward Rowe Snow. Ia kemudiannya didermakan kepada Muzium Peabody-Essex di Salem, Massachusetts pada tahun 90-an oleh estet Snow.

Bagaimanapun, ini menimbulkan masalah dari segi menjadikan ia sebagai bahan pameran. Disebabkan tiada rekod sejarah dan analisis yang mengesahkan ia milik Blackbeard, agak sukar untuk hal ini dijelaskan. Oleh sebab itu, apabila sesetengah muzium seperti Muzium Maritim San Diego mempamerkan tengkorak berkenaan, mereka hanya mengatakan tengkorak itu didakwa milik lanun tersebut. Selagi hal ini tidak dijelaskan, misteri tentang tengkorak Blackbeard akan terus kekal menjadi misteri.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

RUJUKAN

Leigh, L. (2022, 29 April). Whatever Happened to Blackbeard’s Silver-Plated Skull?. Ancient-Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply