Kalau sebut BCG, mesti ramai rakyat Malaysia terus pegang lengan kiri. Ada yang bangga tunjuk parut, ada yang pelik kenapa lengan dia licin. Tapi BCG ni sebenarnya untuk apa? Cegah penyakit atau sekadar “cop mohor” rakyat Malaysia?

Walaupun, suntikan BCG ni kenangan zaman sekolah atau bahan usikan kawan sekelas, tapi sebenarnya ia berkait dengan sejarah penyakit paling tua dalam dunia, dasar kesihatan awam negara dan juga persepsi masyarakat yang unik sampai ada yang percaya parut itu bukti kewarganegaraan.

BCG ialah vaksin untuk melawan tuberkulosis (TB), penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. TB ni bukan batuk biasa tau. Ia boleh menyerang paru-paru, otak (meningitis TB) malah merebak melalui aliran darah. Pada tahun 1993, TB pernah diisytiharkan sebagai kecemasan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan sehingga hari ini tiada negara yang benar-benar bebas daripadanya.

Di Malaysia, Program Pemvaksinan BCG Kebangsaan bermula sejak 1961. Bayi yang baru lahir akan menerima suntikan ini sebagai perlindungan awal. Dahulu, dos penggalak diberi semula ketika usia sekolah iaitu tujuh tahun di Sabah dan dua belas tahun di negeri lain. Namun pada Julai 2002, dos penggalak dihentikan. Sekarang, suntikan diberi ketika lahir dan jika kanak-kanak tiada parut atau rekod vaksin, mereka mungkin diberi suntikan semula.

Sebab itulah, majoriti rakyat Malaysia ada parut kecil di lengan kiri sebagai satu tanda bahawa sistem imun pernah “dilatih” untuk mengenal musuh bernama TB.

Menariknya, tidak semua orang yang menerima vaksin akan meninggalkan parut. Ada kajian menunjukkan antara 1% hingga 20% bayi tidak membentuk parut selepas vaksinasi. Faktor yang mempengaruhi termasuk teknik suntikan, dos, kualiti vaksin, cara penyimpanan, malah keadaan imun bayi itu sendiri. Bayi kurang berat badan misalnya mempunyai kadar kegagalan parut yang lebih tinggi.

Jadi kalau lengan anda licin, bukan bermaksud vaksin tak berfungsi. Sistem imun masih boleh memberi tindak balas walaupun tanpa parut. Sebab itulah doktor kadangkala menasihatkan suntikan semula jika tiada bukti vaksinasi yang jelas.

Proses terbentuknya parut BCG sebenarnya agak unik. Selepas suntikan intradermal di lengan kiri, akan muncul bengkak kecil seperti gigitan nyamuk. Beberapa minggu kemudian, ia menjadi nodul, pecah, mengeluarkan cecair dan akhirnya sembuh menjadi parut kekal. Parut inilah yang sering dianggap bukti seseorang pernah divaksin.

Di sesetengah negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, BCG tidak lagi diberi secara rutin kerana risiko jangkitan TB rendah. Namun di Malaysia, TB masih dianggap endemik. Maka suntikan semasa lahir kekal penting bagi memastikan perlindungan maksimum.

Di sinilah muncul satu kepercayaan sosial yang menarik. Dalam kalangan masyarakat, ada yang menganggap parut BCG sebagai bukti seseorang itu rakyat Malaysia. Kononnya, jika berlaku sesuatu dan tiada dokumen pengenalan diri, parut di lengan kiri boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti kewarganegaraan.

Realitinya, BCG bukanlah dokumen rasmi. Ia hanyalah vaksin kesihatan awam. Namun kepercayaan ini menunjukkan betapa sinonimnya parut itu dengan identiti rakyat Malaysia.

TB ni merupakan penyakit yang telah wujud ribuan tahun, malah bakterianya dianggarkan sudah ada sejak jutaan tahun lalu. Dalam sejarah, ia dikenali sebagai “White Plague” sekitar abad ke-18 kerana pesakit menjadi pucat dan lemah. Pada tahun 1882, saintis Jerman Robert Koch berjaya mengenal pasti bakteria penyebab TB, membuka jalan kepada rawatan moden.

Hari ini, walaupun TB boleh dirawat dengan antibiotik selama enam hingga lapan bulan, penyakit ini masih meragut nyawa jutaan orang setiap tahun. Ia mudah merebak melalui titisan udara apabila pesakit batuk atau bersin. Golongan berisiko termasuk pesakit HIV, penghidap diabetes dan perokok tegar.

Namun berita baiknya, TB boleh dicegah. Vaksin BCG mungkin tidak memberi perlindungan 100% tetapi ia sangat berkesan mencegah bentuk TB yang teruk terutama dalam kalangan kanak-kanak.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.