Sebutlah nama Umar bin al-Khattab r.a, pasti mana-mana orang k4fir semasa era jahiliah merasa gerun. Beliaulah antara orang yang teguh mempertahankan agama semasa era Rasulullah s.a.w dan memantapkan lagi pentadbiran Khulafa’ Ar-Rashidin selepas menjadi khalifah kedua menggantikan Abu Bakar as-Siddiq r.a. Jasanya terhadap Islam mendapat pujian bukan saja daripada Nabi s.a.w dan orang Islam tetapi juga dari kalangan golongan bukan Islam.
Washington Irving
Sebut saja nama Washington Irving (1783-1859), ramai boleh membayangkan watak Penunggang Tanpa Kepala yang menghantui Ichabod Crane versi Johnny Depp dan Tom Mison dalam filem Sleepy Hollow dan siri televisyen Sleepy Hollow. Tetapi selain dikenali sebagai pencipta Sleepy Hollow, Irving juga merupakan seorang sejarawan dan penulis biografi tokoh-tokoh terkenal seperti George Washington, Oliver Goldsmith dan Nabi Muhammad s.a.w. Dalam bukunya yang bertajuk “Lives of Successors of Muhammad”, beliau memuji pencapaian Umar r.a dengan berkata;
“Keseluruhan sejarah Umar menunjukkan dirinya sebagai seorang lelaki yang mempunyai minda yang hebat, integriti yang kukuh dan sentiasa berlaku adil. Beliaulah melebihi orang lain sebagai pengasas empayar Islam: mengesahkan dan menjalankan sabda baginda (Nabi s.a.w); membantu Abu Bakar menerusi nasihatnya semasa tempoh sebentarnya sebagai khalifah; dan menubuhkan sebuah undang-undang yang bijaksana dalam sistem perlaksanaan undang-undang yang tegas di seluruh wilayah Islam termasuk yang baru ditawan.
Tangannya (kuasa pemerintahan) mengawal jeneral-jeneral yang popular dalam kalangan tentera dan bila mereka meraih kejayaan, menunjukkan bukti luar biasa keupayaannya sebagai pemerintah. Tabiatnya mudah saja, beliau menolak semua bentuk kemewahan, dengan meniru contoh yang dibawa Nabi s.a.w dan Abu Bakar r.a. Umar sentiasa menekankan sebab dan mengapa polisi ini dikuatkuasakan dalam surat-suratnya terhadap jeneral-jeneral yang berbunyi, ‘Berhati-hatilah dengan kemewahan Parsi dari segi makanan dan pakaian. Bersyukurlah apa yang kamu miliki dan Allah akan menjadikan kamu lebih berjaya, jika tidak kamu akan kalah.’”
Tambah Irving lagi, banyak tindakan Umar yang menyentuh hatinya seperti melarang penjualan hamba-hamba wanita yang baru melahirkan anak dan mengagihkan lebihan Baitulmal (perbendahraan negara) kepada orang-orang yang memerlukan. Gaya hidup khalifah kedua Khulafa’ Ar-Rashidin juga sederhana dengan makanannya berupa roti barli, beberapa biji buah tamar dan garam. Dan empat perkara yang dipegang Umar yang dikagumi Irving ialah, “Empat perkara yang tidak akan kembali: kata-kata yang dilepaskan, anak panah yang dilepaskan, masa lalu dan peluang yang terlepas.”
Sir William Muir
Sir William Muir (1819-1905) merupakan seorang orientalis berdarah Scotland dan berpengalaman menduduki beberapa jawatan semasa ditugaskan di jajahan British di India. Selepas bersara dari pentadbiran pada tahun 1876, beliau memperjuangkan isu pendidikan di wilayah jajahan British termasuk India dengan salah satu kolej di Allahabad dinamakan sempena namanya. Kini, Kolej Muir merupakan sebahagian daripada Universiti Allahabad.
Dalam bukunya The Caliphate: Its Rise, Decline and Fall, Muir menyifatkan apabila Umar r.a wafat pada tahun 644 Masihi, beliau meninggalkan Khulafa’ Ar-Rashidin dalam keadaan paling kuat di mana ia sudah mempunyai wilayah jajahan yang luas dan berupaya menyaingi dua kuasa dunia ketika itu iaitu Rom Timur (Byzantine) dan Parsi. Namun di sebalik semua itu, ia sedikit pun tidak melunturkan keperibadian mulia khalifah kedua itu terutama dari segi membuat keputusan dan sikap bersederhananya itu.
Muir menambah, “Kesederhanaan dan tanggungjawab itu merupakan panduan utamanya, keadilan dan dedikasinya merupakan tunjang utama pentadbirannya. Tanggungjawabnya sebagai khalifah sehinggakan beliau pernah berkata, ‘Jika ibuku tidak melahirkan aku, maka aku akan menjadi longgokan rumput ini!’ Pada awal kehidupannya, Umar mempunyai sikap panas baran termasuk pada tahun-tahun terakhir kenabian. Tetapi seiring dengan perubahan masa dan jawatan, panas barannya juga berkurangan. Namun, keinginannya terhadap keadilan masih kuat.
Pilihan kapten (panglima p3rang) dan gabenor yang dibuatnya bebas dari elemen bias (pengecualian dibuat dalam kes Ammar bin Yassir r.a dan Mughirah bin Syu’bah).” Setiap kali Umar r.a meronda di Madinah, beliau membawa seutas cemeti, sedia digunakan untuk menghukum pesalah. Justeru, ini menimbulkan kata-kata ‘Cemeti Umar lebih teruk berbanding sebilah pedang’. Namun, tambah Muir lagi, Umar r.a juga seorang yang lembut hati dan banyak melakukan kebaikan termasuk meringankan beban janda-janda dan anak-anak yatim.
Profesor Philip K Hitti
Prof Philip K Hitti dianggap tokoh ulung dalam aspek sejarah Arab dan Timur Tengah, Islam dan bahasa-bahasa Semitik. Di Amerika Syarikat, beliau bertanggungjawab terhadap sebahagian besar disiplin pengajian Arab di negara itu. Maka, selayaknya bagi pensyarah berdarah Lubnan-Amerika itu mengulas perihal Umar r.a.
Dalam bukunya History of the Arabs, penulis-penulis Muslim memuji keperibadian Umar yang warak dan adil dengan perwatakannya itu menjadi ikutan para khalifah selepasnya. Prof Hitti turut menyebut pelbagai anekdot yang menyentuh ketegasan beliau sebagai khalifah dan kesederhanaan kehidupannya. Beliau turut menyifatkan kewafatan Umar r.a di tangan Abu Lu’lu, seorang hamba Parsi semasa solat Subuh 3 November 644 sebagai satu tragedi kepada Khulafa’ Ar-Rashidin.
Jurij Zaidan
Dalam bukunya, History of Egypt, Jurij Zaidan memberi penghormatan kepada Umar r.a dengan berkata, “Pada masanya, banyak wilayah telah ditawan, rampasan p3rang bertambah, harta milik Maharaja Byzantine dan Parsi melimpah ruah di hadapan tentera-tenteranya tetapi beliau masih mengekalkan kesederhanaan hidup yang tidak boleh diatasi. Beliau berucap di hadapan orang ramai dengan pakaian yang ditampal dengan kulit.
Beliau bukan saja memberi arahan tetapi mengamalkan polisi yang dilaksanakannya. Umar r.a sentiasa memerhatikan gabenor-gabenor dan panglima-panglima p3rangnya dengan tegas. Malah, Saifullah Khalid bin al-Walid r.a juga tidak terkecuali. Beliau seorang yang adil dan baik kepada semua orang termasuk orang bukan Islam dengan disiplin tegas dilaksanakan sepanjang pemerintahannya.”
Michael H. Hart
Bagi yang pernah membaca The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History yang dikarang Michael H. Hart, pasti tahu 100 tokoh yang disenaraikan seperti Nabi Muhammad s.a.w, Sir Isaac Newton dan John F. Kennedy. Dalam senarai itu, dua tokoh Islam dimasukkan Hart iaitu baginda dan Umar r.a yang berada di tangga 51. Menariknya, kedudukan beliau jauh lebih tinggi berbanding Julius Caesar, Kennedy dan Ratu Elizabeth I.
Namanya disenaraikan Hart berikutan kebijaksanaannya menguruskan peralihan kuasa semasa era Khulafa’ Ar-Rashidin dan keupayaan kerajaan itu meluaskan penaklukan mereka sehingga ke Syam, Palestin dan Iraq. Selepas berjaya meluaskan wilayah kekuasaan Madinah, Umar r.a juga bertanggungjawab menggubal polisi bersifat mesra rakyat di wilayah yang baru ditakluki yang menyakinkan populasi penduduk tempatan memeluk Islam tanpa sebarang paksaan. Kejayaan penaklukan yang dilakar beliau menjadi batu asas kepada penyebaran Islam ke seluruh dunia hari ini.
RUJUKAN:
Shah, Zia H. Hazrat Umar in Eyes of non-Muslim Writers. Al-Islam. https://www.alislam.org/articles/umar-in-eyes-of-non-muslims/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih