Monumen ini terpampang pada bahagian belakang mata wang Kemboja, riel. Ia pernah menjadi lokasi penggambaran filem Tomb Raider (2001) dan Iris II: New Generation (2013). Bagi sesetengah orang, Angkor Wat hanya sekadar lokasi pelancongan biasa. Tetapi ia ibarat saksi bisu kepada kerajaan yang pernah bertapak di situ iaitu Empayar Khmer.

Kini berusia lebih 900 tahun, ia mula dibina atas titah pemerintah terhebat kerajaan itu, Suryavarman II pada separuh pertama abad ke-12. Banyak dipengaruhi oleh unsur Hinduisme, Angkor Wat bermaksud bandaraya kuil-kuil dalam Bahasa Khmer.

Ukiran timbul bes Raja Suryavarman II di Angkor Wat

Pada asalnya, kuil ini diberi nama Vrah Visnuloka yang bermaksud tempat persemayaman suci Dewa Vishnu. Lantas, ini menjelaskan mengapa Angkor Wat pada asalnya didedikasikan kepada tiga dewa Hindu iaitu Vishnu, Shiva dan Brahma. Dewa-dewa Hindu ini menjadi subjek banyak ukiran timbul bes monumen berkenaan.

Ciri seni bina Angkor Wat yang paling menonjol ialah siku keluang (quincunx) yang terletak di tengah-tengah monumen berkenaan. Siku keluang ini merujuk kepada lima menara berbentuk kon dengan empat buah menara di setiap penjuru dengan satu lagi menara berada di tengah-tengah.

Lapisan-lapisan bunga teratai yang tirus sehingga ke puncak menara merujuk kepada Gunung Meru. Dalam mitologi agama Hindu, Gunung Meru merupakan tempat dewa-dewi Hindu bersemayam dan dianggap sebagai pusat kepada alam semesta.

Mengikut catatan diplomat China Zhou Da-guan semasa melawat Angkor Wat pada 1296, menara-menara monumen itu disadur dengan emas dan dihias dengan barisan-barisan lapan patung emas Buddha. Sesiapa yang mahu ke monumen berkenaan perlu menyeberangi jambatan emas dengan dua patung emas singa diletakkan pada kedua-dua bahagian.

Tembok-tembok yang melindungi monumen ini melambangkan gunung-ganang yang wujud di dunia. Sementara parit yang mengelilingi Angkor Wat yang berukuran tiga batu panjang pula melambangkan lautan dunia.

Pada bahagian dinding dalam monumen, ia diliputi ukiran timbul bes bukan saja membabitkan dewa-dewi Hindu. Malah, ia turut mewakili dua epik Hindu terkenal, Ramayana dan Mahabharata serta kehidupan warga Khmer ketika itu.

Kerajaan Khmer merupakan sebuah kerajaan agraria yang wujud dari abad kesembilan hingga abad ke-15. Semasa ia berada di puncak kegemilangannya, jajahan takluknya meliputi kawasan tanah besar Asia Tenggara dari Burma (Myanmar moden) hingga Vietnam. Wilayah-wilayah ini dihubungkan menerusi rangkaian jalan sungai dan darat dengan aktiviti pertanian membantu kerajaan ini berkembang.

Menariknya, pembinaan Angkor Wat berlaku pada masa di mana warga Khmer mula beralih agama dari Hinduisme kepada Buddha. Walaupun Hindu masih merupakan agama rasmi kerajaan itu, agama Buddha perlahan-lahan dianuti oleh ramai penduduk Khmer. Ia dikatakan tersebar terima kasih kepada usaha para pedagang dan pendeta yang datang dari India sejak abad kelima Masihi.

30 tahun selepas kemangkatan raja terhebat mereka dalam sejarah, kegemilangan kerajaan Khmer berjaya dipulihkan oleh Raja Jayavarman VII. Jayavarman VII yang menaiki takhta pada 1181 berjaya memulihkan kembali kerajaan itu selepas menewaskan kerajaan Champa pada tahun sama. Sebagai bukti kembalinya kerajaan Khmer, agama Buddha dijadikan sebagai agama rasmi kerajaan itu.

Raja Jayavarman VII

Jayavarman VII turut membina sebuah ibu kota baru yang dipanggil Angkor Thom yang terletak bersebelahan dengan Angkor Wat. Semasa ia dihuni oleh manusia, Angkor Thom berupaya menampung 750,000 penduduk. Baginda turut mendirikan Kuil Bayon di ibu kota sama dengan kebanyakan model patung di situ dikatakan berasaskan wajahnya.

Angkor Wat terus berperanan sebagai kuil Hindu tetapi peranannya ditukar menjelang abad ke-14. Ia kemudiannya berperanan sebagai kuil Buddha tetapi semua ikonografi dan patung Hindu tidak dimusnahkan. Sebaliknya, kerajaan Khmer hanya menambah bilangan patung Buddha pada monumen berkenaan.

Begitupun, perubahan tersebut tidak kekal lama. Menjelang 1430-an, pemerintah Khmer memutuskan untuk memindahkan ibu kota mereka dari Angkor Thom ke Phnom Penh. Pemindahan ini dipercayai berkait dengan faktor perubahan iklim sekitar kompleks berkenaan di mana banjir monsun dan kemarau mengakibatkan sistem peparitan dan saliran yang digunakan tidak berfungsi.

Walaupun sebahagian besar kawasan sudah dituntut oleh belantara liar, Angkor Wat terus berfungsi sebagai kuil Buddha dan lokasi yang wajib dikunjungi penganut agama berkenaan. Pada abad ke-16, penjelajah dan mubaligh Kristian Eropah yang tiba di Kemboja merasa takjub melihat monumen berkenaan.

Salah seorang daripadanya ialah pedagang dan sejarawan Portugal, Diogo de Couto yang tiba di Kemboja pada 1555. Semasa melihat Angkor Wat, beliau menggelarnya sebagai sebuah kota tersembunyi yang sempurna pembinaannya bak monumen batu marmar. Manakala paderi Sepanyol Fray Gabriel Quiroga de San Antonio menyamakan seni bina Angkor Wat dengan monumen-monumen era Rom.

Pada abad ke-17, Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) mula bertapak di Asia Tenggara. Selain mengawal pelabuhan Melaka dan Betawi, mereka turut menubuhkan pos perdagangan mereka di Kemboja. Tidak mustahil, wakil VOC juga pernah bertandang ke Angkor Wat selepas mendapat tahu kewujudan monumen berkenaan daripada catatan mubaligh dan pedagang Sepanyol dan Portugal.

Ukiran grafiti kapal Belanda yang dipercayai dibuat wakil VOC yang pernah bertandang ke situ. Sumber: Veronica Walker/National Geographic

Tetapi kegilaan orang Eropah terhadap Angkor Wat mencapai kemuncaknya pada abad ke-19 menerusi penjelajah Perancis Henri Mouhot. Pada akhir tahun 1859, Mouhot tiba di Kemboja bagi mengetuai misi penjelajahan yang ditaja oleh Persatuan Geografi Diraja (Royal Geographical Society) yang berpangkalan di London.

Henri Mouhot

Tugasnya ialah mengumpul seberapa banyak spesimen haiwan dan tumbuhan agar dapat dijadikan koleksi oleh para pengumpul di Eropah. Sebaik melihat Angkor Wat, Mouhot sudah jatuh cinta dengan monumen berkenaan. Dalam tempoh tiga bulannya di situ, beliau bukan saja meneroka runtuhan monumen berkenaan. Malah, Mouhot turut melakar dan mencatat semua perihal Angkor Wat.

Selepas pulang ke Eropah, Mouhot menceritakan perihal Angkor Wat sekaligus mencetuskan minat baru warga Eropah terhadap monumen berkenaan. Pada 1867, satu ekspedisi saintifik Perancis yang bertujuan mengukur panjang Sungai Mekong tiba di situ. Salah seorang daripada ahli ekspedisi berkenaan ialah seorang pelukis muda bernama Louis Delaporte.

Dua lakaran Delaporte berkenaan imej ideal Angkor Wat yang diterbitkan dalam dua makalah ekspedisi berkenaan meningkatkan lagi populariti monumen berkenaan. Malah, replika Angkor Wat yang dipamerkan di Pameran Kolonial Paris 1931 turut menggamit perhatian pengunjung ketika itu.

RUJUKAN

Walker, V. (2022, 7 April). Angkor Wat, the world’s biggest religious complex, is sacred to two faiths. National Geographic.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply